Dahului usaha sebelum bertawakal
Kefahaman adalah syarat utama dalam menuntut ilmu. Bila faham baru dapat ilmu dan apabila hendak beramal kalau tidak faham tidak menepati peraturan.
Ada
ramai orang Islam silap faham mengenai tawakal. Mereka yang tidak faham
ini sering menyalahkan keadaan apabila gagal atau tidak berjaya dalam
satu-satu usaha.
Semua orang disalahkannya sehingga Allah pun
turut dipersalahkan. Masyarakat Islam awal mencipta kecemerlangan
kerana faham “tawakal” yang betul.
Tawakal maknanya ialah
menjadikan Allah sebagai wakil dan berserah kepada-Nya dalam menentukan
segala ketentuan. Reda adalah hasil daripada keyakinan jitu terhadap
ketentuan Allah.
Tawakal diawali dengan usaha dan kemudian barulah berserah kepada Allah. Tawakal juga mengajar kita budaya berstrategi.
Kalangan Rasul walau pun mereka mendapat pertolongan Allah, mereka tidak pernah terkecuali daripada merancang dan berusaha.
Nabi
Muhammad s.a.w. merancang dalam peristiwa hijrah walau pun Allah
melindungi baginda, bersembunyi di Gua Thur, menggunakan khidmat dan
kepakaran orang walau pun seorang yang kafir kerana beliau tahu jalan
sulit ke Madinah.
Dimintanya Saidina Ali tidur di bilik
tidurnya. Itu semua usaha yang akhirnya baginda bertawakal dan Allah
menentukan kemenangan.
Nabi Yusuf apabila mendapat mimpi raja,
baginda mula merancang berjimat dan menyimpan selama tujuh tahun dan
apabila datang kemarau selama tujuh tahun akhirnya negeri baginda
terselamat daripada kemarau.
Mereka tawakal dan berserah selepas
berusaha serta merancang. Begitu juga dengan Zulkarnain dalam
menghadapi Yakjud dan Makjud, Allah memerintahkannya membina tembok
sebagai menghadapi kejahatan bangsa itu dan mereka bertawakal akhirnya
mereka selamat.
Orang sakit memang mesti berserah kepada Allah
tetapi sebelum bertawakal mereka sepatutnya terlebih dulu berusaha dan
merawat dengan mencari ubat dan berjumpa doktor. Selepas itu
berserahlah kepada Allah sebab yang menyembuh ialah Allah.
Kita
sering melihat orang berjoging dan bersenam. Jika ditanya, kenapa
mereka beriadah, jawapan mereka ialah supaya badan sihat. Itulah makna
tawakal iaitu berusaha.
Hari ini ibu bapa sangat mengambil berat
pelajaran anak, dicarinya kelas tuisyen dan dipanggilnya guru ke rumah
kerana pelajaran adalah aset masa depan anak. Tanpa disedari sebenarnya
ibu bapa itu sedang menterjemahkan makna tawakal.
Duduk saja
tanpa berusaha adalah adalah fahaman yang dangkal. “Nak buat macam mana
cikgu, anak saya memang sudah dilahirkan bodoh.”
Berteriak sana-sini “kenapa umat Islam hari ini lemah” tanpa berbuat sesuatu adalah slogan kosong seperti anjing menyalak bukit.
Satu
hari seorang sahabat datang berjumpa Rasul. Apabila baginda bertanya
bagaimana kamu datang, beliau menjawab, menaiki unta. Nabi tanya; di
mana unta kamu, beliau menjawab saya biarkan tanpa diikat sebab saya
bertawakal kepada Allah. Nabi berkata; ikat unta kamu dulu dan barulah
bertawakal.
Ikat di sini maknanya berusaha dan berbuat sesuatu
supaya unta tidak dapat lari. Orang yang bertawakal sebenarnya sedang
beribadat. Itulah namanya ibadat hati. Yakin dengan bantuan Allah
selepas bersusah adalah akhlak di kalangan nabi.
Mereka yang
bertawakal tidak ego dan lupa diri selepas mendapat apa yang dihajati.
Sebab segala yang diperoleh itu adalah pemberian daripada Allah.
Orang yang bertawakal tidak akan berputus asa kerana belum usaha belum tahu. Peribahasa Melayu “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih” patut ditukar kepada “hendak seribu daya mahu seribu cara.”
Mesti perbanyakkan cara dan bukannya perbanyakkan dalih, jika kita umat Islam mahu mencapai kecemerlangan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008