BAB 5 : MEMBANGUN DAN MENGEKALKAN MODAL INSAN BERTARAF DUNIA

Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Tidak ada negara mampu mencapai kemajuan tanpa memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas dengan pantas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi, dan berpaksikan kepada penjanaan dan penggunaan pengetahuan. Oleh itu, membangun, menarik dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara. Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan ciri ini, usaha perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Carta 5-1 menunjukkan tahap modal insan Malaysia pada masa kini berbanding dengan beberapa negara berpendapatan tinggi berasaskan ciri tersebut.
 
Masih terdapat jurang yang luas untuk Malaysia mencapai modal insan bertaraf dunia dan risiko untuk ketinggalan semakin bertambah. Beberapa kajian antarabangsa menunjukkan prestasi pelajar Malaysia merosot berbanding dengan pelajar negara lain. Mengikut Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)1, 2007, lebih kurang 20% daripada pelajar Malaysia gagal mencapai tanda aras minimum dalam Matematik dan Sains, berbanding dengan hanya 5% dalam Sains dan 7% dalam Matematik pada tahun 2003. Di samping itu, tenaga kerja secara relatifnya adalah tidak mahir. Sebanyak 77% daripada tenaga kerja hanya mempunyai pendidikan asas selama 11 tahun, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya dan hanya 28% daripada guna tenaga dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi. Kekurangan modal insan mahir akan menjadi lebih meruncing dalam persaingan global yang sengit memandangkan modal insan berkualiti akan tertarik ke negara yang menyediakan peluang paling baik. Negara Asia seperti Republik Korea dan Singapura telah berjaya menjadi negara maju dalam tempoh satu generasi. Kejayaan ini adalah hasil daripada penentuan yang jitu dan teliti terhadap sektor keutamaan yang perlu diberi fokus di samping memberi tumpuan kepada usaha membangun, meningkatkan kemahiran dan menghasilkan modal insan yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan sektor ekonomi tersebut. Pembangunan modal insan bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat. Sehubungan ini, kolaborasi antara pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Pendekatan holistik akan memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan.

1 TIMSS menyediakan perbandingan dalam pencapaian Matematik dan Sains di peringkat antarabangsa dari semasa ke semasa bagi pelajar yang mengikuti lapan tahun persekolahan. Pada tahun 2007, sebanyak 59 buah negara menyertai kajian ini.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), Kerajaan akan mengguna pakai rangka kerja pembangunan modal insan yang bersepadu, seperti ditunjukkan dalam Carta 5-2. Rangka kerja ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat di sepanjang kitar hayat, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan asas, pendidikan tertiari sehingga ke alam pekerjaan dengan melaksanakan strategi berikut:

• Merombak sistem pendidikan untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan signifikan;
• Meningkatkan kemahiran rakyat untuk meluaskan kebolehpasaran; dan
• Menyusun semula pasaran pekerjaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Kotak 5-1

Pengalaman mengagumkan tentang pertumbuhan dan pemodenan Republik Korea melalui pembangunan modal insan

Pada masa kini, Republik Korea merupakan sebuah negara maju dalam semua aspek. Ekonomi Republik Korea mencecah satu trillion dolar dan merupakan ekonomi yang ke-13 terbesar di dunia. KDNK per kapita menyaingi kebanyakan negara maju yang lain. Republik Korea juga maju dalam bidang teknologi dan kadar penembusan jalur lebar yang tertinggi di dunia, iaitu lebih 90%. Prestasi pelajar Republik Korea juga sentiasa berada di kedudukan terbaik dalam kalangan negara yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam penilaian pelajar di peringkat antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA). Pencapaian ini amat menarik. Namun apa yang lebih menakjubkan ialah kepantasan Republik Korea membangun daripada sebuah negara yang musnah akibat peperangan kepada negara kuasa besar ekonomi. Setengah abad lalu, Republik Korea yang mempunyai ramai tenaga kerja berkos murah telah menjadikan pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai satu cara meningkatkan produktiviti bagi melonjak pembangunan dan mencapai status negara maju. Republik Korea menyedari bahawa untuk bersaing di peringkat global, perlu diwujudkan sistem pendidikan yang dapat memastikan semua pelajar disokong dan boleh berjaya tanpa mengenepikan pelajar yang berprestasi rendah. Bagi mencapai matlamat ini, Republik Korea memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan di semua peringkat, dari sekolah rendah sehingga universiti dan latihan kemahiran. Inisiatif yang diambil termasuk bukan sahaja menjadikan pendidikan sekolah peringkat menengah sebagai pendidikan wajib, tetapi mempercepat pengukuhan pendidikan teknikal dan latihan menerusi kerjasama erat dengan chaebol dan syarikat-syarikat besar di Republik Korea seperti menubuhkan universiti korporat sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam pendidikan tertiari. Pada masa kini, jumlah enrolmen di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dianggarkan seramai 3.6 juta pelajar. Di samping itu, Kerajaan Republik Korea merekayasa keseluruhan sistem pendidikan untuk menyediakan modal insan yang diperlukan oleh industri yang diberi keutamaan.

MEROMBAK SISTEM PENDIDIKAN UNTUK MENINGKATKAN PRESTASI PELAJAR DENGAN SIGNIFIKAN

Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam sistem pendidikan dengan kadar literasi dalam kalangan orang dewasa sekitar 92% dan enrolmen pendidikan rendah yang universal serta merupakan antara negara yang menikmati kadar pertumbuhan enrolmen sekolah menengah yang terpantas. Pendidikan bukan hanya merupakan hak asasi manusia, malah amat penting kepada perkembangan ekonomi. Prestasi pendidikan yang rendah memberi kesan negatif kepada masa depan negara memandangkan tahap pendidikan yang tinggi berkait rapat dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Sekiranya tahap pendidikan negara tidak ditingkatkan ke peringkat piawaian antarabangsa, serta jurang pencapaian sekolah tidak dikurangkan, Malaysia akan ketinggalan dalam pendidikan dan kehilangan daya saing pada masa hadapan.

Prestasi pelajar akan terus ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa. Bagi memastikan pencapaian dan peningkatan pelajar diukur secara objektif dan konsisten dengan negara lain, Malaysia akan mengambil bahagian dalam Programme for International Student Assessment (PISA) di samping meneruskan penyertaan dalam TIMSS. TIMSS dan PISA adalah dua alat pengukuran perbandingan pencapaian pelajar yang diiktiraf tinggi di peringkat global. Dalam penilaian terkini, 59 negara telah menyertai TIMMS pada tahun 2007, dan 65 negara menyertai PISA pada tahun 2009. Dalam tempoh Rancangan, Kementerian Pelajaran (KPM) akan menjalankan penilaian dan kajian semula sistem pendidikan secara komprehensif dengan memberikan tumpuan khusus kepada peningkatan keberkesanan pelaksanaan program pendidikan.

Usaha untuk merombak sistem pendidikan akan berpandu kepada Falsafah Pendidikan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1989 dan menjadi asas kepada semua usaha transformasi pendidikan. Matlamat Falsafah ini adalah untuk membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi keupayaan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Bagi memperkukuh hasrat Falsafah ini, penekanan yang lebih akan diberi kepada penglibatan dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum sebagai usaha ke arah memupuk pembangunan sahsiah pelajar. Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah akan dipergiatkan bagi memupuk kreativiti dan inovasi pelajar ke arah melengkapkan mereka dengan kemahiran dan keupayaan terkini yang diperlukan oleh negara berpendapatan tinggi.

Kotak 5-2

Mempertingkat kualiti pelajar adalah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

Enam NKRA telah dipilih sebagai bidang keutamaan negara dan rakyat Malaysia. NKRA ini merupakan kombinasi keutamaan jangka pendek dan isu-isu jangka panjang yang memberi kesan kepada rakyat. Bagi membayangkan kepentingannya, NKRA dimiliki secara bersama oleh Jemaah Menteri dan pelaksanaannya dipertanggungjawabkan kepada menteri kanan yang dilantik dan dipantau oleh Perdana Menteri.

NKRA pendidikan bertujuan meningkatkan prestasi pelajar dan berteraskan kepada empat bidang: kadar enrolmen prasekolah, sekolah berprestasi tinggi, program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan Bai’ah kepada Guru Besar dan Pengetua.

Pendidikan adalah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). NKRA pendidikan merupakan landasan dan titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar dalam sistem pendidikan peringkat sekolah secara menyeluruh, serta membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Sistem pendidikan adalah penting untuk memperkukuh daya saing negara dan membangunkan 1Malaysia. Status sekolah kebangsaan akan terus diperkukuhkan bagi menjadikannya sekolah pilihan kepada semua rakyat Malaysia melalui peningkatan piawaian dan merapatkan jurang prestasi antara sekolah kebangsaan.

Untuk mempercepat penambahbaikan prestasi pelajar secara berkesan, berterusan dan menyeluruh, Kerajaan tidak akan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal tetapi akan lebih menumpukan kepada aspek yang memberi impak besar kepada prestasi pelajar seperti kualiti guru dan kepimpinan di sekolah. Selaras dengan pengalaman pelaksanaan sistem pendidikan terbaik dunia dan keperluan untuk menghasilkan peningkatan prestasi pelajar yang signifikan, empat strategi akan diguna pakai dalam tempoh Rancangan ini:

• Memastikan setiap kanak-kanak boleh berjaya. Menetapkan harapan yang tinggi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang dan menyediakan bantuan dan sokongan yang sistematik terutama kepada mereka yang ketinggalan dalam pembelajaran;

• Menjadikan sekolah bertanggungjawab terhadap prestasi pelajar. Memberikan autonomi kepada beberapa aspek pengurusan sekolah sebagai ganjaran ke atas peningkatan signifikan pencapaian pelajar;

• Membuat pelaburan bagi membangun kepemimpinan unggul di setiap sekolah. Membuat pelaburan yang besar bagi meningkatkan prestasi kepimpinan sekolah sebagai pemangkin utama perubahan menerusi kriteria pemilihan yang ketat, latihan dan pengurusan prestasi yang mantap berdasarkan prestasi pelajar; dan

• Meningkatkan daya tarikan profesion keguruan dan menghasilkan guru terbaik. Menjadikan profesion keguruan lebih menarik supaya lebih ramai individu berkebolehan tinggi berminat menyertainya, meningkatkan kualiti latihan praktikum, dan memantapkan pengurusan prestasi serta pembangunan profesional bertaraf dunia yang berterusan.

Memastikan Setiap Kanakkanak Boleh Berjaya

Dalam setiap sistem pendidikan yang unggul, kejayaan setiap pelajar sentiasa menjadi keutamaan. Matlamat ini boleh dicapai melalui dua pendekatan. Pertama, meletakkan sasaran pencapaian yang sama tinggi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau tempat. Pendekatan kedua pula, menerima hakikat bahawa sebahagian pelajar memerlukan sokongan yang lebih untuk mencapai piawaian prestasi yang ditetapkan, terutama bagi mereka daripada kalangan isi rumah 40% terendah. Sehubungan ini, Kerajaan akan terus memainkan peranan yang besar dan memberi komitmen yang sepenuhnya untuk menyerlahkan potensi diri setiap kanak-kanak di Malaysia.

Penyediaan Asas Pendidikan yang Kukuh kepada Lebih Ramai Kanak-kanak

Pendidikan awal memainkan peranan penting dalam pembinaan minda kanak-kanak dan dapat membantu mengurangkan masalah pembelajaran semasa dan pencapaian pada masa hadapan. Peringkat awal pembelajaran kanak-kanak merupakan tempoh kritikal yang menjadi penentu kepada perkembangan minda individu dan bersifat kumulatif. Sehubungan itu, Kerajaan akan memberi tumpuan untuk meningkatkan dan memperluas pendidikan awal bagi menyediakan asas yang kukuh kepada lebih ramai kanakkanak supaya mereka boleh berjaya.

Pada tahun 2011, program pembangunan awal kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah (PERMATA), iaitu program bagi melahir dan mendidik ‘permata’ masa hadapan negara, akan diletakkan di bawah tanggungjawab KPM dengan tujuan untuk menyelaras dan mengintegrasikannya ke dalam sistem pendidikan formal. Tumpuan PERMATA adalah kepada kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan bawah RM1,500. Selepas kejayaan program perintis PERMATA yang dilancarkan pada tahun 2007, sebanyak 181 buah pusat PERMATA akan dibina dengan peruntukan RM36 juta dalam tempoh Rancangan.

Peningkatan Enrolmen dan Kualiti Prasekolah

Kanak-kanak yang mengikuti program prasekolah lebih komited terhadap pendidikan dan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi pada masa hadapan2. Pada masa ini, kadar enrolmen prasekolah dalam kalangan kanak-kanak berumur empat dan lima tahun hanyalah sekitar 67%. Memandangkan kepentingan pendidikan prasekolah dan keupayaan negara meningkatkan kadar enrolmen, pendidikan prasekolah telah dijadikan fokus utama di bawah NKRA Pendidikan. Seperti yang ditunjukkan dalam Carta 5-3, program ini bertujuan meningkatkan kadar enrolmen kepada 87% pada tahun 2012 dan 92% pada tahun 2015. Pada masa yang sama, kualiti pendidikan prasekolah akan terus dipertingkatkan. Dalam tempoh 2010–2012, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk program ini.

Merendahkan Umur bagi Permulaan Persekolahan

Dengan pelaksanaan program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak, lebih ramai kanak-kanak akan bersedia untuk memasuki sekolah pada umur yang lebih rendah berbanding amalan sekarang. Dalam tempoh Rancangan, umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6+ kepada 5+. Langkah ini adalah selaras dengan amalan di negara maju. Pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat dan akan dimulakan dengan sekolah di kawasan luar bandar dan perladangan terutama di sekolah kurang murid, bagi membolehkan pelajar dari kawasan ini mendapat manfaat daripada asas pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal.

2 High Scope Perry Pre-School Study, the United States of America (2005)

Memastikan Penguasaan Literasi dan Numerasi

Peningkatan kadar literasi dan numerasi adalah penting untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar berpunca daripada ketidakupayaan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Dengan penguasaan kemahiran literasi dan numerasi asas yang kukuh pada peringkat awal persekolahan, kemungkinan berlaku keciciran pelajar daripada sistem persekolahan dapat dikurangkan. Penguasaan literasi dan numerasi di peringkat awal sangat penting kerana tanpa kemahiran ini mereka akan menghadapi kesukaran mengikuti pembelajaran di peringkat selanjutnya.

Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) adalah bertujuan untuk memastikan semua pelajar menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun pertama pendidikan sekolah rendah. Bagi melaksanakan program ini, peruntukan sebanyak RM400 juta disediakan dalam tempoh tiga tahun, iaitu 2010–2012. Seperti ditunjukkan dalam Carta 5-4, Program LINUS memberi tumpuan kepada intervensi awal dengan menempatkan fasilitator dan guru pemulihan terlatih di sekolah. Sehingga kini, seramai 15,500 fasilitator dan guru pemulihan telahpun dilatih.

Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memantapkan Penguasaan Bahasa Inggeris

Kerajaan akan melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memantapkan Penguasan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam tempoh Rancangan. Program ini bertujuan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris untuk memperkukuh daya saing negara. Program ini akan mengguna pakai pendekatan modular yang bersepadu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan akan memperluas pengajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.

Program MBMMBI akan juga memperkukuh pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui kurikulum baru dengan memberi penekanan kepada lima bidang utama kemahiran iaitu membaca, mendengar dan berucap, menulis, tatabahasa, dan seni bahasa. Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran bahasa Inggeris ditambah daripada 4 jam kepada 5.5 jam seminggu untuk Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3), dan daripada 3.5 jam kepada 5 jam untuk Tahap 2 (Tahun 4 hingga 6) di peringkat sekolah rendah. Sebanyak empat daripada 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) akan menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kepada guru. Kerajaan akan menilai dan memantau keberkesanan program secara berterusan dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Akauntabiliti Sekolah Terhadap Prestasi Pelajar

Sistem sekolah berprestasi tinggi menetapkan harapan besar kepada sekolah dalam aspek peningkatan prestasi pelajar, pemantauan jurang prestasi dan penyediaan sokongan yang sewajarnya apabila sasaran tidak tercapai. Seterusnya, rombakan kepada sistem pendidikan akan memberi tumpuan yang jelas terhadap prestasi pelajar, dan sekolah akan dipertanggungjawabkan ke atas pencapaiannya.

Meningkatkan Prestasi Semua Sekolah melalui Program Peningkatan Kualiti Sekolah Secara Menyeluruh

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan pada April 2010 merupakan usaha yang menyeluruh dengan harapan dan cabaran yang tinggi, serta meningkatkan motivasi dan sokongan kepada semua sekolah awam untuk mengukuhkan prestasi pelajar, khususnya sekolah berprestasi rendah yang amat memerlukan bantuan. Program ini mengandungi elemenelemen berikut:

• Penyenaraian Kedudukan Prestasi Sekolah:

Setiap tahun semua sekolah akan dinilai dan disusun mengikut kedudukan pencapaian prestasi. Penjelasan terperinci berkenaan penarafan prestasi akan dimaklumkan kepada sekolah untuk meningkatkan pemahaman dan ketelusan terhadap kaedah penilaian yang dibuat. Langkah ini bertujuan mendorong sekolah untuk mencapai prestasi yang lebih baik dan membolehkan KPM menyalurkan sumber kepada sekolah yang amat memerlukan sokongan; dan

• Pelan dan Instrumen Penambahbaikan Sekolah: Pelan dan Instrumen Penambahbaikan Sekolah akan dilaksana di semua sekolah awam sebagai alat sokongan untuk membantu sekolah membuat penambahbaikan. Instrumen ini akan memberi gambaran menyeluruh kepada guru besar dan pengetua tentang prestasi sekolah masing-masing untuk menentukan isu yang perlu ditangani mengikut keutamaan serta menyediakan pelan tindakan selanjutnya. Sekolah akan merangka pelan penambahbaikan sebagai asas bagi memantau kemajuan dan membantu KPM menyediakan sokongan yang sesuai untuk menjayakan
pelan tersebut.

Infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, sanitasi dan alat bantuan mengajar adalah asas kepada peningkatan prestasi pelajar. Kerajaan komited bagi menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas ini kepada semua sekolah. Sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah, Kerajaan akan terus memberi fokus kepada penyediaan kemudahan dan infrastruktur di sekolah yang amat memerlukan sokongan, khususnya sekolah di luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Peningkatan Prestasi Sekolah melalui Program Sekolah Berprestasi Tinggi

Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrif sebagai sekolah yang mempunyai etos dan identiti unik yang boleh mendorong pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai budaya kerja yang kukuh dan sentiasa berusaha ke arah mencapai kemajuan berterusan di samping mempunyai jaringan antarabangsa yang kukuh. SBT akan berusaha meningkatkan piawaian sekolah setaraf dengan sekolah terbaik di dunia dan menjadi model kepada sekolah lain serta memberi sokongan melalui rangkaian bimbingan dan latihan. Sejumlah 100 SBT akan dibangunkan menjelang 2012 dengan peruntukan sebanyak RM140 juta. Sebanyak 20 SBT telah dikenal pasti seperti ditunjukkan dalam Carta 5-5. Sekolah ini diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka yang tekal. Sekolah ini terdiri daripada pelbagai kategori termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

Membuat Pelaburan ke atas Pemimpin Unggul di Setiap Sekolah

Sistem sekolah berprestasi tinggi memanfaatkan guru besar dan pengetua sebagai penjana perubahan melalui proses pemilihan ketat dan latihan intensif untuk mereka, dan seterusnya memastikan mereka memainkan peranan sebagai pemimpin instruksional yang berkesan. Peningkatan pencapaian guru besar dan pengetua mempunyai kesan positif yang signifikan ke atas pencapaian pelajar. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam merancang, menyelaras dan memantau pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru besar dan pengetua juga memastikan suasana pembelajaran yang kondusif dengan mengurangkan tekanan dan gangguan luaran, serta mewujudkan persekitaran yang teratur di dalam dan di luar bilik darjah.

Memperkenal Bai’ah atau Tawaran Baru bagi Guru Besar dan Pengetua Sekolah

Pendekatan baru dalam pengurusan pencapaian (Tawaran Baru) untuk guru besar dan pengetua yang dimulakan pada 2010 akan memberi ganjaran kewangan dan bukan kewangan bagi mereka yang berprestasi cemerlang. Tawaran Baru ini adalah terpakai kepada semua guru besar dan pengetua di semua sekolah awam di Malaysia. Pencapaian semua sekolah akan dinilai dan ditaraf mengikut prestasi tahunan berdasarkan kepada markah komposit. Seperti ditunjukkan dalam Carta 5-6, markah komposit ini terdiri daripada Gred Purata Sekolah berasaskan prestasi sekolah dalam peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan dan prestasi pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum.

Sebanyak 2% guru besar dan pengetua dianggarkan layak menerima ganjaran di bawah program ini pada tahun 2010, dan disasarkan sebanyak 5% pada tahun 2012. Mereka akan diberi ganjaran sekiranya mencapai markah komposit yang telah ditetapkan atau menambah baik pencapaian sekolah. Program ini memberi peluang kepada guru besar dan pengetua untuk menerima ganjaran tanpa mengambil kira prestasi awal sekolah mereka, asalkan sekolah berkenaan menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam senarai penarafan prestasi. Di samping itu, dianggarkan 10% guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka. Peruntukan sebanyak RM160 juta akan disediakan untuk program ini dalam tempoh 2010-2012.

Peningkatan Sokongan dan Bimbingan kepada Guru Besar dan Pengetua

Kepimpinan sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan peningkatan prestasi pelajar. Kerajaan menyedari pemimpin adalah kritikal dalam membuat perubahan, oleh itu akan terus mengukuhkan latihan kepimpinan serta memberikan dorongan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi. Institut Aminuddin Baki (IAB) adalah institut latihan kepimpinan asas untuk warga pendidik termasuk pengetua, pentadbir dan pegawai pendidikan. IAB menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 14,000 orang pemimpin sekolah dan pegawai pendidikan setiap tahun dalam tempoh Rancangan berbanding dengan 8,000 orang pada tahun 2009.

Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital. Selain daripada latihan, IAB akan menyediakan perkhidmatan konsultasi dan bimbingan kepada pemimpin sekolah untuk meningkatkan prestasi. Selaras dengan Program Pembangunan Prestasi Sekolah, pakar pembimbing pengetua akan menyediakan bimbingan kepimpinan tambahan dan sokongan kepada sekolah berprestasi rendah.

Meningkatkan Daya Tarikan Keguruan dan Menghasilkan Guru Terbaik

Kualiti guru merupakan penentu utama kepada prestasi pelajar seperti ditunjukkan dalam Carta 5-7. Pengalaman daripada sistem sekolah berprestasi tinggi global menunjukkan bahawa prestasi pelajar akan hanya boleh ditingkatkan dengan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sistem sekolah berprestasi tinggi berupaya menarik dan menerima hanya calon terbaik sebagai guru, meningkatkan prestasi mereka secara berterusan serta memupuk budaya berprestasi tinggi di sekolah. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan mengambil pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan kualiti guru baru serta menambah baik kualiti dan profesionalisme guru sedia ada.

Mempertingkatkan Kualiti Guru Baru Secara Signifikan

Setiap tahun, KPM menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru. Daripada permohonan kemasukan ke program latihan perguruan di IPG pada tahun 2010, hanya 7% mendapat 7A dan ke atas dalam SPM. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pula, hanya 3% pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang.

Profesion keguruan di Australia atau Singapura sentiasa menjadi pilihan utama siswazah. Di Republik Korea dan Finland pula, kelayakan untuk memohon program latihan perguruan hanya terhad kepada 10% dan 15% siswazah terbaik daripada setiap kohort. Syarat kemasukan yang ketat membantu meningkatkan imej profesion keguruan sebagai profesion yang hanya menerima calon terbaik.


Kotak 5-3

Program ‘Teach for Malaysia’: Kempen untuk menarik pelajar cemerlang

‘Teach for All’ adalah enterpris sosial berangkaian global yang beroperasi di beberapa negara yang merekrut siswazah cemerlang dari universiti terkemuka dan pemimpin muda daripada pelbagai disiplin dan kecenderungan kerjaya untuk berbakti sebagai guru selama dua tahun di kawasan mundur. Program ini akan dapat menyediakan lebih ramai guru kepada pelajar yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang rendah mendapat peluang pendidikan yang sepatutnya. Kini, program ‘Teach for America’ telah berkembang dan disertai oleh lebih daripada 20,000 peserta. Rangkaian ‘Teach for All’ juga meliputi pelbagai negara seperti India, Australia, United Kingdom, Jerman dan Peru. Malaysia bercadang untuk melancarkan program ‘Teach for Malaysia’ yang berprofifil tinggi untuk menarik siswazah cemerlang dan terbaik mengajar di sekolah yang berprestasi rendah atau di luar bandar selama dua tahun. Siswazah cemerlang di bawah tajaan korporat akan digalakkan untuk menyertai program ini, sebelum berkhidmat dengan majikan mereka. Peserta akan ditempatkan di sekolah berprestasi rendah memandangkan sekolah ini amat memerlukan motivasi, inspirasi dan guru yang berkualiti tinggi.

Peserta akan menyertai program latihan intensif menggunakan kaedah pengajaran terkini. Mereka juga akan diberi bimbingan dan sokongan secara berterusan daripada rakan sejawat. Di samping itu, pendedahan kepada latihan pembangunan kepimpinan akan diberi melalui latihan pengurusan dan peluasan jaringan dengan syarikat korporat terkemuka. Selepas dua tahun berbakti, peserta akan memahami dengan mendalam isu utama pendidikan di Malaysia, dan diharap dapat membawa perubahan sama ada dari dalam atau luar sistem pendidikan.

Menjadikan Profesion Keguruan Pilihan Utama

Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Kerajaan akan menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya pilihan dengan menekankan empat perkara berikut:

• Ganjaran kewangan: Profesion ini sebenarnya merupakan antara profesion awam yang menyediakan gaji permulaan yang tinggi;

• Pembangunan kerjaya: Melalui Tawaran Baru untuk guru, prospek kerjaya guru akan menjadi lebih menarik dengan peluang pembangunan profesionalisme yang lebih luas selain daripada peluang kenaikan pangkat yang lebih cepat kepada guru yang cemerlang;

• Berprestij: Sebagai kerjaya elit, profesion keguruan akan menggunakan kriteria pemilihan dan proses penilaian yang ketat.
Hanya calon cemerlang akan diterima dalam profesion ini; dan

• Pembangunan nusa bangsa: Profesion keguruan bertanggungjawab membentuk generasi pemimpin masa depan dan penting dalam membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Pengukuhan Latihan Perguruan Melalui Latihan Praktikum

Pengalaman praktikum merupakan elemen penting dalam latihan perguruan kerana dapat memberi pengalaman pengajaran dan pembelajaran sebenar di bilik darjah. Dalam sistem persekolahan terbaik seperti di Finland dan New Zealand, latihan dan pengalaman praktikum guru pelatih, dari segi kualiti dan kuantiti, sentiasa dipertingkatkan. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum, dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih.

Dalam tempoh Rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan melalui langkah berikut:

• Kursus Perguruan Lepasan Ijazah akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih;

• Jabatan Pelajaran Negeri akan menyelaras penempatan guru pelatih di sekolah yang layak melaksanakan program ini dan memantau pematuhan oleh guru pembimbing;

• Guru berpengalaman akan diberikan kursus pembimbing untuk meningkatkan kebolehan membimbing mereka; dan

• Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing.

Penghapusan Jaminan Penempatan Guru Pelatih

Pada masa ini, guru pelatih IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh Rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan
jawatan guru. Penghapusan jaminan pelantikan ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru baru.

Peralihan kepada ‘Sistem Terbuka’ dalam Latihan Guru

Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Langkah ini akan
meliberalisasikan sistem latihan guru dan beralih kepada ‘sistem terbuka’ bagi menambah sumber guru terlatih. Dengan pertambahan ini, lebih ramai guru pelatih yang cemerlang dapat dilantik sebagai guru di sekolah rendah dan menengah. Pendekatan ini akan meningkatkan persaingan di kalangan guru pelatih dan menambah baik kualiti sistem pendidikan secara keseluruhan.

Tawaran Baru untuk Semua Guru bagi Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan

Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan melancar dan melaksanakan Tawaran Baru yang menyeluruh kepada semua guru bagi menjadikan profesion keguruan lebih menarik serta meningkatkan profil dan profesionalisme kerjaya ini. Di samping itu, Kerajaan akan meningkatkan guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Tawaran Baru ini mengandungi tiga elemen:

• Peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi;

• Meningkatkan pembangunan profesional berterusan (CPD) secara sistematik kepada semua guru; dan

• Kaedah pengurusan prestasi baru yang lebih mantap.

Kemajuan Kerjaya Lebih Cepat Berasaskan Kompetensi

Kemajuan kerjaya yang perlahan merupakan antara sebab utama siswazah di Malaysia tidak memilih kerjaya perguruan. Sepanjang 30 tahun perkhidmatan, kebanyakan guru menikmati hanya satu atau dua kali kenaikan pangkat sahaja. Mengikut dasar kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan, pada kebiasaannya guru mengambil masa selama 10 tahun untuk dinaikkan daripada gred permulaan ke gred jawatan yang seterusnya.
 
Kemajuan kerjaya yang cepat untuk guru berprestasi tinggi adalah penentu untuk menjadikan profesion keguruan lebih menarik terutama kepada calon guru yang berpotensi tinggi. Pendekatan ini juga membolehkan lebih ramai guru berpeluang mencapai gred yang lebih tinggi dalam masa yang singkat dan dengan ini boleh membimbing guru baru lebih awal.

Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Pembangunan Profesional yang Berterusan yang Bersesuaian bagi Menyokong Pembangunan Keupayaan dan Kemajuan Kerjaya

Latihan yang berfokus kepada bidang tugas baru berdasarkan kenaikan pangkat dan memberi penambahbaikan kepada kebolehan pengajaran akan memberi faedah kepada guru. Pada masa ni, tiada pendekatan yang sistematik berkaitan CPD dalam sistem pendidikan. Pendekatan CPD yang menyeluruh akan dilaksana pada tahun 2011 dan mengandungi elemen berikut:

• Modul CPD yang bersesuaian mengikut keperluan dirangka untuk setiap gred jawatan bagi melengkapkan guru dengan peranan baru selepas kenaikan pangkat;

• Modul ini memberi lebih fokus kepada peluang pembelajaran di sekolah; dan

• Pelbagai modul CPD seperti kursus latihan formal, pengajian pasca siswazah, pengajian jarak jauh dan aktiviti bimbingan akan membolehkan guru membuat pilihan terbaik untuk pembangunan kerjaya mereka tanpa mengganggu pengajaran dan pembelajaran.

Pelaksanaan Instrumen dan Proses Baru untuk Penilaian dan Penaksiran Guru

Kaedah penilaian semasa ke atas guru adalah sama dengan penilaian penjawat awam yang lain. Kaedah ini tidak mengambil kira prestasi pelajar, keupayaan sebenar pengajaran atau kecekapan utama yang diperlukan dalam profesion keguruan. Skor penilaian untuk guru akan menjadi lebih bermakna sekiranya ia dapat mengukur prestasi sebenar guru, kurang subjektif dan berasaskan bukti.

Satu pendekatan baru yang selari dengan amalan di sekolah berprestasi tinggi akan dilaksana pada tahun 2011 untuk memastikan penilaian dibuat secara tekal, objektif dan dapat memupuk budaya cemerlang di sekolah. Pendekatan ini akan mengandungi instrumen baru bagi menilai guru yang menggunakan kombinasi berwajaran beberapa aspek utama seperti penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran, nilai profesional, aktiviti di luar kelas dan sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.

Transformasi Keberkesanan Penyampaian

Sistem penyampaian yang cekap dan berkesan sangat diperlukan untuk meningkatkan prestasi pelajar. Pendekatan yang lebih inovatif akan diguna pakai untuk memastikan penyampaian dilaksanakan dengan efektif.

Pengukuhan Penyampaian Perkhidmatan untuk Menyokong Kemajuan Sekolah

Penambahbaikan mekanisme penyampaian kepada sekolah memerlukan perubahan dalam proses kritikal yang memberi kesan secara langsung terhadap sekolah seperti penempatan guru, pengurusan prestasi sekolah dan juga peranan Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Untuk memastikan perkhidmatan disampaikan secara optimum, KPM akan melaksana ‘Service Line’ iaitu perkhidmatan khusus untuk membantu sekolah yang amat memerlukan, antaranya bimbingan, bina upaya dan kemudahan peralatan yang sewajarnya. Di peringkat prasekolah, Kerajaan akan terus mengharmoni dan menambahbaik kualiti semua prasekolah awam yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan. Pendekatan ini memerlukan peningkatan produktiviti sumber manusia dan kewangan, serta pengukuhan kemampuan penyampaian.

Pelaksanaan Kurikulum Baru untuk Memupuk Kreativiti dan Inovasi

Dalam tempoh Rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri, memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang dapat menyerlahkan potensi mereka. Kurikulum ini juga akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.

Penerapan nilai dan etika di peringkat awal amat penting dalam pembinaan sahsiah individu. Kurikulum yang bakal diperkenalkan akan menerapkan prinsip 1Malaysia bagi pendekatan pedagogi dalam penyampaian pendidikan. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan Sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar ‘1Murid, 1Sukan’ mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah. Peruntukan untuk geran sukan bagi setiap pelajar akan dinaikkan daripada RM2.40 kepada RM4 bagi sekolah rendah dan daripada RM4 kepada RM6 bagi sekolah menengah.

Pendidikan Asas dan Prasekolah Swasta

Pendidikan yang ditawarkan oleh sektor swasta semakin diterima oleh Kerajaan dan orang ramai. Sehubungan ini, pihak swasta akan digalak untuk menyediakan pendidikan di semua peringkat bermula daripada prasekolah sehingga pendidikan tertiari. Kerajaan akan melaksana pelbagai kaedah perkongsian awamswasta seperti dalam pengurusan sekolah dan pembiayaan yuran pelajar.

Perkongsian Awam-Swasta dalam Pembangunan Prasekolah

Kerajaan akan memanfaatkan penyediaan pendidikan prasekolah oleh sektor swasta untuk menampung kemudahan yang disediakan oleh agensi Kerajaan. Insentif akan disediakan kepada pengusaha swasta bagi mempercepatkan penyediaan prasekolah untuk mencapai objektif meningkatkan enrolmen pelajar di peringkat ini. Insentif ini akan membolehkan pihak swasta mendapatkan geran bagi pembinaan prasekolah di kawasan yang kurang membangun di luar bandar. Sektor swasta dijangka akan membina 488 buah prasekolah pada tahun 2010, sebanyak 1,000 buah pada tahun 2011 dan 1,145 buah pada tahun 2012.

Skim pembiayaan bersama bagi meningkatkan permintaan terhadap pendidikan prasekolah akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan. Usaha ini juga boleh membantu isi rumah berpendapatan rendah mengurangkan bebanan pembiayaan pendidikan prasekolah. Bantuan sehingga RM150 sebulan diberikan kepada mereka untuk pendidikan kanak-kanak berumur 4+ dan 5+ tahun di prasekolah swasta.

Perkongsian Awam-Swasta dalam Pendidikan Asas

Perkongsian awam-swasta dalam pendidikan asas memberi autonomi signifikan kepada pengendali sekolah, sebagai tukaran kepada penambahbaikan yang spesifik dalam prestasi pelajar sebagaimana dipersetujui dalam kontrak rasmi. Sebagai contoh, charter school di Amerika Syarikat, specialist school dan academy school di United Kingdom dan independent school di Sweden. Model serupa juga telah diguna pakai di sekolah persendirian Cina di Malaysia. Kerajaan akan memperkenalkan rangka kerja Sekolah Amanah kepada sekolah awam yang terpilih. Sekolah Amanah adalah sekolah awam yang ditadbir bersama oleh pihak swasta dan pemimpin sekolah awam.

Kotak 5-4

Sekolah Amanah: Perkongsian awam-swasta dalam pendidikan untuk merapat jurang prestasi

Sekolah Amanah adalah sekolah awam yang diurus secara bersama di antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan, di bawah kawal selia Kementerian Pelajaran. Sekolah Amanah akan diberi lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. Sekolah Amanah bermatlamat untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa: daripada sederhana kepada baik, baik kepada lebih baik. Sekolah Amanah akan dipilih daripada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sedia ada di seluruh negara (contohnya, rendah dan menengah, bandar, pinggir bandar dan luar bandar). Sekolah yang dipilih merangkumi sekolah berprestasi rendah, sederhana dan cemerlang dengan harapan untuk meningkatkan prestasi di semua peringkat. Sekolah Amanah bertujuan untuk mempercepatkan proses penambahbaikan dalam melahirkan pelajar dan sekolah yang cemerlang tanpa mengira tahap permulaan.

Sekolah Amanah akan mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalak inovasi dan menjadi lebih responsif terhadap keperluan komuniti sekolah. Autonomi yang diberi merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi, dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru. Sekolah Amanah dikehendaki mencapai prestasi yang telah ditetapkan dalam tempoh lima tahun. Pihak Kementerian akan mengambil alih pengurusan dari penaja sekiranya sekolah gagal mencapai prestasi yang ditetapkan.

MENINGKATKAN KEMAHIRAN RAKYAT MALAYSIA UNTUK MELUASKAN KEBOLEHPASARAN

Dalam beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah membuat pelaburan yang besar dalam pendidikan lepasan menengah dan tertiari. Pada masa kini, Malaysia telah menubuhkan 20 universiti awam dan 26 universiti swasta serta 405 institusi latihan kemahiran awam dan 584 institusi latihan kemahiran swasta. Pada tahun 2009, institusi pendidikan tinggi dalam negara telah mengeluarkan lebih daripada 181,000 siswazah. Daripada jumlah ini, lebih daripada 81,000 siswazah adalah lepasan institusi pendidikan tinggi swasta. Institusi latihan kemahiran pula mengeluarkan lebih daripada 120,000 pelatih pada tahun 2009. Seramai 30,000 pelatih adalah daripada institusi latihan kemahiran swasta.

Pada masa kini, hanya 23% sahaja daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia mempunyai pendidikan tertiari berbanding dengan kadar purata bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), iaitu hampir 28% dan mencecah 35% di Singapura dan Finland. Pada tahun 2009, sebanyak 27% daripada siswazah institusi pengajian tinggi tempatan masih menganggur dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian. Bagi yang berjaya mendapat pekerjaan pula, 29% daripada mereka pada tahun 2006 dan 33% pada tahun 2009 hanya memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Majikan dan persatuan industri sering mengaitkan kekurangan soft skills seperti etika kerja yang positif, kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kebolehan membuat keputusan serta kepimpinan sebagai faktor utama yang menjejaskan kebolehpasaran siswazah Malaysia. Memandangkan terdapat jurang yang besar antara tahap kompetensi siswazah Malaysia dengan piawaian antarabangsa, isu ini perlu ditangani bagi memastikan negara mempunyai siswazah yang berkemahiran, serba boleh dan kebolehpasaran yang tinggi.

Pada masa yang sama, dianggarkan seramai 100,000 atau 22% pelajar Malaysia memasuki pasaran pekerjaan sebaik sahaja menamatkan 11 tahun persekolahan, iaitu dengan hanya memiliki kelayakan SPM. Kumpulan pelajar ini mungkin lebih cenderung kepada kemahiran teknikal, oleh itu mempunyai peluang yang besar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknikal.

Malaysia perlu memesatkan pembangunan modal insan bertaraf dunia bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi. Justeru, peningkatan kemahiran secara radikal perlu dilaksana bagi meningkatkan kebolehpasaran dengan memberi tumpuan kepada strategi berikut:

• Mengarusperdanakan dan memperluas akses kepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang berkualiti; dan

• Meningkatkan kompetensi siswazah sebagai persediaan untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Mengarusperdanakan dan Memperluas Akses kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional yang Berkualiti

Malaysia berhasrat meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Oleh itu, enrolmen dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) perlu ditambah dan kualiti latihan secara keseluruhan dipertingkatkan untuk meningkatkan dengan ketara tahap kemahiran tenaga kerja. TEVT bertujuan menambah bekalan modal insan berkemahiran di Malaysia melalui penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dan keupayaan dalam bidang teknikal dan vokasional. TEVT menjurus kepada penyediaan kemahiran yang boleh digunakan dengan segera dalam pasaran pekerjaan.
 
TEVT menjadi pilihan pendidikan perdana di kebanyakan negara maju. Model binari atau dwi-laluan pendidikan yang fleksibel diguna pakai di kebanyakan negara berpendapatan tinggi. Model ini membolehkan pelajar menukar aliran antara akademik dengan teknikal atau vokasional yang mempunyai prospek kerjaya yang setara. Kadar purata enrolmen pelajar yang memasuki aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara OECD adalah 44%, berbanding hanya 10% di Malaysia. Penambahbaikan peluang, akses dan kualiti TEVT untuk laluan teknikal adalah sama penting dengan penambahbaikan laluan akademik pendidikan tertiari.

Pendekatan dwi-laluan pendidikan yang sedang diusahakan akan memberi peluang kepada pelajar untuk menukar aliran antara TEVT dengan akademik seperti yang ditunjukkan dalam Carta 5-8. Carta ini juga menunjukkan pelbagai komponen dalam TEVT serta pilihan laluan daripada TEVT kepada akademik dan sebaliknya. Pendidikan TEVT di peringkat sekolah menengah mempunyai dua aliran utama, iaitu teknikal dan vokasional. Aliran teknikal mempunyai lebih banyak komponen akademik, manakala aliran vokasional mempunyai lebih banyak komponen hands-on.

Kemahiran TEVT memberi manfaat secara langsung kepada majikan, pekerja serta sektor industri yang berkaitan. Faedah yang diperoleh bergantung kepada gabungan kemahiran pekerja. Oleh itu, kos berkaitan TEVT perlu dibiayai bersama antara Kerajaan, majikan, industri dan pelajar berdasarkan kepada faedah yang diperoleh.

Dalam tempoh Rancangan, empat strategi berikut akan diguna pakai untuk mengarusperdanakan dan memperluas akses kepada TEVT yang berkualiti:

• Menambah baik persepsi terhadap TEVT dan menarik minat lebih ramai pelajar;

• Membangunkan tenaga pengajar TEVT yang lebih efektif;

• Mempertingkat dan mengharmonikan kualiti kurikulum TEVT selaras dengan keperluan industri; dan

• Memperkemas penyampaian TEVT.

Menambah Baik Persepsi Terhadap TEVT dan Menarik Minat Lebih Ramai Pelajar

Terdapat banyak peluang untuk penyedia TEVT awam dan swasta menarik lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pengajian untuk mengikuti latihan TEVT dan meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran dalam pasaran pekerjaan. Bagi tujuan ini, penekanan akan diberi untuk meningkatkan nilai dan daya tarikan TEVT kepada pelajar, penyedia latihan dan industri. Dalam tempoh Rancangan, kempen media di peringkat nasional akan dilaksana secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan menambah baik persepsi terhadap TEVT. Kumpulan sasar utama adalah pelajar yang berpotensi dan ibu bapa mereka. Kempen akan memberi penekanan terhadap manfaat memasuki pasaran pekerjaan dengan kelayakan TEVT, seperti gaji permulaan, jenis pekerjaan dan laluan kerjaya serta pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk lebih banyak jawatan dalam sektor awam. Pelbagai saluran penyampaian seperti televisyen, radio, majalah dan selebriti akan diguna untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada kumpulan sasar.

Kaunselor di sekolah akan diberi tanggungjawab untuk membimbing dalam tempoh yang panjang bagi membantu pelajar, bermula daripada tingkatan 4 berterusan sehingga pelajar berkenaan memasuki pendidikan tertiari. Langkah ini adalah untuk memastikan lebih ramai pelajar meneruskan pelajaran ke peringkat tertiari. Bagi meningkatkan keberkesanan bimbingan, kumpulan kaunseling yang terdiri daripada kaunselor sekolah akan dibentuk di setiap daerah. Kumpulan kaunseling ini akan bertanggungjawab untuk menjalinkan hubungan yang erat dengan institusi TEVT dan majikan, serta meningkatkan penyelarasan antara pihak berkepentingan melalui pertukaran maklumat. Kumpulan ini juga akan bertanggungjawab untuk menyediakan panduan kerjaya yang komprehensif kepada pelajar dan ibu bapa mereka khususnya mengenai pelbagai pilihan dalam TEVT.

Aliran vokasional dan kemahiran di sekolah teknik akan dijenamakan semula bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar berkecenderungan teknikal dan meningkatkan kesedaran berkaitan TEVT. Bagi memberi tumpuan yang lebih tinggi kepada bidang vokasional yang lebih menitik beratkan kepada latihan hands-on dan menyediakan lebih banyak kursus yang sesuai, sebanyak 69 daripada 88 sekolah teknik akan ditukar menjadi sekolah vokasional dan enam sekolah vokasional baru akan dibina menjelang tahun 2015.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengeluaran dan berasaskan projek akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti dan daya tarikan program TEVT kepada majikan dan pelajar. Pendekatan ini akan menggalakkan penyertaan industri secara langsung dalam program latihan kemahiran, di samping mengoptimumkan penggunaan kemudahan dan peralatan di institusi TEVT. Pendekatan ini akan menggandakan enrolmen di sekolah menengah aliran vokasional dan kemahiran pada akhir tempoh Rancangan yang mana enrolmen semasa adalah seramai 32,000 pelajar. Peningkatan ini akan memberi sumbangan yang ketara dalam menambah bilangan pekerja mahir dan separa mahir. Kerajaan akan menggalakkan syarikat berkaitan Kerajaan menyediakan program sangkutan industri dan pekerjaan kepada pelajar lepasan institusi TEVT.

Membangunkan Tenaga Pengajar TEVT yang Lebih Efektif

Laluan kemajuan kerjaya tenaga pengajar TEVT akan diperkemas untuk menjadikannya sebagai kerjaya pilihan yang menarik kepada tenaga pengajar yang berprestasi tinggi. Tenaga pengajar yang memenuhi syarat kompetensi yang jelas di setiap gred boleh dinaikkan pangkat tanpa bergantung kepada kekosongan jawatan.

Personel industri yang berpengalaman tinggi dan mempunyai kemahiran praktikal di tempat kerja akan digalak menjadi tenaga pengajar di institusi TEVT. Untuk memudahkan pengambilan ini, laluan kemasukan ke profesion tenaga pengajar vokasional yang fleksibel akan diwujudkan, dan syarat yang menyukarkan kemasukan di peringkat pertengahan akan dihapuskan. Langkah ini akan meningkatkan kapasiti latihan dan membantu untuk memastikan tenaga pengajar mempunyai pengalaman di tempat kerja.


Kotak 5-5

Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) di Jerman: Peningkatan kemahiran tenaga kerja di negara
ekonomi terbesar di Eropah

Sistem TEVT dianggap satu daripada kekuatan utama sistem pendidikan di Jerman yang mana sebanyak 60-70% daripada pelajar (lebih daripada 1.6 juta) memasuki sekolah vokasional. Latihan ini menyediakan banyak program latihan merangkumi hampir 340 pekerjaan dan sangat popular dalam kalangan lepasan sekolah di Jerman. Sistem latihan ini sangat berjaya dengan kadar pengangguran siswazah dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian adalah rendah, iaitu 3%.

Pendidikan vokasional yang paling banyak dilaksanakan adalah sistem latihan perantisan. Perantis dilatih oleh majikan dalam bidang pekerjaan yang akan diceburi (3-4 hari seminggu) dan mendapat pendidikan teori di sekolah vokasional (1-2 hari seminggu). Di samping memperoleh kelayakan yang diiktiraf (sijil dikeluarkan oleh dewan perniagaan) apabila tamat pengajian, perantis juga mendapat gaji daripada majikan. Melalui sistem ini, pelajar terlibat dalam pekerjaan bergaji dan menerima latihan yang diiktiraf selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan. Peratus pekerja tidak mahir dan pengganguran dalam kalangan belia di Jerman adalah rendah.

Sektor swasta (menyediakan lebih kurang 80% pembiayaan) dan sektor awam terlibat dalam pembiayaan dan penyampaian TEVT. Di samping penyediaan dan pembiayaan latihan, sektor swasta terlibat dalam penambahbaikan kurikulum latihan, pindaan peraturan latihan, khidmat nasihat dan penyeliaan latihan serta urusan pentadbiran peperiksaan. Pada masa yang sama, kerajaan terlibat dalam menggubal peraturan latihan, menetapkan kurikulum dan membiayai tenaga pengajar di sekolah vokasional. Kerajaan juga memainkan peranan yang sangat aktif dalam penyelarasan penawaran dan bilangan tempat TEVT.

Penambahan bilangan tenaga pengajar yang cemerlang akan dilaksanakan melalui peluasan program tenaga pengajar sambilan. Langkah ini akan menarik mereka yang berminat untuk menjadi tenaga pengajar di samping terus kekal bekerja di industri. Tenaga pengajar yang memiliki pengetahuan terkini tentang teknologi dan perkembangan industri akan memberi latihan yang paling relevan dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran pelatih.

Kerjasama antara institusi TEVT dengan industri dalam pertukaran personel akan diperkukuhkan bagi membolehkan tenaga pengajar vokasional menjalani program penempatan di industri bagi mendapat pendedahan dan pengetahuan teknologi terkini. Pada masa yang sama, tenaga pengajar vokasional dari industri ditempatkan di institusi TEVT bagi memperkukuh kemahiran pedagogi mereka. Bagi memperkukuh penyampaian latihan dan meningkatkan pengambilan tenaga pengajar, kapasiti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan akan dipertingkatkan dengan menggunakan metodologi dan pendekatan latihan yang baru. Sebuah pusat latihan tenaga pengajar yang baru akan dibangunkan bagi menambah kapasiti latihan sebanyak 800 setiap tahun. Selain daripada itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan menyelaras program latihan pengajar di institusi latihan kemahiran awam yang lain.

Mempertingkat dan Mengharmonikan Kualiti Kurikulum TEVT Selaras dengan Keperluan Industri

Pembangunan kurikulum TEVT dilaksana oleh setiap agensi penyedia latihan dengan keupayaan, kapasiti dan agenda tersendiri. Amalan ini menjejaskan kualiti penyampaian TEVT. Langkah akan diambil bagi menyeragam dan mengharmonikan kurikulum, mengurangkan kos pembangunan kurikulum, dan memastikan kurikulum selaras dengan keperluan terkini industri. Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dilantik sebagai agensi untuk membangun dan menyeragamkan kurikulum TEVT mulai tahun 2011.

Jabatan Pembangunan Kemahiran akan memastikan kurikulum yang dibangunkan memenuhi piawaian minimum dan selaras dengan bidang ekonomi yang diberi keutamaan. Kurikulum TEVT akan mengandungi komponen kemahiran asas berkaitan dengan literasi dan numerasi serta penguasaan pelbagai bahasa. Kemahiran asas ini penting sebagai sokongan kepada kemahiran praktikal serta pembinaan kemahiran dan keupayaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suasana kerja. Di samping itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan membangun bank kurikulum untuk menyimpan semua kurikulum yang dibangunkan.

Agensi penyedia TEVT mengeluarkan sijil tersendiri dan sijil TEVT ini belum diiktiraf sepenuhnya sebagai sijil yang melayakkan calon memasuki institusi pengajian tinggi. Penerimaan sijil TEVT dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan majikan dapat diperluas dengan menghapuskan keraguan terhadap kualiti latihan yang diberikan oleh pelbagai agensi. Pada masa ini, SKM, Diploma Teknologi dan Sarjana Muda Teknologi tidak diiktiraf sepenuhnya oleh institusi pengajian tinggi dan Lembaga Jurutera Malaysia. Untuk penyeragaman dan pengiktirafan persijilan TEVT, SKM akan diguna pakai sebagai persijilan kebangsaan bagi TEVT. Langkah berikut akan diambil bagi memperkukuh pengiktirafan sijil TEVT:

• Mengiktiraf dan menyeragam pelbagai tahap SKM dengan kesemua sijil yang dikeluarkan oleh penyedia TEVT menjelang tahun 2012;

• Mewajibkan pekerja dalam pekerjaan terpilih memiliki SKM atau sijil yang setaraf. Syarat ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2012; dan

• Memperluas penerimaan SKM sebagai syarat kelayakan masuk ke dalam skim perkhidmatan awam, dan ke institusi teknikal dan vokasional di peringkat tinggi dan ke institusi pengajian tinggi menjelang tahun 2011.

Lembaga Teknologis Malaysia akan ditubuh untuk mempercepat pengiktirafan sijil berkaitan kemahiran dan teknologi. Pengiktirafan ini akan menggalakkan institusi pengajian tinggi termasuk institusi TEVT menawarkan kursus berkaitan teknologi selaras dengan keperluan ekonomi berpendapatan tinggi.

Selaras dengan hasrat untuk membangunkan pendidikan teknikal dan keperluan industri, Malaysia-Japan International Institute of Technology akan ditubuh sebagai institusi berautonomi di bawah Universiti Teknologi Malaysia dengan matlamat memperkukuh kerjasama dan rangkaian dengan Jepun dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. Institut ini berupaya memberi pendedahan kepada pelajar dan meningkatkan keberkesanan kos dalam menyediakan latihan tentang pembangunan teknologi terkini di tempat kerja, etika kerja dan amalan pengurusan Jepun.

Pada masa ini, terdapat keperluan untuk mengurangkan pertindihan kursus yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan bagi mengoptimumkan penggunaan kapasiti TEVT dan mengelak pembaziran sumber. Dalam tempoh Rancangan, perkara ini akan diberi perhatian memandangkan kadar enrolmen di institusi TEVT dijangka akan meningkat. Institusi TEVT akan mengkaji semula, merasionalisasi dan memperkemas penyelarasan kursus menjelang akhir tahun 2011.

Memperkemas Penyampaian TEVT

Kaedah pembiayaan semasa akan dikaji semula untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan institusi TEVT awam. Bagi menggalakkan persaingan dalam kalangan institusi TEVT awam, penyediaan peruntukan akan berdasarkan kepada prestasi institusi. Kerajaan juga akan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar di peringkat SKM Tahap 3 dan ke atas di institusi TEVT awam yang berprestasi tinggi. Bagi mencapai matlamat ini, sistem penarafan untuk menilai prestasi institusi awam dan swasta akan diperkenalkan.

Pencapaian dalam sistem penarafan institusi TEVT akan menjadi asas kepada Kerajaan untuk membiayai pelatih di institusi TEVT swasta. Pendekatan ini akan dipertingkat dan diperluas dalam tempoh Rancangan bagi mengoptimumkan penggunaan kapasiti latihan di institusi TEVT awam dan swasta.

Pelajar tercicir adalah sumber tenaga kerja yang besar dan berpotensi untuk diberi latihan kemahiran. Jika diberi latihan dan dilengkapkan dengan kemahiran yang tepat, mereka akan meningkatkan dengan ketara bilangan pekerja mahir. Pada tahun 2007, seramai 20,000 pelajar tercicir daripada sistem pendidikan asas dan jumlah ini meningkat kepada 30,000 orang pada tahun 2008. Liputan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) akan diperluaskan bagi menyediakan latihan yang khusus untuk memenuhi keperluan golongan ini. Peruntukan tambahan juga akan disediakan bagi membiayai kos latihan dan elaun perantisan. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak RM150 juta akan diperuntukkan dan seramai 20,000 pelajar tercicir akan mendapat manfaat.

SLDN menekankan penglibatan langsung industri dalam latihan dan menetapkan 70% daripada latihan perlu dijalankan di tempat kerja. Dalam tempoh Rancangan, latihan di tempat kerja akan digalak dan dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan formal TEVT, kerana latihan ini menyediakan:

• Persekitaran pembelajaran yang kondusif. Tempat kerja mewujudkan persekitaran pembelajaran yang baik melalui pengalaman sebenar. Kemahiran praktikal dan soft skills yang diperoleh akan meningkatkan kebolehpasaran;

• Aliran maklumat untuk meningkatkan kecekapan pengambilan pekerja. Majikan mengetahui perkembangan prestasi pelatih dan perantis, justeru memudahkan mereka membuat keputusan menggaji pekerja; dan

• Sumbangan produktif. Pelatih menjalankan tugasan yang memberi manfaat kepada majikan, ini menjadikan TEVT berfaedah
kepada pelatih dan majikan.

Melalui SLDN, pekerja industri yang berpengalaman akan diberi peranan sebagai pembimbing kepada perantis. Bagi mencapai
tujuan ini, pembimbing mesti cukup terlatih untuk memberi latihan yang berkesan di tempat kerja. Tenaga pengajar di institusi TEVT pula
perlu mempunyai kemahiran tinggi untuk melatih pembimbing. Sebanyak RM7.5 juta akan diperuntukkan kepada SLDN untuk melatih
pembimbing dan tenaga pengajar.

Meningkatkan Kompetensi Siswazah bagi Menyediakan Mereka Memasuki Pasaran Pekerjaan

Ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi memerlukan sebilangan besar pekerja yang berpengetahuan seperti ahli sains, jurutera, ahli profesional, agen paten dan usahawan berasaskan teknologi. Institusi pengajian tinggi mempunyai peranan yang penting dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dan berkeupayaan untuk mencipta, menginovasi, menghasil dan mempelopori pengetahuan baru serta mengaplikasi dan membangunkan teknologi.

Usaha untuk menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru memerlukan bilangan siswazah yang mencukupi dan kompeten. Walau bagaimanapun, tahap kebolehpasaran, kekurangan dan ketidakpadanan kemahiran siswazah masih menjadi isu utama dalam pembangunan modal insan. Banyak kajian mendapati siswazah Malaysia kurang kompeten dalam kemahiran teknikal yang diperlukan oleh industri, dan lemah dalam soft skills termasuk etika kerja profesional, kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, membuat keputusan dan kepimpinan. Oleh itu, usaha bersepadu akan diambil untuk mempertingkat kompetensi siswazah dan keberkesanan pembiayaan kos pengajian tinggi, iaitu dengan:

• Memperkukuh kerjasama industri dan penyelidikan;

• Memberi lebih autonomi kepada universiti dan memperkukuh budaya berprestasi tinggi;

• Memperkukuh kurikulum kursus pengajian bagi menyeimbangkan kandungan akademik dan soft skills; dan

• Melantik dan mengekalkan staf akademik yang terbaik.

Memperkukuh Kerjasama Industri dan Penyelidikan

Latihan industri adalah penting untuk membantu siswazah mempersiapkan diri bagi memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah dan aktiviti ekonomi baru. Penglibatan sektor swasta dalam penyediaan pendidikan melalui perkongsian awam-swasta akan dipertingkat bagi menggalakkan penyertaan industri dalam penyediaan kursus dan latihan industri. Di samping itu, kursus berorientasikan pasaran akan ditambah bagi memudahkan transisi pelajar ke dalam pasaran pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar secara keseluruhannya.

Rangka kerja dasar yang standard bagi program latihan industri yang berstruktur akan dilaksana oleh institusi pengajian tinggi dengan kerjasama industri untuk meningkatkan keberkesanan program. Program ini dirancang untuk diperluas kepada kursus selain daripada

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 03 March 2012