Bertangguh buat amal punca hati ‘menganggur’
HATI yang menganggur lebih berbahaya daripada tubuh badan yang sakit. Seseorang yang memiliki hati pasif, diam dan tiada gerakan ibadat sebenarnya sudah mati sebelum dicabut nyawanya. Kekosongan hati timbul akibat lemahnya semangat manusia untuk bangkit dan melawan keinginan hawa nafsu.
Kita perlukan semangat melupakan
kesedihan, bangkit dan berjuang melawan musuh yang nyata iaitu syaitan.
Tiada seorang manusia yang tetap tinggi kedudukan imannya. Ada kala dia
terjatuh dan tersungkur, kemudian menyesali kelalaian dan kembali
bertaubat. Ini digambarkan dalam al-Quran bermaksud:“Dan orang yang
apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka
ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapakah yang
dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak
meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali
Imran: Ayat 135
Hati menganggur, malas dan berputus asa ada ciri-ciri sebagai berikut:
Berlebih-lebihan
melakukan perkara mubah. Terlalu banyak berehat, santai dan mengisi
kekosongan masa dengan hiburan, makanan, tidur yang panjang, bermain
dan bergurau, banyak tertawa, panjang angan-angan dan semua itu
berbahaya jika diteruskan dalam kegiatan seharian. Kehidupan serba
senang tanpa cabaran dan tekanan membuat manusia lupa diri dan lemah
semangat bila ditimpa susah. Berhati-hati jika terus berada dalam zon
selesa. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan
paling teruk yang menghalangnya.
Amirul Mukminin Muawiyah bin
Abu Sufyan RA yang hidup sebagai Khalifah paling berkuasa selama
berpuluh-puluh tahun pernah berkata: “Aku memakai pakaian daripada
semua jenis kain, tetapi tidak pernah menemui sehelai pakaian terbaik
setanding pakaian takwa. Aku juga sudah merasai semua jenis makanan,
tetapi tidak pernah menemui kelazatan seperti kelazatan sabar. Aku
memiliki segala jenis kenikmatan, tetapi tiada kenikmatan mampu
menandingi kenikmatan duduk mendekatkan diriku kepada Allah SWT.”
Anggota
badannya menolak hidayah Allah SWT. Pernahkah anda berasakan suara hati
anda menyuruh berbuat baik, melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat?
Sebenarnya dalam jasad manusia ada yang mempengaruhi hati dan
perasaannya, adakah ia unsur malaikat atau unsur syaitan. Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan
dia diiringi temannya daripada bangsa jin (syaitan) dan temannya
daripada malaikat. Sahabat bertanya: “Pada dirimu juga ya Rasulullah?
Sabda baginda: Padaku juga begitu, tetapi Allah Taala menolongku
terhadapnya sehingga ia tiada menyuruhku melainkan kebaikan saja.”
(Hadis riwayat Muslim)
Hati yang suka menganggur menjadikan
syaitan sebagai teman karibnya. Sementara hati yang aktif dan positif
gerakannya dipengaruhi hidayah Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT
mampu menggerakkan kita berbuat baik. Hidayah-Nya saja menunjuk kita ke
arah jalan selamat. Namun, ramai manusia menolak hidayah Allah SWT.
Mereka lahir sebagai orang Islam, tetapi tidak mahu belajar agama
Islam. Mereka dipilih Allah SWT sebagai hamba-Nya yang beriman, tetapi
membiarkan dirinya kecundang oleh bisikan nafsu dan syaitan. Mengapa
kita menolak hidayah Allah SWT yang berada di dalam hati kita? Allah
Taala berfirman bermaksud: “Mereka mempunyai hati, tetapi tidak
digunakan untuk memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi
tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah dan mereka
mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah.
Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka
itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raf ayat: 179).
Biasanya
masa membuat mereka bertangguh menerima hidayah Allah SWT. Sampai bila
harus menunggu? Jika tulang rapuh dan mata menjadi rabun, fikiran
bercelaru, mengapa menunggu kematian menjemput, padahal setiap hari
hidayah Allah SWT itu turun ke hati kita. Suka bergaul dengan ahli
kelab penganggur. Persekitaran mempengaruhi keperibadian kita. Jika
suka duduk bersama dan mendengar perbualan ahli perniagaan berjaya atau
pakar motivasi hebat, kita semestinya terpengaruh dengan kata
rangsangan dan galakan untuk lebih berjaya. Namun, jika melepak bersama
orang bermentaliti lemah dan kualiti kehidupannya juga rendah, sedikit
sebanyak ada pengaruh ditinggalkan dalam karakter diri kita. Lebih baik
rajin di dunia dan menganggur di akhirat selama-lamanya daripada
memanjangkan angan-angan di sini, namun sengsara tiada penghujungnya di
akhirat.
Tulisan Dr Juanda Jaya
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008