Artikel Terbaru

BAB 22 : MENGGALAKKAN PENJAGAAN ALAM SEKITAR

I : PENDAHULUAN

22.01 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), penerapan pertimbangan alam sekitar dalam perancangan dan pembangunan dipertingkatkan. Usaha ini membolehkan pelaksanaan pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang lebih bersepadu dan menyeluruh. Keupayaan institusi dan rangka kerja kawal selia diperkukuh serta pendekatan dan instrumen perancangan baru diperkenal. Usaha mempromosi pembangunan mampan telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-38 di kalangan 146 negara di dunia dan kedua di Asia dari segi kemampanan alam sekitar1. Di samping itu, Kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar2 meletakkan Malaysia di kedudukan kesembilan daripada 133 negara dari segi usaha untuk mengurangkan tekanan persekitaran ke atas kesihatan manusia dan memelihara daya hidup ekosistem.

22.02 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), selaras dengan prinsip kesembilan3 Islam Hadhari, penjagaan alam sekitar akan terus digalakkan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam sekitar dikekalkan. Tumpuan yang lebih diberi kepada langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar di punca, mempergiat usaha pemuliharaan dan mengurus sumber asli secara mampan. Usaha memupuk kerjasama lebih rapat di kalangan pihak berkepentingan untuk menangani isu alam sekitar akan diberi penekanan. Penggunaan instrumen perancangan alam sekitar seperti penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian strategik alam sekitar (SEA), analisis kos faedah, instrumen berasaskan pasaran dan pengauditan alam sekitar akan diperluas untuk menilai dan mengurangkan impak akibat aktiviti pembangunan. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dipergiat untuk terus menyokong pengurusan alam sekitar dan penggunaan sumber asli secara mampan. Usaha menambah baik perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.

1 Environmental Sustainability Index Study, 2005, Yale University.

2 Environmental Performance Index Study, 2006, Yale University.

3 “Pemeliharaan alam semula jadi.

II : KEMAJUAN 2001-2005

22.03 Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi untuk menambah baik kualiti alam sekitar melalui pengurusan yang lebih mantap ke atas beberapa aspek yang diberi tumpuan utama, khususnya kualiti air dan udara, pengurusan sisa pepejal serta penggunaan teknologi bersih. Dari segi pengurusan sumber asli, langkah pemuliharaan dan penggunaan mampan diperkukuh, terutamanya untuk sumber biodiversiti, hutan dan air. Dasar Alam Sekitar Negara yang menggaris strategi untuk menggerakkan hala tuju pembangunan negara ke arah pembangunan mampan telah dilancarkan pada tahun 2002. Pada tahun 2004, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baru ditubuhkan dengan menggabung 10 agensi alam sekitar dan sumber asli di bawah satu pentadbiran untuk memudahkan pendekatan pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang terselaras dan komprehensif.

Pengurusan Alam Sekitar

22.04 Kualiti Udara. Dalam tempoh Rancangan, kualiti udara kekal di tahap baik hingga sederhana seperti ditunjuk oleh Indeks Pencemaran Udara (API). Walau bagaimanapun, terdapat kejadian kemerosotan kualiti udara di Lembah Klang, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang, disebabkan peningkatan tahap kepadatan ambien ozon dan habuk terampai dari kenderaan bermotor, perindustrian dan pembakaran terbuka serta sulfur dioksida dari aktiviti perindustrian. Kejadian jerebu dari punca merentasi sempadan menjadi fenomena tahunan di beberapa kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Sehubungan ini, usaha dua hala diambil bagi mengenal pasti dan menangani punca jerebu yang merentasi sempadan. Langkah juga diambil untuk mengurangkan kejadian jerebu daripada punca domestik dengan penggubalan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti-Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka) pada tahun 2003.

22.05 Punca bergerak kekal sebagai sumber utama bahan pencemar dari segi pelepasan karbon monoksida dan nitrogen oksida. Beberapa langkah diambil untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada punca bergerak. Pada tahun 2004, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003 telah diwarta. Langkah juga diambil untuk menggubal undangundang bagi mengurangkan kandungan sulfur dalam minyak diesel daripada 0.3 peratus kepada 0.05 peratus. Loji jana kuasa merupakan punca utama pelepasan sulfur dioksida, diikuti kilang dan punca lain seperti hotel dan premis komersil. Dari segi habuk terampai (PM10), punca tetap termasuk industri dan loji jana kuasa, menyumbang hampir 90 peratus daripada keseluruhan pelepasan.

22.06 Kualiti Air. Punca utama pencemaran air sungai adalah pembuangan kumbahan domestik, bahan pencemar daripada industri berasaskan pertanian, larian air dari kerja-kerja tanah dan pembersihan kawasan serta pembuangan efluen dari aktiviti perkilangan. Usaha untuk mengurang dan mengawal pembuangan air tercemar dari sektor domestik tertumpu kepada kenaikan taraf loji rawatan kumbahan sedia ada dan membina loji baru. Dalam fasa pertama Projek Kumbahan Kebangsaan, empat loji rawatan kumbahan dan kemudahan rawatan kumbahan berpusat telah dibina. Di samping itu, 825 loji rawatan kumbahan dinaik taraf dan jumlah rangkaian rawatan kumbahan yang disenggara meningkat daripada 9,240 kilometer pada tahun 2000 kepada 14,560 kilometer pada tahun 2005. Langkah ini mengurangkan beban keperluan biokimia oksigen dalam sungai dan hasilnya bilangan sungai tercemar berkurang.

22.07 Kualiti Air Marin. Dalam tempoh Rancangan, kualiti air marin bertambah baik dari segi tahap kandungan arsenik, kuprum, Escherichia coli (E.coli), merkuri dan pepejal terampai. E-coli kekal sebagai pencemar utama air marin. MUKA

22.08 Sisa Pepejal. Jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada 2005 atau secara puratanya 0.8 kilogram per kapita sehari. Sisa pepejal di Malaysia secara purata terdiri daripada 45.0 peratus sisa makanan, 24.0 peratus plastik, 7.0 peratus kertas, 6.0 peratus besi, 3.0 peratus kaca dan bahan lain. Walaupun terdapat usaha bersepadu melalui Kempen Kebangsaan Kitar Semula untuk menggalakkan penggunaan semula, pengurangan dan pengitaran semula (3Rs) sisa pepejal, namun jumlah yang dikitar semula masih kurang daripada 5.0 peratus. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan telah membina dua tapak pelupusan sanitari di Seelong, Johor dan Bukit Tagar, Selangor, dan sebuah stesen pemindahan di Taman Beringin, Selangor.

22.09 Sisa Toksik. Dalam tempoh Rancangan, secara purata 430,000 tan metrik sisa berjadual dijana setiap tahun. Dari jumlah sisa berjadual yang dijana pada tahun 2004, kira-kira 18.8 peratus dirawat dan dilupus di loji rawatan dan pelupusan sisa toksik di Bukit Nanas, Negeri Sembilan, 58.0 peratus dikitar semula dan diperoleh semula di premis berlesen, 19.7 peratus dirawat dan disimpan di premis penjana, 0.7 peratus diekspot untuk dikitar semula dan 2.7 peratus dilupuskan di insinerator sisa klinikal. Pengitaran dan perolehan semula bahan dari sisa toksik mencatat peningkatan ketara daripada 29.0 peratus pada tahun 2001 kepada 58.0 peratus pada tahun 2004. Hasil usaha ini, rawatan dan penyimpanan sisa toksik di premis penjana berkurangan daripada 59.9 peratus pada tahun 2001 kepada 19.7 peratus pada tahun 2004, seperti ditunjukkan dalam Carta 22-1.

Carta 22-1 : Pengurusan Sisa Berjadual, 2001-2004



22.10 Bahan Kimia dan Bahan Berbahaya. Penggunaan bahan kimia dan bahan berbahaya menunjukkan peningkatan, terutama dalam sektor pertanian. Jumlah baja yang diguna meningkat daripada 2.2 juta tan metrik pada tahun 2001 kepada 4.0 juta tan metrik pada tahun 2004. Amalan pertanian yang lebih baik diperkenal untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia dan bahan berbahaya melalui Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) dan Skim Organik Malaysia (SOM). Akta Racun Perosak 1974 disemak semula pada September 2004 untuk memperketat kawalan bahan racun perosak melalui pengenalan langkah pengendalian yang lebih selamat, denda kerana tidak mematuhi label keselamatan serta promosi ciri keselamatan dalam pengeluaran dan penjualan.

Pengurusan Sumber Asli

22.11 Perancangan Guna Tanah. Bagi mempertingkat lagi perancangan guna tanah bersepadu, Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan ditubuh pada tahun 2003 dan Pelan Fizikal Negara (PFN) 2005-2010 diguna pakai. Di samping itu, garis panduan untuk memelihara dan memulihara kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dibangunkan. Sejumlah 86 pelan rancangan tempatan dan 14 pelan rancangan struktur yang menerapkan pertimbangan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli telah disediakan. Selain itu, sebanyak 35 piawai dan garis panduan pembangunan mengenai alam sekitar, perumahan, pengangkutan, guna tanah, industri dan persekitaran perbandaran juga telah dikeluar dan dilaksana untuk menambah baik perancangan dan pembangunan bandar.

22.12 Sumber Air. Kerajaan mengguna pakai kaedah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) untuk mengoptimumkan pengurusan sumber air serta menggubal Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Langat, Selangor. Satu kajian sumber air bawah tanah di negeri Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Selangor disiapkan pada tahun 2002. Garis panduan untuk memasang sistem tadahan dan penggunaan air hujan juga diperkenal.

22.13 Biodiversiti. Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara (MBBN) ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menyelaras usaha pemuliharaan dan pengunaan mampan sumber biologi. Dasar Tanah Lembap Negara diperkenalkan pada tahun 2004 untuk memelihara dan memulihara kawasan tanah lembap serta menambah baik pengurusannya. Strategi Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Tinggi Kebangsaan di Semenanjung Malaysia telah disediakan dan Kajian Stesen Bukit di Semenanjung Malaysia dijalankan untuk menggalak pembangunan mampan di kawasan tanah tinggi. Sehubungan ini, sebanyak 109 projek pembangunan di kawasan tanah tinggi yang dilaksana oleh 12 Kementerian dipantau untuk memastikan strategi serta garis panduan tersebut diambil kira.

22.14 Bilangan kawasan perlindungan juga meningkat daripada 37 kepada 40 dengan penubuhan Taman Negeri DiRaja Belum di Perak, Taman Negara Pulau Pinang dan Taman Warisan Selangor. Berikutan ini, keluasan kawasan yang dilindungi meningkat kepada 5.36 juta hektar atau 16.3 peratus daripada keluasan tanah negara. Di samping itu, kawasan tanah lembap Tanjung Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup di Johor, diisytihar sebagai tapak RAMSAR. Habitat kritikal lain seperti koridor hidupan liar di Gunung Bintang Hijau di Kedah-Perak dan Endau Rompin di Johor-Pahang serta kawasan paya air tawar dan tasik juga dikenal pasti untuk pemuliharaan. Bank genetik untuk spesies yang hampir pupus dan program pembiakan ex-situ ditubuhkan untuk melindungi spesies yang hampir pupus dan membantu penempatan semula spesies terancam.

22.15 Sumber Hutan. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 19.52 juta hektar atau 59.5 peratus daripada keluasan tanah di Malaysia kekal di bawah litupan hutan dengan 14.39 juta hektar daripadanya kawasan rizab hutan kekal dan 3.21 juta hektar kawasan dilindungi sepenuhnya. Selain daripada itu, seluas 310,550 hektar ladang hutan dibangunkan, iaitu 75,800 hektar di Semenanjung Malaysia, 174,750 hektar di Sabah dan 60,000 hektar di Sarawak. Sistem Kriteria, Petunjuk, Aktiviti dan Piawai Prestasi untuk Persijilan Pengurusan Perhutanan Malaysia (MC&I) dilancarkan pada tahun 2001 bagi memperaku kawasan hutan yang diurus secara mampan dan kayu balak yang dikeluarkan mempunyai pengesahan rantaian penjagaan, dan 67 syarikat diberi perakuan MC&I sehingga tahun 2005. Langkah juga telah diambil untuk mempergiat pemuliharaan dan pemulihan hutan paya bakau untuk berfungsi sebagai benteng penahan pesisir pantai daripada hakisan, alunan ombak dan tsunami.

22.16 Sumber Mineral. Majlis Mineral Negara ditubuhkan pada tahun 2001 untuk memantau dan menyelaras tindakan mengurus sumber mineral termasuk dasar rezab mineral dan rangka kerja institusi bagi tadbir urus sumber mineral. Model Enakmen Mineral Negeri yang merangkumi prosedur dan pertimbangan aspek alam sekitar yang lebih baik diguna pakai oleh tiga negeri lagi, iaitu Johor, Kedah dan Negeri Sembilan, menjadikan jumlahnya lima. Peraturan Kuari menurut Kanun Tanah Negara 1965 juga diguna pakai oleh Selangor pada tahun 2003 dan Pahang pada tahun 2004 untuk menambah baik pengawalan operasi kuari.

22.17 Sumber Marin dan Pantai. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 37 projek dilaksana untuk melindungi kawasan pantai daripada kemerosotan dan hakisan, termasuk pembinaan benteng pemecah ombak, penyuburan pantai dan pelebaran pesisir pantai khususnya bersempadan kawasan pertanian di Johor, Melaka, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Di samping itu, satu kajian perintis untuk menyediakan pelan pengurusan pesisir pantai bersepadu bagi kawasan utara pesisir pantai Pahang (ISMP) disiapkan manakala kajian untuk kawasan selatan pesisir pantai Pahang sedang dijalankan. Inisiatif lain untuk memelihara kepelbagaian marin termasuk penubuhan Taman Laut Tun Sakaran di Sabah dan penyediaan Panduan Hala Tuju Strategik Marin untuk mempergiatkan usaha R&D marin.

Inisiatif Lain

22.18 Kesedaran dan Promosi Alam Sekitar. Dalam tempoh Rancangan, usaha untuk meningkat kesedaran terhadap alam sekitar dipergiat di peringkat sekolah, komuniti dan kebangsaan. Pada tahun 2002, Pertubuhan NGO Alam Sekitar Malaysia (MENGOs) diwujudkan untuk menggabung 18 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan alam sekitar bertujuan mengukuh kerjasama dan integrasi dalam usaha mereka bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar dan sumber asli serta memberi input, komen dan maklum balas kepada Kerajaan. Bagi menggalak pihak berkuasa tempatan mengguna pakai amalan mesra alam, program Bandar Lestari-Anugerah Alam Sekitar dilancarkan pada tahun 2005 dan Kuantan, Pahang muncul sebagai penerima pertama anugerah tersebut.

22.19 Inisiatif Alam Sekitar Antarabangsa. Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam berbagai-bagai inisiatif alam sekitar di peringkat pelbagai hala dan khususnya menganjurkan Persidangan Ketujuh Parti-Parti Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan Mesyuarat Pertama Parti-Parti Protokol Cartagena pada Februari 2004. Dalam tempoh Rancangan, beberapa perjanjian pelbagai hala mengenai alam sekitar dan pindaan berkaitan telah ditandatangani termasuk Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Yang Berkekalan. Di samping itu, Protokol Montreal Mengenai Bahan-Bahan Yang Memusnahkan Lapisan Ozon; Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya Merentasi Sempadan dan Pelupusannya; Konvensyen Rotterdam Mengenai Peraturan Persetujuan Pemberitahuan Terlebih Dahulu Bagi Bahan Kimia Berbahaya Dan Racun Perosak Tertentu Dalam Perdagangan Antarabangsa; Protokol Kyoto kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim dan Protokol Cartagena berkenaan Biokeselamatan telah diratifikasi.

III : PROSPEK 2006-2010

22.20 Dalam tempoh RMKe-9, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada langkah pencegahan untuk mengurang dan meminimumkan pencemaran serta menangani impak negatif lain kepada alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti pembangunan. Di samping itu, langkah akan diambil untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan bagi menggalak amalan pengurusan mampan sumber asli berkaitan sumber tanah, air, hutan, tenaga dan marin. Usaha ini akan meningkat perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli serta menyumbang kepada penambahbaikan kualiti hidup. Teras strategik bagi menangani isu alam sekitar dan sumber asli akan bertumpu kepada:

a) menggalak persekitaran hidup yang sihat;

b) mengguna sumber secara mampan dan memulihara habitat kritikal;

c) memperkukuh rangka kerja institusi dan kawal selia serta mempergiat penguatkuasaan;

d) memperluas penggunaan instrumen berasaskan pasaran;

e) membangunkan petunjuk pembangunan mampan yang sesuai; dan

f) menyemai budaya dan amalan mesra alam sekitar di semua peringkat masyarakat.


Pengurusan Alam Sekitar

22.21 Kualiti Udara. Pelan Tindakan Udara Bersih akan disedia dan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti udara. Kajian terperinci akan dijalankan untuk merangka pelan tindakan bagi meningkatkan kualiti udara di kawasan bandar. Pelepasan bahan pencemar udara daripada punca tetap akan ditangani dengan menggalakkan penggunaan teknologi bersih. Kandungan sulfur dalam minyak disel akan dikurang daripada 3,000 ppm kepada 500 ppm, manakala bagi minyak petrol daripada 1,500 ppm kepada 500 ppm berdasarkan spesifikasi EURO 2M. Piawai baru pelepasan berasaskan EURO 2 untuk kenderaan disel dan EURO 3 untuk kenderaan petrol akan juga diperkenal bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar udara daripada punca bergerak. Di samping itu, kemampuan dan keupayaan mengawal kebakaran di tanah gambut yang merupakan punca jerebu domestik akan diperkukuh.

22.22 Kualiti Air. Penggunaan pendekatan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM) akan dipergiat untuk menambah baik kualiti air sungai dan air bawah tanah. Usaha akan ditumpu ke arah mengurang bilangan sungai tercemar. Sistem pembentungan awam akan dinaik taraf dan lebih banyak loji rawatan kumbahan berpusat akan dibina untuk mengurangkan pelepasan air buangan yang tidak dirawat ke dalam sistem sungai. Perangkap am pencemar dan kolam pemendapan akan dibina di kawasan kritikal di lembangan sungai untuk mengurangkan aliran keluar punca pencemar tak diketahui. Pengawalan pengelodakan dan hakisan akan ditangani melalui pindaan undang-undang sedia ada. Penguatkuasaan akan dipertingkat lagi untuk memastikan pelepasan efluen mematuhi piawai alam sekitar supaya kualiti alam sekitar dikekalkan.

22.23 Kualiti Air Marin. Piawai interim kualiti air marin akan dikaji semula ke arah pewujudan piawai kualiti yang komprehensif. Kajian terperinci akan dijalan untuk menetapkan metodologi serta paramater yang bersesuaian dengan mengambil kira beban bahan pencemar dan keadaan tempatan. Di samping itu, pengawasan perairan marin akan dipergiat bagi meningkatkan pematuhan dan pengawalan pelepasan bahan pencemar secara haram.

22.24 Sisa Pepejal. Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan (Pelan Srategik) akan dilaksana dengan penekanan kepada usaha menaik taraf tapak pelupusan yang tidak sanitari serta pembinaan tapak pelupusan sanitari baru dan stesen pemindahan dengan kemudahan bersepadu perolehan semula bahan buangan. Keutamaan akan terus diberi kepada pengurangan, penggunaan semula, perolehan semula dan pengitaran semula sisa serta peningkatan penggunaan bahan mesra alam seperti bioplastik. Undang-undang bagi menyelaras pengurusan sisa pepejal akan digubal bagi melicin pelaksanaan strategi dan langkah yang terkandung dalam Pelan Strategik tersebut. Kempen dan aktiviti bagi meningkat kesedaran akan dipergiat untuk mendidik orang awam mengenai manfaat mengamalkan penggunaan secara mampan. Jabatan sisa pepejal akan ditubuh untuk melaksanakan langkah tersebut dan mentadbir dasar, perancangan dan pengurusan sisa pepejal secara holistik.

22.25 Bahan Toksik, Kimia dan Berbahaya. Keupayaan agensi berkenaan dalam mengurus bahan toksik dan berbahaya akan diperkukuh lagi dengan mengguna pakai sistem global yang seragam untuk pendaftaran import, pengangkutan dan pengendalian bahan kimia dan bahan berbahaya secara selamat. Langkah juga akan diambil untuk membentuk rangka kerja bagi memudahkan penggunaan pendekatan dan teknologi untuk merawat dan mengubahsuai sisa toksik kepada sumber yang boleh diguna semula. Di samping itu, langkah menangani kegunaan sembarangan bahan kimia khususnya dalam sektor pertanian akan dipergiat.

22.26 Teknologi Bersih. Bagi mempromosi penggunaan teknologi mesra alam secara meluas, industri akan digalakkan untuk mengguna pakai langkah swakawal dan menggunakan Pendekatan Kitaran Hidup (LCA) dalam proses pengeluaran dan pembangunan produk. SIRIM Berhad akan membangun Pangkalan Data Inventori Kitaran Hidup Kebangsaan untuk industri dan aktiviti utama seperti penjanaan elektrik, bekalan air, cari gali dan pengeluaran petroleum dan gas asli serta petrokimia. Pangkalan data tersebut akan membantu usaha industri untuk membangun LCA dalam proses pengeluaran dan pengilangan. Di sampingTitu, penemuan daripada projek perintis ekolabel akan diguna untuk membangun skim pelabelan alam sekitar kebangsaan. Langkah juga akan diambil untuk membantu dalam mengguna pakai teknologi bersih oleh enterpris kecil dan sederhana (EKS) termasuk mengenal pasti sumber pembiayaan baru daripada Bank SME.

Pengurusan Sumber Asli

22.27 Perancangan Guna Tanah. Pelaksanaan pendekatan pembangunan spatial yang mengintegrasikan konsep dan metodologi pembangunan mampan akan digalakkan. Strategi yang terkandung dalam PFN akan dilaksana dengan menerapkannya dalam pelan struktur. Kaedah dan parameter yang sesuai akan dibangun untuk mengenal pasti dan mengurus KSAS bagi membolehkannya menjadi zon tebatan dalam pengawalan penyelerakan pembangunan. Pengurusan sumber tanah akan ditambah baiki melalui peluasan pelaksanaan program e-Tanah dan mewujudkan pentadbiran tanah yang kompeten melalui latihan.

22.28 Lanskap. Dasar Lanskap Negara akan dijadikan panduan pembangunan taman bandar pada peringkat bandar, daerah dan negeri. Rizab kawasan hijau akan diperluas serta sungai, jalan, bangunan awam dan kemudahan awam akan dilanskap untuk menambah baik alam sekitar. Bekas tapak lombong dan kuari yang sesuai akan dipulihara dan ditambah baik supaya menjadi tapak warisan geologi dan tarikan ekopelancongan.

22.29 Sumber Air. Penekanan akan diberi untuk mengekal dan meningkatkan fungsi ekosistem sungai melalui pemulihan dan penyenggaraan tadahan tanah tinggi, tanah lembap, tebatan sungai dan zon riparian. Kesesuaian instrumen berasaskan pasaran akan dikaji untuk mengambil kira kos alam sekitar, termasuk kekurangan, ke dalam sistem harga air. Langkah untuk mengurangkan permintaan air akan diberi penekanan termasuk melalui pemberian rebat cukai untuk industri yang mengitar semula air.

22.30 Biodiversiti. Usaha memelihara habitat kritikal akan dipergiat. Sehubungan ini, pelan pengurusan sedia ada akan dikaji semula bagi memperkukuh lagi perlindungan flora dan fauna yang terancam. Proses EIA akan dikaji semula untuk merangkumi penilaian impak terhadap ekosistem. Kajian Strategi Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Tinggi di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dan Dasar Tanah Tinggi Negara akan digubal. Garis Panduan Akses dan Perkongsian Manfaat Sumber Biologi akan disedia bagi memastikan perkongsian saksama manfaat daripada penggunaan sumber biodiversiti dan menangani isu biorompak. Institusi penyelidikan dan universiti akan membangun inventori biodiversiti komprehensif untuk membantu biopenerokaan.

22.31 Sumber Hutan. Pemuliharaan dan penggunaan secara mampan produk hutan dan kawasan tadahan air akan diberi penekanan untuk menggalakkan pengurusan hutan secara mampan. Pembangunan sumber kekayaan yang mampan daripada produk hutan seperti produk herba dan ubat-ubatan, aktiviti ekopelancongan dan biopenerokaan akan digalakkan. Pusat Produk Hutan dan Bukan Hutan akan ditubuh untuk meningkatkan keupayaan pengurusan alam sekitar dan sumber asli. Sistem MC&I akan diperkukuh untuk memantapkan usaha pengurusan hutan secara mampan.

22.32 Sumber Mineral. Pendekatan sinergistik akan diambil untuk meneraju pembangunan industri sumber mineral secara mampan. Penerapan amalan mesra alam akan diberi penekanan dengan mengguna pakai Enakmen Mineral dan Peraturan Kuari oleh semua negeri.

22.33 Sumber Marin dan Pantai. Dasar Pengurusan Bersepadu Zon Pesisir Pantai akan diperkenalkan untuk menggalak pemuliharaan dan pengekalan sumber marin dan pesisir pantai. Pemulihan dan pembaikpulihan pesisir pantai akan dipertingkat melalui program penanaman dan penghijauan semula. Pelan pengurusan hutan bakau dan hutan pesisir pantai komprehensif akan dibangun untuk menangani kadar susutan hutan bakau bagi menjamin bekalan sumber yang berterusan serta mengurangkan kesan dari hakisan pantai dan tsunami. Indeks Keterancaman Pesisir Pantai akan dibangun untuk memandu reka bentuk program pengurusan zon pesisir pantai.

Inisiatif Lain

22.34 Pendekatan Ekonomi. Langkah akan diambil untuk memperluas penggunaan instrumen ekonomi dan langkah berasaskan pasaran seperti penerapan prinsip pencemar bayar, fi pengguna dan teknik penilaian ekonomi untuk menangani isu alam sekitar secara berkesan dan cekap. Penggunaan mekanisme pembiayaan yang inovatif akan dikaji untuk membantu pemuliharaan kawasan kritikal yang dilindungi. Kajian dan projek perintis akan dijalankan untuk melaksanakan instrumen inovatif berasaskan pasaran.

22.35 Kesedaran dan Promosi Alam Sekitar. Dalam tempoh Rancangan, usaha mempromosi dan memupuk budaya dan amalan mesra alam di kalangan rakyat Malaysia akan dipergiat dengan penglibatan aktif sektor swasta dan NGO. Tindakan dan perubahan yang sesuai akan diambil melalui kurikulum pendidikan di sekolah bagi menanam kesedaran yang lebih mendalam terhadap keperluan pemeliharaan alam sekitar. Sektor swasta akan digalak untuk menganjurkan program kesedaran penjagaan di kalangan industri dan syarikat bagi meningkatkan tahap penjagaan yang lebih tinggi terhadap keselamatan awam dan alam sekitar. Di samping itu, tenaga, ide dan kesungguhan NGO alam sekitar akan digembleng bagi melengkapi usaha Kerajaan memelihara alam sekitar. 489

22.36 Petunjuk Pembangunan Mampan. Sistem petunjuk pembangunan mampan Malaysia akan dibangun dan ditanda aras dengan inisiatif antarabangsa yang sedia ada untuk memastikan supaya setanding. Sehubungan ini, satu kajian komprehensif akan dijalankan untuk menilai ketepatan, kesesuaian, dan faedah mengguna kaedah penilaian seperti perakaunan sumber asli, pengauditan alam sekitar dan model berasaskan tindak balas terhadap keadaan tekanan untuk memantau pembangunan mampan dalam Malaysia.

22.37 Inisiatif Alam Sekitar Antarabangsa. Malaysia akan meneruskan penekanan terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa untuk menangani isu alam sekitar serantau dan global. Perbincangan dan perkembangan di pelbagai fora alam sekitar akan dipantau rapi untuk memastikan kepentingan Malaysia tidak terjejas. Tumpuan akan diberi terhadap kajian dan langkah yang perlu bagi membantu tindakan Malaysia memenuhi komitmennya dalam perjanjian alam sekitar pelbagai hala.

IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN

22.38 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berserta 10 agensinya akan memainkan peranan utama dalam menggalakkan penjagaan alam sekitar dan mengekalkan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam sekitar. Kementerian tersebut bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memastikan supaya alam sekitar diambil kira dalam perancangan dan pembangunan guna tanah. Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan menjadi agensi peneraju dalam usaha pemuliharaan biodiversiti. Sektor korporat dan pihak NGO berkaitan alam sekitar akan digalakkan untuk menambah dan melengkap usaha agensi tersebut.

V : PENUTUP

22.39 Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi untuk menambah baik kualiti alam sekitar melalui pengurusan yang lebih baik dalam bidang yang diberi perhatian utama khususnya kualiti udara dan air, pengurusan sisa pepejal serta penggunaan teknologi bersih. Usaha juga dipergiat untuk melindung dan memulihara sumber tanah, air, biodiversiti dan hutan. Dalam RMKe-9, Kerajaan akan memberi penekanan kepada langkah pencegahan yang dapat mengurang dan meminimumkan pencemaran. Penggalakkan amalan pengurusan sumber asli secara mampan berkaitan dengan sumber tanah, air, hutan, tenaga dan marin akan dipergiat. Kerjasama yang lebih rapat akan dipupuk dengan pihak berkepentingan dan NGO dalam menangani isu alam sekitar dan sumber asli. Usaha tersebut akan meningkatkan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli serta menyumbang ke arah menambah baik kualiti hidup.

 

 


[Baca]

BAB 21 : MENYEDIAKAN PERUMAHAN DAN PERKHIDMATAN BANDAR YANG BERKUALITI

I : PENDAHULUAN

21.01 Pelaksanaan program pembangunan perumahan dan penyediaan perkhidmatan bandar dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk. Pencapaian keseluruhan program perumahan yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta menggalakkan, iaitu melebihi sasaran Rancangan. Penekanan telah diberikan ke arah menyediakan rumah berkualiti yang mampu dibeli atau disewa terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dengan perkhidmatan bandar yang lebih baik serta persekitaran tempat tinggal yang selesa.

21.02 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), langkah berterusan akan terus diambil untuk memastikan rakyat Malaysia bagi semua peringkat pendapatan memperoleh akses kepada perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa terutamanya golongan berpendapatan rendah. Sehubungan ini, sektor swasta digalakkan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui projek perumahan bercampur manakala sektor awam akan terus memberikan perhatian kepada pembinaan rumah kos rendah dan rumah untuk anggota sektor awam, golongan yang kurang mendapat faedah dan miskin di kawasan bandar dan luar bandar. Bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar, penyediaan perkhidmatan bandar yang lebih bersistem dan tersusun berasaskan kepada pembangunan mampan, peningkatan penglibatan masyarakat dan penyepaduan sosial penduduk akan diberi penekanan.

II : KEMAJUAN 2001-2005

21.03 Objektif utama program perumahan dalam tempoh RMKe-8 adalah selaras dengan dasar perumahan untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa oleh semua rakyat Malaysia. Perancangan dan pelaksanaan program pembangunan perumahan berasaskan konsep petempatan manusia termasuk penyediaan kemudahan awam seperti dewan masyarakat, taman permainan kanak-kanak, klinik, rumah kedai dan kawasan lapang. Program perumahan oleh sektor awam terus memberikan tumpuan kepada penyediaan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah dan ke arah membasmi kawasan setinggan di bandar manakala sektor swasta membina rumah untuk memenuhi keperluan permintaan pasaran secara keseluruhan. Bagi meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi penduduk bandar, usaha telah diambil untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bandar serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih baik.

Perumahan

21.04 Pelaksanaan program pembangunan perumahan adalah mengalakkan dengan jumlah rumah yang siap dibina melebihi sasaran. Sebanyak 844,043 unit rumah telah siap dibina, seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-1. Daripada jumlah tersebut, 77.6 peratus dibina oleh sektor swasta manakala bakinya oleh sektor awam.

21.05 Sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk meningkatkan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah, Syarikat Perumahan Negara Malaysia Berhad (SPNB) melaksanakan projek perumahan bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk. Dalam tempoh Rancangan, SPNB melaksanakan Program Perumahan Mampu Milik, Program Perumahan Mesra Rakyat dan projek perumahan anggota tentera. Di samping itu, SPNB juga membaik pulih projek perumahan terbengkalai terpilih termasuk projek sektor swasta yang dikenalpasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

21.06 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 juga dipinda pada tahun 2002 untuk memperluas skop penguatkuasaan oleh KPKT meliputi projek yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan dan koperasi, menyediakan peruntukan bagi kawalan kualiti dan pelaksanaan projek mengikut jadual serta menubuhkan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah. Tribunal ini yang mengendalikan tuntutan di bawah RM25,000 telah menerima sebanyak 10,074 kes tuntutan dan 8,569 daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh Rancangan.

Perumahan Kos Rendah

21.07 Prestasi keseluruhan pembinaan rumah dalam kategori kos rendah menggalakkan dengan 200,513 unit siap dibina, iaitu 86.4 peratus daripada sasaran Rancangan. Daripada jumlah ini, 103,219 unit atau 51.5 peratus dibina oleh sektor awam termasuk Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Bagi memastikan bekalan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah mencukupi, projek pembangunan bercampur oleh pemaju swasta terus dilaksanakan berpandukan dasar yang menetapkan kuota 30 peratus bagi rumah kos rendah. Walau bagaimanapun, mengambilkira keadaan permintaan semasa rumah kos rendah serta untuk menangani isu rumah yang tidak terjual, sesetengah kerajaan negeri membuat penyesuaian tertentu terhadap dasar tersebut.

21.08 Di bawah program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) untuk golongan berpendapatan rendah, sebanyak 27,006 unit rumah kos rendah dibina melibatkan 70 projek dalam tempoh Rancangan. Projek tersebut dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang kebanyakannya dibina di bandar kecil dan di kawasan subbandar. Rumah tersebut dijual kepada pembeli yang layak dan berdaftar melalui sistem pendaftaran terbuka berkomputer yang dikendalikan oleh kerajaan negeri berkenaan. Bagi bandar raya dan bandar utama, Program Perumahan Rakyat Bersepadu (PPRB) dilaksanakan untuk menempatkan semula setinggan. Di bawah program ini, sebanyak 37,241 unit rumah kos rendah dibina dan disewa kepada golongan yang layak. Daripada jumlah tersebut 24,654 unit rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala 12,587 unit di bandar utama lain di seluruh negara.

Perumahan Kos Sederhana Rendah

21.09 Bagi kategori perumahan kos sederhana rendah, sebanyak 83,910 unit rumah siap dibina, iaitu 63.9 peratus daripada sasaran Rancangan. Secara keseluruhan, pencapaian ini lebih baik berbanding dengan 20.7 peratus daripada sasaran dalam tempoh Rancangan terdahulu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61,084 unit rumah atau 72.8 peratus dibina oleh sektor swasta. Peratusan ini menunjukkan pemaju perumahan swasta memberikan reaksi positif dalam memenuhi permintaan rumah bagi kategori ini dan seterusnya mengurangkan tekanan permintaan rumah kos rendah. Di samping itu, SPNB telah membina sejumlah 3,898 rumah di bawah Program Perumahan Mampu Milik.

Perumahan Kos Sederhana dan Kos Tinggi

21.10 Dalam tempoh Rancangan, jumlah rumah kos sederhana dan kos tinggi yang dibina oleh sektor swasta jauh melebihi sasaran, menunjukkan permintaan yang berterusan bagi rumah kategori ini. Sehubungan ini, sebanyak 222,023 unit rumah kos sederhana dan 274,973 unit rumah kos tinggi telah dibina. Sektor awam telah membina 30,098 unit rumah kos sederhana atau 64.4 peratus dan 22,510 unit rumah kos tinggi atau 112.6 peratus daripada sasaran Rancangan. Sebahagian besar daripada rumah tersebut dibina oleh perbadanan kerajaan seperti PKEN dan SPNB untuk dijual kepada orang awam serta pembinaan oleh agensi kerajaan untuk digunakan sebagai rumah kediaman anggota sektor awam.

Pembangunan Perumahan di Kawasan Luar Bandar

21.11 Pelbagai program terus dilaksanakan di kawasan luar bandar seperti Program Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) untuk golongan miskin tegar dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS). Program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat luar bandar serta menyediakan rumah yang selesa dengan kemudahan asas. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 9,536 unit rumah baru untuk golongan miskin tegar dibina dan 13,037 unit rumah dibaik pulih. Dalam usaha untuk menyediakan petempatan baru yang dilengkapi dengan infrastruktur asas dan kemudahan awam, program seperti Penyatuan Semula Kampung, Pusat Pertumbuhan Desa dan Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil dilaksanakan melibatkan 40 kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 6,000 keluarga.

Perumahan untuk Anggota Sektor Awam

21.12 Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 43,620 unit atau 70.4 peratus daripada sasaran dibina sebagai rumah kediaman anggota sektor awam terutamanya yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja dan Jabatan Imigresen serta yang bekerja di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,286 unit dibina di Putrajaya. Rumah kediaman juga disediakan bagi anggota sektor awam yang lain seperti guru dan personel kesihatan yangTberkhidmat di luar bandar, kawasan terpencil dan kawasan yang kurang kemudahan tempat tinggal yang sesuai.

Perkhidmatan Bandar

Perkhidmatan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan

21.13 Pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk yang dipertanggungjawabkan dan aktiviti sampingan dalam menyediakan perkhidmatan kepada penduduk bandar. Aktiviti ini termasuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta membina dan menaik taraf kemudahan awam seperti dewan orang ramai, pasar, premis perniagaan dan kemudahan rekreasi.

21.14 Pengurusan Sisa Pepejal. Dalam tempoh Rancangan, pungutan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran dilaksanakan oleh syarikat konsesi, operator atau PBT berkenaan. Dalam usaha untuk mengurangkan sisa pepejal yang dihasilkan oleh orang awam, peningkatan kesedaran di kalangan orang awam terhadap pentingnya pengitaran semula telah dilaksanakan melalui kempen dan aktiviti kitar semula yang meluas oleh 97 PBT dengan kerjasama sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Sehubungan ini, pelbagai program kitar semula dilaksanakan termasuk kempen kesedaran orang ramai dan penyediaan pusat kitar semula terutamanya di kawasan perumahan serta pusat membeli-belah.

21.15 Langkah juga diambil untuk membolehkan PBT melaksanakan amalan pengurusan sisa pepejal yang bersistem serta meningkatkan tahap kebersihan. Sehubungan ini, kemudahan pengurusan sisa pepejal moden termasuk sebuah stesen pemindahan, sebuah loji rawatan terma dan tapak pelupusan sanitari disediakan untuk PBT seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 21-2. Bantuan kewangan juga disediakan kepada PBT terutamanya majlis daerah untuk menaik taraf kemudahan pelupusan, menjalankan program kitar semula dan perolehan peralatan pengurusan sisa pepejal. Sehubungan ini, sejumlah RM302 juta diagihkan kepada pelbagai PBT.

Jadual 21-2 : Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal, 2001-2005



21.16 Bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang bersepadu dan mampan, Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan (PSPSPK) diluluskan pada tahun 2005. PSPSPK menggariskan pelbagai strategi termasuk amalan pengurusan yang mampan menerusi pengurangan, penggunaan semula, pengitaran semula, penggunaan teknologi, kemudahan dan peralatan yang sesuai serta penyediaan standard perkhidmatan sisa pepejal. Bagi meningkatkan sistem penyampaian, PSPSPK mencadangkan supaya pelan tindakan disediakan dengan kerjasama masyarakat setempat, sektor swasta dan NGO.

21.17 Program Landskap dan Rekreasi. Selaras dengan hasrat negara untuk melaksanakan konsep bandar raya taman di pusat bandar, pelbagai projek landskap dan taman rekreasi dilaksanakan oleh PBT dengan sokongan dan bantuan daripada Jabatan Landskap Negara (JLN). Sehubungan ini, JLN menyediakan bantuan kepada PBT dan kerajaan negeri dalam merancang untuk mewujudkan jajaran hijau, mereka bentuk taman rekreasi dan taman awam serta menghijaukan dan melandskapkan sungai, jalan raya dan kemudahan awam. Di samping itu, sebanyak 30 pelan induk landskap dibangunkan bagi menyediakan panduan pembangunan landskap yang sesuai dengan tumpuan kepada kebersihan, keindahan dan persekitaran yang selamat serta memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemuliharaan sumber asli. Bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap taman rekreasi dan kawasan lapang yang lebih baik oleh penduduk bandar, sebanyak 17 taman awam baru dibina dan 256 taman awam sedia ada dinaik taraf. Di samping itu, kempen menanam pokok di seluruh negara terus dilaksanakan dalam tempoh Rancangan bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang pentingnya pokok dalam persekitaran tempat tinggal.

21.18 Menaik Taraf Pihak Berkuasa Tempatan. Beberapa PBT telah merombak struktur organisasi dan pentadbiran seiring dengan kemajuan perbandaran yang pesat serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat oleh penduduk bandar yang berpendidikan dan berpengetahuan. Dalam tempoh Rancangan, tiga majlis perbandaran dianugerahi taraf bandar raya iaitu Majlis Perbandaran Kota Setar di Kedah, Majlis Perbandaran Melaka Bandar Bersejarah di Melaka dan Majlis Perbandaran Miri di Sarawak. Di samping itu, 16 majlis daerah dinaik taraf kepada majlis perbandaran dengan liputan kawasan yang lebih luas, perancangan pembangunan yang lebih teratur dan peningkatan sumber kewangan bagi memastikan pembangunan yang lebih tersusun serta penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.

21.19 Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Dalam tempoh Rancangan, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dipertingkatkan lagi bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan PBT. Dalam pelaksanaan Smart Local Government Governance Agenda (SLGGA), usaha telah diambil untuk melengkapkan PBT dengan peralatan komputer dan perisian yang sesuai. Laman web untuk 52 PBT dibangunkan bagi membolehkan pelaksanaan aplikasi e-PBT yang melibatkan pelbagai sistem seperti sistem hasil, pelesenan, pelaporan, perakaunan, aduan dan sistem e-Penyerahan.

21.20 Local Agenda 21. Penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang dijalankan oleh PBT telah meningkat melalui program Local Agenda 21 yang dilancarkan pada tahun 2000. Program yang memberikan tumpuan kepada peningkatan pemahaman dan kerjasama antara masyarakat, PBT dan sektor swasta dilaksanakan di 47 PBT. Daripada jumlah tersebut, 16 PBT telah melancarkan pelan tindakan yang komprehensif berkaitan pembangunan mampan meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

21.21 Kemudahan dan Infrastruktur. PBT terus menggalakkan golongan berpendapatan rendah untuk melibatkan diri dalam perniagaan kecil dengan menyediakan kemudahan seperti pasar, pusat penjaja dan premis perniagaan yang disewa kepada mereka yang layak. Usaha juga diambil untuk meningkatkan infrastruktur termasuk menambah baik dan menaik taraf jalan raya, sistem pengangkutan awam bagi mengatasi kesesakkan lalu lintas dan menyediakan sistem saliran yang lebih baik untuk mengelakkan banjir kilat. Bagi memastikan keselamatan masyarakat bandar, konsep Bandar Raya Selamat diperkenalkan pada tahun 2004. Di bawah konsep tersebut, PBT digalakkan untuk meningkatkan penyediaan lampu jalan, laluan dan lorong pejalan kaki serta bekerjasama dengan pihak polis untuk menggalakkan, membangunkan dan melaksanakan inisiatif pencegahan jenayah di kawasan bandar.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat

21.22 Langkah terus diambil untuk menyediakan perkhidmatan bomba dan penyelamat yang berkualiti dan profesional setanding dengan amalan dan standard antarabangsa. Sehubungan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil pelbagai langkah untuk melengkapkan dan meningkatkan anggotanya dengan kemahiran dan peralatan yang sesuai, sistem komunikasi yang canggih serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan bomba. Dalam tempoh Rancangan, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan sebanyak 195,070 usaha memadam dan menyelamat dengan anggaran nilai aset dan barangan yang diselamatkan sebanyak RM47.7 bilion.

21.23 Bagi menyediakan perkhidmatan bomba dan penyelamat yang lebih berkesan, sebanyak 73 balai bomba baru telah dibina di pelbagai lokasi yang strategik terutamanya di kawasan perumahan, perniagaan dan perindustrian. Di samping itu lima kompleks ibu pejabat negeri dan dua bengkel wilayah dibina untuk memperkukuh dan meningkatkan perkhidmatan bomba dan penyelamat. Kecekapan perkhidmatan bomba dan penyelamat dipertingkatkan lagi dengan pembelian sebanyak 146 kenderaan pemadam kebakaran, 20 kenderaan bantuan dan 595 kenderaan pelbagai guna. Pembelian ini termasuk kenderaan memadam kebakaran yang canggih dan khusus untuk operasi menyelamat yang berisiko tinggi seperti kebakaran di bangunan tinggi, maritim dan pengendalian bahan berbahaya. Sebanyak dua helikopter dan lima bot tambahan juga dibeli dalam tempoh Rancangan untuk tujuan pengawasan dan operasi menyelamat.

III : PROSPEK 2006-2010

21.24 Dalam tempoh RMKe-9, pembangunan sektor perumahan akan terus memberikan tumpuan kepada penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu untuk dibeli atau disewa oleh semua rakyat. Sehubungan ini, sektor swasta akan bertindak sebagai peneraju manakala sektor awam akan memberi sokongan melalui penyediaan peraturan yang sesuai untuk menjamin kecekapan. Bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah, penekanan akan terus diberikan kepada pembangunan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan yang sesuai, lengkap dengan kemudahan awam yang mencukupi. Bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar, penyediaan perkhidmatan bandar akan memberikan tumpuan kepada usaha meluaskan skop perkhidmatan, mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, meningkatkan penyertaan masyarakat serta memastikan perancangan dan pembangunan PBT yang mampan.

21.25 Teras strategik pembangunan perumahan dan perkhidmatan bandar dalam tempoh Rancangan adalah seperti berikut:

a) menyediakan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa terutamanya untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dengan memberi penekanan lebih kepada kesesuaian lokasi dan persekitaran tempat tinggal yang kondusif;

b) mengkaji semula undang-undang dan peraturan ke arah memastikan pembangunan sektor perumahan yang lebih teratur;

c) menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah;

d) meningkatkan keberkesanan dan keupayaan PBT;

e) memastikan penyediaan perkhidmatan bandar yang berkualiti; dan

f) menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih meluas dalam pembangunan bandar.

Perumahan

21.26 Dalam tempoh Rancangan, keperluan rumah baru dianggarkan berjumlah 709,400 unit dengan 19.2 peratus di Negeri Selangor, diikuti Johor 12.9 peratus, Sarawak 9.4 peratus dan Perak 8.2 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-3. Daripada keseluruhan keperluan tersebut, 92.8 peratus adalah rumah baru manakala 7.2 peratus rumah gantian. Sektor swasta dijangka membina 72.1 peratus daripada keperluan keseluruhan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-4. Dari segi kategori perumahan, sebanyak 38.2 peratus adalah kombinasi rumah kos rendah dan kos sederhana rendah serta rumah untuk golongan miskin manakala 61.8 peratus untuk kategori rumah kos sederhana dan kos tinggi.

21.27 Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan terus menyediakan rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan rumah yang mencukupi untuk golongan berpendapatan rendah. Sehubungan ini, usaha akan diambil untuk mempercepat penyiapan projek yang sedang dalam pembinaan melibatkan 24,757 unit rumah. Di samping itu, sebanyak 43,800 unit rumah kos rendah untuk disewa dan dijual akan dibina bagi memenuhi permintaan oleh golongan berpendapatan rendah yang dijangka meningkat. Sehubungan ini, Jabatan Perumahan Negara akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan rumah tersebut dibina di kawasan sesuai dan dilengkapi dengan kemudahan awam.

Jadual 21-3 : Keperluan Perumahan Mengikut Negeri, 2006-2010



Jadual 21-4 : Sasaran Perumahan Sektor Awam & Swasta, 2006-2010



21.28 Bagi membantu usaha Kerajaan, SPNB akan membina sebanyak 26,120 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan bandar dan subbandar dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 3,050 unit rumah kos rendah akan dibina di kawasan luar bandar di bawah Program Perumahan Mesra Rakyat. SPNB juga dijangka membaik pulih 11,000 unit rumah terbengkalai daripada pelbagai projek perumahan di seluruh negara serta membina 166 rumah di Kedah dan 900 rumah di Pulau Pinang untuk penempatan semula mangsa tsunami.

21.29 Penglibatan sektor swasta yang lebih banyak dalam pembinaan rumah kos rendah akan digalakkan untuk memastikan penawaran rumah mampu milik adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah. Bagi membantu usaha tersebut, dasar dan strategi serta perundangan semasa akan dikaji semula. Usaha ini termasuk mensyaratkan kepada pemaju swasta menyerahkan tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah kos rendah dalam projek pembangunan bercampur kepada Kerajaan jika projek tersebut gagal dilaksanakan. Dalam tempoh Rancangan, sasaran pembinaan rumah kos rendah oleh sektor swasta ialah sebanyak 80,400 unit.

21.30 Bagi menggalakkan pemaju perumahan memperbanyakkan pembinaan rumah kos sederhana rendah dalam komponen projek pembangunan bercampur, syarat kuota 30 peratus rumah kos rendah akan dikaji semula terutamanya bagi kawasan yang kurang permintaan terhadap rumah kos rendah. Garis panduan khusus yang memperincikan spesifikasi, reka bentuk serta harga rumah kos sederhana rendah akan disediakan. Langkah ini akan membantu pemaju perumahan dalam menyediakan pelan pembangunan mereka, mempercepatkan proses kelulusan oleh PBT serta memastikan rumah tersebut memenuhi standard yang ditetapkan dan mampu untuk dibeli atau disewa oleh kumpulan sasar. Sejumlah 48,500 rumah kos sederhana rendah disasarkan untuk dibina oleh sektor swasta.

21.31 Langkah akan diambil untuk menambah baik sistem pendaftaran dan pengagihan rumah kos rendah bagi memastikan pembahagian yang lebih teratur dan mengelakkan golongan sasar daripada tidak memperoleh peluang untuk membeli rumah tersebut. Maklumat daripada pangkalan data tersebut akan dikemas kini secara berkala dan kriteria pemilihan pembeli yang layak akan dikaji dan diseragamkan antara semua negeri. Selain daripada tahap pendapatan, keutamaan juga akan diberi kepada golongan kurang mendapat faedah seperti ibu tunggal, keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dan juga golongan kurang upaya. Sistem pangkalan data berpusat sedia ada di KPKT akan dipertingkatkan dan disepadukan dengan pangkalan data yang dikendalikan oleh kerajaan negeri untuk memudahkan pemilihan dan pengagihan rumah kos rendah secara lebih bersistem dan telus.

21.32 Langkah juga akan diambil untuk memastikan semua rumah pangsa terutamanya kategori rumah kos rendah dan kos sederhana rendah disenggarakan dengan baik. Sehubungan itu, Jabatan Perumahan Negara dengan kerjasama PBT berkenaan akan menjalankan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penghuni tentang tanggungjawab terhadap kebersihan dan penyenggaraan premis mereka. Usaha juga diambil untuk menggalakkan penghuni melantik syarikat pengurusan untuk perkhidmatan penyenggaraan bangunan dan keselamatan.

21.33 Pembangunan Perumahan di Kawasan Luar Bandar. Usaha akan terus diambil untuk menyediakan kemudahan awam kepada penduduk luar bandar. Sehubungan ini, pelaksanaan program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar di kawasan luar bandar akan dikaji semula terutamanya untuk memastikan keberkesanannya. Peruntukan sebanyak RM233.1 juta akan disediakan untuk pembinaan rumah untuk golongan miskin tegar termasuk membaik pulih kira-kira 14,000 rumah usang. Di samping itu, projek pembangunan di bawah program Penyusunan Semula Kampung dan Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil akan dipergiat.

21.34 Perumahan untuk Anggota Sektor Awam. Kerajaan akan terus menyediakan rumah kepada anggota sektor awam terutamanya mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan penting dan di kawasan yang kurang kemudahan tempat tinggal yang sesuai. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 48,400 unit perumahan kerajaan dan kediaman pekerja terutamanya untuk anggota beruniform, perkhidmatan perubatan dan guru akan dibina di seluruh negara termasuk Putrajaya. Rumah tersebut akan disediakan di bandar utama, kawasan sempadan serta kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

21.35 Perumahan untuk Pekerja Ladang dan Industri. Kerajaan akan memastikan pemilik ladang menyediakan rumah atau tempat tinggal dan kemudahan yang mencukupi kepada pekerja mereka seperti diperuntukkan di bawah Akta Standard-standard Minimum dan Kemudahan Pekerja, 1990. Majikan dalam sektor perindustrian juga digalakkan supaya menyediakan kemudahan tempat tinggal dan kemudahan yang sesuai kepada pekerja mereka. Pemantauan dan pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh agensi berkaitan bagi memastikan pemilik ladang dan majikan sektor industri mematuhi keperluan tersebut.

21.36 Teknologi Perumahan, Penyelidikan dan Pembangunan. Usaha akan terus diambil untuk menggalakkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam aktiviti yang berkaitan dengan industri pembinaan termasuk perumahan. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan ditingkatkan lagi bagi menggalakkan penggunaan bahan binaan dan teknologi alternatif di bawah sistem bangunan berindustri (IBS) dan reka bentuk berpandukan konsep koordinasi bermodul dalam pembinaan rumah. Teknologi ini akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti dan kualiti rumah di samping menghasilkan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan bersih.

21.37 Pelaksanaan IBS dalam tempoh Rancangan akan berpandukan kepada satu rangka kerja strategik pelaksanaan, antara lain, termasuk penggunaan komponen IBS dalam pembinaan rumah mampu milik dan projek bangunan Kerajaan serta penguatkuasaan penggunaan konsep koordinasi bermodul melalui Undang-undang Kecil Bangunan Seragam oleh PBT. Kerajaan akan menyediakan insentif seperti kelulusan pelan pembangunan secara green lane dan pengecualian levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada pengguna pelan standard yang direka bentuk berpandukan komponen koordinasi bermodul dan komponen bangunan standard. Di samping itu, tumpuan akan diberikan kepada R&D yang berkaitan dengan perkhidmatan bangunan mampan dan teknologi yang mesra alam berpandukan kepada konsep 3P (pengurangan, penggunaan dan pengitaran semula) seperti mengitar semula air sisa dan kecekapan tenaga.

Perkhidmatan Bandar

Perkhidmatan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan

21.38 Bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan kualiti perkhidmatan bandar, Dasar Perbandaran Nasional akan digubal. Dasar tersebut akan menggariskan strategi ke arah mewujudkan bandar raya dan bandar yang selamat, bersistem, moden dan menarik.

21.39 Langkah juga akan diambil untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan di peringkat negeri, PBT dan daerah berasaskan kepada rancangan struktur dan rancangan tempatan yang telah diluluskan. Usaha ini termasuk pematuhan yang lebih ketat oleh pemaju akan syarat rancangan yang berfungsi sebagai alat perancangan penggunaan tanah dan pengagihan sumber. Pembangunan kampung tradisional dan kampung tersusun di kawasan bandar akan berpandukan kepada model kampung yang dibangunkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

21.40 Langkah akan diambil untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan pengurusan PBT dengan meningkatkan bina upaya dan mengkaji semula sistem dan prosedur yang berkaitan. Sehubungan ini, usaha akan terus diambil untuk membangunkan modal insan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pekerja mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam memberi perkhidmatan kepada orang awam. Satu mekanisme pemantauan juga akan diwujudkan oleh KPKT bagi memastikan keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Negara Kerajaan Tempatan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan PBT.

21.41 Bagi meningkatkan kutipan hasil dan kemampuan kewangan PBT, nilai aset pegangan dan kadar taksiran akan dikaji semula seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 171. Tumpuan yang lebih akan diberikan kepada PBT yang tidak mengkaji semula kadar taksiran melebihi 10 tahun. Di samping itu, formula pemberian geran tahunan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada PBT di bawah Geran Tahunan Berasaskan Kadar Keseimbangan akan dikaji semula bagi memastikan PBT, terutamanya majlis daerah diberi bantuan kewangan yang sewajarnya. Bagi meningkatkan lagi kutipan hasil, PBT akan digalak untuk mempelbagaikan kaedah kutipan termasuk melaksanakan sistem pembayaran dalam talian serta memberikan diskaun kepada bayaran awal. Di samping itu, PBT juga akan digalak supaya memperkenalkan langkah yang lebih inovatif bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kebergantungan pada bantuan kewangan Kerajaan serta ke arah mengamalkan sumber pembiayaan sendiri dalam jangka panjang. Usaha juga akan diambil untuk memperluas pelaksanaan SLGGA kepada lebih banyak PBT terutamanya bagi yang berstatus bandar raya dan majlis perbandaran.

21.42 Program Local Agenda 21 akan diperluas kepada semua PBT berdasarkan kepada pencapaian 47 PBT dalam tempoh Rancangan terdahulu. Bagi memudahkan penyertaan masyarakat setempat dalam program tersebut, lebih banyak pusat komuniti yang diuruskan oleh persatuan penduduk akan ditubuhkan. Pusat komuniti ini akan menjadi titik fokus untuk aktiviti sosial dan penyebaran maklumat seperti maklumat mengenai peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan. Bagi meningkatkan kebolehcapaian masyarakat kepada aktiviti berasaskan ICT, kemudahan pembelajaran komputer akan disediakan di pusat komuniti.

21.43 Dalam usaha ke arah menjadikan masyarakat setempat yang lebih bertangunggjawab terhadap penyenggaraan persekitaran, penduduk setempat, sektor swasta dan NGO digalakkan terlibat dalam aktiviti gotong-royong, melaksanakan aktiviti kitar semula sisa pepejal, kempen dan program pendidikan untuk mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat. Insentif dalam bentuk anugerah dan peruntukan khas akan disediakan kepada PBT yang mampu mencapai dan mengekalkan tahap penyertaan seperti yang dikehendaki.

21.44 Program pembangunan dan projek di kawasan kampung baru akan dilaksanakan berpandukan pelan induk yang baru diwujudkan. Langkah ini termasuk menambah baik kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial serta penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta pelancongan. Bagi membantu pembangunan kampung tradisional dalam kawasan PBT, satu pelan induk khusus akan diwujudkan. Sehubungan ini, peruntukan sebanyak RM400 juta akan disediakan bagi melaksanakan projek di kampung tradisional dan kampung baru.

21.45 Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan. Pengurusan sisa pepejal dalam tempoh Rancangan akan berpandukan Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan (PSPSPK). PSPSPK akan menggariskan dasar, strategi dan pelan tindakan yang akan menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan dalam merancang dan memperuntukkan sumber. Bagi memudahkan pelaksanaan PSPSPK, langkah akan diambil untuk mengkaji semula institusi, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal sedia ada serta menambah baik kemudahan infrastruktur. Hierarki pengurusan sisa pepejal di bawah PSPSPK akan memberikan keutamaan kepada kaedah pengurangan, penggunaan dan perolehan semula serta pemilihan teknologi dan kemudahan yang akan disediakan. Pembinaan kemudahan yang kecil dan mudah urus akan diberi keutamaan. Sebuah entiti baru iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal akan ditubuhkan di bawah KPKT untuk melaksanakan penggubalan dasar, merancang dan mengurus sisa pepejal termasuk hal yang berkaitan dengan kewangan.

21.46 Bagi memastikan respons dan penyertaan orang ramai dalam program dan projek pembangunan serta aktiviti berkaitan dengan sisa pepejal yang dijalankan oleh Kerajaan, kempen kesedaran awam akan diperhebatkan. Kempen tersebut akan memberikan tumpuan ke arah mendidik orang awam tentang keperluan mengadakan kemudahan pengurusan sisa pepejal yang betul, kos yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan dan peranan masyarakat dalam program kitar semula. Pelan induk kitar semula di peringkat kebangsaan akan diwujudkan bagi memperkukuh keupayaan dan kemampuan agensi berkaitan serta mewujudkan masyarakat yang komited ke arah mengurangkan sisa pepejal dan mencapai sasaran kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020.

21.47 Program Landskap dan Rekreasi. Selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia negara maju, bersih dan negara taman yang menarik, usaha akan terus diambil ke arah pembangunan landskap yang berkualiti. Dasar landskap negara yang komprehensif yang disokong dengan peraturan berkaitan akan digubal untuk memacu pelaksanaan program. Sehubungan ini, JLN akan memastikan perancangan untuk taman awam baru berpandukan kepada standard kawasan lapang dan kemudahan rekreasi serta selaras dengan pelan induk landskap di peringkat negeri. Taman awam dan kawasan landskap akan direka bentuk bagi memastikan mudah disenggara, mampan, menarik dan mudah digunakan oleh orang awam, termasuk warga tua dan orang kurang upaya. Di samping itu, R&D mengenai landskap dan perancangan taman akan dipertingkatkan bagi memastikan kemajuan pembangunan landskap. PBT akan terus mengambil langkah untuk menggalakkan perkongsian pintar antara sektor swasta dan NGO untuk menaik taraf dan menyenggara taman awam. Langkah ini termasuk menyediakan peralatan taman permainan, membina litar kecergasan dan gazebo serta menyenggara laluan pejalan kaki.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat

21.48 Usaha akan terus diambil untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan bomba dan penyelamat bagi memenuhi keperluan keselamatan bomba dan standard antarabangsa. Dalam tempoh Rancangan, penekanan akan diberikan kepada membina balai bomba dan pengkalan operasi serta pembelian peralatan memadam kebakaran dan menyelamat yang lebih komprehensif. Bagi meningkatkan lagi profesionalisme dan kemahiran anggota bomba dalam memadam dan menyelamat, Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai di Terengganu akan diperbesar untuk meningkatkan kapasiti latihan yang dilengkapkan dengan teknologi bomba dan penyelamat terkini. Di samping itu, pusat R&D yang menjalankan R&D keselamatan dan kejuruteraan bomba akan ditubuhkan dalam tempoh Rancangan.

21.49 Kempen mencegah kebakaran akan terus dilaksanakan untuk mempertingkat lagi kesedaran awam tentang kepentingan mengambil langkah pencegahan kebakaran. Langkah akan diambil untuk menyebarkan maklumat mengenai pencegahan dan perlindungan kebakaran melalui media massa dan bahan bercetak. Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menjalankan pameran dan sesi latihan menggunakan kenderaan pameran bergerak. Bagi menggalakkan penyertaan orang awam dalam aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, lebih banyak briged sukarelawan bomba dan penyelamat akan diwujudkan, terutamanya di kawasan subbandar dan kawasan perumahan.

IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN

21.50 Dalam tempoh Rancangan, KPKT akan memainkan peranan utama dalam melaksanakan program perumahan kos rendah dan menyediakan perkhidmatan bandar termasuk perkhidmatan bomba dan penyelamat manakala Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menjadi agensi utama bagi perumahan luar bandar. Penyediaan perumahan kerajaan dan kediaman anggota sektor awam pula akan dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. Peruntukan sebanyak RM18.4 bilion bagi pembangunan perumahan dan perkhidmatan bandar akan disediakan seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-5. Bagi program perumahan sektor awam, peruntukan sebanyak RM9.5 bilion akan disediakan dan daripada jumlah tersebut RM6.8 bilion untuk pembangunan perumahan kerajaan dan kediaman anggota sektor awam manakala bakinya bagi rumah kos rendah dan rumah untuk golongan miskin tegar. Di samping itu, sebanyak RM9.0 bilion akan diperuntukkan bagi perkhidmatan bandar termasuk RM1.5 bilion untuk perkhidmatan bomba dan penyelamat.

Jadual 21-5 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Untuk Perumahan dan Perkhidmatan Bandar, 2001-2010 (RM Juta)

V : PENUTUP

21.51 Dalam tempoh RMKe-8, prestasi program perumahan secara keseluruhannya meningkat melepasi sasaran Rancangan. Pelaksanaan perumahan dan program perkhidmatan bandar telah menyumbang kepada peningkatan kualiti dan taraf hidup penduduk bandar dan luar bandar. Dalam tempoh RMKe-9, keutamaan akan terus diberikan kepada penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa untuk semua rakyat daripada pelbagai peringkat pendapatan dengan memberikan penekanan kepada golongan berpendapatan rendah. Usaha akan diambil untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan bandar oleh PBT dan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat dan sektor swasta yang lebih besar dalam pengurusan persekitaran tempat tinggal. Bagi memastikan penyediaan perkhidmatan memadam kebakaran dan menyelamat yang lebih baik, usaha meningkatkan keupayaan anggota bomba melalui pengetahuan dan kemahiran dalam aspek keselamatan dan kejuruteraan bomba akan ditingkatkan.

 


[Baca]