Teknik urutan badan
TEKANAN
sering kali dialami kebanyakan wanita sama ada pelajar, suri rumah atau
wanita bekerjaya. Beban di tempat kerja yang tiada kesudahan
menyebabkan mereka mudah sakit kepala, badan terasa lesu dan cepat
marah.
Saban hari mereka berkerja hingga kadang kala melebihi 12
jam daripada waktu bekerja dan tentunya membuatkan tubuh badan letih
serta lemah. Lebih merumitkan lagi sikap kita sendiri yang tidak
mengambil berat faktor senaman.
Sebenarnya pelbagai cara boleh
dilakukan bagi mengurangkan tekanan. Ada yang melakukannya dengan
beriadah bersama keluarga, bersenam, mengunjungi spa dan cara yang
paling senang dan cepat ialah berurut.
Kuasa dan keajaiban
sentuhan urutan memang tidak dinafikan mempunyai banyak manfaat serta
memberi kesan yang begitu mendalam, bukan saja pada fizikal malah minda
dan jiwa individu.Urutan jika dilakukan dengan teknik yang betul boleh
menurunkan kadar degupan jantung, merendahkan tekanan darah,
meningkatkan aliran darah, merehatkan otot-otot dan sebagainya.
Perkara
seumpama itu bukan sesuatu mustahil kerana urutan membabitkan
manipulasi struktur tisu lembut badan secara manual bagi menghilangkan
ketidakselesaan, pengecutan otot dan tekanan serta meredakan kesakitan.
Urutan
turut merangsang pengeluaran hormon endorfin iaitu sejenis bahan kimia
yang membangkitkan rasa gembira dan meningkatkan keyakinan diri.
Wanita
mudah mengalami tekanan dan bahagian tubuh yang sering menerima kesan
ialah leher, bahu dan kepala. Ketiga-tiga bahagian ini berkait rapat.
Justeru, apabila ‘stress’ kepala akan turut sakit.
Leher dan
bahu akan tegang. Jika kita memicit bahagian ini akan terasa seperti
ada benjolan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dengan lancar
sekali gus menyebabkan timbulnya migrain dan insomnia.
Tekanan
dan ketegangan badan banyak bergantung kepada pergerakan anggota itu
sendiri. Jika sebelah kiri banyak bergerak, maka bahagian kiri yang
banyak mengalami ketegangan.
Jika kita sentuh bahagian yang
mengalami ketegangan itu, kita akan berasa keras. Jadi untuk
melembutkannya urutan ringan perlu dilakukan. Sebaik-baiknya kita
mengurut seminggu sekali bagi mengelakkan penyakit seperti insomnia dan
keletihan.
Bagi memudahkan urutan dilakukan, minyak aromaterapi
disaran digunakan kerana berupaya merehatkan minda. Jadi sambil
meredakan ketegangan anggota badan, minda juga segar.
FAKTA: Faedah urutan
-Menyingkirkan lebihan toksin badan.
-Mengurangkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
-Merehatkan otot-otot yang selama ini mungkin mengalami ketegangan.
-Melicinkan tekstur kulit yang menjadi organ tubuh manusia paling besar.
-Melancarkan sistem pencernaan.
-Membentuk badan.
-Menyeimbangkan minda, rohani dan jasmani.
-Mengurangkan kebimbangan dan tekanan mental
INFO: Tip pemakanan meredakan tekanan:
Kekacang
- Kekacang seperti kacang merah, putih dan hijau mempunyai sumber
protein yang tinggi apabila diambil bersama bijirin. Selain protein,
kekacang juga kaya dengan thiamin (B1). Kekurangan thiamin dikatakan
sering mempamerkan nilai-nilai moral yang rendah, kekeliruan fikiran
dan sering meradang.
Beras coklat dan bawang putih
- Kedua-dua bahan ini mempunyai vitamin B6 yang diperlukan otak untuk
membina protein dan membentuk kolagen. Beras coklat pula mempunyai
sumber vitamin B.
Bayam - Kaya dengan klorofil
yang membuang toksin daripada tubuh dan mengurangkan radang. Sayuran
hijau kaya dengan magnesium yang berupaya menentang ‘anxiety peptide’
yang juga rangkaian asid amino di otak boleh menyebabkan rasa
kebimbangan dan kerisauan.
Dadih - Sumber
kalsium merendahkan kadar ritma jantung dan tekanan darah tinggi dengan
mengawal saraf periferal dan otot yang mudah terangsang.
Asparagus - Kaya dengan folate untuk membantu daya ingatan dan sesuai untuk otak yang sentiasa berfikir sibuk.
Produk kacang soya
- Kebanyakan produk ini kaya dengan `tryptophan' iaitu sejenis bahan
utama dalam pembentukan melatonin iaitu hormon yang dihasilkan oleh
otak membantu mengurangkan tekanan, menenangkan saraf bagi tidur
nyenyak.
Betik - Kaya dengan vitamin C, yang
membantu tubuh mengimbangkan asid amino, menukarkan asid folik kepada
bentuk lebih aktif dan berfungsi membaiki tisu-tisu badan.
Aprikot kering
- Kaya dengan sumber potasium dan vitamin A. Tahap vitamin A yang
rendah di dalam tubuh dikatakan boleh mendorong kepada kesunggulan.
Bahan mineral dikenali sebagai `magnese' pada aprikot merangsang
pertumbuhan hormon-hormon seks yang dikatakan dapat meningkatkan
kesihatan mental.
Pisang - Mengandungi melatonin yang kaya dengan potasium berupaya meredakan tekanan.
Ubi kentang
- Kaya dengan potasium dan vitamin B. Tahap kandungan vitamin B rendah
ada hubung kait dengan kegelisahan, tekanan, kebimbangan, meradang dan
perasaan yang berubah-ubah.
Bijirin oat - Kaya dengan vitamin B yang penting kepada saraf. Terbukti dapat membantu tekanan dan kemurungan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008