Jaga hidayah, petunjuk Allah
Manusia memang cenderung menjaga sesuatu yang dianggap berharga. Sebaliknya kita akan membuang sesuatu yang dianggap tidak berharga. Semakin bernilai sesuatu semakin bersungguh kita menjaganya.
Sesetengah manusia sangat menjaga
hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga. Ada pula sentiasa
menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana cantik
adalah segalanya.
Ada juga bermati-matian mempertahankan kedudukan
kerana itu dianggap bernilai dan kalaulah begini perilaku kita, rupanya
kita masih menganggap material (kebendaan) adalah segala-galanya.
Namun,
ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk yang Allah
anugerahkan. Orang yang seperti ini berkeyakinan hidup ini tidak akan
selamat sampai muara ketenangan di akhirat kecuali hanya dengan bekalan
taufik dan hidayah Allah.
Taufik dan hidayah sangat penting di
dalam diri manusia. Pernah suatu ketika seorang yang dibutakan matanya
dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis.
Dia
berasa langkahnya berisiko, mungkin terpelecot, bimbang terhantuk atau
jatuh tangga. Begitulah akibatnya sekiranya tidak mendapat panduan.
Orang
yang yang berjalan tanpa arah sentiasa berada dalam cemas, takut,
bingung. Tidak sedikit orang kaya yang menderita dengan kekayaan.
Bagaimana kekayaan yang melimpah semakin membuatnya sengsara.
Pendek
kata orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa pun
diberikan Allah kepadanya pasti hanya akan membuatkan dirinya hina.
Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi dengan ketaatan pasti akan menyiksakan.
Kemerdekaan
yang kita kecapi sekarang jika tidak diiringi dengan ketaatan kepada
Allah membuatkan kita mudah lalai. Negara saja merdeka tetapi jiwa
tidak, malah ditawan syaitan.
Sedarlah, syaitan adalah penjajah
yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis
Rasulullah s.a.w, syaitan pernah berkata: "Demi kebesaran-Mu, aku
bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi
nyawanya masih di badan.”
Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia. Kalau kita masih main-main, mudah tertipu.
Syaitan
ibarat tukang joget atau penari. Dia akan menari ikut muzik. Kalau
dondang sayang ada lenggoknya, kalau lagu rock pandailah dia
meloncat...maknanya syaitan tahu sasarannya kalau orang alim begini
caranya, kalau sesatkan pemuda lain caranya, orang kaya lain pula
kaedahnya.
Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata,
yang besar-besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa
dipedulikan. Kita kadang kala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat
berharga.
Iman kecil sahaja, tidak nampak tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008