Arkib: September 2008

Majlis permuafakatan pelajaran di semua PPD

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Majlis permuafakatan pelajaran yang menggabungkan kerjasama semua pihak bagi menangani sebarang masalah di setiap sekolah akan diwujudkan secara tetap di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, antara isu yang boleh dibincang dan diselesaikan melalui majlis tersebut termasuk disiplin, kesihatan dan kebersihan sekolah serta masalah sosial pelajar.

Katanya, pihak yang terlibat pula termasuk polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hospital, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

"Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang di Terengganu sudah ada majlis tersebut dan ia amat membantu pihak sekolah menyelesaikan banyak isu sekolah dan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis menerima 100,000 ucapan kemerdekaan sepanjang 5.1 kilometer oleh pelajar sekolah yang akan dicatat dalam Malaysia Book of Records anjuran Gerakan Ehsan Selangor dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang juga Yang Dipertua Gerakan Ehsan Selangor, Tan Sri Zaleha Ismail.

Razali berkata, langkah tersebut akan membolehkan pihak sekolah mengenal pasti masalah atau isu yang timbul di kalangan pelajar dalam usaha menangani gejala sosial pada hari ini.

Dalam pada itu, Zaleha berkata, acara 100,000 ucapan kemerdekaan yang diusahakan adalah sebagai penghargaan kepada pejuang kemerdekaan dan menimbulkan semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah.

Katanya, kain rentang yang mengandungi ucapan kemerdekaan rakyat Malaysia itu akan dikibarkan di Stadium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 28 Ogos ini.


[Baca]

Ramai guru Sains, Matematik lemah bahasa Inggeris

BESUT 2 Sept. - Guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik diminta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, imbuhan yang mereka terima sepatutnya digunakan untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa itu.

''Ramai guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang itu untuk tujuan lain menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka masih di takuk lama,'' katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan sekolah daerah Besut di sini hari ini.

Razali berkata, sejak Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, kerajaan telah membayar BISP kepada guru Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka yang berkelulusan diploma.

Beliau tidak menafikan PPSMI menghadapi sedikit masalah yang berpunca daripada kelemahan guru dalam menguasai kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar subjek itu.

Razali berkata, setakat ini kerajaan telah membelanjakan hampir RM5 bilion untuk program itu.

- Bernama


[Baca]