Adab membaca al-Quran
WAJIB bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.
Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.
- Membacanya
dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan
dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam
Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia
tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia
meninggalkan sesuatu utama".
- Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran
(khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis
Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan)
Sebahagian kelompok
daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam
berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar
untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq
Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin
Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.
- Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam
hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan
menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana
ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)
Allah s.w.t
juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan
firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil
menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’:
Ayat 109)
- Membaguskan suara membacanya, sebagaimana
sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.”
(Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain
dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan
al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud hadis
di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan
terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar
daripada ketentuan kaedah Tajwid.
- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran,
maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan)
syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)
- Apabila
ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus
membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca
isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal
surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah
saja.
- Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui
ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca dengan beberapa
kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka
apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka
terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)
- Membaca al-Quran
dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya
dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang.
Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah
bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang
banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam
sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)
Dalam
hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat
kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang
lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas
yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud,
Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)
Jangan jadikan ibadah yang kita
lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam
melaksanakan ibadah membaca al-Quran.
Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.
- Dengarlah bacaan al-Quran.
Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah bacaannya itu dengan
tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala dibacakan
al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.”
(Surah Al-A’raaf: Ayat 204)
- Membaca dengan saling
bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan
yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah
Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan
turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah),
malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan
(malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)
-
Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat
Sajdah, pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika
pembacanya belum batal daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya
dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana
Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan
dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa
takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai
hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah
pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada
sujud.
- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah
riwayat dijelaskan, bahawa sahabat apabila khatam membaca al-Quran,
mereka berkumpul untuk berdoa dan mengucapkan: “Semoga rahmat turun
atas selesainya membaca al-Quran.”
Sebuah hadis yang
diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia
sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa.
(Hadis Riwayat: Abu Dawud)
Setiap orang Islam wajib mengatur
hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian
dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.
Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008