Arkib: May 2008
Kisah Musa, Khaidhir
Bersama:MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: SAYA membaca cerita Nabi Musa berguru dengan seorang hamba Allah yang
soleh. Adakah cerita itu benar-benar berlaku sedangkan Nabi Musa adalah Nabi
besar dari kalangan ulul azmi, manakala Khaidhir pula seorang saleh biasa yang
dikurniakan ilmu dari Allah. Apakah cerita sebenarnya dan apakah pengajaran
daripada cerita ini?
– Mohd Rizal Mohd Said,
Kuala Langat, Selanggor.
JAWAPAN: Ya! Cerita tersebut memang tercatat dalam al-Quran pada akhir surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 65-82. Dikatakan (dikisahkan) Nabi Musa pada suatu hari ada berkata bahawa dialah manusia yang paling alim. Lalu Allah mahu mengingatkanya bahawa ada lagi orang lain yang lebih alim daripadanya selain Allah. Iaitu seorang hamba-Nya yang dikurniakan ilmu daripada-Nya. Orang ini dikatakan bernama Khaidhir. Lalu Nabi Musa ingin bertemu dan belajar dengan hamba itu. Dan bila Nabi Musa bertemu dengannya, baginda pun berkata bolehkah aku mengikutimu untuk belajar.
Jawab Khaidhir: Boleh, tetapi dengan syarat bila kamu ikut aku maka jangan bertanyaku sesuatu sehingga aku bagi tahu kamu jawapannya. Dan kamu tidak mampu bersabar denganku , bagaimana boleh kamu tahan sabar terhadap perkara yang kamu tidak dapat memahami rahsianya.
Ringkas ceritanya: Mereka pun berjalanlah sehingga sampai di satu pelabuhan dan terpaksa menaiki kapal. Apabila kapal itu tiba di destinasinya penumpang pun turun lalu Khaidhir tidak terus turun malah mengambil kapak dan melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa pun hairan, kenapa kamu rosakkan kapal ini yang telah membawa kita semua dengan selamat. Sedangkan anak kapal tersebut sangat memuliakan mereka berdua. Sepatutnya kita semua terhutang budi dengan mereka, kamu telah lakukan kerja bodoh. Maka jawab Khaidhir bukankah aku kata, yang kamu tidak mampu bersabar denganku. Kemudian jawab Musa ia terlupa dan iapun memohon maaf. Lalu mereka meneruskan perjalanannya dan bertemu dengan anak-anak yang sedang bermain lalu Khadhir menangkap budak itu dan membunuhnya. Kata Nabi Musa: Kenapa kamu bunuh budak kecil yang tidak berdosa. Ini satu kesalahan yang amat besar.
Jawab Khaidhir: “Aku dah katakan kamu tidak mampu bersabar dengan-Ku”. Kata Nabi Musa, “Sekiranya aku bertanya lagi maka jangan berkawan lagi denganku cukuplah kesilapanku denganmu yang tidak tertahan.”
Lalu mereka berjalan lagi sehingga tiba di sebuah kampung dalam keadaan kelaparan dan ingin mendapatkan makanan dari penduduk kampung yang kedekut itu. Tetapi seluruh penduduk kampung enggan menjamu mereka, lalu bermalamlah mereka dalam kelaparan tetapi Khaidhir apabila bertemu dengan dinding yang hampir roboh lalu beliau bertungkus lumus menegakkanya kembali sekalipun dalam kelaparan.
Kata Nabi Musa, “Elok kalau kamu minta sedikit upah atas kerjamu itu untuk menghilang kelaparan kita ini.” Kata Khaidhir, “Inilah tiba masa perpisahan antara kita. Aku akan ceritakan rahsia perkara yang kamu tidak tahan sabar mengenainya.
“Adapun kapal yang aku rosakkan tempoh hari adalah milik orang miskin yang bekerja (mata pencarian hidup mereka) dalam laut. Aku rosakkannya untuk mengelak dari dirampas raja zalim yang akan merampas semua kapal yang baik-baik. Ini dilakukan supaya dia boleh bekerja membawa penumpang dengan selamat kelak. Dan ternyata selepas itu kapal itulah satu-satunya kapal yang tidak dirampas dan dapat bekerja belayar berulang alik membawa penumpang. Dan kehidupan pekerja kapal yang miskin tadi berubah menjadi senang dan kaya-raya.
“Adapun budak kecil yang dibunuh tadi kerana bila besar nanti dia akan menderhakai ibu bapanya, lalu kemudian Allah ingin menggantikannya dengan anaknya yang lain yang lebih baik dan menyayangi lagi menghormati mereka. Adapun dinding yang hampir roboh tadi, adalah milik dua anak yatim dalam bandar tersebut. Tetapi oleh kerana mereka masih kecil dan tidak mampu menjaga dinding tersebut dengan baik maka aku betulkan sehingga mereka besar nanti dapatlah mereka keluarkan gedung harta yang tersembunyi di bawahnya sebagai harta simpanan dari ibu bapa mereka yang soleh.
“Ini semua kerana rahmat dari Tuhanmu. Semuanya ada rahsia yang kamu tidak mampu bersabar atasnya. Antara pengajaran yang dapat difahami dari kisah tersebut ialah: Tidak ada mereka yang lebih alim melainkan ada di atasnya Yang Maha Mengetahui daripadanya. Kita disuruh belajar sekalipun dengan orang yang lebih rendah dari kita dan setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmatnya dan sekalipun ianya berupa musibah tetapi pasti ada bersamanya rahmat dan nikmat.” Allah berfiman bermaksud: Sungguhnya berserta kesusahan itu kesenangan (surah al-Insyirah ayat 5-6) Wallahualam.
[Baca]
Ketagihan masalah utama
![]() |
|
ROKOK dan produk tembakau lain dinamakan sebagai punca penyakit yang boleh dicegah utama dunia.
|
HARI Tanpa Tembakau Sedunia 2008 akan disambut untuk julung kalinya pada 31 Mei ini (Sabtu). Bagaimanapun, di manakah kita dalam usaha memerangi rokok dan produk tembakau kini?
Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr. Zarihah Mohd. Zain menjelaskan maklumat terkini menunjukkan Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok.
“Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus).
“Bilangan perokok juga lebih tinggi di bandar yang berjumlah 1.56 juta (57.1 peratus) sementara 1.17 juta perokok lagi dari kawasan luar bandar (42.9 peratus),” ujarnya.
Menurut Dr. Zarihah, kaum Melayu merupakan perokok paling ramai, berjumlah 1.66 juta (60.9 peratus) sementara kaum India paling sedikit dengan jumlah 150,000 perokok sahaja (5.5 peratus).
Namun, tahukah anda bahawa seorang perokok baru boleh mati jika menghisap lebih 40 batang rokok dalam masa satu hari?
Ahli Pengasas Persatuan Penyelidikan Nikotina dan Tembakau (SRNT), Profesor Dr. Karl Olov Fagerstrom menjelaskan otak perokok baru boleh ‘memberontak’ jika menerima terlalu banyak nikotina sebelum dapat menyesuaikan diri (adaptasi).
“Perokok ‘veteran’ dapat merokok sehingga lebih 40 batang rokok dalam satu hari kerana otak mereka telah menyesuaikan diri dengan jumlah nikotina yang banyak.
“Bagaimanapun, otak perokok veteran juga akan memberontak jika mereka berhenti merokok memandangkan otak perokok telah membentuk pergantungan terhadap jumlah nikotina yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, perokok memerlukan keazaman yang kuat untuk berhenti merokok jika telah membentuk pergantungan nikotina yang kuat.
Dr. Fagerstrom turut menjelaskan WHO menamakan tabiat merokok sebagai faktor utama punca penyakit boleh dicegah.
“Tembakau menjadi punca penyakit seperti kanser, penyakit vaskular serta masalah sistem pernafasan seperti bronkitis kronik dan penyakit paru-paru.
“Mengikut Klasifikasi Penyakit Antarabangsa, pergantungan kepada tembakau dikelaskan sebagai sejenis penyakit, sama seperti pergantungan kepada alkohol,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan seorang perokok, yang telah merokok seumur hidupnya, meninggal dunia setiap saat akibat penyakit berkaitan tembakau.
Penilaian pergantungan nikotina
Antara yang paling memeranjatkan Dr. Fagerstrom bila tiba di Malaysia adalah melihat ramai wanita (tempatan) yang merokok secara terbuka.
“Saya terperanjat melihatkan ramai wanita yang merokok di sebuah hotel tempatan tempat saya menginap baru-baru ini.
“Mungkin bagi sesetengah pihak yang mempunyai pandangan kuat dalam isu merokok (anti merokok), perokok dilihat sebagai golongan kelas bawahan. Namun, mereka adalah pesakit yang perlu dibantu mengatasi pergantungan terhadap nikotina,” jelasnya.
Melihatkan masalah pergantungan nikotina kurang dibangunkan secara amalan klinikal, beliau mengasaskan Ujian Pergantungan Kepada Nikotina Fagerstrom. Melalui enam soalan mudah, perokok dapat menentukan tahap pergantungan mereka terhadap nikotina.
Rasa terdesak untuk merokok pada waktu pagi selepas bangun dari tidur dan bilangan rokok yang dihisap dalam satu hari menjadi antara penanda aras utama pergantungan terhadap nikotina.
Dr. Fagerstrom menyatakan perokok sendiri setuju pergantungan nikotina merupakan satu masalah tetapi memilih untuk cuma menganggapnya sebagai satu tabiat buruk semata-mata.
“Nikotina memenuhi kriteria pergantungan (ketagihan) kepada sejenis dadah, dengan 50 hingga 60 peratus perokok diklasifikasikan mempunyai pergantungan nikotina.
“Pergantungan ini menyebabkan badan perokok perlu mendapatkan nikotina dalam jumlah tertentu selepas bangun tidur (dan secara berpanjangan) kerana nikotina digunakan dengan pantas (sekitar dua jam) oleh badan,” ujarnya.
Menurut Dr. Fagerstrom, rokok rendah nikotina akan menyebabkan perokok memerlukan lebih banyak rokok, sedutan yang lebih dalam serta lebih lama di dalam paru-paru bagi mendapatkan jumlah nikotina yang diperlukan otak.
“Perokok juga ditipu dengan dakwaan rokok tertentu kurang bahaya dan kurang tar sedangkan risiko mereka mendapat penyakit seperti kanser tetap sama.
“Penapis rokok yang didakwa kurang tar ditebuk supaya rokok dicairkan oleh udara. Namun, perokok dengan tidak sengaja akan menutup lubang tersebut ketika merokok, menyebabkan jumlah tar yang disedut tetap sama,” katanya.
Ingin berhenti
Nikotina tidak berbahaya tetapi membentuk pergantungan seperti yang berlaku kepada mereka yang gemar minum kopi atau teh (kafein). Namun, pergantungan ini menyebabkan perokok terus menyedut bahan kimia berbahaya di dalam tembakau.
Tabiat psikologi perokok juga akan memainkan peranan dalam usaha mereka berhenti merokok. Ubat tertentu boleh membantu tetapi bukannya penyembuh ajaib.
Menurut Dr. Fagerstrom, usaha berhenti merokok turut bergantung kepada persekitaran dan masyarakat.
“Jika semua orang merokok (seperti dalam penjara) atau sering melihat rakan atau iklan rokok, pasti lebih sukar untuk berhenti.
“Masyarakat perlu menjadi lebih negatif terhadap rokok dan produk tembakau sementara mereka yang tidak merokok perlu berani meminta perokok untuk tidak merokok di tempat awam,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan individu yang tidak merokok juga mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi menghidap kanser paru-paru jika pasangan mereka merokok.
Perokok yang merokok sebagai satu tabiat dan bukan kerana pergantungan pula dilihat lebih sukar berhenti merokok terutamanya jika persekitaran dipenuhi perokok lain atau iklan rokok. Perokok boleh cuba berhenti secara mendadak (cold turkey - kulit seperti kulit ayam dicabut bulu), tetapi 95 peratus yang mencuba kaedah ini akan gagal jika tidak mendapatkan bantuan dan sokongan.
Perokok itu pesakit
Perokok adalah pesakit saya! Itulah tanggapan Dr. Fagerstrom terhadap perokok yang ingin berhenti merokok.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa produk tembakau terus dijual jika ia mengambil satu nyawa setiap saat.
“Nikotina adalah sejenis dadah dan pergantungan terhadapnya serupa dengan ketagihan dadah. Kita sepatutnya membantu mereka,” jelasnya.
Menurut beliau otak sesetengah individu juga berfungsi lebih baik dengan adanya nikotina. AS menjadi contoh jelas di mana lima peratus doktor di sana merokok sedangkan banyak tekanan diberikan supaya penduduk negara itu berhenti merokok.
Apa yang sepatutnya kita dilakukan adalah membantu perokok berhenti merokok dan menyedarkan mereka merokok itu bukan hanya mencemar persekitaran tetapi juga badan mereka sendiri.
Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sabtu ini, mungkin perokok dapat memainkan peranan dengan mengurangkan atau tidak merokok, walaupun cuma untuk satu hari. Bagi mereka yang tidak merokok, jadikanlah hari tersebut untuk meminta kenalan dan orang tersayang mengurangkan atau tidak menggunakan produk tembakau. Elakkan rokok, dan mungkin saat berikutnya tidak meragut nyawa anda.
[Baca]
Alternatif herba untuk berhenti merokok
![]() |
|
PRODUK Rid-Tobak yang dilancarkan baru-baru ini menjadi alternatif herba untuk perokok berhenti merokok.
|
PEROKOK kini boleh menghentikan tabiat merokok secara lebih mudah dan selamat dengan perkenalan produk herba berhenti merokok, Rid-Tobak yang merupakan campuran enam herba ciptaan seorang penyelidik dari India.
Produk itu yang dilancarkan di peringkat global pada April 2005, diimport oleh syarikat KL Vitality pada tahun lalu dan dilancarkan bulan lalu oleh Pengurus Besar KL Vitality, H. H. Teh.
Teh mendakwa, 93 peratus perokok yang menggunakan produk itu dapat menghentikan tabiat buruk itu dalam masa pendek dengan cara yang sihat.
Kajian terkini menunjukkan perokok di Malaysia tidak menunjukkan sebarang penurunan, sebaliknya turut mencatatkan peningkatan bilangan perokok wanita. Perkara ini menambahkan kerisauan di kalangan orang ramai terutamanya mereka yang terpaksa menyedut asap rokok yang dihembus keluar oleh perokok.
"Tujuan kami mengimport produk ini dari India adalah untuk membantu orang ramai yang gemar merokok supaya berhenti daripada tabiat itu.
"Ini kerana merokok bukan sahaja membahayakan badan perokok, malahan juga membahayakan orang di sekeliling yang terpaksa menyedut asap rokok," kata Teh.
Kata beliau, produk tersebut merupakan hasil ciptaan Dr. Chetan Somnath Mehta yang merupakan pakar penyelidik dalam bidang pemakanan nutrisi berherba dari India yang telah mengambil masa selama 12 tahun untuk menjalankan penyelidikan ke atas produk tersebut serta menguji sebelum digunakan oleh ribuan perokok.
Keputusan ujian beliau memuaskan dan produk itu kini disanjung tinggi oleh ramai pakar perubatan pelbagai bidang.
Kini, produk ini diamalkan oleh perokok untuk mengatasi tabiat merokok secara mudah, selamat dan selesa di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, negara Eropah, Rantau Asia dan kini di Malaysia.
Menurut Teh, prinsip utama Dr. Chetan dalam mencipta produk ini adalah merokok merupakan suatu tabiat yang amat merbahaya dan memerlukan pengubahan dengan segera.
Jika tabiat merokok dapat diubah, maka para perokok dapat diselamatkan daripada pelbagai masalah kesihatan yang bakal menimpa dirinya kelak.
Katanya lagi, produk ini adalah gabungan enam jenis herba yang tidak mengandungi sebarang sisa-sisa nikotin, bahan kimia dan tidak akan membawa sebarang kesan sampingan ke atas mereka yang menggunakannya.
Inti pati
Antara herba yang digunakan dalam produk tersebut adalah Ashwagandha, Shankh Pushpi, Mandukparni-Brahmi, Safed Musali, Tulsi dan Jai yang hanya boleh didapatkan dari Gunung Himalaya.
"Rid-Tobak bukanlah suatu ubat atau produk yang dapat memulihkan penyakit atau sebarang gangguan kesihatan tetapi sebaliknya ia dapat membantu para perokok untuk menjauhi dan membenci akan tabiat merokok melalui kandungan herbanya yang dapat memahitkan rasa tembakau secara efektif, cepat dan mudah.
"Ia merupakan sejenis produk makanan yang telah diuji, dicuba dan disokong oleh ramai pakar perubatan, hospital dan pusat pemulihan di India bagi membantu mengatasi masalah merokok di kalangan perokok dewasa dan remaja," tambah Teh.
Rid-Tobak adalah sebuah produk pemakanan yang tidak mempunyai sebarang kesan sampingan dan tidak mempunyai manisan berlebihan atau bahan pewarna tiruan.
Ia merupakan 100 peratus ramuan herba yang ditanggung halal dan telah dikelaskan sebagai produk makanan serta diiktiraf sebagai produk yang amat selamat digunakan.
Produk ini dikatakan membantu membanteras ketagihan menghisap rokok dan perokok tidak akan menikmati sebarang rasa untuk merokok setelah mengamalkan pengambilan produk ini. Ia juga membantu perokok mengatasi ketagihan nikotin dalam tembakau.
Selain itu, produk ini didakwa akan menyebabkan perokok membenci dan membuang tabiat merokok serta-merta di atas kerelaan diri tanpa sebarang paksaan.
Ia juga dikatakan telah berjaya membantu ribuan perokok mengatasi tabiat merokok mereka secara berkesan di seluruh dunia dan kini terdapat di Malaysia.
Rid-Tobak telah dikaji selama 10 tahun ke atas ramai penagih serta pengamal bahan-bahan nakrotik dan kajian berkenaan mengeluarkan keputusan yang amat memuaskan.
Selain daripada negara China, India juga mempunyai ramai pesakit kronik seperti barah jantung dan barah paru-paru yang disebabkan tabiat merokok dan penggunaan bahan nakrotik lain.
Cara penggunaan
Seseorang perokok hanya perlu meletakkan lapan titik produk itu di bawah lidah selama dua minit dan menelannya. Selepas penggunaan beberapa minit sahaja dan ditelan ke dalam badan, perokok akan berasa merokok itu bukan lagi sesuatu yang mengasyikkan.
Tetapi perokok juga perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk berhenti merokok dan dinasihati menjauhkan diri daripada perokok-perokok lain yang tidak berazam untuk berhenti merokok.
Untuk kebanyakan orang, hanya sebotol produk ini sudah memadai untuk kegunaan antara tujuh hingga 14 hari bagi menghentikan tabiat merokok.
Tetapi, jika rasa ketagihan masih wujud, pengguna dinasihatkan untuk terus menggunakan produk itu sebelum merokok semula. Produk ini adalah selamat digunakan tanpa was-was oleh semua lapisan masyarakat kerana kandungannya terdiri daripada 100 peratus tumbuhan herba.
Ia juga amat sesuai digunakan di kalangan remaja untuk mengatasi gejala merokok sebelum tabiat itu berubah kepada penagihan dadah.
Rid-Tobak adalah selamat digunakan oleh sesiapa sahaja walaupun dalam jumlah yang lebih atau sedikit daripada disarankan pengeluar.
Ia tidak mengandungi sebarang kandungan alkohol atau bahan yang diharamkan atau tidak dibenarkan di sisi ajaran Islam di mana ia mempunyai sijil halal dan boleh digunakan.
Walaubagaimanapun, perokok-perokok yang mengidap penyakit-penyakit tertentu disyorkan mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum menggunakannya.
Kajian
Kajian serta ujian yang telah dijalankan ke atas ramai perokok telah memberi keputusan yang amat menakjubkan. Ujian dan kajian dibuat oleh pakar-pakar perubatan ke atas pesakit-pesakit mereka didakwa telah mencapai kejayaan di antara 84 hingga 100 peratus.
Seramai 20,000 juga orang telah mencuba Rid-Tobak, tanpa sebarang laporan kesan-kesan sampingan atau sebarang masalah kesihatan.
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan telah menjalankan ujian makmal ke atas Rid-Tobak dan ia diklasifikasikan sebagai kategori pemakanan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sementara itu, Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia juga telah menjalankan ujian keracunan dan ujian kandungan bahan logam berat dalam produk Rid-Tobak dan ia diisytiharkan sebagai produk yang amat selamat digunakan.
Rid-Tobak juga disahkan tidak mengandungi sebarang bahan racun, dadah atau bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan pengguna.
Perokok yang berminat untuk berhenti merokok atau inginkan maklumat lanjut mengenai produk tersebut boleh menghubungi talian 03-89426018 atau 04-6381312.
[Baca]
Jangan biarkan emosi ‘memakan’ diri
TINA telah bekerja kuat sepanjang hari dan berasa tertekan atau stres. Beliau telah berjumpa ramai pelanggan, menghadiri beberapa mesyuarat dan kini terpaksa kembali semula ke pejabat untuk menghabiskan kerja. Semasa berjam-jam menulis kertas kerja, Tina telah menghabiskan dua kepingan coklat yang besar, satu beg kerepek, tiga keping donat dan beberapa tin minuman berkarbonat.
Kumar mendapati anjing kesayangannya telah hilang dari rumah apabila beliau pulang dari pejabat. Oleh kerana sangat sedih serta rasa kehilangan, beliau telah mencari ketenangan dengan memakan aiskrim. Tiga puluh minit kemudian, Kumar telah menghabiskan sekotak aiskrim yang bersaiz besar. Dia berterusan meratapi kehilangan haiwan peliharaan kesayangannya itu dengan cara ini sehingga hampir sebulan.
* Apabila makan mendatangkan keburukan
Walaupun anda mungkin tidak mempunyai pengalaman yang sama seperti Tina atau Kumar, namun anda mungkin pernah melalui hari-hari di mana emosi atau perasaan anda mempengaruhi cara makan dan minum.
Apabila ini berlaku, anda mungkin akan makan walaupun ketika berasa kenyang. Sememangnya tabiat makan kadang kala dipengaruhi oleh perasaan atau emosi seseorang.
Misalnya, anda mungkin akan makan atau minum dengan terlalu banyak semasa sesuatu peristiwa yang menggembirakan berlaku.
Kebanyakan daripada kita menggunakan perayaan atau perjumpaan sebagai alasan untuk makan atau minum dengan banyak. Selepas itu, kita akan nekad mengurangkan makan atau minum di kemudian hari.
Namun demikian, anda mungkin juga akan makan atau minum dengan terlalu banyak apabila mendapati segalanya tidak mengikuti apa yang dikehendaki.
Ini mungkin berkaitan dengan tekanan kerja, masalah keluarga atau peribadi serta kerana cuaca buruk telah menghalang anda daripada keluar membeli belah!
Menurut kehendak nafsu sekali-sekala adalah sesuatu yang normal. Walau bagaimanapun, apabila makan secara berlebihan menjadi suatu kebiasaan, ia menjadi suatu tabiat yang tidak sihat.
Adakah anda mendapati diri anda sentiasa memakan jenis makanan yang kurang berkhasiat dengan banyak akibat mengikut perasaan anda? Contohnya, terlalu banyak coklat atau aiskrim.
* Kekecewaan membuatkan saya makan
Anda mungkin tidak suka melihat lemak yang berlebihan pada tubuh anda dan telah berhasrat untuk mengurangkan berat badan. Jadi, anda telah bermula dengan berlapar tetapi lama kelamaan terpaksa menyerah kalah kerana sememangnya sangat sukar untuk berlapar secara berterusan.
Anda kemudiannya telah mula untuk makan semula (mungkin lebih banyak daripada yang sepatutnya), tetapi rasa bersalah apabila berbuat demikian.
Anda juga mungkin akan rasa kecewa kerana telah melanggar rejim diet anda. Daripada memulihkan keadaan, anda telah mula untuk makan mengikut nafsu.
Ini telah menyebabkan kenaikan berat badan dan rasa kecewa melihat keadaan fizikal anda di mana ini semua akan mencetus satu lagi lingkaran diet yang tidak teratur.
Apabila corak ini telah menjadi suatu tabiat jangka panjang, anda mungkin akan lebih berisiko tinggi untuk mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Biasanya, obesiti juga akan berkait dengan masalah kesihatan serius seperti diabetes, kolesterol darah tinggi serta tekanan darah tinggi.
* Makan semasa stres
Stres jangka panjang atau kronik boleh menjejaskan tabiat makan anda. Mungkin ada masanya apabila anda akan rasa terlalu tertekan akibat tanggungjawab kerja atau peribadi sehingga anda terpaksa menggunakan makanan atau minuman untuk mencari kelegaan.
Pada saat-saat begini, sesetengah individu juga akan meningkatkan pengambilan minuman beralkohol, menjadi kurang aktif serta mempunyai tahap kawalan diri serta harga diri yang semakin rendah.
Sebarang tumpuan yang telah anda berikan terhadap apa yang dimakan serta segala kebimbangan lain tentang makanan dan juga diet anda turut akan dilupakan semasa mengalami tekanan atau stres yang kronik.
Bermula dengan anda mengawal makanan, kini ia pula yang mengawal diri anda. Walau bagaimanapun, stres yang berpanjangan bukan sahaja akan menjejaskan tabiat makan serta berat badan anda.
Stres juga telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung dan penyakit-penyakit serius yang lain.
Selain itu, stres juga akan menjejaskan sistem imun, mengakibatkan penuaan pramatang di samping menyebabkan asma menjadi semakin teruk serta mencetus gangguan tekanan psikosomatik.
* Mengatasi makan mengikut nafsu
Jika makan terlalu banyak telah menjadi suatu tabiat, maka perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah membentuk kesedaran tentang tabiat makan anda.
Setelah menyedari tabiat anda, cuba kenal pasti perasaan atau situasi yang akan menyebabkan anda makan mengikut nafsu, contohnya stres kerja, kebosanan atau kemurungan.
Setelah mengenalpasti faktor-faktor ini, berusaha pula untuk mengawal serta menyediakan suatu pelan tindakan untuk mengatasinya.
Jika anda tidak boleh melakukannya seorang diri, cubalah mencari seseorang yang anda rasa selesa untuk bercakap ataupun mengadu.
Mungkin anda berdua akan boleh mencari penyelesaian kepada masalah makan mengikut nafsu anda.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan perubatan profesional jika mendapati masalah makan serta minum mengikut nafsu anda sudah sampai ke tahap di luar kawalan.
Adalah penting bagi anda untuk sentiasa beringat bahawa makan atau minum mengikut nafsu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah anda.
Ingatlah bahawa terdapat banyak lagi perkara-perkara yang menyeronokkan yang boleh dilakukan semasa anda berasa gembira, sedih atau mengalami tekanan daripada hanya makan dan minum!
[Baca]
Aplikasi untuk kesejahteraan rakyat
![]() |
|
MSC malaysia BERPERANAN PENTING MENTRANSFORMASIKAN rakyat negara ini ke dalam DUNIA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI.
|
Ketika Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia dilancarkan, ramai daripada kita tertanya-tanya, apakah matlamat di sebalik projek tersebut ketika majoritri rakyat Malaysia masih agak asing dengan teknologi maklumat (IT).
MSC dilancarkan pada 1996 dengan tujuh aplikasi perdana MSC iaitu aplikasi web pembuatan sedunia, pusat pemasaran tanpa sempadan, kerajaan elektronik, kad pelbagai guna, sekolah bestari, teleperubatan dan gugusan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Setelah 12 tahun dilancarkan, projek perdana tersebut boleh dibanggakan kerana melakukan transformasi dalam penggunaan IT dan memberi kemudahan kepada rakyat.
Beralih daripada pengurusan secara konvensional, MSC Malaysia adalah faktor utama kejayaan tersebut apabila sistem perkhidmatan kerajaan dan swasta kini boleh dinikmati secara elektronik.
Kad pintar pelbagai guna atau MyKad misalnya, adalah lambang kejayaan MSC Malaysia yang bukan sahaja berfungsi sebagai kad pengenalan tetapi memiliki banyak kegunaan yang berkaitan dengan urusan kerajaan, menawarkan perkhidmatan tanpa kertas, serta penyimpanan maklumat serta pelbagai aplikasi lain.
Dengan sekeping cip yang terkandung di dalamnya, pelbagai maklumat peribadi, maklumat kesihatan, lesen memandu dan pasport pemiliknya boleh diakses dengan mudah. Menerusi Kiosk pembaharuan passport (KiPPas) misalnya, pemilik pasport boleh memperbaharui pasport mereka dalam masa sehari sahaja.
Selain itu, MyKad juga berfungsi sebagai kad transit, infrastruktur kekunci awam (PKI) iatu sebagai sijil digital yang boleh digunakan dalam e-dagang, penggunaan tunai MEPS, Touch n Go, mesin ATM dan banyak lagi.
MEPS Cash ialah wang tunai elektronik yang boleh dimuatkan dalam kad ATM berasaskan cip yang dikeluarkan oleh institusi kewangan yang terlibat dalam skim tersebut.
Malah MyKad boleh digunakan untuk golongan petani dan nelayan seperti e-pasar tani bagi membuktikan teknologi yang dibawa kad tersebut memberi manfaatkan kepada semua golongan.
Sekolah Bestari
Inisiatif ini dilancarkan pada 1997 sebagai satu daripada tujuh aplikasi MSC Malaysia. Banyak kejayaan telah dicapai sejak projek perintis dilancarkan dengan pemilihan 88 buah sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.
Sekolah yang terpilih dilengkapi dengan prasaran IT bagi membolehkan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih berkualiti menggunakan kemudahan tersebut serta dihubungkan dengan rangkaian jalur lebar.
Makmal komputer berskala besar juga disediakan, manakala SchoolNet diperkenalkan bagi merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan laur bandar.
Telekesihatan
Pengurusan kesihatan termasuk kaedah rawatan, penyimpanan data pesakit dan sistem kemasukan wad juga menggunakan kemudahan ICT.
Malah dengan adanya kemudahan ini, doktor boleh memberi cadangan rawatan tanpa berada di hospital.
Antara sistem yang ada setakat ini ialah eTHIS iaitu Sistem Informasi Hospital Menyeluruh yang diperkenalkan oleh Kompakar eHelath Sdn. Bhd. dan Universiti Kebangsaan Malaysia memperkenalkan Sistem Enterprise Penjagaan Hospital atau C-Hets. Sistem ini membolehkan pelbagai urusan dilaksanakan secara dalam talian (on line).
Ia antaranya melibatkan perkeranian, penyimpanan data maklumat pesakit, temu janji dengan doktor, pembedahan dan mengenal pasti lokasi pesakit dalam wad atau sekiranya berpindah ke hospital lain.
e-petrol
Ia antara contoh kemudahan bagaimana kawalan subsidi petrol dapat dilakukan menggunakan hanya MyKad sebagai dokumen. Penggunaan MyKad ialah kerana semua rakyat memilikinya dan mempunyai data peribadi sebagai rekod semasa berurusan.
Syarikat e-Petrol Sytem Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan ini akan meletakkan kiosk mereka di stesen-stesen minyak dan boleh membayar terus tanpa menggunakan wang tunai.
MyKad yang perlu diaktifkan dengan mendaftarkan mereka menerusi kiosk dan disahkan dengan cap jari pengguna.
MyKad itu akan dihubungkan dengan mana-mana bank yang pengguna mempunyai akaun dan membayar harga minyak yang diisi.
Konsep ini memudahkan lebih selamat, mampu mengelak penyeludupan dan membantu kerajaan menyusun semula pemberian subsidi kepada rakyat.
Sekiranya, kerajaan mengumumkan penstrukturan subsidi tersebut, ePetrol akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenal pasti pendapatan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengetahui jumlah kenderaan yang dimiliki pengguna.
Pendaftaran
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula telah memperkenalkan e-pasar tani@FAMA yang boleh digunakan untuk merekodkan data dan maklumat peserta pasar tani di seluruh negara. Mereka hanya didaftarkan menggunakan MyKad, semudah dan pantas menggunakan teknologi elektronik.
Selain, kemudahan-kemudahan tersebut., banyak lagi manfaat yang dinikmati oleh rakyat negara ini selepas mereka sedar kepentingan IT dalam kehidupan.
Malah, nelayan di laut boleh mendapatkan maklumat menggunakan kemudahan telefon bimbit mereka untuk mengenal pasti kedudukan ikan.
Pengguna kenderaan pula boleh menyemak status kesalahan lalu lintas dan membayar saman kepada pihak polis tanpa perlu datang ke balai.
Dengan adanya kemudahan IT juga, produk keluaran kampung dan industri asas tani boleh dipasarkan menggunakan Internet dan menjanjikan pulangan menguntungkan tanpa perlu mengeluarkan peluh.
Jika satu ketika, seorang penjual taugeh terpaksa memikul bakul yang menggunakan gandar untuk menjual sayurannya, berpuluh tahun kemudian, dengan hanya menggunakan jari di depan komputer, dia hanya melayan tempahan sambil minum kopi.
Kemudahan-kemudahan seperti ini tidak datang sekelip mata, sebaliknya inisiatif kerajaan mewujudkan MSC Malaysia jelas membawa satu transformasi daripada era tradisional kepada komunikasi ICT.
Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT 2008) yang membawa teknologi dan budaya ICT ke negara dari 18 hingga 22 Mei jelas memberi satu gambaran bahawa dengan adanya kemudahan tersebut, manusia boleh berkomunikasi secara maya tanpa bersua muka tetapi lebih mudah, pantas dan menjimatkan.
[Baca]
FENOMENA
Lelaki mangsa keganasan rumahtangga
HAMPIR tiga daripada 10 lelaki dikatakan pernah mengalami keganasan rumahtangga di tangan pasangan hidup masing-masing.
Penyelidikan di Universiti Washington, Seattle, Amerika Syarikat mendedahkan ramai lelaki yang mengalami penderaan domestik tetapi jarang dihebahkan kepada umum.
Kebanyakan mangsa dikatakan tidak melaporkan kejadian berkenaan sementara orang di sekeliling mereka pula tidak berani bertanya mengenainya.
Kumpulan penyelidik berkenaan menjelaskan penderaan domestik boleh berlaku secara fizikal atau bukan fizikal di mana mangsa diugut (sehingga takut akan keselamatan diri), dicaci dan dikawal tingkah-laku ketika bersama pasangan.
Secara keseluruhan, dianggarkan 30.5 peratus lelaki di bawah umur 55 tahun dan 26.5 peratus lelaki melebihi usia 55 tahun melaporkan pernah mengalami penderaan domestik, separuh daripadanya penderaan fizikal.
Bagaimanapun, penderaan fizikal yang dilaporkan di kalangan mangsa lelaki juga dikatakan tidak seteruk mangsa wanita di mana cuma 20 hingga 40 peratus mangsa lelaki menyatakan mereka didera dengan teruk berbanding 61 peratus di kalangan mangsa wanita.
Penyelidik juga menegaskan kajian tersebut bukan untuk merendahkan penderaan domestik di kalangan wanita tetapi untuk menunjukkan penderaan berlaku dalam banyak bentuk, terhadap lelaki dan juga kanak-kanak.
Penyakit kronik pembunuh utama
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO)
melaporkan penyakit kronik telah melangkaui penyakit berjangkit seperti
tuberkulosis (tibi), HIV/AIDS dan malaria sebagai pembunuh utama di
seluruh dunia.
Maklumat Statistik Kesihatan Dunia 2008 yang dikumpulkan dari 193 negara ahli WHO menunjukkan penyakit kronik seperti strok dan penyakit jantung kini menjadi pembunuh utama di lebih banyak negara.
Kematian akibat penyakit kronik juga dijangka akan meningkat dengan mendadak dan berterusan sehingga 2030 sejajar dengan peningkatan usia penduduk di negara berpendapatan sederhana atau rendah.
Penggunaan produk tembakau dikatakan sebagai punca tunggal utama kematian yang boleh dicegah, membunuh satu pertiga sehingga separuh pengguna produk tembakau akibat penyakit jantung, strok dan salur darah tersumbat.
Laporan WHO juga menjangkakan 80 peratus daripada anggaran 8.3 juta kematian berkaitan tembakau pada 2030 akan berlaku di kalangan penduduk negara membangun.
Negara membangun dan negara berpendapatan rendah juga dilihat kini menghadapi masalah obesiti yang meruncing, terutamanya di kawasan bandar dan di kalangan kanak-kanak.
WHO menjangkakan 30 peratus kematian yang berlaku menjelang 2030 berpunca daripada kanser, penyakit kardiovaskular dan kemalangan jalan raya, di samping masalah peningkatan kes diabetes dan asma di seluruh dunia.
[Baca]
Bukan hilang maruah
![]() |
|
Batu Putih dilupakan terlalu lama dan kita tidak membuat yang sepatutnya di pulau kecil ini.
|
Untuk 30 minit pertama Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh membacakan penghakiman kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge, segala-galanya memihak kepada Malaysia. Pemangku Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu memperincikan satu persatu pendirian mahkamah berhubung siapa mempunyai hak milik asal Pulau Batu Putih dari sudut sejarah sebelum tahun 1840.
Hakim dari Jordan itu menggunakan pendekatan urutan tahun - iaitu sebelum tahun tersebut adalah tidak dipertikaikan bahawa pulau sebesar separuh padang bola itu adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor yang ketika itu mempunyai kedaulatan ke atas pulau-pulau termasuk pulau kecil di Selat Singapura di mana letaknya Pulau Batu Putih.
Memetik catatan awal penghakiman, beliau kemudiannya memberi harapan kepada delegasi Malaysia bahawa kedaulatan Kesultanan Johor ke atas Pulau Batu Putih tidak pernah dicabar oleh mana-mana kuasa di rantau ini, justeru ia memenuhi syarat 'secara berterusan dan aman mempamerkan kedaulatan wilayah'.
Perihal hubungan antara Sultan Johor dan Orang Laut yang menjalani kegiatan menangkap ikan dan lanun di Selat Singapura turut membuktikan bahawa Kesultanan Johor mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak lama dulu.
Shawkat yang mempengerusikan persidangan kira-kira sejam 45 minit itu kemudian menarik perhatian para audiens yang memenuhi ruang mahkamah mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian Crawfurd 1824. Kedua-dua perjanjian memberi gambaran dari sudut undang-undang bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak bertuan) menepati perjuangan pasukan negara yang bertungkus lumus mempertahankan fakta tersebut.
Amat jelas ketika itu bahawa sebahagian daripada persoalan yang dibangkitkan baik dalam memorial dan penghujahan lisan kes tuntutan bertindih ketiga-tiga bentuk maritim yang menjadi pertikaian telah dijawab secara terang-terangan oleh mahkamah iaitu Pulau Batu Putih adalah milik Kesultanan Johor.
Status itu masih kekal sehingga tahun 1844 iaitu ketika British membuat persiapan untuk mendirikan Rumah Api Horsburgh di pulau tersebut.
Bagaimanapun persoalan sama ada status tersebut terus dipertahankan selepas tahun 1840-an mula menjurus arah yang berbeza apabila Shawkat meneruskan petikan penghakiman yang melibatkan pandangan barisan 16 hakim.
Beliau mula membangkitkan a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan sesebuah negara mempunyai kedaulatan) yang jika gagal dipenuhi boleh menyebabkan sesebuah negara itu 'terlepas' kedaulatan ke atas jajahannya.
Sepintas lalu beliau menyentuh perihal pembinaan Rumah Api Horsburgh yang perancangan serta pembinaannya dikendalikan oleh juru ukur kerajaan Singapura bernama John Thomson yang dilantik sebagai arkitek projek tersebut oleh Gabenor Buttterworth. Pada tahun 1850 ketika upacara peletakan batu asas, mahkamah mendapati tiada wakil kesultanan Johor hadir pada majlis tersebut.
AktivitiIa mungkin disebabkan oleh pihak berkuasa British dan Singapura menganggap adalah tidak perlu untuk memaklumkan kepada Johor aktiviti yang mereka jalankan di Pulau Batu Putih. Shawkat turut menyentuh lawatan Temenggung Johor ke pulau tersebut hanya sekali iaitu sembilan hari selepas peletakan batu asas, dan beliau ketika itu diiringi oleh 30 pengikut.
Ketika kes Malaysia mulai goyah, Shawkat mula mengheret surat balasan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953 yang meruntuhkan sama sekali harapan negara untuk mengesahkan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Putih. Tertera di dalam surat tersebut bait ayat yang berbunyi "Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih".
Surat tersebut adalah balasan kepada surat bertarikh 12 Jun tahun yang sama yang dihantar oleh Setiausaha Kolonial Singapura kepada Penasihat British bagi Sultan Johor bagi mendapatkan kepastian antara lain mengenai status Pulau Batu Putih kerana ia relevan untuk menentukan sempadan perairan wilayah koloni.
"Mahkamah mendapati surat ini dan tafsirannya adalah sangat penting untuk menentukan sejauh mana kedua-dua pihak memahami tentang hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
"Menyelidiki isi kandungan surat 1953 ini mahkamah berpendapat bahawa balasan Johor adalah jelas dari segi maksudnya. Johor tidak menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih adalah berkaitan pulau itu secara keseluruhannya dan bukannya rumah api semata-mata," kata Shawkat yang sememangnya tidak boleh disanggah kebenarannya.
Rentetan daripada surat 1953 yang melunturkan kes Malaysia, Shawkat kemudiannya menyenaraikan satu persatu tindak-tanduk Singapura di Pulau Batu Putih yang menunjukkan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut dan bukan hanya sebagai penyelenggara rumah api di situ.
Singapura menjalankan siasatan kes pelanggaran marin, republik itu juga mengawal sesiapa sahaja yang ingin berurusan di pulau itu, mereka juga memasang peralatan komunikasi perkapalan dan merancang penambakan laut di perairan berkenaan.
Johor dan Malaysia, menurut ICJ, tidak berbuat apa-apa ke atas Pulau Batu Putih bermula Jun 1850 sehingga lebih 100 tahun dan apabila pegawai-pegawai dari Malaysia mempunyai urusan di pulau tersebut mereka terpaksa meminta kebenaran daripada Singapura.
Dan dalam sekelip mata menggunakan ayat yang mudah, Shawkat melafazkan keputusan majoriti 12-4 bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih adalah milik Singapura yang biar pun telah berulang kali dibayangkan dalam petikan-petikan penghakimannya namun tetap meninggalkan kesan kejutan yang bukan sedikit di kalangan rakyat Malaysia.
Walaupun tidak dinafikan kehilangan Pulau Batu Putih melibatkan maruah negara namun perlu diakui kecuaian adalah di pihak kita sehingga menyebabkan pulau itu hilang secara rasminya kelmarin, biar pun secara tidak rasmi ia telah diabaikan sejak lebih 100 tahun lalu.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, kegagalan Malaysia untuk mendapatkan kedaulatan Pulau Batu Putih bukan disebabkan kelemahan hujah yang dikemukakan di ICJ sebaliknya perlu diakui ia berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan oleh pihak yang berkenaan di pulau tersebut untuk tempoh kira-kira 100 tahun.
Agaknya jika Pulau Batu Putih boleh berkata-kata rajuknya kerana diabaikan untuk sekian lama sudah pasti tidak boleh dirawat. Bukan sahaja pemiliknya tidak menunjukkan minat untuk menjenguk, sebaik diserahkan untuk dibina rumah api di situ, ia dibiarkan ditadbir oleh pihak lain yang kemudian mengambil kesempatan melebarkan peranan daripada sekadar menyelenggara rumah api kepada melakukan pelbagai aktiviti lain.
KeselesaanTiada sekelumit bantahan dan tidak mustahil ia didorong oleh sikap tidak kisah dan acuh tidak acuh sehinggakan lambang marin Singapura berkibar di situ tiada siapa peduli. Mungkin jika diberi nyawa kepada Pulau Batu Putih keselesaannya bersama Singapura akan diteruskan mengambil kira ia tidak dipedulikan untuk tempoh yang terlalu lama.
Jauh lebih penting ialah tiada apa yang boleh mengembalikan Pulau Batu Putih kepada Malaysia, hikmah ICJ mengekalkan kedaulatan Middle Rocks kepada Malaysia mesti dilihat dari pelbagai sudut terutama apabila South Ledge juga kelak menjadi milik negara.
Hakikatnya, dengan keputusan itu nelayan-nelayan di Johor tidak lagi tertakluk kepada tentera laut Singapura yang sebelum ini berkawal 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu. Biar pun masih tidak boleh mendekati Pulau Batu Putih namun nelayan dan semua rakyat Malaysia kini bebas ke Middle Rocks dan perairan sekitarnya.
Kita juga bebas menggunakan ruang udara di situ, dasar laut, menjalankan pelbagai kajian serta meletakkan juga kapal peronda tentera laut sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kehadiran pasukan peronda di situ.
Paling penting, nelayan kita tidak lagi dihalau dan negara bebas berbuat apa sahaja di Middle Rocks termasuk mencantumkannya dengan South Ledge apabila ia diisytiharkan milik Malaysia pastinya dalam masa yang tidak terlalu lama lagi. Mengambil pengajaran daripada kehilangan Pulau Batu Putih, tindakan menyelamatkan South Ledge mesti disegerakan dan bukti-bukti yang memihak kepada Malaysia mesti dilakukan secara terperinci dan mempunyai beban pembuktian.
Rasa kecewa nelayan-nelayan di Pengerang mesti diredakan, mereka mesti diberi keyakinan bahawa kehilangan Pulau Batu Putih bukan bermakna hilang segala-galanya malah keadaan hari ini adalah lebih baik daripada semalam ketika mana mereka langsung tidak dibenarkan mendekati perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu.
Kita sendiri boleh membayangkan apa akan terjadi jika Middle Rocks juga jatuh ke tangan Singapura yang pernah muncul dengan idea bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu adalah gugusan kepulauan yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan.
Kini Malaysia sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega kerana kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada di antara negara ini dengan Indonesia tidak menjadi kenyataan apabila Middle Rocks kekal milik kita.
Singapura yang telah memasang peralatan komunikasi radar di Pulau Batu Putih mungkin terpaksa memikirkannya semula kerana ia memberi kesan kepada Middle Rocks yang kini telah disahkan tuannya.
Tindakan republik itu menjalankan kawalan 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu sejak tahun 1986 dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar sebagai kawasan larangan kini terpaksa dihadkan kepada Pulau Batu Putih sahaja.
Yang pasti Singapura kini tidak lagi bersendirian di Pulau Batu Putih. Republik itu kini mempunyai jiran yang amat rapat dan semestinya bagi menjaga kawasan kejiranan, Malaysia dan Singapura akan bertindak memakmurkan jiran dan bukannya menyakiti jiran.
Sesungguhnya keputusan ICJ seperti yang ditegaskan oleh Rais sememangnya bersifat menang-menang. Malaysia biar pun terpukul dengan kehilangan Pulau Batu Putih, namun Middle Rocks dan South Ledge kelak menjadi pengubat lara. Singapura yang berbangga lantaran berjaya memperoleh kedaulatan Pulau Batu Putih juga mesti ada terpalit setidak-tidaknya sekelumit rasa kecewa kerana keterbatasan pergerakan serta bidang kuasanya.
[Baca]
Manusia umpama burung tanpa sayap
Oleh: MAZLAN NORDIN
ADA kala hubungan antara pelbagai kaum menjadi bahan cerita roman atau novel, apatah lagi apabila kemudiannya berpisah dan sejarah silam tidak boleh berulang lagi.
Demikian novel Birds Without Wings karya Louis De Bernieres yang beberapa kali memenangi Hadiah Penulis Komanwel. Lalu dalam sorotan bukunya itu dianjurkan: “Bacalah buku ini sebelum anda meninggal dunia.”
Novelnya mengenai orang-orang Turki dan Greek di sebuah perkampungan di Anatolia pada waktu kejatuhan Empayar Ottoman dan munculnya kemudian Republik Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk. Kedua-dua kaum tidak serasi antara satu sama lain, terutama kerana satu Islam dan satu lagi Kristian.
Kesemuanya berlaku pada awal abad ke-20. Antara yang diceritakan ialah pertunangan seorang gadis Kristian dengan seorang belia Islam dan kisah seorang kaya Islam, Rustem Bey, suami dayus mencari kedamaian hidup dengan wanita kulit putih setelah isterinya Tamara Hanim, berlaku curang.
Novel 3
Tamara dibaling batu dan ditendang berkali-kali oleh sebilangan orang kampung kerana berzina, hingga parah dan kemudiannya mencari perlindungan di rumah para pelacur. Ketika mengetuk pintu, seorang pelacur bertanya: “Apa kau mahu, adik?” dan ia menjawab: “Perlindungan.” Anehnya ia kemudian dilanggani oleh beberapa lelaki yang dulu membaling batu dan menendangnya.
Seorang wanita lain yang menghadapi pelbagai dugaan mengeluh: “Aku sudah tua. Hati nuraniku penuh rasa kasih sayang dan duka lara dan kenangan abadi.”
Terkenang
Seorang lagi wanita mengingatkan: “Kadangkala kita mesti melupakan hal-hal yang mengagumkan dan indah pada masa lalu kerana jika terkenang segala-galanya, kita terpaksa menanggung rasa sedih berpanjangan walhal segalanya telah berlalu.”
Seorang jiran mencelah dengan peribahasa: “Hari siang menafikan janji waktu malam.” Seorang keturunan Yunani pula merungut: “Kita keturunan Alexandar, Constantine dan Socrates, tapi perangai kita seperti kanak-kanak.”
Berulang-ulang ialah kata-kata mengenai wanita: “Jika seorang wanita cantik senyum ke arah seorang lelaki, ia seperti memberi hadiah kepadanya. Ia akan berasa gembira sepanjang hari. Tapi jika seorang wanita cantik bermasam muka pada seorang lelaki, itu seperti menikam hati nuraninya. Dan ia akan berasa sedih sepanjang hari.”
Kisah beralih kepada Rustem dengan gundiknya, Leyla yang mencium lalu menyanyi:
Bibirku seperti gula
pipiku umpama epal
buah dadaku seperti syurga dan
tubuhku umpama bunga teratai.
Aku menunggu kau
mencium gula
menggigit epal
memasuki syurga dan
memiliki bunga teratai.
Novel 4
Bagi Rustem pengalaman dengan Leyla berbeza sekali dengan layanan isterinya Tamara dulu dan ia terkenang betapa ia “boleh menyerang tubuh isteri, tapi tidak sekali-kali dapat menyentuh hati nuraninya.”
Turut dirakam secara fakta pula ialah pelbagai pengalaman Mustafa Kamal yang menyedari kemunduran bangsa Turki dalam segala bidang. Dan pada suatu ketika beliau teringat kembali kata-kata Rousseau, pejuang revolusi Perancis bahawa sesuatu bangsa ada ketikanya “mesti dipaksa bebaskan diri.”
Novel 8
Catatan bersambung mengenai perjuangan Mustafa Kamal untuk membebaskan bangsa Turki daripada penindasan golongan atasan sendiri. Juga dihadapi cabaran daripada para pemimpin Greek untuk merebut kembali segala yang dianggap telah dirampas oleh Turki sekian lamanya. Bagi mereka cita-cita mewujudkan negara Greece yang lebih besar dan menebus kejatuhan pemerintahan Byzantine.
Antara pihak lawan ialah cita-cita kaum Serbia untuk merebut kembali Kosovo. Di samping itu ialah peranan Rusia pada masa lampau membunuh dan mengusir orang-orang Islam dari segala wilayah dan menggantikan mereka dengan puak Slav dan Armenia.
Mustafa Kamal akhirnya berjaya menewaskan tentera Greek yang mahu menakluki Anatolia dan juga berjaya menumpaskan pencerobohan tentera Inggeris, Australia dan New Zealand di Gallipoli. Hingga akhirnya berjaya mewujudkan negara Turki baru.
Sebagai perbandingan ialah pengalaman hubungan di antara warga British sebagai tuan di negeri China. Cerita berkait dengan novel Empire of the Sun karya pujangga JG Ballard yang semasa kecil tinggal di Shanghai. Mengenainya disebut dalam sorotan buku barunya:
“Ibu bapanya tokoh korporat yang punyai 10 orang gaji Cina. Namun selama 15 tahun di Shanghai, Ballard tidak pernah merasa masakan Cina atau mempelajari sepatah pun bahasa Cina.
Golongan ekspatriat British hidup berasingan dari orang Cina, di rumah-rumah besar serta di kelab-kelab istirahat mereka. Tetapi segalanya berubah selepas serangan Jepun ke atas Pearl Harbour pada tahun 1941.
Akhirnya satu demi satu negara yang dijajah bebas dan mencapai kemerdekaan sama ada di benua Asia atau Afrika. Antara yang mendahului mereka ialah Turki dan kini bermula langkah-langkah berbaik-baik dengan Greece. Bisa? Novel Birds Without Wings (Vintage 2005) turut membuka tirai.
- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
[Baca]
Pendakwah dinamik
Bersama: KAMIL MAJID
Sebagai orang yang berkecimpung dalam dakwah dan memegang jawatan ketua jabatan
dakwah, saya berbesar hati jika tuan dapat memberikan sedikit petua menjadi
pendakwah yang dinamik masa kini. Nampaknya Menteri baru di Jabatan Perdana
menteri Datuk Dr. Zahid Hamidi, seorang yang dinamis.
– Muhamad Imran, Muar.
JAWAPAN: Terima kasih atas soalan tersebut di atas. Kebetulan beberapa bulan lepas saya telah memberi ceramah kepada beberapa anggota KAGAT di Cheras, Selangor. Antara lain saya ada menyebut tentang pendakwah masa kini yang memerlukan sifat dan sikap dinamisme seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Pendakwah juga adalah pemimpin. Adalah silap meletakkan tugas kepimpinan kepada orang politik sahaja. Kepimpinan ada pada semua orang termasuk tokoh korporat, ada pada ahli akademik, malah ada pada setiap sektor masyarakat, ada pemimpin masing-masing.
Untuk menjadi pemimpin, para pendakwah memerlukan persiapan dari segi kerohanian, keilmuan, kejiwaan, sosial dan budaya. Dakwah bukan lagi bergantung kepada retorik dan pandai berucap tetapi bagaimana menterjemahkan segala ucapan dan retorik itu ke dalam praktis di alam realiti. Masyarakat memerlukan contoh yang hidup, bukannya contoh yang ada dalam lipatan sejarah sahaja.
Pendakwah yang ikhlas akan sentiasa bergantung dengan sikap dan budaya tinggi mengharap ganjaran Allah s.w.t. Jika demikian mereka tidak lagi terikat dengan perebutan semasa dengan ganjaran segera yang sedikit dan murahan itu.
Sebaliknya, kerohanian melahirkan penyatuan hati. Bersifat zawqi dan punyai idealisme yang cukup tinggi. Kerohanian juga memberikan sikap muraqabah dan muhasabah diri dalam setiap perlakuan dan tutur kata.
Justeru itu jika ingin menjadi pendakwah yang benar-benar berhemah, tidak harus berhenti daripada belajar dan menimba ilmu pengetahuan. Idea tidak kering dan minda akan sentiasa terjana dengan baik di bawah kawalan rohani.
Pendakwah berjiwa tinggi dan dinamis akan memiliki sifat keberanian yang luar biasa, mampu berterus terang, kasih dan sayang kepada semua orang, berdisiplin dan memiliki sifat dan segala akhlak mulia.
Suka berjiwa mulia kerana ia melahirkan manusia matang dan bijaksana serta dapat mengurus diri secara berimbang dan masyarakat dapat menerimanya dengan baik. Oleh itu jiwa yang kuat sekali gus mampu melahirkan pendakwah yang kental dan tahan uji.
Dinamisme di kalangan pendakwah akan muncul mereka yang tidak takut tak bertempat, malu tak bertempat dan tidak sekali-kali jadi perungus dan pemarah yang tak keruan.
Sementara dinamika sosial menjadikan pendakwah akan menjaga hak-hak orang lain. Mereka beriltizam dengan adab, etika dan moral serta berakhlak tinggi. Juga sanggup melakukan kritikan sosial yang tajam dan berpengaruh.
Etnik
Dalam masyarakat majmuk agama dan majmuk etnik seperti di Malaysia, pendakwah dinamis harus memiliki kefahaman untuk hidup dalam silang budaya. Mereka tidak harus hanya terperosok dalam kaumnya sahaja, tetapi mampu berinteraksi dengan mereka yang mempunyai kelainan dan beza kepercayaan, budaya, malah cara hidup yang berbeza.
Jadi pendakwah dinamis ini sewajarnya mampu berinteraksi secara selesa dengan mereka yang beza agama dan beza bangsa. Justeru ia dapat memahami dan mampu berinteraksi secara sopan kerana sudah memahami tabiat kaum lain itu.
Pendakwah harus dapat memahami latar belakang sejarah dan warisan, resam dan identiti pihak-pihak yang pelbagai. Kelainan itu memberikannya variasi dalam bermu‘asyarah dan bermuamalah yang sememang diajar oleh agama Islam.
Dalam bahasa Islam, selalu dilaungkan bahawa mereka harus kenal-mengenal di antara satu sama lain, bukannya bersangka buruk dan berperasaan jahat dan wasangka antara satu sama lain.
Untuk kejayaan dakwah yang dinamik ini perlu para pendakwah memahami akan tabiat berlainan, malah memahami kerangka agama dan budaya orang lain.
Bukan itu sahaja, wajar pendakwah memahami cara interaksi dengan mendalami sifat khusus psikologi dan budaya mereka yang berlainan agama itu.
Dalam kepelbagaian alat komunikasi dan kaedah perhubungan baru, pendakwah dinamis juga seharusnya dapat memahami cara hidup “bersama” yang interaktif di mana satu pihak dapat mengambil faedah daripada pihak lain. Inilah juga yang dimaksud oleh nabi: Hikmah itu barang yang hilang daripada orang mukmin. Di mana dijumpa, ia lebih berhak untuk mendapatkannya, demikian kira-kira maksud Nabi s.a.w.
Sebarang tembok psikologi harus ditembusi dan apa-apa sahaja yang menghalang dapat dihapuskan agar interaksi dapat berjalan secara terus.
Pendakwah malah umat Islam sepatutnya mampu mengekspresikan nilai, akhlak, syariat secara yang baik, supaya dapat menghasilkan dialog praktis secara tertib, bukan dalam bentuk dialog oral tetapi dialog amal.
Justeru itu para pendakwah secara khusus dan umat secara umum semestinya mempertingkat upaya khidmat sosial dan menunjukkan kemampuan menawarkan khidmat kepada sesama serumpun mahupun dengan pihak lain.
Para pendakwah tidak lagi harus hidup dalam kepompong lama, tetapi memperbaharui wasilah dan kaedah, peralatan dan uslub sehingga diyakini dakwah dapat menyelesaikan masalah dan permasalahan bukan dengan kata-kata tetapi secara praktikal.
Sebagai contoh lagi, bagaimana sampai akhlak muslim itu dapat menyerap dalam kehidupan pihak lain dengan contoh dan teladan yang baik.
Hubungan perdagangan, bicara intelektual, malah apa-apa saja hatta pelancongan sepatutnya menjurus ke arah penyerapan unsur baik ke dalam unsur yang rendah. Ketika itu barulah dapat dikatakan semua aktiviti kehidupan menjadi ibadah dan dakwah.
Pendek kata, hanya mampu berlangsung kedinamisan apabila para pendakwah muncul sebagai manusia contoh dan teladan. Perlu di sini diberi ingatan bahawa pendekatan yang tidak terlampau keras dan ketat dan tidaklah pula bererti terlalu longgar. Pendekatan sederhana yang tidak menunjukkan wajah fanatik tak bertempat tidak menjadi wajah dan ciri pendakwah.
Dengan bahasa lain, pendakwah berkesan dan dinamis adalah mereka yang mampu memberi kesan kepada kehidupan sosial dalam masyarakat majmuk sama ada dia tokoh politik, mahupun ahli korporat atau para profesional atau juga seorang ahli agama yang mempunyai impak kepada masyarakat.
Semoga lebih ramai lagi daripada kalangan umat Islam muncul sebagai pendakwah dinamis melalui Parlimen hingga ke kedai kopi atau bengkel motor. Selamat berdakwah. Wallahualam.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
[Baca]
Mukjizat al-Quran
SOALAN: Umat Islam dikejutkan dengan fitnah musuh yang disebarkan melalui industri perfileman yang menuduh umat Islam dan al-Quran menganjurkan keganasan. Pelbagai reaksi umat Islam apabila menerima fitnah tersebut. Apakah kita patut mengutuk perbuatan mereka?
- Nasaruddin Sulaiman, Wakaf Baru, Kelantan.
JAWAPAN: Ada pelbagai sikap yang diambil seperti mengutuk mereka dan ada yang memulaukan barangan keluaran negara berkenaan. Ada juga yang mahu mereka yang bertanggungjawab itu dihukum dan lain-lain. Tetapi isu fitnah seperti ini tidak akan tamat, lebih-lebih lagi apabila agama Islam itu mula dikaji dan diterima di negara mereka sendiri. Dalam hal ini Allah s.w.t. pernah memberitahu kita dalam firman-Nya bermaksud: Mereka (musuh Islam) itu sentiasa bercita-cita untuk memadamkan cahaya sinaran petunjuk agama Allah pelbagai cara lagi dengan kata-kata mereka (seperti filem dan lain-lain) tetapi Allah tidak merestui (rancangan mereka) melainkan Allah tetap akan menyempurnakan cahaya petunjuk-Nya meskipun tanpa kerelaan mereka (surah as-Saf ayat 8).
Ini kerana ajaran Islam adalah satu-satunya ajaran di dunia yang sesuai dengan kejadian manusia yang berakal setelah ajaran nabi-nabi lain diubah suai oleh manusia sehingga keesaan Allah disekutukan dengan yang lain. Sedangkan asas ajaran agama langit itu adalah berpaksikan keesaan (mentauhidkan) Allah s.w.t. tanpa sekutu pada-Nya. Yang mana hak-Nya terhadap hamba-Nya adalah yang satu iaitu menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain, dan bila hamba dapat menunaikan hak-Nya itu, Allah akan menunaikan hak hamba-Nya pula iaitu tidak akan menyeksa mana-mana hamba yang menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain. Ini ditegaskan dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang bertanya kepada Abi Zar RA.bermaksud: Adakah kamu tahu hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak hamba ke atas Tuhannya. Jawab Abu Zar: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."
Sabdanya: Adapun hak Allah ke atas hamba-Nya itu ialah menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain sedikitpun manakala hak hamba kepada-Nya pula ialah tidak akan mengazabkannya selama-lama sedikitpun.
Ibnu Umar pernah menceritakan mengenai perbandingan kejayaan peranan agama Islam dengan agama lain daripada mereka yang sebelum kamu hanyalah perbezaan yang sedikit, iaitu tempoh yang ada antara solat asar dan maghrib. Kerana ahli Taurat yang diberikan Taurat itu hanya dapat beramal dengan kitab mereka (taurah) setakat tengah hari kemudian mereka tinggalkan kerjanya lantaran ingkar dan berselisih sampai mengubahnya, mereka diberikan balasan hanya separuh dari ganjaran sepatutnya. Begitu juga ahli kitab yang diberikan Injil, mereka hanya dapat beramal dengannya separuh jalan iaitu sampai waktu asar. Mereka juga mendapat separuh ganjaran pahala sahaja (sampai asar). Tetapi umat Islam yang dikurniakan al-Quran dapat beramal dengan ajarannya sampai tamat tempoh. Maka kita sahaja yang diberikan ganjaran penuh lalu pada hari pembalasan nanti mereka (ahli kitab Taurat dan Injil) akan persoalkan bagaimana kami diberikan pahala yang kurang sedangkan kami bekerja lebih kuat daripada mereka (lebih separuh hari).
Lalu firman Allah: Adakah Kami menzalimi kamu? Jawab mereka tidak juga! Firman Allah: Itulah limpah kemurahan-Ku yang Aku kurniakan sesiapa yang Aku sukai (hadis riwayat Bukhari). Kelebihan ini bukan kerana pilih kasih dari Allah mengazabkan mereka dan mengurniakan balasan pahala yang besar kepada umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud: berkata orang Yahudi dan Kristian kami ini adalah anak Tuhan dan kesayangan-Nya katakan kenapa Allah menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu malahan kamu juga adalah kejadian dari manusia biasa (seperti kami juga) Allah akan mengampuni mereka yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya (al-Maidah 18).
Inilah kanun dan sunah Allah yang tidak akan berubah-ubah. Dari sinilah dapat difahami bahawa kemuliaan satu-satu umat itu bergantung dengan ajaran risalahnya. Kemuliaan tersebut akan berada bersamanya selama mana kepatuhannya tidak berbelah bagi dan ikhlas terhadapnya. Buktinya mereka dapat menghafaz dan mempertahankan al-Quran. Dan ia tidak pernah berubah. Inilah sebabnya kekebalan wahyu Ilahi dan kesuciannya dapat kita lihat sampai hari ini. Wallahualam.
Masa dulu dan sekarang
Soalan: Saya terbaca hadis riwayat Bukhari dari Zubair Bin 'Ady katanya: "Kami datang bertemu Anas lalu kami mengadu kepadanya apa yang kami alami dari Hajjaj, jawabnya hendaklah kamu bersabar kerana tidak akan datang ke atasmu masa melainkan masa selepas itu lebih teruk lagi sehingga kamu bertemu dan menghadap Tuhan kamu, ini yang aku dengar dari Nabi kamu." Bagaimana hendak difahami maksud hadis ini?
- Rizal Abdul Mukmin,
Keramat, Kuala Lumpur.
JAWAPAN
Ramai yang salah faham dengan hadis ini. Sebab itu ramai yang mengambil sikap negatif dan tidak mahu berusaha memperbaiki untung nasib mereka kerana menganggap segala perkara itu akan berterusan ke arah keburukan dan kejatuhan.
Kebanyakan ulama menerima hadis ini dengan beberapa pendekatan.
Pertama: Imam Hasan Basri memahaminya secara kebiasaan (ghalib) ada juga sekali sekala masa yang kemudian lebih baik seperti semasa pemerintahan Umar Ibnu 'Abdul Aziz yang zamannya kemudian dari masa Hajjaj
Kedua: Ibnu Mas'ud ada mengatakan tidak datang satu masa melainkan masa yang selepasnya lebih jahat dari dahulu. Maksudku bukan seorang pemimpin lebih baik dari seorang pemimpin yang lain atau satu tahun itu lebih baik dari tahun yang lain tetapi maksudku ialah para ulama dan fukaha kamu akan hilang dan tidak ada yang dapat menggantikannya lalu datanglah selepas itu manusia yang akan mengikut fatwa orang jahil, itulah keruntuhan Islam. Kata al-Hafiz pendapat Ibni Mas'ud ini patut diikuti dan diterima tetapi asas kekeliruannya masih kekal.
Ketiga: Dalam sejarah lslam terbukti ada masa tertentu yang kemudian agak lebih baik dari sebelumnya. Contohnya kurun lima hingga kelapan ramai mujadid yang lahir.
Keempat: Ibnu Hibban mengatakan hadis Anas diqaidkan dengan hadis sahih mengenai kedatangan Mahdi yang akan memerintah bumi dengan penuh keadilan.
Kelima: Pandangan al-Hafiz dalam kitabnya (al-Fath). Maksud masa yang disebut dalam hadis tadi tertentu dengan masa (abad) para sahabat dan tabiin kerana kepada mereka ditujukan hadis itu.
Keenam: Anas yang mengarahkan mereka supaya bersabar menghadapi keadaan sedangkan sabar itu berlainan dengan berdiam diri menerima keadaan dan kekacauan serta kekejaman dan kejahatan yang berlaku. Ini kerana mereka yang tidak ada kemampuan dan tidak berkuasa menentang kekejaman tidak harus bertindak selain bersabar menunggu keadaan dan peluang dengan segala persediaan di samping berusaha untuk mengatasi kekejaman tersebut.
Rasulullah sendiri dapat bersabar selama 13 tahun semasa di Mekah adalah sebaik-baik contoh untuk diikuti. Dan selepas pembukaan Mekah barulah baginda meruntuhkan segala berhala di Kaabah. Sebab itu arahan dengan kesabaran dalam hadis tadi, tidak sepatutnya difahami sebagai menyerah kalah atau menerima kekejaman.
Wallahualam.
[Baca]
Optimis masa depan umat
Dalam sejarah umat Islam yang panjang, ia tidak terlepas daripada kemelut dan krisis. Kita tidak harus menjadi panik dan bimbang tidak menentu. Kekuatan yang ada pada Islam, jauh melampaui kekuatan umat Islam. Maksudnya, Muslim sentiasa pergi dan datang. Satu generasi pergi satu generasi baru pula akan datang. Namun Islam tetap hidup dan berkembang.
Bukan krisis kecil berlaku sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. wafat, akhirnya ia dapat ditangani secara yang bijaksana oleh para khalifah umat Islam. Malah lebih besar krisis selepas pembunuhan Sayidina Uthman Bin Affan, tetapi dapat juga diselesaikan.
Saya selalu mengambil pendekatan optimis. Ketika kita berada pada waktu malam kelam, terasa siang seperti tidak akan datang, tetapi beberapa ketika, fajar hari baru muncul dan esoknya pancaran matahari cukup cerah.
Demikian ketika hujan lebat, kita terasa takut seperti hujan itu tidak akan reda. Selepas itu langit cerah selepas hujan berhenti. Demikianlah alam berjalan dalam sunahnya.
Apa lagi keadaan yang tidak berlaku kepada umat Islam? Daripada kejatuhan khilafah di Baghdad pada masa lampau, hingga kejatuhan Uthmaniah Turki dan kehancuran Baghdad sekali lagi pada zaman moden ini. Islam akan tetap berkembang. Hatta di Asia Tengah ketika umat Islam ditindas dengan kejamnya, namun pergerakan umat Islam berjalan, walaupun dalam keadaan lembap. Hanya menunggu saat kelahiran pemimpin yang berwibawa, umat Islam akan bangkit semula selepas persiapan yang baik berlaku.
Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam. Hanya umat Islam harus sentiasa berfikir dan bertindak secara strategik menghadapi apa-apa keadaan pun. Kadangkala keadaan yang sentiasa tenang dan relaks itulah yang melalaikan banyak pihak.
Kemelut dan krisis membuatkan orang semakin waspada. Justeru itu umat Islam tidak harus takut menghadapi apa-apa keadaan sekalipun, asalkan sahaja mereka tahu mengambil kesempatan strategik atas apa keadaan yang berlaku.
Al-Quranul karim memberitahu kita, dalam konteks musuh Islam melakukan provokasi dalam surah al-Taubah: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka (masa ini dengan filem dan tulisan), sedang Allah tidak mengehendaki melainkan menyempurnakan cahayanya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka. Ayat yang membawa maksud sama dinyatakan oleh Allah dalam surah Saff:8-9.
Tetapi Allah tetap menjanjikan orang mukmin dalam surah al-Fath:28: Allah yang menyatakan kebenaran itu) Dialah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa hidayah petunjuk dan jalan agama yang benar (agama Islam), supaya dia menyenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain.
Janji Allah ini wajib kita percaya bahawa umat Islam tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit kepuakan dan kelompok.
Sebenarnya, banyak juga ayat al-Quran yang menggambarkan ketika menerima tribulasi dan ujian, ketika itulah umat Islam lebih dekat dengan kemenangan sebenar.
Mana-mana pihak yang gagal mempertahankan Islam akan ditukar dengan pihak yang lebih berpotensi untuk menjaga risalah Allah itu. Malah Rasulullah menjanjikan Islam akan terus berkembang seantero dunia. Keadaan inilah menyebabkan orang Barat semakin menunjukkan kebencian kepada orang Islam, kerana Islam makin bertapak di Amerika mahu- pun di Eropah termasuk Belanda dan Holland.
Hadis nabi juga ada menjanjikan kemunculan kemakmuran di negara-negara umat Islam sehingga sampai ketikanya tidak ada lagi mereka yang akan menerima sedekah (zakat). Ini menunjukkan berkat keadilan Islam.
Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.
Kemenangan umat Islam akan berlangsung apabila pengaruh golongan munafik dan hipokrit berkurangan. Krisis dan ujian akan menyerlahkan wajah sebenar mereka yang berkepentingan diri sendiri. Wajah-wajah jelik akan terserlah tanpa disedari oleh diri mereka sendiri.
Islam bagaikan api dalam sekam. Ia akan muncul apabila keadaan kelam-kabut. Islam akan muncul secara lebih jitu dan kuat. Ia akan membuahkan tenaga yang terpendam.
SejarahLihatlah pada sejarah umat Islam yang panjang dan tidak pernah berbohong. Abu Bakar yang dianggap lembut dan lemah muncul seperti singa yang garang membanteras kumpulan murtad. Malah sanggup memerangi mereka yang tidak mahu membayar zakat, walaupun dalam bentuk yang minimum, iaitu tali hidung unta.
Peperangan Salib dan serangan tentera tartar yang lama tidak juga menghancurkan umat Islam. Ini menunjukkan umat Islam mungkin terleka malah terlena, atau sakit. Namun mereka tidak pernah mati. Mereka akan bangkit selagi akidah ada dalam diri mereka.
Apa yang perlu, keimanan dan akidah seharusnya tertanam dalam jiwa anak-anak Muslim. Apabila negara umat Islam terjajah begitu lama, namun akhirnya mereka bangkit memerdekakan negara mereka. Muncul pula para pejuang menentang penjajahan dari Aljeria hingga Moroko, Libya dan Palestin malah umat Islam di Asia Tenggara.
Justeru itu, paling ditakuti usaha musuh untuk mencabut akidah umat Islam, merosakkan umat akhlak dan mengetepikan perjalanan syariat Islam. Pentingnya, bagi umat Islam berada pada sikap kesederhanaan tidak menjadi golongan pelampau yang membawa wajah buruk kepada Islam. Tidak juga menjadi liberal yang sampai menghapus wajah Islam yang manis.
Buangkan khurafat sampai memuja kubur atau memuja pemimpin yang masih hidup sehingga tidak lagi bersedia mempertahankan kebenaran. Buangkan penyelewengan agama sehingga kekal dalam adat negatif tinggalan zaman jumud, sehingga tidak lagi mampu berkreativiti dan membawa pembaharuan bagi menegakkan sebuah tamadun baru.
Pada kesempataan kemelut umat Islam du- nia Islam masa kini, para penguasa jangan sama sekali menzalimi rakyat dengan diskriminasi. Mereka yang kaya tidak harus merebut kekayaan bagi diri sendiri tanpa ingat akan hak golongan miskin dan papa. Para buruh harus dipertahankan hak-hak mereka dan tidak diabaikan.
Perluaskan syura secara menyeluruh. Tidak perlu meniru sesetengah pemimpin Arab yang tidak mahu mati kecuali atas kerusi presiden atau takhta. Umat Islam dijamin oleh nabi tidak akan bersatu atas kesesatan. Akan tetap ada golongan pembaharuan yang membawa islah dan tajdid pada setiap masa. Keadaan negara kita pada hari ini, jauh lebih baik berbanding dengan lima puluh tahun lampau.
Wallahualam.
[Baca]
Profile: Organisation of the Islamic Conference
Formally established in September 1969 after the burning of the Al-Aqsa Mosque in Jerusalem, the Organisation of the Islamic Conference (OIC) is made up of countries whose peoples are mainly followers of the Islamic religion.
Its aims are, among other things, to promote all-round cooperation among its member states, to safeguard Islamic holy places and to work towards eradicating racial discrimination and colonialism.
The OIC comprises 57 states dispersed over four continents, spanning from Albania (Europe) in the north to Mozambique (Africa) in the south, and from Guyana (Latin America) in the west to Indonesia (Asia) in the east.
But, despite its size, which includes nearly one-third of the members of the United Nations, its numerous committees and the scope of its stated activities, the OIC is run on a shoe-string budget.
The supreme body of the OIC is the Conference of Heads of State, which convenes every three years. The first summit conference, held in Rabat in 1969, decided that member states would "consult together with a view to promoting close cooperation and mutual assistance in the economic, scientific, cultural and spiritual fields, inspired by the immortal teachings of Islam".
In the interval between summits, OIC foreign ministers meet to oversee the implementation of decisions taken by the heads of state. The first foreign ministers' meeting took place in 1972, when the OIC Charter was adopted.
However, the day-to-day running of the OIC is left to the Secretariat, which consists of a secretary-general and four assistant secretaries-general.
[Baca]
Teladani jiwa kasih sayang Nabi
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
SAMBUTAN Maulidur Rasul yang disambut Khamis lalu pastinya mempunyai makna yang besar untuk direnungi oleh umat Islam khususnya di Malaysia. Apatah lagi sambutan gilang-gemilang tersebut diadakan setelah rakyat baru sahaja selesai melalui kehangatan pilihan raya yang hakikatnya banyak mencetuskan ketegangan dan pertelingkahan emosi.
Apa yang pasti sambutan ini bukanlah sekadar upacara rutin tahunan dengan laungan selawat tanpa makna dan erti. Sebaliknya Maulidur Rasul harus dihayati dalam konteks yang lebih luas merangkumi agenda pembentukan peribadi umat cemerlang dan gemilang berteraskan model keperibadian dan kejiwaan Rasulullah s.a.w.
Dalam penulisan kali ini, penulis berkecenderungan menyingkap jiwa kasih sayang yang merupakan salah satu ciri terpenting keperibadian Nabi. Malah sifat kasih sayang yang menerasi jiwa dan akhlak Nabi s.a.w. sering diulang-ulang dalam al-Quran. Allah berfirman: Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir (yang bermusuh dengan Islam) tetapi berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29).
Jiwa
Dalam ayat lain Allah menekankan jiwa kasih sayang Nabi s.a.w.: Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka. (At-Taubah: 128).
Dalam ayat-ayat di atas, al-Quran menggunakan perkataan ‘Rauf’ dan ‘Rahim’ untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menerasi keperibadian Nabi terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman. Dalam sesetengah tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, ‘Rauf’ disebut sebagai ‘Shiddatur Rahmah’ atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada Allah.
Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Malah perkataan Ar-Rauf dan Ar-Rahim merupakan sebahagian daripada nama Allah yang membawa makna Maha Pengasih dan Penyanyang.
Dalam menghuraikan perkataan ‘ruhamak’ atau kasih sayang dalam ayat 29 daripada surah Al-Fath, Ibn Abbas menjelaskan bahawa berkasih sayang dalam masyarakat juga bermakna sentiasa bersifat lemah lembut dan menjauhi perbuatan keras dan kasar. Ini kerana Allah sendiri apabila berfirman kepada Rasul-Nya turut menerangkan hubungan baginda dengan sahabat-sahabatnya:
Maka dengan sebab rahmat Allahlah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. (Ali-Imran: 159).
Sebab itulah dakwah Nabi s.a.w. bermula dengan menzahirkan budaya kasih sayang sebagai asas terpenting pembentukan umat Islam yang hebat. Malah aspek kasih sayang merupakan elemen terpenting yang memperkuat dan memperteguh umat Islam hingga mampu membina tamadun yang hebat.
Sebaliknya apabila nilai kasih sayang dipinggirkan sedang sifat benci dan dendam yang lebih membudaya dan mengakar, maka dengan sendirinya kekuatan umat Islam melebur. Sejarah membuktikan bagaimana tamadun Islam akhirnya hancur sama sekali lantaran serakah manusiawi yang membelakangi nilai kasih sayang sesama umat.
Persoalannya, apakah budaya kasih sayang masih membudaya dalam diri umat Islam Malaysia? Atau apakah dunia politik sedang mengalami krisis kekeringan makna dan kegersangan nilai kasih sayang hingga menggejalanya budaya dendam dan benci?
Hakikat yang sukar untuk dinafikan, budaya dendam dan benci masih kekal membarah dalam diri penggiat-penggiat parti politik. Malah kepentingan merebut kuasa sering kali menjadikan ahli-ahli parti hilang pertimbangan rasional. Ramai ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.
Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan. Pilihan raya umpamanya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan, sistem demokrasi pilihan raya dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun.
Dengan menggejalanya budaya politik yang mengalami pendangkalan nilai dan etika, pastilah ia mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini jugalah yang sering membelakangi prinsip kasih sayang hingga menggejala budaya politik berasaskan kebencian pastinya mampu meleburkan perpaduan dan memporak-perandakan negara.
Justeru, kehidupan politik umat harus segera diselamatkan. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua percaturan.
Pemikiran yang diselaputi sentimen marah dan benci lantaran terlalu taksub berparti harus dijernihkan agar umat mampu kembali membudayakan nilai kasih sayang sesama mereka. Janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup meruntuhkan kekuatan ukhuwah yang sedia terjalin. Jangan kerana taksub dengan pandangan dan ideologi parti kita menghancurkan prinsip Islam sejati.
Sesungguhnya maruah umat Islam hanya mampu ditebus apabila kita bersedia untuk melupakan perselisihan dan pertikaian demi agenda bangsa dan agama yang lebih besar. Harga dan nilai bangsa hanya mampu dimartabatkan apabila kita benar-benar menjiwai nilai dan prinsip Islam sekali gus membudayakan kasih sayang sebagaimana keperibadian junjungan.
Sikap sesetengah ahli politik yang suka mengambil kesempatan menyebabkan pilihan raya yang sepatutnya menjadi medan terbaik bagi memilih pemimpin terbaik tidak ubah seperti pentas opera yang sarat dengan adegan fantasi, dongengan dan tipu-daya.
[Baca]
6 perkara Allah sembunyikan
Allah SWT selesai menciptakan jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain
menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:
"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"
Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang
bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."
Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"
Lalu Allah berfirman yang bermaksud.
"Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."
Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan
terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat
jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau
miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... ."
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara
iaitu :
* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.
Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam
kembangkanlah ilmu ini ini kepada saudara Muslim Muslimat
yang lain agar menjadi renungan dan pelajaran kepada kita semua. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah meninggal dunia...
[Baca]
Wanita yang terbaik
Dari Abi Hurairah (RA. ) Rasulullah ( SAW) pernah ditanya: “Siapakah wanita terbaik” (solehah) . Jawabnya: “Ialah wanita yang menggembirakan kamu bila dilihat kepadanya dan sentiasa patuh dan taat bila disuruh, tidak menyalahinya pada dirinya dan hartanya dengan apa yang dibencinya (Hadis Riwayat Nasai dan Baihaqi).
Huraiannya:
Dalam hadis ini, Rasulullah saw menggambarkan bakal isteri yang solehah itu ialah wanita yang menawan dan pandai menggodanya. Disamping bersikap taat dan patuh kepada arahan suaminya dan tidak akan menyalahinya dalam sebarang kemahuannya (yang tidak bertentangan dengan agama) dalam pergaulan dan perbelanjaan hartanya. Itulah wanita solehah yang harus menjadi pilihan hati kaum lelaki.
Kesimpulannya:
Wanita terbaik bakal wanita pilihan itu ialah wanita yang solehah iaitu mereka menarik pandangan suami dan sentiasa taat dan mengikut kehendak suaminya.
[Baca]
Basmi rasuah dengan merasuah?
IKLIM politik negara ketika ini sedang diserabuti isu hangat mengenai kemungkinan berlakunya lompat-melompat di kalangan ahli-ahli parti politik. Ketika ini pun masih lagi kuat kedengaran pemimpin-pemimpin parti pembangkang menyasarkan matlamat pembentukan kerajaan dalam masa terdekat dengan dakwaan kononnya akan berlaku 'penghijrahan' besar-besaran ahli-ahli parlimen kerajaan kepada pembangkang.
Apa yang lebih menggemparkan, apabila seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Belud mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan habuan yang sangat besar oleh sebuah parti pembangkang hingga dikatakan cukup untuknya "hidup senang-lenang sehingga tiga generasi".
LompatPersoalannya mengapakah perlunya timbul polemik lompat-melompat parti ini setelah rakyat sudahpun membuat keputusan mutlak dalam pilihan raya lalu? Apakah barisan kepemimpinan politik hari ini sudah hilang kewarasan hingga sanggup menafikan kepentingan dan hak rakyat yang sudah memilih mereka demi memuaskan gelodak nafsu? Atau apakah kerakusan untuk berkuasa telah mencairkan akal-budi seseorang hingga sanggup menghalalkan perbuatan merasuah yang dikutuk agama?
Apa yang pasti Islam menetapkan prinsip yang jelas bahawa matlamat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Semulia manapun niat yang disasarkan, sekudus manapun matlamat yang digariskan, hakikatnya tidak sekali-kali mengizinkan umat Islam bertindak sesuka hati. Niat yang baik mesti sentiasa diiringi dengan cara yang betul. Sebagaimana penegasan Allah dalam Al-Quran: Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik. (Fussilat: 34).
Demikian jugalah prinsip yang harus dipegang dalam keghairahan umat berpolitik untuk merebut kuasa. Dalam Islam kuasa hanyalah alat untuk memastikan kepentingan agama terus dipertahankan. Sebab itulah kuasa tidak wajar didaulatkan sehingga melampaui nilai dan prinsip agama.
Malangnya penyimpangan persepsi mengenai kuasa sering kali menjerumus umat kepada perilaku songsang hingga menjadikan kuasa sebagai matlamat dan bukan sekadar alat. Lantas ramai mulai hilang pedoman hingga sanggup mengetepikan prinsip dan etika keagamaan.
Semakin ramai ahli politik hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Natijahnya manusia hilang kewarasan dan pertimbangan rasional hingga yang lebih tertonjol adalah nilai-nilai kebinatangan dalam amalan berpolitik.
Sebab itulah berita-berita mutakhir mengenai cubaan merasuah pemimpin-pemimpin parti yang sudah dipilih rakyat merupakan suatu dakwaan serius dan tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi jika yang ingin merasuah itu adalah parti yang mendakwa memperjuangkan agenda pembasmian rasuah secara total dalam pentadbiran kerajaan.
HabuanMenawarkan wang habuan sebagai sogokan penghijrahan pemimpin-pemimpin parti dengan matlamat membentuk kerajaan secara mudah bukan sahaja membelakangi rakyat bahkan merupakan perbuatan rasuah terkutuk lagi menjijikkan di sisi agama. Perbuatan tersebut jika benar-benar berlaku hanya menzahirkan sifat hipokrasi parti politik yang bertopengkan prinsip dan nilai keadilan. Perlakuan seumpama ini juga secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.
Kita seharusnya menyedari hakikat bahawa Islam tidak sekali-kali bertolak ansur dalam isu rasuah. Nabi s.a.w. secara tegas menyatakan: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka" (Riwayat At-Tirmizi). Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: "Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya" (Riwayat Ahmad).
Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan rasuah yang amat keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini. Al-Quran menegaskan: Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) (al-Baqarah: 188).
Di sini jelaslah bahawa Islam berpendirian tegas dalam aspek pembasmian rasuah. Apa yang pasti Islam tidak merestui budaya politik 'matlamat menghalalkan cara' sebagaimana Islam tidak mewajarkan pembasmian rasuah dengan cara merasuah. Gejala budaya politik yang dangkal dan tidak beradab seperti ini wajib dikekang.
Ini kerana budaya politik yang tidak bermaruah akan hanya menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga bakal menjalar kepada permasalahan yang lebih besar sehingga mampu meleburkan prinsip keagamaan, memecah perpaduan umat dan memporak-perandakan negara.
Justeru penulis menyarankan agar hentikanlah polemik dakwaan lompat-melompat parti yang tidak menguntungkan negara dan rakyat terbanyak. Hormatilah suara hati rakyat yang telah dimanifestasikan melalui keputusan pilihan raya lalu. Fokus pimpinan kini seharusnya ditumpukan kepada usaha membela nasib rakyat dan bukannya sibuk mencatur harta dan takhta.
Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin politik kita masih punya integriti dan kekuatan memelihara kemurnian politik sebagai wahana aspirasi umat dan seterusnya menghalang budaya politik dangkal yang boleh menghancurkan negara. Sesungguhnya kestabilan negara yang terbina merupakan warisan yang tidak ternilai untuk dipelihara dan dipertahankan. Kegagalan mempertahankannya lantaran sikap kebinatangan politik yang meresapi diri hanya akan menjadi kita manusia bobrok yang tidak punyai nilai dan harga diri.
[Baca]
Islam larang meminta-minta
![]() |
|
ISLAM menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki dan bukannya meminta-minta. - Gambar hiasan
|
Syeikh Sya’rawi berkata, selepas Allah menceritakan berkenaan dengan sedekah yang diperintahkan Allah supaya dilaksanakan kerana Allah dan sudah pasti Allah tidak menzaliminya. Kemudian Allah menceritakan pula berkenaan dengan nafkah yang sepatutnya diagihkan pada permulaan Islam.
Firman Allah: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari minta-minta.
Ibn Kathir berkata, ini kepada golongan Muhajirin yang fakir yang menetap di Madinah, tidak mempunyai sumber pencarian diri dan boleh mengkayakan mereka. Begitu juga tidak mampu bermusafir untuk mencari kehidupan dan pada saat yang sama tidak meminta-minta sedangkan orang jahil menyangka bahawa mereka kaya.
Sayyid Qutub berkata: “Dahulu sifat yang menarik ini menjadi sifat sekumpulan orang-orang muhajirin. Mereka meninggalkan harta benda dan keluarga mereka di Mekah untuk menetap di Madinah. Mereka tumpukan diri mereka untuk berjihad di jalan Allah dan mengawal Rasulullah SAW seperti ahli suffah yang tinggal di pinggir masjid untuk menjaga rumah-rumah Rasulullah SAW supaya tidak dicerobohi musuh.
“Mereka telah tumpukan untuk berjihad dan kerana itu mereka tidak dapat merantau kerana berniaga dan mencari rezeki. Namun demikian, mereka tidak meminta-minta sesuatu dari orang lain, mereka menahan diri dari meminta sehingga orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menahan diri dari meminta dan enggan dari menunjukkan kemiskinan mereka dan tiada siapa yang mengetahui mereka melainkan orang-orang yang mempunyai perhatian yang tajam”.
Namun demikian, nas ini adalah satu nas yang umum yang merangkumi orang-orang yang lain dari mereka (muhajirin) di setiap zaman, iaitu merangkumi orang-orang miskin yang berjiwa tinggi yang hidup dalam satu keadaan yang menghalang mereka berusaha mencari rezeki dan mereka mempunyai kehormatan diri yang menghalang mereka meminta pertolongan dan bantuan.
Mereka menahan diri daripada meminta supaya kemiskinan mereka tidak ketara dan kerana itu mereka disangkakan kaya oleh orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka. Namun orang-orang yang peka dan mempunyai mata hati yang terbuka dapat memahami apa yang sebenar di sebalik jaga diri itu, kerana perasaan-perasaan jiwa mereka dapat dilihat dengan jelas pada tanda-tanda dan keadaan mereka walaupun mereka cuba menyembunyikan kerana malu.
Itulah satu gambaran yang mempunyai saranan yang amat mendalam. Ia digambarkan oleh sepotong ayat yang pendek untuk menunjukkan satu contoh manusia yang mulia. Itulah satu gambaran yang sempurna yang memperlihatkan sifat menahan diri dari meminta. Itulah cara al-Quran menggambarkan contoh-contoh manusia dengan gambaran yang seolah-olah hidup dan bergerak.
Mereka yang miskin dan menyembunyikan kemiskinan mereka seolah-olah mereka menutup aurat itu hendaklah diberi sedekah kepada mereka dengan cara sembunyi dan lemah-lembut supaya maruah dan kehormatan mereka terguris.
Oleh sebab itulah ayat ini diiringi dengan kenyataan yang menyarankan supaya sedekah itu diberi dengan cara sembunyi dan meyakinkan para pemberinya bahawa Allah mengetahui setiap pemberinya dan akan memberi ganjaran kepadanya.
Enggan
Firman Allah: Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak.
Al-Nasafi berkata, mereka yang miskin tetapi menjaga maruah tanpa meminta dengan pada mukanya dan keadaannya pucat kekuningan tetapi masih enggan meminta kepada manusia.
Mengikut hadis sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang malu lemah lembut bermaruah dan benci daripada perkataan yang tidak baik dan meminta-minta.
Al-Maghaghi berkata, ini kerana boleh jadi menjaga maruah dan mereka tidak memohon kepada manusia kerana sifat dan sikap yang baik justeru benarlah sabda Rasulullah SAW mengikut riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: Bukanlah orang miskin yang mengelilingi manusia yang mendapati sesuap atau dua suap dan kurma atau sebiji tamar atau dua biji tamar tetapi orang miskin yang sebenarnya yang tidak mendapati orang kaya yang boleh mengkayakannya dan tidak cerdik untuk itu lantas di sedekahkan kepadanya dan beliau tidak memohon bangun meminta kepada manusia.
Bacalah sejarah, kita dapati bahawa sahabat r.a pada permulaan hijrah dalam kesempitan dan kefakiran yang amat sangat sehingga mereka terpaksa tinggal berhampiran dengan masjid Nabi untuk tidur. Ini kerana segala aset mereka di Mekah telah ditinggalkan.
Walaupun begitu mereka tetap sabar dan amat kuat memelihara agama di samping menjadi penghafal hadis dan sunah Nabi SAW. Pernah satu ketika Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah kepada golongan ini selepas melihat kefakiran mereka dan kedaifan tetapi mempunyai hati yang baik sabda baginda: Bergembiralah hai golongan ahli Suffah maka siapa yang kekal di kalangan ummatku atas sifat yang ada pada kamu ini dengan penuh keredaan sudah pasti ia menjadi daripada teman-temanku.
Firman Allah: Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), Maka Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Al-Maghaghi berkata: Tiada sembunyi atas-Nya kebaikan niat dan keikhlasan seseorang pada amalan dan Allah pasti akan membalasnya
Sayyid Qutub berkata: “Hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia dan sebarang kebajikan tidak akan hilang di sisi-Nya.
“Pada akhirnya ayat yang berikut mengakhiri perlembagaan sedekah di dalam pelajaran ini dengan mengemukakan satu nas yang umum yang meliputi segala cara infak dan segala masa infak, juga mengemukakan satu hukum yang meliputi setiap orang yang mengeluarkan infak kerana Allah SWT”.
Iktibar Ayat:-Islam melarang perbuatan meminta-minta.
- Setiap harta yang diinfak itu akan mendapat ganjaran daripada Allah.
- Keutamaan infak adalah kepada golongan yang fakir.
[Baca]
Islam itu matlamat, bukan alat
Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya menerusi kepatuhan kepada titah perintah-Nya dalam al-Quran dan sunah.
Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau “apa orang kata” atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan. Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau “menghalalkan” kesalahan kita. Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengaut atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka. Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah.. Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am‘am: 161-164). Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.
Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelemahan dan kesilapan dalam hidup ini. Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan. Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya. Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.
Keajaiban
Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana pelbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperoleh pelbagai keajaiban yang jika para sahabat Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu. Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah mempedulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu? Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan “melelong pahala”, maka al- Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al- Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar. Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat. Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka. Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan tidak bertukar pakaian? Patutkah ada mualaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta. Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.
Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Pelbagai nas dibaca menjelang pilihan raya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna. Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44) dan firman Allah: (maksudnya) “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun” (Surah Ali ‘Imran ayat 28). Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Saya pernah meminta agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat- ayat tersebut supaya dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya. Tujuannya agar tidak mengkafirkan orang lain dengan begitu mudah. Dia bantah saya, hampir saya pun dikafirkannya. Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan Islam, nadanya sudah berbeza. Saya berkata kepadanya: “Apa jadi dengan nas- nas yang dulu?” Katanya: “Syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok pelbagai perkara, bukan semua kita boleh buat”. Saya dengan sinis bertanya: “Tak jadi kafir ke kalau macam tu?” Jawab dia: “Kena tengok keadaan la”. Saya diam. Ya, mungkin kafir dulu itu, kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia dibaca untuk sesuatu kepentingan.
Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis, bukan prinsip yang dipegang. Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama. Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan “doa rasmi”, tetapi menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya. Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau penonjolan kempen agama. Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama ini.
Pendirian
Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang bagaikan “sumpah-sumpah” yang boleh merubah warna kulit berdasarkan keperluan majlis. Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara, tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan projek-projek kepada “anak-pinak” dan “rakan-taulan” dengan cara yang dipertikaikan. Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain. Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat berbeza antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan pelbagai lagi. Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung dan pelbagai lagi.
Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz di televisyen berceramah; “jangan membazir”, jimat cermat, belanja berhemat dan pelbagai lagi. Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk makcik-makcik di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena. Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu, semua rakyat akan menikmati kekayaannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah hanya 30 bulan, tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah pemerintahannya. Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di televisyen dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat. Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.
Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firman-Nya: (maksudnya) Dialah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat 22-23)
Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan keperwiraan. Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak bersetuju, maka dia memohon ampun dan maaf hanya kerana keris yang dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut. Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar menjadi Hang Takut. Namun, saya rasa kesalahan panglima Negara Entah Berentah memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan nas-nas agama.
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
[Baca]
Perihal kedudukan Islam di Jepun
SENASKAH Quran yang mengandungi tafsir dalam bahasa Jepun disampaikan kepada tukang catat ini beberapa waktu lalu. Tebalnya 808 muka, bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nass.
Ia seperti tafsir bahasa Inggeris terbitan kompleks percetakan Al-Malik Fahd di Arab Saudi dan tafsir bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali serta tafsiran bahasa Melayu melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Jelas bahawa para pemimpin golongan minoriti Islam di negara Jepun tidak ketinggalan dalam segala usaha untuk menegakkan syiar Islam. Hal ini dijelaskan lagi dalam rencana-rencana khas terbitan majalah Amerika, Asia Policy, isu bulan Januari 2008.
Makalah pertama berjudul Islam in Japan: A cause for concern? Yang kedua bertajuk Islam in the Japanese Context dan yang ketiga bertajuk Muslims in Contemporary Japan.
Antara penulis ialah Michael Penn, pengarah eksekutif Institut Shingetsu Pengkajian Hubungan Jepun-Islam. Esei beliau mengkaji sikap warga Jepun terhadap orang-orang Islam yang bermastautin di negeri Jepun dan pelbagai kesannya kepada dasar Amerika serta lain-lain hal. Beliau menyatakan antara lain, beberapa pendapatnya:
* Orang Islam di Jepun menghadapi banyak cabaran dalam masyarakat Jepun akibat imej negatif mengenai Islam yang timbul, terutama laporan-laporan media massa.
* Walaupun menghadapi cabaran demi cabaran namun, masyarakat Islam di Jepun tidak begitu kecewa terhadap warga Jepun.
* Kerajaan Jepun dan masyarakatnya tidak mungkin mengambil sebarang tindakan yang dramatik terhadap golongan minoriti Islam. Ini kerana warga Islam di Jepun tidak begitu ramai dan tidak punyai pengaruh politik.
Menurut Penn selanjutnya seramai kira-kira 14 juta orang Jepun beragama Kristian, iaitu sejak tahun 1549. Anggaran bilangan orang Jepun sendiri yang beragama Islam kira-kira 6,000 orang.
Menurut Penn lagi, di kalangan para pelajar Jepun peringkat sekolah menengah, seramai 75 peratus berpendapat Islam agama yang agresif, 70 peratus berpendapat Islam kurang memberi kebebasan dan 53 peratus mengaitkan Islam dengan negara-negara kurang maju.
Lalu disebut kenyataan Takuo Amir Arai, wakil Persatuan Islam Jepun: “Dalam dunia Islam dewasa ini wujud keadaan seperti peperangan, keganasan, kemiskinan dan kacau-bilau. Inilah yang ditayang oleh televisyen dan oleh itu ramai orang Jepun bersikap negatif terhadap Islam.
Antara cabaran-cabaran utama orang Islam di Jepun ialah mendapatkan makanan halal. Suatu lagi cabaran ialah betapa mahu menunaikan sembahyang lima kali sehari. Satu contoh ialah laporan dalam akhbar Daily Yomiuri mengenai seorang wanita Indonesia berumur 20 tahun yang bekerja di sebuah kilang jahitan dipaksa menandatangani surat berjanji tidak akan bersolat di kilang dan berpuasa pada bulan Ramadan. Namun, orang-orang Islam tidak menyalahkan warga Jepun kerana pelbagai prasangka dan dasar. Ini kerana mereka sebenarnya jahil mengenai Islam atau adat-adat warga asing.
Suatu lagi makalah menyebut mengenai bilangan ramai orang Islam di Jepun ialah lelaki bujang berumur 20 hingga 40 tahun, terutama dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Iran. Mereka datang untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja.
Makalah ketiga ditulis oleh Profesor wanita Keiko Sakurai dari Universiti Wasede. Menurutnya bilangan orang Jepun yang memeluk agama Islam telah meningkat secara beransur-ansur walaupun tiada statistik jelas diperoleh.
Mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, lelaki yang mengenali budaya Islam setelah mengkaji agama Islam atau dunia Arab, iaitu semasa merantau, belajar atau bekerja di negaranegara Islam.
Kedua, wanita-wanita Jepun yang berkahwin dengan orang Islam dari negara-negara lain. Kumpulan ini berupa majoriti wanita Islam di negeri Jepun. Profesor Sakurai memberi dua pendapat:
l Orang-orang Islam asing kira-kira 80 hingga 90 peratus penduduk Islam di Jepun. Mereka datang pada pertengahan 1980-an dan awal 1990-an kerana keperluan-keperluan ekonomi. Ramai datang melalui visa waktu singkat dan bekerja secara haram serta mengahwini wanita tempatan.
l Bilangan orang Islam bukan Jepun kira-kira 60,000 hingga 70,000, majoritinya lelaki. Paling ramai ialah orang Indonesia dan diikuti oleh orang Pakistan, Bangladesh dan Iran.
Pada tahun 2004 terdapat 23,890 orang Indonesia, Pakistan (8,610), Bangladesh (10,724) dan Iran (5,403). Majoriti warga Malaysia di Jepun ialah etnik Cina dan bukan Islam.
Profesor Sakurai juga membuat laporan mengenai peranan pelbagai masjid di Jepun, iaitu bukan untuk menunaikan solat sahaja tetapi juga menjadi tempat berkumpul dan bertukar maklumat. Beberapa masjid juga menerima derma dari pertubuhan-pertubuhan dan orang-
orang perseorangan.
Dalam bulan Ramadan pula ramai keluarga Islam datang untuk berbuka puasa, mengadakan kenduri dan selanjutnya menyambut Hari Raya. Oleh kerana harga tanah dan binaan begitu mahal, bangunan-bangunan atau kilang-kilang serta rumah-rumah diubah suai menjadi masjid.
Menjelang tahun 2003 sebanyak 38 masjid telah didirikan dipelbagai wilayah. Masjid baru pertama dibina oleh para pendatang Islam pada tahun 1992. Sebuah lagi diadakan di kawasan kilang manakala pendatang Islam mengambil sebuah bangunan dua tingkat menjadi masjid.
Pada tahun 2000, menurut laporan Profesor Sakurai lagi, Masjid Tokyo dibina semula atas inisiatif jabatan agama kerajaan Turki. Lain-lain masjid kemudian menjadi masjid Jamek untuk sembahyang Jumaat dan lain-lain majlis agama.
Beliau membuat kesimpulan bahawa majoriti orang Islam di negeri Jepun ialah orang asing di Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Iran, iaitu yang dulu datang mencari kerja. Ramai antara mereka kemudian mengahwini wanita-wanita tempatan.
Walhal dari warga Jepun yang Islam sendirilah terbitnya Quran dengan tafsir dalam bahasa Jepun (808 muka). Peranan mereka dalam pelbagai usaha untuk meningkatkan syiar Islam tidak begitu mendapat perhatian sewajarnya dari majalah Amerika. Kenapa kenyataan Takuo Amir Arai dari Persatuan Islam Jepun hanya sebaris saja?
Penulis ialah konsultan
kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
[Baca]




