Punca batu karang
Terbentuk kerana tabiat pemakanan dan kurang minum air
ZAMAN
berubah, tetapi ada nasihat orang tua dulu-dulu yang masih berguna.
Antaranya ialah jangan suka menahan kencing kerana ia boleh menyebabkan
batu karang. Walaupun tiada bukti saintifik yang boleh menyokongnya, ia
tidak boleh dipandang ringan kerana nasihat ini banyak manfaatnya.
Secara
logiknya, apabila seseorang cuba menahan kencing, dia akan kurang
minum. Jika kurang minum, air kencing menjadi pekat dan mengandungi
banyak bahan yang boleh membentuk batu karang.
Masalah ini lebih
ketara bagi penduduk negara yang panas seperti Malaysia, bekerja dalam
persekitaran panas atau bersenam keterlaluan dan kurang minum
menggantikan semula air yang hilang.
Batu karang terbentuk dalam
buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan
darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air
kencing dan najis.
Daripada buah pinggang, air kencing
dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air
kencing disimpan sehingga ia dibuang daripada badan. Batu karang
terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama
kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang
bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan
magnesium.
kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah
pinggang mula mengalami kerosakan.Pesakit perlu mendapatkan rawatan
segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli
dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan
pembentukan batu karang berulang.
Biasanya batu karang
menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut.
Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu
karang yang tidak mengalami tanda dan masalah mereka dikesan secara
tidak sengaja iaitu apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan
lain.
Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang,
tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air.
Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu
pekat.
Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan
mula membentuk kristal. Lama kelamaan, kristal ini bergabung dan
membentuk seketul batu yang keras.
Batu karang yang kecil boleh
masuk ke pundi kencing tanpa mengakibatkan kerosakan. Pergerakan batu
karang ini menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang atau sisi di
bawah tulang rusuk. Kesakitan akibat batu karang lebih memuncak apabila
batu ini pecah dan terhenti bergerak.
Banyak faktor boleh
mempengaruhi perubahan air kencing kita seperti keturunan, pemakanan,
ubat, cuaca, gaya hidup dan masalah kesihatan. Semuanya memberi
sumbangan tertentu kepada pembentukan batu karang.
Faktor risiko
Banyak faktor boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang, antaranya:
Kurang air
— Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih
pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah
mengalami masalah batu karang.
Sejarah keluarga atau sendiri
— Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan.
Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko
mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu
karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.
Umur — kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.
Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.
Penyakit tertentu
— Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan
metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam
darah dan membentuk batu karang). Bahkan, individu yang ada penyakit
kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu
karang. Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia
(kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih
peka menjaga kesihatan.
Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.
Pemakanan
— Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti
organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut
bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko
mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan,
sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.
Kurang bergerak
— Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar
lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad
menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.
Masalah
batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan
minum banyak air. Pesakit yang pernah mengalami masalah ini
dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid
urik atau purin.
Batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh
dicegah dengan melakukan sedikit perubahan gaya hidup. Selain itu
setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah, iaitu ujian air
kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah
pinggang dalam keadaan normal.
Ini kerana melalui tiga ujian
berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan
pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.
Jenis
Batu karang ada empat jenis yang ditentukan bahan atau puncanya iaitu:
> Batu kalsium — Jenis paling lazim. Batu kalsium biasanya membabitkan dua bahan, iaitu kalsium dan oksalat.
> Batu struvite
— Berlaku lebih kerap pada wanita berbanding lelaki. Ia biasanya
disebabkan jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang
menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini meningkatkan kandungan ammonia
dalam air kencing sehingga membentuk kristal struvite.
> Batu asid urik — Batu ini terbentuk daripada asid urik, iaitu hasil sampingan daripada metabolisma protein.
> Batu sistein
— Pembentukan batu karang jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya berlaku
di kalangan individu yang ada masalah genetik yang menyebabkan buah
pinggang menghasilkan berlebihan asid amino tertentu.
Gejala
Sakit
pada bahagian belakang badan dan sisi di bawah tulang rusuk.
Bagaimanapun bukan semua kes mempunyai gejala, kecuali jika batu karang
berkenaan besar sehingga menyekat saluran tertentu dan menyebabkan
jangkitan. Rasa sakit ini datang dan pergi dalam masa antara lima
hingga 15 minit.
> Apabila batu karang ini berpindah dari buah pinggang ke pundi kencing melalui tiub yang dipanggil ureter, pesakit mengalami rasa sakit pada abdomen bawah. Kesakitan ini terhenti apabila batu karang berhenti bergerak.
> Air kencing berdarah.
> Air kencing keruh dan berbau busuk.
> Mual dan muntah.
> Sentiasa terasa hendak kencing.
> Demam dan menggigil (jika ada jangkitan).
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008