Asal usul manusia tersedu
BAHAGIAN yang patut dipersalahkan adalah diafram, otot-otot
berbentuk kubah yang terletak di dasar dada. Selalunya, diafram bekerja
dengan sempurna.
Apabila anda menarik nafas, ia tertarik ke
bawah untuk membantu menarik udara masuk ke dalam paru-paru. Apabila
anda menghembuskan nafas, diafram menolak udara keluar daripada
paru-paru.
Tetapi, ada ketikanya diafram menjadi terganggu dan
apabila ini berlaku, ia membuat pergerakan menarik ke bawah dalam
keadaan yang tersentap. Akibatnya, anda menelan udara ke dalam
kerongkong secara mengejut. Apabila udara yang berebut-rebut masuk itu
melanggar kotak korda suara anda, maka terhasillah bunyi hik, hik.
Dalam
satu penyelidikan mengenai sedu yang dianggap munasabah oleh pakar,
sekumpulan saintis Perancis mencadangkan wujudnya kaitan di antara sedu
dengan evolusi dan fakta yang mengatakan bahawa nenek moyang kita
berasal dari laut.
Mereka percaya, ia mungkin menunjukkan sifat
atau ciri yang wujud zaman dahulukala di mana leluhur terdahulu
mempunyai insang untuk membantu mereka bernafas.
Alasan di
sebalik kejadian sedu membingungkan kalangan saintis sejak
beratus-ratus tahun lampau kerana ia tidak mendatangkan faedah berguna
kepada manusia.
Imbasan ultrasound turut membuktikan bahawa
bayi dua bulan di dalam kandungan juga tersedu, sekalipun sebelum
munculnya sebarang pergerakan pernafasan. Teorinya, pengecutan
menyediakan otot-otot respiratori bayi belum lahir untuk bernafas
selepas dilahirkan.
Teori mengenai sedu yang diterbitkan di
dalam jurnal BioEssays itu menyatakan, kunci kepada tindak balas sedu
terletak pada sekumpulan ikan primitif yang boleh menghirup udara yang
kebanyakannya makhluk dua alam.
Pengkaji yang diketuai oleh
Christian Straus dari Hospital Pitie-Saltpetriere, Paris itu percaya,
litar atau sirkit otak yang mengawal ventilasi/pengudaraan insang telah
merentasi dunia mamalia moden, termasuklah manusia.
Mereka turut
membariskan banyak persamaan di antara sedu dengan pengudaraan insang
di kalangan binatang seperti berudu. Salah satu daripadanya,
kedua-duanya menghalang paru-paru daripada mengembung.
Straus
and rakan-rakan sepasukannya turut mengesyaki tabiat itu telah
disesuaikan untuk satu penggunaan baru – membantu mamalia belajar
menyusu kerana siri pergerakan semasa menetek mirip tersedu dengan
glotis tertutup rapat bagi mengelakkan susu memasuki paru-paru.
Sedu
boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai punca seperti menelan terlalu
banyak udara, makan secara lahap, berasa bimbang atau teruja, merokok
dan mengambil alkohol secara berlebihan. Mujurlah ia lazimnya berakhir
dalam masa beberapa minit sahaja.
Adalah tidak benar tanggapan
yang mengatakan sedu boleh dihentikan dengan cara menakutkan atau
mengejutkan seseorang. Namun, terdapat beberapa langkah yang boleh
diambil bagi melenyapkannya.
Antaranya dengan cara menahan nafas
dan mengira perlahan-lahan sehingga angka 10, segera minum segelas air
atau makan sesudu teh gula atau madu.
Jika sedu berterusan
sekalipun setelah mengambil langkah-langkah tertentu untuk cuba
menghentikannya atau anda sering kali mengalaminya dari semasa ke
semasa, anda mungkin mahu berunding dengan doktor mengenainya.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008