Penguasaan ilmu lonjak kecemerlangan umat, bangsa
KECEMERLANGAN Islam yang diasaskan Rasulullah SAW dan sahabatnya berjaya meletakkan umat manusia ketika itu ke puncak yang mulia dan bertamadun tinggi.
Kemudian dituruti pula generasi seterusnya
yang memperlihatkan perkembangan Islam terpancar ke merata pelusuk
benua tanpa mengira sempadan geografi.
Islam diterima sebagai
agama yang memberi petunjuk dan satu sistem yang adil dalam semua aspek
kehidupan manusia. Islam bersifat universal telah berkembang sehingga
sampai kepada kita di sebelah nusantara ini.
Walau bagaimanapun,
kecemerlangan Islam telah mula mundur setelah dicarik robek oleh
manusia tamak dan tidak amanah yang berada di puncak kepimpinan negara
apabila berlalu proses demi proses pertukaran sistem khalifah negara
Islam.
Ia telah diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk
mengeruhkan lagi suasana dan menjadi gunting dalam lipatan dengan
merosakkan pegangan ummah terhadap Islam sehingga ke hari ini.
Sejarah
dunia hari ini mengakui bahawa Islam telah melahirkan suatu tamadun
besar yang membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia dan menjadi
pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian.
Pemikiran,
moral dan keduniaan menjadi sumber utama ilmu yang bermanfaat bukan
saja kepada Timur tetapi juga Barat yang mendapat darinya sumbangan
intelektual dan moral serta idea memajukan kebendaan.
Sebagaimana
kita ketahui, pada abad ke-8 hingga ke-12, orang Islam sangat maju.
Mereka menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Zaman kegelapan
bagi masyarakat Barat adalah zaman kegemilangan tamadun Islam.
Islam
memimpin dunia selama 700 tahun dan Barat berhutang dengan ketamadunan
ini. Tamadun Islam yang tinggi ketika itu telah menarik orang Barat
untuk menimba ilmu dan kepakaran di negara Islam.
Mereka pulang
dengan menyebarkan ilmu berkenaan di negara mereka. Kesedaran ini
diakui sendiri sarjana Barat dan di antara bidang yang mereka pelajari
dan dapati daripada pusat pengajian Islam adalah matematik, falsafah,
kedoktoran, astronomi, farmasi dan lain-lain.
Ilmu itu mereka
sebarkan pula ke pusat pengajian tinggi di Barat seperti Itali,
kemudian ke Perancis dan setelah itu ke Britain dan Jerman.
Kita
membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati
disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi
memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta
kecemerlangan.
Sesungguhnya agama kita iaitu Islam sentiasa
membawa cara hidup yang menekankan keilmuan. Dengan penguasaan
pengetahuan, umat Islam telah berjaya membuka suatu tamadun tinggi yang
di contohi masyarakat dunia.
Kebelakangan ini, kita dapat
saksikan episod kemunduran menimpa umat Islam di sesetengah negara di
seluruh dunia. Umat Islam walaupun berada di dalam sesebuah negara
Islam yang kaya masih terpaksa bergantung kepada Barat.
Lebih-lebih
lagi bagi negara sedang membangun, tentu tidak boleh lari daripada
terdedah kepada tekanan dan penjajahan bentuk moden.
Justeru,
kita perlu beriltizam melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai disiplin
ilmu ke arah meningkatkan martabat umat Islam. Pepatah Arab ada
mengatakan: “Ilmu tanpa direalisasikan atau diamalkan, laksana pokok
tanpa buah”.
Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa Allah tidak
akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri berusaha
mengubah nasib mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 11)
Ini
terbukti apabila masyarakat Barat berjaya merubah nasib bangsa mereka
dengan memajukan ilmu pengetahuan yang ada di dunia Islam. Hasrat
kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihormati di
seluruh dunia adalah agenda menepati ayat yang mengajak kita melakukan
reformasi terhadap nasib bangsa.
Menyorot kembali kegemilangan
dicapai masyarakat Islam zaman silam, adalah disebabkan mereka benar
mempraktikkan ajaran Islam. Malangnya kelemahan kita ialah apabila
Islam menuntut kita mencari ilmu, kita pisahkan ilmu antara ilmu agama
dan bukan agama.
Apabila Islam membenarkan kita mendapatkan
kekayaan dan hakikat memberi itu lebih baik daripada menerima, maka
kita memilih kemiskinan dan memandang mulia orang yang meminta-minta
daripada orang lain.
Umat Islam zaman silam terpaksa menghadapi
pelbagai bentuk halangan dan rintangan bagi mempertahankan dan membela
nasib orang Islam. Kita hari ini cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan
kecekapan serta sanggup berusaha.
Tetapi kita tidak menghargai
dan tidak berusaha bersungguh mengekalkannya. Ramai di kalangan kita
cuma memilih amalan ibadat untuk diri sendiri dengan tidak memikirkan
tanggungjawab kita terhadap seluruh umat Islam yang lain.
Bagi
mengembalikan maruah Islam serta mendaulatkan semula kegemilangan
Islam, umat Islam bertanggungjawab membuktikan ajaran Islam sebagai
ajaran yang syumul.
Kita perlu menghidupkan semula asas ajaran
Islam sebenar seperti terkandung dalam al-Quran yang berteraskan
prinsip tauhid kepada Allah sebagai punca penyatuan umat manusia di
dunia.
Muhammad Iqbal pernah menekankan pentingnya umat Islam
menguasai ilmu pengetahuan dan mengikuti arus kemajuan dengan
bertunjangkan Islam. Beliau berkata, umat Islam perlu kekal sebagai
penganut Islam tetapi pada masa sama mereka perlu moden sejajar
perkembangan semasa.
Jika umat Islam mengamalkan sepenuhnya ajaran al-Quran, bermakna mereka mampu mengubahsuai politik dan kehidupan dunia.
Barat
digambarkan semakin khuatir dengan kebangkitan Islam yang mendadak
sehingga ada media Barat menganggap Islam sebagai ancaman kepada
tamadun Barat setelah keruntuhan komunis.
Kita tidak menafikan
kenyataan itu dan yakin Islam mampu menguasai abad akan datang jika
umatnya berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan keupayaan dalam semua
bidang khususnya ekonomi, teknologi dan pengetahuan.
Tanggungjawab
kita ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya mempersiapkan diri
menentukan agenda bagi seluruh ummah dalam usaha mengembalikan
kegemilangan peradaban Islam di seluruh dunia.
Sarjana Islam, Dr
Syed Husain Nars pernah menyebut kekuatan dan pengetahuan umat Islam
dalam pelbagai bidang khususnya agama, teknologi, budaya dan politik
dunia menjadi pra syarat penting melayakkan umat Islam menentukan
agenda masa depan.
Sebagai umat yang komited kepada agama, sudah
pasti kita akan berasa bangga apabila melihat Islam diterima dan diguna
pakai ummah sejagat sebagai Addeen (cara hidup).
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008