Reaksi positif masyarakat terhadap nasyid pasti
melapangkan dada, terutama mereka yang menjadikan bidang itu sebagai
saluran berdakwah.
Tetapi bolehkah berdakwah melalui muzik itu?
Bagaimana pula jika lagu itu digubah keterlaluan, sehingga hilang
identitinya, apakah masih dikenali sebagai nasyid?
“Apabila
bercakap mengenai nasyid, kita akan menyanyikan lagu yang menyedarkan,
seperti memupuk keimanan,” kata bekas vokalis kumpulan Raihan, Nazrey
Johani.
Ketika bercakap dalam satu siri ceramah di depan pelajar
Kolej Islam Antarabangsa, Batu Muda, Kuala Lumpur, baru-baru ini,
beliau menasihati mereka yang bergiat dalam nasyid menyanyikannya
dengan baik dan berniat hendak memperjuangkan Islam.
Sekiranya
sesiapa hendak menghasilkan bermacam-macam rentak muzik yang kadangkala
bunyinya tidak menentu, lebih baik menghasilkan lagu lain, bukannya
lagu nasyid.
Menurutnya, ini sesuai dengan tujuan penggiat nasyid itu sendiri menjadikan bidang itu untuk mendidik manusia kerana Allah.
“Jika niat betul tidak mencari kepentingan, tidak salah mengguna muzik, hendak nyanyi tidak salah.”
Tetapi,
katanya, apabila terlebih ia menjadi satu kesalahan. Sama dengan
ketawa, ia tidak salah, tetapi lebih-lebih menjadi salah.
“Buatlah apa-apa pun muzik tapi jangan berlebihan,” katanya.
Nazrey menegaskan, nasyid satu medium mendidik manusia, kerana tidak semua manusia suka kepada ceramah.
Selalunya,
mana-mana pihak pun menghasilkan album, tujuan pertamanya hendak jual
album terbabit, kemudian hendakkan kelainan, supaya ia dapat menarik
perhatian pendengar sekali gus diterima pasaran.
Mungkin sebab itulah timbul pelbagai rentak, ada semacam rap atau hip-hop.
“Saya
tidak salahkan muzik, tidak ada. Ulama kata haram (muzik), sebab apa
dulu kata haram, sebab ia dikaitkan dengan arak dan menjadi halal
kerana cari dan dekatkan identiti,” katanya.
Penampilan dan
persembahan nasyid dalam Islam selalunya sederhana, daripada suara
penyanyi yang tidak terpekik sehinggalah pakaian yang diperagakan tidak
keterlaluan, sopan dan boleh dijadikan ikutan.
Meninjau hukum
nyanyian dan muzik, tidak ada ketetapan yang jelas kepada
pengharamannya, malah Al-Qaradawi berani menyatakan Islam membolehkan
nyanyian selama ia tiada mengandungi kata-kata yang kotor, cabul dan
yang menghasut kepada perbuatan dosa dan maksiat.
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Nasyid tidak salah
JIKA dulu lagu nasyid hanya didengar golongan tua, sekarang ia menjadi kegemaran kanak-kanak, malah remaja dan belia turut terpikat dengannya.Di pos oleh Arbain Muhayat pada 22 December 2008