Bagi
sesetengah pekerjaan, terutama yang berdepan orang ramai, gigi adalah
aset paling utama. Ia bukan saja lambang kecantikan, tetapi juga
dijadikan pengukur terhadap keprihatinan seseorang terhadap kebersihan
dan penjagaan kesihatan.
Penjagaan gigi yang sempurna (dengan
memberus gigi dan lidah) boleh menghindarkan kita daripada penyakit
gusi, masalah gigi berlubang, pembentukan plak dan nafas berbau.
Lebih
penting, kajian terbaru mendapati kesihatan gigi juga ada kaitan rapat
dengan penyakit jantung. Semua orang tahu penyakit jantung adalah
pembunuh paling utama di dunia, termasuk di negara kita.
Ramai
maklum dan faham faktor risiko ‘tradisional’ seperti amalan pemakanan
tidak sihat, kurang bersenam, merokok, tekanan darah tinggi dan kencing
manis — yang boleh mendekatkan kita dengan serangan sakit jantung.
Namun
sehingga kini faktor tradisional di atas, termasuk faktor genetik,
belum dapat dikaitkan sepenuhnya dengan pembentukan arteroskelorosis
(pengumpulan plak lemak dalam salur darah yang menyebabkan serangan
jantung).
Justeru, penyelidik kini memberi tumpuan kepada kaitan
antara masalah gigi dan gusi (periodontal) dengan penyakit koronari
jantung.Walaupun secara puratanya lebih 500 spesies bakteria mendiami
mulut manusia, hanya satu bahagian kecil boleh menyebabkan penyakit
pergigian iaitu gingivitis (gusi menjadi radang, bengkak dan mudah
berdarah) serta periodontitis (penyakit pada gusi dan struktur yang
menopang gigi).
Banyak kajian klinikal membuktikan kurang
penjagaan mulut boleh mendatangkan banyak masalah lain pada badan,
sekali gus memburukkan keadaan kesihatan seseorang.
Contohnya,
penyakit periodontal boleh memberi sumbangan langsung meningkatkan
risiko mendapat serangan jantung kerana bakteria daripada mulut boleh
menjangkiti kawasan lain dalam badan dan menyebabkan tindak balas
keradangan.
Sistem imun badan akan mengesan kehadiran bakteria
ini dan mula bertindak balas untuk menghapuskannya. Tindak balas ini
menyebabkan pelbagai kesan keradangan, terutama pada sistem
kardiovaskular (jantung) dengan menebalkan dinding salur darah —seperti
yang kerap berlaku pada pesakit jantung.
Ada empat hipotesis
yang mengaitkan masalah kesihatan gigi dengan penyakit jantung iaitu
kesan bakteria pada platelet darah, kesan rangsangan pada pencetus
keradangan, tindak balas autoimun dan serangan bakteria pada sel
endotelium (lapisan sel tunggal pada jantung).
Kajian ke atas
20,749 orang, dengan 9,760 daripada mereka ada masalah periodontal dan
penyakit jantung, mendapati individu yang menghadapi masalah
periodontitis mempunyai risiko 24 peratus lebih tinggi mendapat
penyakit jantung koronari.
Daripada jumlah itu, 2.1 peratus
dijangka boleh menemui maut akibat serangan jantung, manakala lebih
tiga peratus disebabkan kencing manis.
Sebenarnya teori yang
mengaitkan jangkitan mulut dengan masalah kesihatan badan secara
menyeluruh bermula sejak 1891. Banyak kajian mendapati pesakit yang
dimasukkan ke unit kecemasan hospital akibat serangan jantung mempunyai
penyakit gusi peringkat sederhana dan teruk.
Penyakit gusi, serangan jantung dan kencing manis
Jangkitan
yang menyebabkan keradangan sudah lama dikaitkan dengan penyakit
jantung. Penyakit gusi adalah penyakit keradangan yang disebabkan
tindakan bakteria fakultatif (mempunyai banyak cara untuk hidup) dan
anaerobik (bakteria yang boleh hidup dalam keadaan tiada oksigen).
Apabila
mempunyai masalah gusi, secara semula jadi badan menghasilkan bahan
perantara keradangan dan bahan ini boleh memasuki sistem peredaran
darah.
William berkata, bakteria serta bahan yang dihasilkan
bakteria berkenaan memasuki salur darah dan akhirnya sampai ke bahagian
lain yang jauh ke dalam seperti sel endotelium pada salur darah dan
menyebabkan tindak balas keradangan.
Tindak balas keradangan
pada dinding salur darah menghasilkan sel monosit (sel darah putih) dan
mast (sel besar yang mengandungi bahan hasil keradangan).
Sel
ini akan melekat sesama sendiri dan mula mengumpulkan lemak pada
dinding salur darah. Akibatnya dinding salur darah menebal dan
menyempitkan laluan darah. Keadaan ini jika dibiarkan terusan boleh
menyebabkan seseorang individu itu mendapat serangan jantung.
Penjagaan
gigi dan gusi penting, terutama kepada individu berpenyakit. Bagi
individu yang pernah diserang sakit jantung, penjagaan kesihatan mulut
yang baik dapat mengurangkan risiko serangan jantung kali kedua.
Selain
sakit jantung, keadaan kesihatan mulut memberi kesan besar terhadap
kencing manis, kelahiran bayi pra matang yang tidak cukup berat dan
penyakit pulmonari (paru-paru).
Pakar perubatan mengesahkan,
pesakit kencing manis ada kecenderungan tinggi untuk mendapat penyakit
gusi. Malah bagi individu masih sihat, masalah gusi boleh meningkatkan
risiko mendapat kencing manis.
Banyak kajian mendapati kencing
manis yang tidak terkawal juga mampu mendatangkan komplikasi penyakit.
Ini kerana bakteria anerobik daripada gusi juga boleh menyebabkan
keradangan pada sel endotelium pada pankreas.
Keadaan ini akan
merosakkan pankreas iaitu organ yang menghasilkan insulin. Apabila
perkara ini berlaku, seseorang itu akan mendapat kencing manis —
walaupun dia sihat dan bebas daripada faktor risiko menghidap penyakit
itu.
Jika paras gula dalam darah tidak dikawal, pesakit kencing
manis boleh mengalami masalah gusi dan kehilangan gigi lebih awal
berbanding orang lain. Penyakit gusi juga membuatkan kencing manis anda
lebih sukar dikawal.
Penjagaan kesihatan mulut juga penting
kepada wanita mengandung. Wanita hamil yang ada masalah gusi mempunyai
kebarangkalian tujuh kali lebih tinggi untuk bersalin tidak cukup bulan.
Justeru,
wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan gigi sekerap mungkin sepanjang
tempoh kehamilan. Masalah gusi dan gigi yang dialami sebelum hamil
boleh menjadi lebih buruk ketika mengandung kerana perubahan hormon.
Bagaimanapun,kekerapan
pemeriksaan gigi bergantung kepada keadaan kesihatan mulut setiap
wanita. Untuk memastikannya, wanita disaran berbincang dengan doktor
gigi bagi mengelak masalah yang mungkin berlaku.
Kajian juga membuktikan rawatan pergigian ketika hamil boleh mengurangkan risiko bersalin tidak cukup bulan sehingga 82 peratus.
Kesihatan
mulut adalah insurans kepada kesihatan badan keseluruhan untuk jangka
masa panjang. Ramai tidak sedar plak yang terkumpul pada gigi boleh
menjadi tempat pembiakan lebih 400 spesies bakteria dan mikro organisma
lain.
Malangnya, ramai kurang memberi perhatian kepada penjagaan
gigi. Cara paling asas ialah memberus gigi dan lidah serta flos
sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pilih ubat gigi yang memberikan
perlindungan terbaik. Selain itu amalkan pemakanan sihat dan seimbang,
berhenti merokok dan kurangkan pengambilan makanan manis.
Serangan jantung
PERKARA pertama yang diharapkan apabila bertentang mata dengan seseorang ialah melihat senyumannya. Senyuman seseorang itu akan menjadi lebih manis jika mempunyai barisan gigi yang sihat dan teratur.Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008