Ilmu, Akal adalah tunjang Ibadah
Perlaksanaan rukun Islam tidak akan terlaksana tanpa ilmu dan akal. Islam sangat menjaga akal kerana tanpanya manusia akan menjadi sehina binatang.Demi menjaga akal Islam mengharamkan segala yang merosakkan seperti arak dan dadah.
Betapa serius aspek penjagaan akal
sehingga mereka yang melanggar larangan ini seperti minum arak akan
dihukum dengan sebatan 40 rotan ataupun lebih. Antara golongan yang
dipuji dalam al-Quran ialah mereka yang berakal, diberi gelaran dengan
nama ‘ulul-albab’ berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran (190)
yang bermaksud: “Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi dan bergantinya siang dan malam menjadi tanda kebesaran Allah bagi ulul-albab.”
Menurut
Syed Hawa, ulul albab bererti orang yang menggunakan akal.Dengan
melaksanakan rukun Islam yang lima, ia mendidik umat mengenai
kepentingan akal dan ilmu seperti pada awal Islam dilarang bersolat
dalam keadaan mabuk kerana ia mengganggu pemikiran manakala suatu
ibadah tidak sah jika dilakukan tanpa ilmu.Maknanya seseorang yang
ingin melakukan solat mesti ada ilmu dan tahu membezakan antara fardu
dan sunat .
Sekiranya tidak tahu sah dan batal, rukun dan syarat
serta cara melakukannya solat dianggap tidak sah. Demikian juga dalam
ibadah puasa, perkara yang membatalkan puasa wajib diketahui. Begitu
juga dalam konteks zakat, ilmu mengenai nisab dan peratus harta yang
wajib dikeluarkan mesti diketahui.
Ketika melaksanakan solat
berjemaah, imam yang memimpin solat dari kalangan yang berilmu. Sebagai
manusia kadangkala imam terlupa sesuatu dalam solat. Islam mengarahkan
makmum di belakang menegur dan mengikut susunan saf yang berada di
belakang imam, juga mesti berilmu.Nabi bersabda (maksudnya)
“Hendaklah mereka yang baligh lagi pandai bersolat dekat denganku.”
Kalau imam batal, pengganti imam yang berilmu tadi akan mengambil
tempat bukannya si jahil.”
Melalui ibadah yang dilakukan
umat Islam mendidik peri pentingnya akal dan ilmu dalam kehidupan.
Sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik agama kamu ialah yang mudah dan sebaik-baik ibadah ialah kefahaman agama.”
Seorang
penulis barat mengatakan empayar Islam boleh bertahan lama kerana dia
dibina berasaskan ilmu dan akal.Dalam kitab Ihya ada menyebutkan: “Seseorang
yang tidak makan dan minum dalam masa yang lama akan mati, demikian
juga dengan hati, apabila tidak diberi ilmu dan hikmah dalam masa tiga
hari ia akan mati.”
Ilmu ialah kuasa, dengan kuasa inilah Islam menguasai dunia dan mewarisinya kepada generasi demi generasi.
Tazkirah -Ustaz Mohd Zawawi Yusoh-
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008