Menghadapi kematian
SETIAP hari kita mendapat maklumat mengenai kematian yang meragut nyawa manusia di mana saja dengan sebab berbeza. Sesungguhnya kematian itu satu kepastian yang akan menghampiri setiap manusia, di mana saja dan bila-bila saja.
Namun, secara umum pembicaraan mengenai
kematian bukan sesuatu yang menyenangkan. Bahkan naluri manusia
cenderung ingin hidup seribu tahun. Al-Quran melukiskan keinginan
sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang
bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba
manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada
orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu
tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya
daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah
Al Baqarah: Ayat 96).
Banyak faktor menyebabkan orang takut
kepada kematian. Ada orang takut mati kerana tidak mengetahui apa yang
dihadapinya selepas kematian. Mungkin juga kerana mereka berasa apa
yang dimiliki sekarang lebih baik daripada yang akan dihadapi nanti.
Ada juga kerana membayangkan betapa sulit dan pedihnya pengalaman mati
dan sesudah mati.
Mungkin juga kerana khuatir memikirkan atau
prihatin terhadap keluarga yang ditinggalkan atau kerana tidak
mengetahui makna hidup dan mati hingga mereka berasa cemas menghadapi
kematian. Dari sini lahirlah pandangan optimis dan pesimis terhadap
kematian dan kehidupan.
Melalui pengalamannya, manusia tidak mampu mengetahui hakikat kematian kerana ia satu daripada persoalan ghaib paling besar.
Sungguhpun
demikian, apabila melihat bagaimana kematian meragut nyawa manusia yang
hidup, terutama orang paling dekat dan dicintai, seseorang itu semakin
terdorong untuk mengetahui hakikatnya, atau paling tidak ketika itu
terlintas dalam benaknya suatu hari nanti mereka juga akan merasai
kematian.
Manusia memahami kematian tidak memilih usia atau
tempat. Ia juga tidak boleh ditangguhkan sehingga semua keinginan
dipenuhi. Kematian boleh menimbulkan ‘cemas’ apatah lagi bagi mereka
yang menganggap hidup di dunia hanya sekali.
Islam mengajar ada
kehidupan sesudah kematian. Kematian adalah yang awal daripada suatu
perjalanan panjang dalam kehidupan manusia. Selepas itu mereka akan
memperoleh kehidupan sama ada dengan pelbagai kesenangan atau pelbagai
seksaan.
Al-Quran menilai kematian sebagai musibah malapetaka.
Istilah itu lebih banyak ditujukan kepada manusia yang durhaka.
Kematian adalah musibah bagi orang yang mati tanpa membawa bekalan yang
cukup untuk kehidupan akhirat.
Kematian juga dikemukakan
al-Quran dalam konteks menghuraikan nikmat Allah kepada manusia. Dalam
surah Al Baqarah ayat 28 Allah bertanya kepada orang kafir: “Bagaimana
kamu mengingkari (Allah) sedangkan kamu tadinya mati kemudian
dihidupkan (oleh-Nya) kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya
kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya.” (Surah Al Baqarah:
Ayat 28).
Nikmat daripada kematian bukan saja dalam kehidupan
ukhrawi bagi orang yang beriman, tetapi dalam kehidupan dunia kerana
tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan dunia yang terbatas
kawasannya ini jika manusia hidup terus-menerus tanpa mengalami
kematian.
Mengenai kehidupan selepas kematian, Muhammad Iqbal,
seorang pemikir Pakistan berkata mustahil sama sekali bagi manusia yang
mengalami perkembangan jutaan tahun untuk dilemparkan begitu saja
bagaikan barang yang tidak berharga.
Dalam hal ini, al-Quran
menegaskan: “Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya
seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang
menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu
yang paling baik amalnya dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha
Pengampun.” (Surah Al Mulk: Ayat 1).
Menyedari hakikat ini,
jelaslah kematian dalam pandangan Islam bukan sesuatu yang buruk kerana
di samping mendorong manusia meningkatkan pengabdian terhadap Ilahi di
dunia, kematian juga pintu gerbang untuk memasuki kebahagiaan abadi
serta mendapatkan keadilan sejati.
Namun sebaliknya, bagi sesetengah orang, kematian adalah suatu hal yang mengerikan dan menakutkan.
Dua
sikap berbeza itu muncul kerana perbezaan amal manusia dalam kehidupan
di dunia. Kematian mempunyai peranan besar dalam memantapkan akidah
serta menambahkan semangat pengabdian kepada Allah. Tanpa kematian,
manusia tidak akan berfikir apa yang akan terjadi sesudah mati dan
tidak akan mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
Dalam mengingati kematian, Al Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu:
i.
Al Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu
dunia. Ia tidak ingat kematian dan enggan untuk diingatkan mengenai
kematian. Jika diingatkan pula, akan menjauhkannya daripada Tuhan.
Orang seperti ini kurang mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematian
bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.
ii. At
Taib, iaitu orang yang selalu bertaubat memohon keampunan daripada
Allah. Ia banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan
mempersiapkan bekalan di akhirat. Kalaulah tidak menyukai kematian
tidak lain kerana mereka khuatir bekalan yang dipersiapkan belum cukup
hingga dalam keadaan demikian takut menghadap Allah.
iii. Al
‘Arif, iaitu orang yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah.
Ia sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian
kerana baginya kematian adalah detik pertemuan dengan Allah, Zat yang
selama ini dicintai selain memiliki persiapan untuk menghadapi
kematian.
Menurut pandangan ulama, mengingati kematian di samping dapat meringankan beban duniawi, mampu melembutkan hati manusia.
Kesombongan, pergaduhan, pertumpahan darah, ketidakadilan serta perilaku negatif wujud akibat kehilangan kelembutan hati.
Mengingati
kematian turut mendorong tindakan positif. Manusia akan mengisi hidup
yang singkat dengan perkara kebaikan sama ada pada peringkat peribadi,
masyarakat, bangsa dan agama.
Sesungguhnya, apabila kematian
menjenguk seseorang, tanah dan pasir akan menjadi tempat tidurnya.
Munkar dan Nankir menjadi temannya. Kubur menjadi tempat tinggalnya.
Hari kiamat menantinya dan syurga atau neraka tempat kembali.
Firman
Allah bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan
(kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha
Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Munafiqun: Ayat 11)
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008