Pendustaan punca 3 sifat munafik
PADA zaman Rasulullah SAW, pegawai kerajaan diarahkan menyimpan apa saja yang mereka terima sebagai hasil negara dalam Perbendaharaan Awam. Rasulullah SAW turut memberi peringatan, “Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Peringatan Rasulullah SAW itu
selaras amaran Allah dalam firman bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat
menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang
menanggung apa yang dikhianatkan itu pada Hari Kiamat; kemudian akan
dibalas tiap-tiap seorang apa yang dikerjakannya, sedang mereka tidak
dianiayai.” (Surah Ali-'Imran, ayat 161)
Peringatan itu
penting kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah memiliki kuasa
besar terhadap cara hasil negara dibelanjakan. Untuk mendokong sifat
amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam al-Quran keperluan
menyerahkan kerja kepada seseorang berperibadi kuat (al-qawiyy), iaitu
yang berupaya serta berkebolehan (Surah al-Qasas, ayat 26).
Justeru,
Rasulullah SAW pernah memberi peringatan bahawa ada tiga tanda orang
munafik iaitu apabila dia berbicara, dia berdusta; apabila dia
berjanji, dia menyalahi janji; dan apabila dia diamanahkan, dia
berkhianat.
Dalam riwayat dirakamkan Imam Muslim, ada pernyataan
tegas Rasulullah SAW mengenai golongan munafik iaitu ‘dia turut puasa,
sembahyang dan menganggap diri Muslim.’
Keprihatinan akhlak
yang menjadi lunas Islam tidak berlawanan dengan apa yang pernah
dinyatakan Marcus Tullius Cicero dalam risalahnya De Officiis, “tidak
ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada perlakuan seseorang
hipokrit, yang serentak dengan sifatnya yang khianat, berpura-pura
berbuat kebajikan.”
Sesungguhnya, perlakuan aniaya paling
membinasakan kepada diri sendiri, masyarakat dan negara berkisar kepada
tiga kejahatan itu iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati
amanah.
Dunia Islam semasa, sudah lama diperingatkan untuk
mengawal kejatuhan moral itu sejak Persidangan Pertama Sedunia mengenai
Pendidikan Islam di Makkah, pada April 1977, apabila Prof Dr Syed
Muhammad Naquib al-Attas membentangkan kertas sidang pleno mengenai The
Dewesternization of Knowledge.
Beliau juga mengingatkan,
walaupun tiga sifat itu kedengarannya seperti tiga perlakuan berbeza,
pada hakikatnya ia adalah tiga darjat pendustaan apabila berbicara,
berdusta apabila memungkiri janji, berdusta melalui perlakuan pecah
amanah dan menyelewengkan kuasa.
Banyak ayat al-Quran dan hadis
sahih memperkuatkan lunas Islam ini. Dalam Islam, sifat khianat adalah
musuh kepada keimanan yang hakiki dan kesedaran untuk menyerahkan diri
hanya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak kepada yang selain-Nya.
Seseorang Mukmin tidak mungkin berakhlak dusta atau pecah amanah.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa tidak memiliki kejujuran, tidak
memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah
seorang yang beragama.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Kesarjanaan
Islam mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq. Secara harfiah,
insan adalah ‘hidupan berkata-kata,’ bermakna pertalian dengan tutur
katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa dalamannya.
Berkenaan
perkara itu, pemikir Perancis, Michel Eyquem de Montaigne pernah
menyatakan, “Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa kita
tuturkan.
Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan
manusia lain boleh dinyatakan melalui tutur kata, sesiapa berdusta
dalam tuturbicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur kata
adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita;
tuturbicara adalah penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiada lagi tali
mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan
masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.”
Bijak-pandai Melayu
mengungkapkan lunas akhlak bersifat alami ini menerusi pepatah ‘kerbau
dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.’
Justeru,
manusia khianat pada janji dan ikatan amanah adalah lebih hina daripada
kerbau dan lembu, seperti peringatan al-Quran, “Mereka itu seperti
binatang, bahkan lebih sesat lagi.” (Surah al-A'raf, ayat 179)
Demi
menegaskan kewajipan untuk tidak mengkhianati amanah, Allah
memerintahkan orang beriman supaya menyempurnakan ikatan janji amanah
yang kukuh. Al-Raghib al-Isfahani menjelaskan, tiga jenis ikatan amanah
iaitu perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji antara manusia dengan
dirinya sendiri dan janji antara seseorang manusia dengan manusia lain
yang serasi dengan persyaratan agama.
Misalnya, perjanjian
perdagangan antara penjual dengan pembeli, persepakatan masyarakat
antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah perkahwinan dan persetiaan
antarabangsa.
Perjanjian tersirat yang perlu ditunaikan dengan
saksama seperti perjanjian tersirat antara tuan rumah dengan tetamunya,
pengembara dengan pengiringnya, majikan dengan pekerjanya dan
seterusnya.
Abdullah Yusuf Ali menyatakan, seseorang yang
meninggalkan mereka yang berada dalam tanggungjawabnya dan sebaliknya
pergi ‘beribadah’ berseorangan di padang pasir adalah seorang bacul
yang mengabaikan 'uqud atau tugas wajibnya.
Tambahan pula, “Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak.” (Surah al-Nisa', ayat 58).
Ayat al-Quran ini merangkumi segala amanah, sama ada berkaitan harta benda, atau berkaitan dengan akhlak.
Jika
ada tugas perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas itu adalah
amanah wajib ditegakkan, maka mengerjakannya dengan sempurna dan penuh
tanggungjawab adalah perbuatan menyerahkan amanah kepada yang berhak.
INTI PATI
Sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki.
Tuturkata mencerminkan jiwa dalaman.
Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.
Allah memerintahkan orang beriman menyempurnakan janji.
Tiga
jenis ikatan amanah adalah perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji
manusia dengan diri sendiri dan janji manusia dengan manusia lain.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008