Sesekali
luangkan masa melawat wad kanak-kanak, khususnya yang menempatkan
pesakit kecil penghidap talasemia dan leukemia. Mungkin selepas lawatan
singkat ini, anda akan faham perasaan ibu bapa pesakit apabila hospital
tidak dapat membekalkan darah sesuai untuk anak mereka.
Menderma
darah adalah perbuatan mulia dan menjadi sedekah yang tidak ternilai
harganya. Sebenarnya sel darah merah dalam badan kita hanya bertahan
antara 115 hingga 120 hari. Selepas tempoh ini, ia musnah dan
digantikan dengan sel baru.
Jika didermakan, darah ini disimpan
dalam peti dingin beku selama 42 hari. Jangan bimbang, darah yang
didermakan itu pasti dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana sebelum tempoh
ini berakhir, ia akan diberi kepada golongan memerlukan.
Kita
tidak akan mengalami masalah kekurangan darah kerana secara semula jadi
badan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang
musnah akibat ‘tua’ (selepas 120 hari). Didermakan atau tidak, darah
berkenaan tetap akan musnah dalam badan kita, jadi lebih baik jika ia
dapat digunakan sebaik-baiknya.
Malah, pendermaan darah juga
sebenarnya merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah
baru yang mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen ke
seluruh badan, membuatkan kita berasa lebih segar dan sihat.
Pada
masa sama, kecekapan badan untuk menggunakan zat besi akan meningkat
kerana ia diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah yang baru.
Secara
tidak langsung, ia dapat membantu badan mengelak mengalami masalah
pengumpulan zat besi berlebihan yang boleh merosakkan jantung, hati dan
kelenjar endokrin.
Kesannya, penderma akan berasa lebih sihat
dan segar. Rata-rata penderma mengakui mereka lebih tenang kerana
mengetahui darah mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain, tanpa
mengira batasan umur, kaum dan agama.
Namun lebih penting, ia
membolehkan seseorang mengetahui status kesihatan mereka kerana ujian
akan dilakukan setiap kali darah didermakan (walaupun anda penderma
tetap) bagi memastikan darah benar-benar selamat dan ‘bersih’.
Antara
ujian yang dilakukan ialah ukuran tekanan dan pengenalan jenis darah,
selain mengesan sama ada penderma mengalami masalah kesihatan lain.
Jika ada, usah risau kerana ia dapat dikesan awal bagi membolehkan kita
menerima rawatan sewajarnya.
Berapa banyak darah yang akan
diambil? Tidak banyak, hanya satu unit iaitu antara 300 hingga 450
mililiter saja, bergantung kepada berat badan anda. Selepas menderma,
anda akan diberikan pil zat besi dan asid filik bagi merangsang badan
menghasilkan sel darah baru.
Penerima darah
Mungkin ada yang bertanya siapa akan menerima darah anda ini? Ramai. Antaranya ialah:
-Wanita yang tumpah darah ketika bersalin.
-Pesakit talasemia.
-Pesakit leukemia.
-Pesakit haemofilia.
-Individu yang mengalami masalah anemia.
-Mangsa kebakaran.
-Mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah.
-Bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.
-Mangsa demam denggi.
Sebenarnya,
darah kita membabitkan beberapa komponen dan darah yang didermakan ini
akan diasingkan mengikut komponen berkenaan iaitu darah merah, plasma,
platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor
VIII dan IX.
Semua komponen ini mempunyai kegunaan masing-masing yang diperlukan individu berlainan.
Sel
darah merah contohnya, digunakan untuk merawat pesakit talasemia,
leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia).
Manakala
plasma pula penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes
kehilangan darah seperti ketika menjalani pembedahan.
Walaupun
ada teknologi moden yang boleh menghasilkan bahan yang menggantikan
beberapa komponen darah, sumber darah asli masih diperlukan kebanyakan
pesakit.
Bagaimana pula dengan komponen lain? Pusat Darah Negara
menghantar plasma beku ke Makmal Serum Commonwealth di Melbourne,
Australia. Plasma ini akan menjalani proses pemecahan bagi menghasilkan
faktor VIII, immunoglobulin dan albumin 20 peratus yang digunakan bagi
merawat pesakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku.
Jadi,
tiada setitis pun darah anda akan terbuang sia-sia. Jadi, ambil peluang
untuk menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain kerana giliran
kita memerlukan darah mungkin tiba satu hari nanti.
Bagaimanapun, bukan semua orang layak menderma darah kerana anda perlu memiliki ciri seperti senarai di bawah iaitu:
-Berumur 18 hingga 65 tahun.
-Berat badan melebihi 45 kilogram.
-Tahap hemoglobin sekurang-kurangnya 12.5 peratus.
-Tidak menghidap penyakit kronik.
-Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.
-Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.
-Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.
Anda dilarang menderma darah buat sementara waktu jika:
-Demam.
-Berat badan kurang 45 kilogram.
-Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah.
-Tidur kurang lima jam.
-Minum minuman beralkohol kurang daripada 24 jam.
-Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
-Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
-Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
-Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.
Paling penting, jangan menderma darah jika anda:
-Menghidap
penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes,
talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk
kering.
-Pernah atau masih mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
-Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
-Pernah atau masih mengamalkan hubungan sejenis (homoseks) atau dengan kedua-dua jantina (biseksual).
-Mengambil dadah secara suntikan.
Derma darah boleh sihatkan tubuh
KEMPEN derma darah kini menjadi perkara lumrah yang dijalankan hampir setiap hari sama ada di hospital, dewan orang ramai mahupun pusat beli-belah. Namun, masih ramai memandang kempen ini sebelah mata, walaupun mengetahui seunit darah yang diderma dapat menyelamatkan satu nyawa.
Bagi kita yang sihat, keperluan menderma darah mungkin tidak meresap ke dalam jiwa.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008