Elak minum ketika makan
PERUT adalah pusat kebanyakan penyakit. Pakar perubatan sependapat mengatakan ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengawal makan. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap penyakit disebabkan oleh banyak makanan dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan.”
Sememangnya terlalu banyak
makan boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti sakit perut, kembung,
sembelit, rasa mual, muntah atau cirit birit. Kesemuanya ini berpunca
daripada makan dan tabiat makan kita. Sindrom Usus Rengsa ini
menandakan berlaku ketidakseimbangan organisasi dalam usus kita.
Ada 10 simptom yang perlu diingat kerana ia menandakan kita mengalami masalah pencernaan (aktiviti enzim) iaitu:
-Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa)
-Kembung
-Cepat penat
-Mudah berparut
-Keradangan kulit
-Berat badan bertambah dengan cepat
-Sering sendawa
-Pedih ulu hati
-Makanan tidak hadam
-Keradangan lain
Antara cara yang boleh diamalkan untuk menggalakkan kesihatan saluran pencernaan kita ialah:
Jangan
makan terlalu banyak. Walaupun sudah jadi budaya kita untuk makan
setiap kali keluar atau berjumpa kawan, kawallah makanan yang masuk ke
dalam perut.
Kunyah makanan hingga betul-betul lumat. Kunyah
makanan perlahan-lahan (sekurang-kurangnya 30 kali, dan ada hadis yang
menyarankan 44 kali kunyah) sebelum makanan ditelan. Ada rahsia di
sebalik saranan ini kerana makanan yang dikunyah hancur mengandungi
lebih banyak enzim dari air liur dan ia sebenarnya memudahkan proses
pencernaan.
Minum sebelum atau selepas makan. Elakkan minum
ketika makan kerana ia akan mencairkan enzim pencernaan dalam perut.
Proses pencernaan akan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut yang
berasid. Jika terpaksa, minumlah dalam tegukan yang kecil tetapi
elakkan minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana menghalang
pencernaan. Sebaiknya minum 10 minit sebelum makan atau
sekurang-kurangnya sejam selepas makan.
Amalkan jadual ke
tandas yang tetap setiap hari. Ia secara tidak langsung memberi laluan
kepada badan menyingkirkan bahan toksin secara berkala dan memperbaiki
persekitaran usus.
Makan lebih banyak sayur-sayuran mentah
(termasuk ulam dan salad) serta buah-buahan kerana ia mengandungi
banyak bahan yang boleh melancarkan proses pencernaan.
Minum air
secukupnya. Air menjadi bahan pengantara yang terbaik dalam badan.
Badan yang tidak cukup air secara automatik akan merangsang fungsi
enzim dan mengganggu proses penghadaman. Malah anda lebih sukar ke
tandas jika tidak cukup air, walaupun banyak makan sayur-sayuran atau
buah-buahan.
Bersenam selalu. Senaman boleh merangsang badan mencapai fungsi sebenar dan menggalakkan proses pencernaan.
Elakkan
diri daripada tekanan. Tekanan akan merangsang enzim untuk menjalankan
semua fungsi metabolik dan jika ia berterusan, boleh mendatangkan
masalah kepada badan.
Makan produk tenusu kultur (contohnya dadih dan keju) atau probiotik kultur tempatan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008