Artikel:
Prakata

Prakata

Rancangan Malaysia Kesepuluh menetapkan satu lagi mercu tanda bersejarah dalam usaha kita melaksanakan misi penting ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. Kita berjaya menempa kemajuan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial sepanjang 53 tahun kita memajukan negara tetapi kini kita berhadapan dengan cabaran baharu yang berbeza. Kita tidak boleh lagi bergantung pada strategi dan pendekatan masa lampau dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia memerlukan pendekatan baharu, semangat baharu dan tekad baharu yang didorong oleh semangat 1Malaysia untuk melonjakkan negara ke tahap pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Rancangan Malaysia Kesepuluh mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Rancangan ini merencanakan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang dengan matlamat untuk menyampaikan hasil yang dihasratkan untuk semua rakyat. Rancangan ini menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Program pembangunan nasional berteraskan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara, seperti yang digariskan dalam Program Transformasi Kerajaan, Bidang Ekonomi Utama Negara dalam Program Transformasi Ekonomi dan pembaharuan ekonomi strategik dalam Model Baru Ekonomi. Rancangan ini memperincikan strategi untuk memastikan peranan yang lebih berfokus bagi Kerajaan selaku pengawal selia dan pemangkin, dan pada masa yang sama mendukung gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan demi penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Untuk melihat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, kita mesti berupaya bersaing di peringkat serantau dan juga global. Hal ini memerlukan kita melipatgandakan usaha untuk menarik pelaburan, memacu inovasi dan produktiviti. Teras bagi mana-mana ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif terletak pada tenaga kerja yang berdaya saing, kreatif dan inovatif di peringkat global. Untuk mencapainya, suatu pendekatan bersepadu bagi memupuk, menarik dan memelihara asas tenaga mahir bertaraf dunia akan dilaksanakan. Kreativiti, tenaga dan inisiatif sektor swasta akan dimanfaatkan sebagai pendorong utama aspirasi pertumbuhan negara. Kita akan menghapuskan halangan berstruktur dan peraturan lapuk untuk mewujudkan persekitaran pasaran yang cekap lagi fleksibel bagi sektor swasta.

Dalam meraih pertumbuhan ekonomi, fokus akan diberikan kepada penggunaan sumber yang cekap dalam sektor yang memiliki kelebihan daya saing. Bandar raya dan kelompok bandar tertentu akan dimajukan menjadi kota yang rancak, produktif dan sesuai didiami setanding dengan kota utama lain di dunia. Hal ini amat penting dalam misi kita untuk menarik tenaga mahir, syarikat dan pelaburan ke Malaysia. Pelaburan terhadap infrastruktur untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan kelompok bandar akan ditingkatkan bagi memastikan keterangkuman tercapai dalam perkongsian manfaat ekonomi. Kerajaan juga komited untuk meningkatkan punca pendapatan isi rumah 40% terendah tanpa mengira kaum, latar belakang atau lokasi, melalui program bina pendapatan dan bina upaya, mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menangani keperluan kumpulan kurang bernasib baik. Agenda untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang kukuh dan dinamik serta pegangan ekuiti dan sumber kekayaan yang lain akan diteruskan dengan pendekatan baharu, sejajar dengan persekitaran global dan keutamaan negara pada masa kini.

Dalam melaksanakan Rancangan ini, keputusan kritikal untuk membawa perubahan perlu diambil. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berganding bahu dan memberikan sepenuh usaha dalam merebut peluang yang ada untuk melakukan perubahan yang sukar ini demi masa hadapan negara dan generasi akan datang.


DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
Perdana Menteri, Malaysia
Putrajaya

IPG Perguruan Islam