Tanggapan salah asma
PADA pendapat anda, bolehkah penghidap asma bergiat aktif dalam sukan? Boleh, tidak atau tidak pasti? Jawapannya, boleh. Semua pesakit asma boleh menjalani kehidupan aktif dengan syarat keadaan penyakit mereka terkawal. Dalam keadaan ini, pesakit bukan saja boleh bermain badminton atau berenang hatta menyertai jogaton!
Malah, dalam
keadaan penyakit yang terkawal, pesakit asma juga boleh menikmati semua
makanan kegemaran mereka, termasuk aiskrim dan minuman berais yang
biasanya menyebabkan orang berasa ‘semput’. Hakikat ini diakui Presiden
Persatuan Torasik Malaysia, Profesor Dr Liam Chong Kin.
Namun,
masih ramai mempunyai tanggapan salah mengenai pesakit asma atau lelah
sehingga ada yang tidak pernah menyertai aktiviti sukan. Kurang
kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit secara tidak langsung
menafikan hak pesakit asma untuk bergiat cergas.
Kajian
Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Kedua 1996 mendapati insiden asma
masyarakat kita ialah 4.2 peratus, tetapi kadarnya lebih tinggi di
kalangan kanak-kanak berumur kurang 15 tahun (4.5 peratus berbanding
4.2 peratus bagi orang dewasa).
Di seluruh dunia, dianggarkan ada kira-kira 300 juta pesakit asma dan jumlah ini dijangka meningkat 50 peratus setiap dekad.
Ia dianggap penyakit kronik paling lazim di dunia yang menyebabkan 180,000 kematian setiap tahun.
Katanya,
ini perkara menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana kematian
boleh dielakkan melalui penjagaan kesihatan dan pengurusan asma yang
baik seperti disarankan Inisiatif Global Untuk Asma (GINA).
Hari
Asma Sedunia disambut setiap hari Selasa pertama bulan Mei. Tahun ini
ia jatuh pada Selasa depan dengan tema ‘Keperluan Asma Yang Tidak
Dipenuhi’. Asma adalah penyakit yang ada kaitan rapat dengan keturunan
dan persekitaran.
Bilangan pesakit asma di kawasan bandar juga
jauh lebih tinggi berikutan masalah pencemaran udara, habuk, kawasan
perumahan yang rapat, sistem pengudaraan di rumah tidak baik kerana
tingkap sentiasa tertutup untuk mengelakkan habuk.
Namun paling
utama ialah kehadiran hama rumah yang menjadikan sel kulit mati sebagai
makanan. Hampir 80 peratus pesakit asma di negara ini alah terhadap
hama rumah dan najis hama. Ini sebabnya pesakit asma tidak digalakkan
membentang permaidani di rumah kerana ia menjadi tempat pembiakan utama
hama. Jika terpaksa, pastikan permaidani itu dibersihkan menggunakan
mesin vakum sekerap mungkin,” katanya.
Jika anda mempunyai
sejarah keluarga menghidap asma (walaupun anda sihat), tiba masanya
anda mengambil tahu mengenai penyakit ini. Antara tanda yang perlu
diperhatikan ialah:
l Batuk pada waktu malam.
l Sukar bernafas.
l Nafas berbunyi berdehit (lebih teruk pada waktu malam atau ketika bersenam).
l Kerap mengalami masalah sinus rinitis (kerap bersin; hidung dan mata menjadi berair, merah dan terasa gatal).
Gejala
di atas berbeza dari semasa ke semasa, tetapi ia biasanya lebih teruk
pada malam dan awal pagi. Malah, tahap serangannya juga berbeza antara
pesakit, ada yang teruk hingga tidak dapat menjalankan aktiviti harian,
tetapi ada juga yang hanya mengalami masalah kecil.
Asma adalah
masalah yang dikaitkan dengan keradangan saluran pernafasan yang
membabitkan hidung, tekak dan membran mata. Saluran pernafasan pesakit
asma sensitif terhadap bahan pencetus alahan yang dipanggil alergen,
menyebabkan ia bengkak, radang, otot di sekeliling saluran ini menegang
dan lebih banyak mukus (lendir) dihasilkan sehingga menyekat kemasukan
udara ke paru-paru; akibatnya pesakit sukar bernafas.
Antara alergen yang boleh menyebabkan serangan asma ialah:
• Hama rumah.
• Habuk.
• Pencemaran udara.
• Perubahan cuaca.
• Makanan (kacang, makanan dan minuman sejuk).
• Asap (termasuk asap rokok).
• Senaman.
• Bulu haiwan peliharaan
• Perubahan emosi yang mendadak.
• Kesan sampingan ubat seperti aspirin atau untuk sakit sendi.
Jika
anda mempunyai gejala seperti disenaraikan di atas tetapi masih tidak
pasti, segera berjumpa doktor supaya diagnosis boleh dijalankan. Ia
lebih penting bagi wanita yang merancang untuk mengandung atau
mengandung kerana asma boleh diturunkan kepada anak. Malah, asma yang
tidak terkawal boleh membahayakan kesihatan.
Menurut Dr Liam,
satu pertiga daripada wanita asma yang mengandung tidak mengalami
masalah, satu pertiga mendapat serangan asma yang teruk dan satu
pertiga lagi mungkin boleh menemui maut. Malah lebih membimbangkan,
asma yang tidak terkawal ini akan membahayakan bayi dalam kandungan.
Bagaimanapun,
pesakit tidak perlu risau kerana ubat yang diambil bagi meredakan
serangan asma tidak mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.
Sebaliknya jika dibiarkan, asma tidak terkawal boleh merencat
pertumbuhan bayi.
Walaupun asma penyakit keturunan, ada beberapa
cara boleh diambil bagi mengurangkankan peluang anak mewarisinya iaitu
dengan berhenti merokok (sama ada ibu mahupun bapa) kerana perokok
pasif (iaitu menghidu asap rokok orang lain) juga mengalami kesan
hampir sama dengan perokok aktif.
Apabila bayi lahir, pastikan
persekitarannya bebas daripada asap rokok dan semua punca alergen. Ini
termasuk kerap menggantikan cadar tilam (dan dibasuh dengan air panas),
tidak memberikannya patung mainan berbulu dan paling penting,
memberikan susu ibu.
“Seboleh-bolehnya elak memberi susu formula
dibuat daripada susu lembu kerana ia mengandungi protein asing yang
boleh meningkatkan risiko bayi mendapat serangan asma. Selain itu
elakkan memberi kacang, kekacang dan telur kerana ia turut mengandungi
banyak protein,” katanya.
Asma juga boleh menyerang individu
dewasa (yang mempunyai sejarah keluarga) walaupun ketika kecil dia
tidak pernah mengalami masalah asma, terutama jika individu berkenaan
tinggal dalam persekitaran tercemar dan tidak sihat.
Justeru,
beliau menyarankan semua pesakit sentiasa patuh kepada jadual
pengambilan ubat kerana sehingga kini tiada ubat yang boleh
menyembuhkan asma. Pesakit yang aktif bersenam juga dinasihatkan
sentiasa membawa ubat seperti antikeradangan (glukkokortikosteroid,
alat berwarna biru yang disedut di hidung) dan ubat pelega simptom.
Jadi,
jika asma terkawal, anda boleh menyertai pelbagai jenis sukan. Ini yang
mahu dibuktikan Majlis Asma Malaysia (ACM) bersama Persatuan Torasik
Malaysia yang mengadakan jogaton sempena sambutan Hari Asma Sedunia
2006.
Jogaton percuma sembilan kategori ini terbuka kepada semua
lapisan masyarakat semuda tujuh tahun yang akan diadakan pada Ahad ini,
7 Mei 2006 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Mereka yang ingin
menyertai jogaton boleh mendaftar melalui laman web
www.asthma.acm.com.my atau hubungi talian 03-27152843 untuk keterangan
lanjut.
Untuk sambutan sama, GINA turut menawarkan hadiah 5,000
euro (RM23,000) kepada mana-mana negara yang berjaya mengumpul mata
melalui kuiz mudah mengenai asma.
Bagi membantu pesakit asma
kita mendapat bantuan ini, anda boleh layari laman web
www.asthmamusic.com yang bermula dari 2 hingga 31 Mei depan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008