Ujian awal kesan sakit buah pinggang
RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diam.
Sikap
suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan
peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara
percuma.
Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh
menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit
serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.
Namun, itulah
sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih
boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya
timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.
Fenomena sama
turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.Ia mengambil
masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada
kesihatan.Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera
mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:
-Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.
-Darah keluar bersama-sama air kencing.
-Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.
-Sakit belakang.
-Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.
-Bengkak pada pergelangan kaki.
-Sembap pada keliling mata yang berlarutan, terutama pada sebelah pagi.
Semua
tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan
buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering
diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.
Risiko
kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.Setiap
tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan
kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun
menunjukkan peningkatan 25 peratus.
Buah pinggang bertugas
menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air
berlebihan dari badan.Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting
ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian
buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan
buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah
RM300,000!
Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan
pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan
air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.
Selain dua
ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi
jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Kaedah
terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap
membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat
awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh
diketahui segera.
Semua orang perlu menjalani pemeriksaan
kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli
keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi,
kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.
Kencing
manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca
utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit
terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat.
Saringan
ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan
glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing
menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk
pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.
Masalah
kegagalan buah pinggang yang semakin meningkat di kalangan masyarakat
kita dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat yang
boleh menjurus kepada penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.
Kajian
terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 mendapati, rakyat Kelantan
paling ramai menghidap kencing manis (78,000 orang) dan kebanyakannya
adalah pesakit muda berumur 30 tahun.
Peningkatan sekali ganda sebanyak 13 peratus ini sangat merisaukan berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.
Kencing
manis juga menyebabkan 95.3 peratus pesakit di negeri itu terpaksa
kehilangan anggota badan yang kesemuanya berpunca daripada pengambilan
gula berlebihan.
Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.
Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.
Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:
-Pemakanan seimbang.
-Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
-Berhenti merokok.
-Makan
ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang
tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.
-Kekalkan berat badan seimbang.
-Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008