AR-RAHNU PAJAK GADAI ISLAM PERTAMA DI DUNIA

AR-RAHNU PAJAK GADAI ISLAM PERTAMA DI DUNIA
UTUSAN MALAYSIA
SELASA, 28 MAC 2006
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON

KONSEP

SISTEM cagaran untuk mendapatkan wang telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 283)

Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan unsur-unsur gharar (penipuan). Bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan British di negara ini, perniagaan pajak gadai banyak diusahakan masyarakat Cina. Ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Hassan berkata, orang Melayu-Islam di negara ini memerlukan perkhidmatan mudah tunai dengan menggadai barang-barang tertentu untuk dijadikan modal pusingan dari semasa ke semasa.Kebiasaannya mereka menggunakan wang untuk membeli barang keperluan seperti beras dan bahan makanan.

“Apabila kesuntukan wang, mereka akan menggunakan barang kemas untuk membeli barang-barang lain atau ditebus balik. Tetapi persoalan yang timbul di sini ialah kadar bunga atau faedah yang dikenakan kepada penggadai. Malah, ada ketikanya barang tersebut akan lupus jika mereka gagal menebusnya kembali. Ini menunjukkan berlaku pengambilan terus secara tidak adil,” jelas beliau mengenai operasi pajak gadai konvensional. Pada 1990, bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussin berucap dalam sebuah forum di Pulau Pinang tentang betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam menerusi sistem perbankan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk memperoleh wang melalui cagaran.
 
Sebagai menyahut seruan itu, kerajaan Terengganu buat pertama kalinya telah melaksanakan Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 23 Januari 1992. Pajak gadai itu ditubuhkan di bawah Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu. Penubuhan pajakan dan operasi itu termaktub di bawah peruntukan Seksyen 12 dan 14 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Bil.2) 1986. Dari segi perundangan, operasi Muassasah Gadaian Islam Terengganu tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Peraturannya berkuatkuasa pada 1 Jun 1992. Pelaksanaan Muassasah Gadaian Islam Terengganu yang memenuhi kehendak syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan. Melalui anak syarikatnya, Permodalan Kelantan Berhad, ia telah mewujudkan Kedai Ar-Rahn yang memulakan operasi pada Mac 1992 dengan modal awal RM2 juta. Ia merupakan syarikat atau institusi gadaian Islam terawal di Malaysia.

KERAJAAN

Kerajaan pusat telah menyarankan dilaksanakan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh negara menjelang 1993.
Kalangan ahli fuqaha dan sarjana undang-undang Islam mentakrifkan gadaian sebagai barang yang disahkan sebagai cagaran hutang atau dengan kata lain menjadikan sesuatu harta yang mempunyai harga sebagai jaminan hutang. Ia akan dijadikan pembayaran hutang sekiranya hutang tidak mampu dijelaskan.

Semua barang yang boleh diperdagangkan boleh digadaikan dalam tanggungan orang berhutang. Ar-Rahnu dari sudut bahasa membawa maksud tetap (al-Dawam) dan penahanan (al-Habs). Dari segi pelaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim pajak gadai Islam kepada masyarakat umum. Pelaksanaannya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan.

“Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit,” ujar Abdullah mengenai objektif pelaksanaan skim Ar-Rahnu.

YPEIM menjadi pelabur utama dan penyelaras dana pelaburan dan Bank Rakyat bertindak sebagai pengurus pelaksanaan operasi skim tersebut. Projek itu dijalankan berdasarkan kepada konsep Mudarabah Khas (Muqayyadah). Skim yang bermula pada 21 Oktober 1993 itu melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta daripada YPEIM dengan pembahagian keuntungan 70:30. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, YPEIM kemudian menjalin kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia. Pelaksanaan skim itu di semua institusi kewangan adalah selaras dengan hukum syariah.

Beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri turut menceburkan diri dalam bidang itu. Contohnya, kerajaan Perlis telah menubuhkan sistem pajak gadai Islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam pelaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun Terengganu.

Jelas Abdullah, konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama dan keturunan. Selain itu, ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam dengan transaksi perdagangan yang berunsur negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan, beliau mendapati pajak gadai konvensional mempunyai beberapa aspek yang bercanggah dengan hukum Islam terutama dari segi pelaksanaan dan operasi. Katanya, penyelewengan berlaku dari segi nilai gadaian yang semakin menyusut walaupun barang kemas didapati lebih berat. Malah undang-undang pajak gadai tidak mewajibkan peniaga pajak gadai mencatatkan saiz dan berat barang kemas pada resit gadaian. Mereka juga dikenal pasti menetapkan kadar faedah yang berlebihan berbanding yang telah termaktub dalam Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

Tambah Abdullah, sistem konvensional memberi nilai gadaian rendah walaupun banyak barang yang hendak digadai kerana akta tidak menetapkan kriteria untuk meletakkan harga pada barang gadaian. Peniaga pajak gadai turut mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Berdasarkan kepada akta itu, pemegang gadaian boleh mendapatkan semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang seterusnya. Mereka berani mengambil kesempatan kerana akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang telah digadai kecuali pemegang yang perlu menyerahkan surat pajak gadai sahaja.

“Pada masa yang sama, peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah hutang. Tindakan ini ternyata menindas pengguna yang amat memerlukan wang tersebut,” katanya.
Apabila peniaga pajak gadai didapati sewenang-wenangnya menindas pengguna yang kurang arif mengenai operasi pajak gadai, secara tidak langsung ia membuktikan kelemahan Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.
Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah akta itu tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faedah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada penggadai yang buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat.
Akta tersebut juga tidak menetapkan kawalan atau peraturan terhadap acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.

PROSEDUR

“Walaupun akta ada menyatakan pemegang lesen bertanggungjawab terhadap barang cagaran tetapi jika berlaku kerosakan, pampasan yang dibayar kepada penggadai adalah tidak adil kerana ia menerima nilai yang lebih rendah dan kurang daripada nilai gadaian sebenar,” ujar Abdullah.

Enam bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah pinjaman yang dibuat adalah besar dan penggadai terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, penggadai turut dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi kerana perniagaan pajak gadai memerlukan modal yang besar. Selain itu, akta itu hanya mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika lebih ia perlu mendapatkan lesen peminjam wang. Keadaan ini sangat merugikan penggadai kerana keadaan inflasi akan menaikkan nilai barangan.
Dari segi menamatkan kontrak gadaian, Abdullah menjelaskan, barang gadaian akan diserahkan apabila penggadai telah melunaskan hutang kepada pemegang gadai. Sekiranya penggadai tidak mampu membayar hutang yang diambil, apabila tamat kontrak, dengan kebenaran hakim pemegang gadai boleh melelong barang tersebut dan ia hanya boleh meletakkan harga barang tersebut sebanyak hutang yang dikenakan

Selain itu, kontrak juga boleh berakhir dengan pelupusan hutang (ibra’) iaitu pemegang gadai bersetuju menghapuskan hutang dengan memulangkan semua barang tersebut tanpa membayar hutang. Mengenai status penggadai yang meninggal dunia, Abdullah menyatakan, kontrak gadaian tidak akan berakhir atau terbatal sekiranya berlaku kematian. Jika penggadai atau pemegang gadai meninggal dunia, waris-waris akan menggantikan tempat mereka. Sekiranya waris masih kecil atau berada di luar negara, maka waris boleh menjual harta gadaian dengan persetujuan pemegang gadaian dan ia hanya boleh digunakan untuk menjelaskan hutang si mati.

“Dalam kes gadaian yang menggunakan harta yang dipinjam pula, sekiranya berlaku kematian, pemegang gadai tidak boleh menjual barang tersebut melainkan dengan keizinan pemberi pinjaman. Tetapi jika pemberi pinjaman ingin menjualnya tanpa keizinan pemegang gadai, syaratnya harga jualan perlu dapat menampung jumlah hutang,” jelas Abdullah. Sistem pajak gadai Islam ternyata memberi kelebihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan kerana ia berlandaskan kepada hukum Islam. Pajak gadai Islam dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam.
Ar-Rahnu yang dijalankan di Malaysia merupakan sistem pajak gadai yang pertama di dunia dan hingga kini masih belum ada sistem yang seumpamanya di dunia.

Definisi dari sudut syarak:        
Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
Definisi dari sudut bahasa:
Ar-Rahnu dari sudut bahasa bermakna mantap dan berkekalan. Misalnya, keadaan yang mantap ataupun ia bermakna tahanan, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya............."
(Surah al-Muddaththir 74:38)

PENGERTIAN , HUKUM DAN RUKUN AR-RAHNU
?    PENGERTIAN
Ahmad Azhar Basyir - mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadikan suatu benda yang bernilai menurut pandangan syara" sebagai tanggungan hutang dengan adanya benda yang menjadi tanggungan itu seluruh atau sebahagian hutang dapat diterima"
H.M Arsjad Thalib Lubis - mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadi suatu barang yang berupa harta dan ada harganya jadi jaminan hutang dan ia akan dijadikan pembayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar"
Abdul Rahman Al-Jaziri - menerangkan bahawa Ar-Rahnu menurut syara’ bererti " menjadikan barang yang ada harganya menurut pandangan syara’ sebagai jaminan kepercayaan hutang piutang. Dalam erti seluruh hutang atau sebahagiannya dapat diambil, sebab sudah ada barang jaminan tersebut.
Kesimpulannya - Ar-Rahnu boleh ditakrifkan sebagai keadaan di mana penghutang atau penerima pinjaman menyandarkan barangan kepunyaan sebagai jaminan kepada hutang atau pinjaman yang diterima daripada pemiutang atau pemberi pinjaman
?    HUKUM
Firman Allah SWT - "Dan jika kamu sedang dalam perjalanan (lalu kamu berhutang) dan tiada memperolehi penulis, maka boleh diserahkan sahaja jaminan yang dapat dipegang
(Al-Baqarah : ayat 283)
Dalam sebuah Hadis - "Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah Hadis - "Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w  pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang.  Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya"
(Riwayat Al-Bukhari)
Dalam sebuah Hadis - "Dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang bermaksud ketika Nabi s.a.w. wafat, baju besinya masih dalam keadaan menjadi tanggungan hutang 20 sha’ (+ 50 kg) bahan makanan yang dibelinya untuk nafkah keluarganya"
(Riwayat Tirmidzi)
?    RUKUN
Hukum Ar-Rahnu mengandungi 5 perkara:
1.    Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang
2.    Penerima gadaian atau pemegang gadai; iaitu pihak yang memberi pinjaman
3.    barang gadaian; iaitu barang yang berharga yang dipunyai dan dalam kawalan penerima pinjaman
4.    Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang berhutang
5.    Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian
 SENARIO SEMASA
Antara Senario masa kini yang wujud di dalam penawaran perkhidmatan kewangan (pinjaman mikro kredit) di negara ini:
•    Terdapat banyak perkhidmatan yang tidak selaras dengan undang-undang dan bercanggah dengan akhlak Islam sedang memenuhi jurang penawaran perkhidmatan kewangan kepada masyarakat dalam kelompok berpendapatan rendah.
 
•    Terdapat bilangan yang agak substantial mendapatkan perkhidmatan yang illegal bagi tujuan yang dianggap produktif terutamanya bagi keperluan perniagaan. Keadaan ini wujud di sebabkan oleh masih terdapat jurang yang agak ketara di antara penawaran perkhidmatan kewangan (khususnya secara Islam).
 
•    Pada umumnya skim-skim pinjaman yang illegal  ini mengenakan caj yang terlalu tinggi, berlaku manipulasi dalam urusan emas dan terdapat kes immoral.   
KELEBIHAN AR-RAHNU        
Antara kelebihan Ar-Rahnu berbanding Pajak Gadai Konvensional ialah:
1.    Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)
Perbezaan utama antara Ar-Rahn dan Pajak Gadai Konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah (interest) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding Pajak Gadai Konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam.
 
2.    Nilai Gadaian Tidak Merosot
Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
 
3.    Wang Lebih Gadaian Dipulangkan
Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian.
 
4.    Barang Kemas Yang Disimpan Selamat
Semua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.
 
5.    Caj perkhidmatan Yang Rendah
Ar-Rahn menawarkan caj perkhidmatan yang rendah. Semua pengurusan di Ar-Rahn melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvisional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang atau tauke Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.
 
6.    Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan.
Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.
 
7.    Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah
Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka.
 
8.    Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan
Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.
 
9.    Memberi Nilai Gadaian Yang Sepatutnya
Perkara ini sering berlaku dalam Pajak Gadai Konvensional. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.
 
Ar-Rahnu menggabungkan dua konsep syariah yang utama iaitu Ar-Rahnu dan Al-Wadiah Yad Dhamanah:
•    Ar-Rahnu merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
 
•    Al-Wadiah Yad Dhamanah merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.
•    http://www.arrahnu.org/0018.htm

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 12 February 2010