30 otot bergerak ketika makan
Ramai orang yang diet bermati-matian dan sanggup berlapar kerana mahu kurus. Makan itu satu nikmat yang perlu disyukuri dan digunakan secara berpada-pada.
Malah, orang tua-tua juga menasihatkan supaya
menikmati makanan selagi ada peluang kerana apabila usia melewati
separuh abad, ramai hilang selera makan. Itu jauh lebih baik jika
dibandingkan dengan orang yang tidak boleh makan kerana ada masalah
menelan.
Kesukaran menelan makanan atau disfagia
adalah masalah yang biasa berlaku pada semua peringkat umur, tetapi
lebih kerap pada orang tua berumur 60 tahun ke atas, terutama pesakit
yang mengalami kecederaan pada sistem saraf seperti strok, Parkinson atau sklerosis multipel.
Namun,
masalah kesukaran menelan makanan lebih kerap berlaku pada pesakit
strok (30 peratus), bayi pramatang (lahir tidak cukup bulan) dan
kanak-kanak menghidap meningitis, palsi serebrum (serebral palsy atau ketidaknormalan perkembangan otak bayi) atau mengalami sumbing lelangit.
Menelan
makanan menjadi masalah besar kepada mereka kerana ia menyebabkan
kesakitan dan akibatnya pesakit sukar mendapat kalori dan air yang
cukup untuk badan.
Bagaimana masalah ini berlaku? Orang yang
sihat dianggarkan menelan makanan, minuman dan air liur beberapa ratus
kali sehari. Menelan makanan adalah satu proses kompleks membabitkan
kira-kira 30 pasang otot dan enam pasang saraf kranial untuk
menggerakkan makanan.
Bagi kita yang sihat, ia berlaku tanpa
disedari. Proses menelan ada beberapa peringkat, bermula dengan
persediaan oral iaitu makanan dikunyah (dipecahkan kepada saiz tertentu
dan mencampurkannya dengan air yang bertindak melembut dan melicinkan
makanan supaya mudah ditelan).
Pada peringkat kedua, lidah
menolak makanan ke belakang mulut untuk memulakan tindak balas menelan.
Makanan akan memasuki farinks (tiub berotot yang menyambungkan mulut
dengan esofagus; iaitu saluran makanan). Ketika ini larinks (peti
suara) akan tertutup rapat dan nafas terhenti untuk mengelakkan makanan
atau minuman memasuki paru-paru.
Peringkat ketiga bermula
apabila makanan atau cecair memasuki esofagus, laluan yang membawa
makanan ke dalam perut. Proses dalam peringkat ini biasanya mengambil
masa lapan ke 20 saat, namun ia bergantung kepada tekstur dan kepekatan
makanan. Ketika ini pergerakan makanan berlaku di luar kawalan kita.
Pakar
Patologi Pertuturan-Bahasa, Joey Pang Mei Ling, berkata disfagia
berlaku apabila ada gangguan dalam mana-mana proses menelan.
Otot
lidah dan pipi yang lemah akan menyukarkan pergerakan makanan dalam
mulut ketika dikunyah. Ini menyebabkan makanan tidak cukup halus untuk
ditelan.
Serpihan makanan yang terlalu besar untuk ditelan boleh
menutup laluan udara dan menyebabkan seseorang tersedak. Selain itu
kesukaran menelan juga berlaku jika tidak berlaku rangsangan menelan,
terutama pada pesakit strok atau masalah gangguan sistem saraf.
Selain itu, masalah ini juga boleh disebabkan otot tekak atau esofagus, menyebabkan makanan tidak boleh bergerak ke perut.
Katanya,
masalah timbul apabila makanan yang sepatutnya memasuki saluran
esofagus tersasar ke dalam laluan udara dan paru-paru. Keadaan ini
dikenali sebagai aspirasi. Ia boleh berlaku jika peti suara tidak
berfungsi dengan baik dan menyebabkan makanan masuk ke paru-paru.
Kehadiran makanan dalam paru-paru boleh menimbulkan jangkitan yang dipanggil pneumonia aspirasi.
Ramai
pesakit tua meninggal dunia akibat masalah pneumonia aspirasi. Makanan
yang tersilap masuk ke saluran pernafasan ini boleh dikeluarkan jika
pesakit berupaya batuk kuat apabila tersedak atau batuk, tetapi ramai
orang tua tidak berupaya berbuat demikian. Malah, ada yang tidak
mengesan masalah aspirasi disebabkan sistem deria kurang peka selepas
serangan ini, terutama apabila diserang strok.
Ia boleh menjadi
masalah serius kerana pesakit ada kecenderungan mengalami kekurangan
zat jika ia dibiarkan berlarutan. Jadi keluarga perlu peka dengan
keadaan pesakit, terutama orang tua.
Antara tanda kesukaran menelan ialah:
• Makanan terasa tersekat di tekak. Makanan yang tersekat ini akan menghalang kemasukan makanan dan minuman selanjutnya.
• Rasa tidak selesa pada tekak dan dada.
• Berat badan menurun.
• Tidak cukup zat (bagi jangka masa lama) kesukaran bernafas ketika makan.
• Batuk atau tersedak setiap kali makan, minum atau menelan air liur.
• Berat badan menurun.
• Demam dan simptom flu yang kerap berlaku.
Pun
begitu, usah terlalu risau jika masalah ini berlaku pada ahli keluarga
anda kerana ada cara untuk membantu mereka. Beritahu perkara ini kepada
doktor untuk mendapat rawatan. Jika perlu, pesakit akan dirujuk kepada
pakar terapi pertuturan.
Beberapa ujian akan dijalankan kepada
pesakit seperti ujian klinikal, FEES (flexible endoscopic examination
of swallowing), MBS (modified barrium swallow) atau VFS (video
fluoroscopy) — mengikut keadaan seseorang.
Dalam ujian rawatan
ini, tahap kepekatan makanan pesakit (dalam bentuk cecair) akan diuji
dan ditentukan bagi membolehkan pesakit menelan makanan secara selamat.
Jika kaedah ini tidak berjaya, pesakit akan disuap perlahan-lahan dan
diberikan makanan yang diubah suai supaya sesuai dengan keadaannya.
Namun,
ia juga bukan perkara mudah kerana ada pesakit berasa penat dan tidak
lagi boleh menelan selepas disuapkan beberapa sudu makanan.
Selepas
pemeriksaan teliti, pakar terapi pertuturan dengan bantuan pakar
dietetik akan merancang diet sesuai untuk pesakit disfagia supaya semua
keperluan khasiatnya dipenuhi.
Pesakit juga akan diajar cara
membuat senaman mulut dan kerongkong untuk menguatkan otot lidah dan
farinks kerongkong. Selain itu, pesakit akan diajar beberapa kedudukan
kepala yang berbeza (biasanya menundukkan kepala sedikit supaya lebih
mudah menelan makanan).
Kata Pang, pilihan terakhir adalah
memberi makanan melalui tiub yang dimasukkan melalui hidung atau
ditebuk pada perut jika semua kaedah di atas tidak berjaya. Namun,
keadaan setiap pesakit tidak sama dan ada yang perlu menggunakan dua
kaedah serentak untuk makan.
Ada kaedah terbaru digunakan di
beberapa hospital iaitu rangsangan taktil untuk merangsang deria bagi
menelan. Dalam kaedah ini, doktor akan menyentuh beberapa bahagian
dalam mulut untuk memberi rangsangan.
Malah, rangsangan haba
(sejuk atau panas) juga boleh diberikan kepada pesakit, sama ada di
muka, mulut dan tekak. Cara lain adalah dengan memberikan rangsangan
elektrik ke atas otot yang terbabit dalam proses menelan, tetapi kaedah
ini masih dalam peringkat ujian.
Pesakit dan keluarga bebas
memilih cara rawatan yang dirasakan sesuai. Apa pun cara dipilih,
mereka perlu belajar kaedah memberikan pesakit makan supaya kebajikan
dan kesihatan pesakit terjaga.
Kira-kira 70 peratus pesakit
disfagia dapat dipulihkan dan tidak perlu bergantung kepada tiub
makanan untuk jangka panjang. Peluang pemulihan lebih baik jika pesakit
diberi terapi pada peringkat pemulaan. Walaupun kebanyakan keluarga
memilih supaya pesakit diberi makan melalui tiub, pesakit juga perlu
belajar untuk makan secara normal.
Pesakit yang sudah lama
menggunakan tiub untuk makan juga boleh mendapatkan rawatan kerana
hampir 70 peratus ada peluang untuk kembali memenelan dengan baik
seperti orang lain. Apabila pesakit menunjukkan perubahan, dia perlu
dibawa untuk pemeriksaan susulan. Ini membolehkan pakar pemakanan
menilai semula kepekatan makanannya.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008