Rahsia ketengangan jiwa
DALAM menjalani kehidupan penuh cabaran dan tekanan, tidak dinafikan bahawa aspek kesihatan memainkan peranan penting bagi memastikan seseorang itu tabah dalam meneruskan kehidupan penuh ranjau dan pancaroba ini.
Kesihatan fizikal sememangnya diperlukan bagi
menjamin kelangsungan hidup tetapi selain fizikal, aspek lebih penting
bagi manusia melepasi satu persatu dugaan mendatang ialah ketahanan
mental.
Ketenangan jiwa dan kemantapan mental menyebabkan
manusia mampu mengatasi segala cabaran malah mampu untuk meneruskan
hidup secara positif.
Cara untuk tenangkan hati dan memantapkan
minda sudah diajar Allah dalam al-Quran dan terbukti sangat berkesan;
tonik paling berkesan itu ialah berzikir. Allah s.w.t berfirman:
“Ingatlah, dengan berzikir (mengingati Allah) jiwa kamu akan tenang".
(Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)
Demikianlah
indahnya Islam, agama yang tidak hanya tertumpu kepada ibadat
kerohanian semata-mata malah menyeluruh (syumul) dalam semua aspek
kehidupan. Malah, tips atau petua menjaga kesihatan juga turut
disertakan dalam ajaran Islam.
Ingat Allah hati akan tenang,
jarang ingat Allah hati akan kering, gersang serta tandus. Apabila
banyak mengingati Allah, akan bertambah iman sehingga hati makin kuat,
tidak takut ancaman, tidak gentar dengan musibah dan kekurangan, tidak
cemburu dengan kelebihan orang lain serta memiliki sikap positif,
mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan Allah.
Petua
dan tip kesihatan yang banyak terdapat dalam al-Quran, hadis, sunnah
dan kisah sahabat merupakan yang terbaik untuk diamalkan dalam
menjalani kehidupan.
Berzikir dapat menguatkan diri kita.
Zikir tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir
(allahhuakbar); masing-masing 33 kali setiap kali, pada setiap hari.
Diceritakan
satu kisah di mana puteri Rasulullah SAW, Fatimah berjumpa baginda dan
memberitahu, yang dia memerlukan pembantu rumah. Lantas Nabi Muhammad
SAW bersabda:
“Mahukah aku berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta?” dan baginda memberikan petua bacaan tasbih, tahmid dan takbir.
Kalimah ini sebenarnya menguatkan jasad kita.
Konsep
berzikir bukan hanya menyebut nama Allah tetapi meliputi amal ibadat
lain seperti bersolat, membaca al-Quran, melakukan perintah Allah dan
meninggalkan larangan-Nya, berbakti dan berkhidmat, mematuhi dan
menyantuni, menerima ketentuan dengan reda malah berzikir yang ampuh
harus diiringi sabar dan syukur.
Kepentingan amalan kerohanian
dalam menjamin kehidupan yang damai dan tenang sememangnya terbukti
berkesan dan menjadi amalan wajib ulama muktabar. Imam Nawawi RA
misalnya sentiasa mengamalkan zikir dari waktu subuh sehingga duha dan
apabila ada pihak bertanya, beliau mengatakan bahawa zikir itu adalah
makanan kerohaniannya.
Kesihatan fizikal adalah amat penting, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Orang mukmin yang kuat (jasmani dan rohaninya) lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah.”
Seperti
juga petua menjaga kerohanian, Islam turut memberikan tip memantapkan
kesihatan fizikal terutama menerusi sunnah Rasulullah seperti ketika
berhadapan dengan makanan yang wajar sekali diteladani manusia.
Rasulullah
SAW sebagai contoh, baginda makan tidak banyak dan mengamalkan makan
apabila benar-benar lapar tetapi berhenti sebelum kenyang. Jika hendak
diikutkan logik, pasti tubuh Rasulullah kecil tetapi tubuh baginda
besar dan tegap. Ulama mengatakan antara faktornya adalah makanan zikir
yang diamalkan Rasulullah menyebabkan tubuh baginda menjadi kuat.
FAKTA
Tip kesihatan cara Rasulullah
Beribadat
malam, selalu bangun sebelum subuh: kesegaran udara awal pagi bagus
untuk kesihatan malah menjadi terapi penyakit Tibi. Ia turut
memperkuatkan minda dan perasaan.
Rasulullah selalu sentiasa
rapi dan bersih, setiap Khamis atau Jumaat, baginda mencuci rambut
halus di pipi, memotong kuku, menyikat rambut dan berminyak wangi.
Makan
apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang: makanan berlebihan menjadi
punca kepada pelbagai penyakit dan melemahkan badan.
Gemar
berjalan kaki: Baginda selalu berjalan ke masjid, pasar, medan jihad
atau mengunjungi rumah sahabat. Dengan berjalan kaki, keringat akan
mengalir, pori-pori tubuh terbuka dan peredaran darah lancar. Ia mampu
mencegah penyakit termasuk jantung.
Tidak marah: Dalam sebuah
hadis, seseorang berjumpa Rasulullah dan meminta apa-apa nasihat
daripada baginda. Baginda berkata ‘jangan marah’, dan apabila diminta
lagi nasihat seterusnya, baginda hanya mengulangi ‘jangan marah’. Ini
menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan manusia bukanlah terletak
pada jasad fizikal semata-mata tapi juga kesihatan jiwa dan mental.
Baginda adalah seorang yang paling sabar, optimis dan gigih: sikap ini akan memberikan impak positif terhadap psikologi manusia.
Antara makanan kegemaran Rasulullah adalah madu: madu terbukti memiliki pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Oleh : Utz Mohd Zazawi Yusoh - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008