TANGGUNGJAWAB BERTERUSAN: Islam menganjurkan anak berbuat baik
kepada ibu bapa walaupun selepas mereka tiada.
ISLAM
mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa.
Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan
begitu besar dan tidak ternilai.
Pengorbanan ibu bapa dalam
melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang
bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga
dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan
mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.
Sehubungan
itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu
bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan
membalas jasa ibu bapa mereka.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya,
atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau
menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia
(yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka
berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).
FirmanNya
lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah
payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh
mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam
masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya
Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda:
Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda
bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian
apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku
bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga
perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)
Sebenarnya kewajipan
menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas
mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak
dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain
itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang
mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah
menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama
dan berterusan sepanjang masa.
Perintah Islam supaya
menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak
kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa
bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan
bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama
Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.
Diriwayatkan
daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir
kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad
berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik
kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga
aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat
Muslim).
Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8
daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang
engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau
taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian
Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”
Peristiwa
di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya
dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik
kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan
demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang
demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah),
kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka
berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu
yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya,
maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di
dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali
kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada
Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu
segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).
Inilah
cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat
baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat
Islam.
Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu
bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’
atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika
ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW
bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu
bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku
seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?
Rasulullah SAW
menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang
lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga
sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya
lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah
SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas
syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW
pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang
bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh
dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)
Selain itu,
banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya.
Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang
kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid
pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris
hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa
menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah
perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah
berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
Kesimpulannya,
anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan
keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah
pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya
masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial
dalam negara.
Hormati ibu bapa amalan berterusan
Rasulullah anggap menderhaka kepada orang tua dosa besar selepas syirikDi pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008