Arkib: July 2008

Mengimbau sejarah tradisi hamam

Kesan-kesan arkeologi hari ini menunjukkan kewujudan tradisi hamam (hammam atau spa) seawal zaman Bani Umayyah di bandar- bandar Fustat (Mesir) dan Basrah (Iraq). Tradisi ini berterusan sehingga ke hari ini memandangkan kepada kepentingannya.

Kegunaan hamam untuk tujuan mandi hadas menjelaskan kenapa tradisi ini mempunyai nilai keagamaan dan dianggap antara kemudahan asas yang terpenting dalam bandar raya Islam, sehingga akhirnya disediakan berdekatan dengan masjid. Pada masa yang sama wujud satu bentuk kehidupan manusia yang tinggal di persekitarannya. Sememangnya tradisi hamam banyak membantu masyarakat mencapai kebaikan jasmani dan akali.

Masyarakat dahulu mengunjungi hamam untuk berehat, membersihkan diri, dan memenuhi tuntutan agama. Hamam yang banyak dibina di setiap bandar dan kota, memberikan pendapatan yang agak lumayan kepada pihak yang memiliki dan mengendalikannya. Kemasyhuran hamam menyebabkannya dibina di pekarangan istana dan rumah-rumah bandar yang besar.

Sejajar dengan perkembangan agama Islam, demikian jugalah berkembang tradisi hamam dan ini menjelaskan kewujudannya sehingga kini di Sham (Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin), Iran, Anatolia, Balkan, seluruh Afrika Utara dari Mesir hingga ke Maghribi. Sebelum bangsa Arab dikalahkan dan dihalau keluar, wujud hamam di Andalusia dan utara Sungai Danube. Menurut data yang ditemui dalam sumber-sumber awal yang merujuk kepada Bani Umayyah, Abbasiyyah, dan Uthmaniyyah, terdapat hamam dengan jumlah yang banyak di kota-kota utama dunia Islam. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Abbasiyyah, terdapat lebih dari 110 hamam di kota Damsyik, 195 di Aleppo, dan lebih dari 300 di kota Qurtubah (Andalusia). Semasa pemerintahan Uthmaniyyah terdapat lebih 150 hamam di Istanbul, manakala lebih 100 didapati di kota Fez (Maghribi).

Cara bagaimana hamam beroperasi adalah lebih kurang sama sahaja di seluruh dunia Islam. Sebaik tiba, pelanggan di arahkan ke bilik persalinan (adopyterium), di mana mereka memakai kain tuala. Para pelanggan akan beransur-ansur membiasakan diri dengan suasana hamam yang menjadi semakin hangat dan lembab sebaik sahaja mereka bergerak ke arah pusat bangunan, bilik peluh. Seketika sahaja di situ cukup untuk menghasilkan peluh yang banyak. Para pelanggan kemudiannya diserahkan kepada kakitangan terlatih, lelaki untuk pelanggan lelaki dan perempuan untuk kakitangan perempuan. Mereka akan membersihkan para pelanggan dengan sabun berbuih, menggosok seluruh badan, mengurut, membuang bulu yang tidak dikehendaki dan mencukur. Seterusnya mereka akan dibilas sama ada dengan air suam yang dijirus ke atas kepala ataupun dengan merendamkan diri di dalam air suam atau panas. Akhir sekali, para pelanggan diberikan masa untuk berehat seketika di bilik khas bertujuan mengembalikan tenaga setelah melalui rawatan yang memenatkan itu.

Seperti juga thermaes orang-orang Rom, hamam juga menjadi tempat pertemuan masyarakat. Abu Sirr, seorang sejarawan awal bangsa Arab dilaporkan berkata: “Bandar anda hanya sempurna jika ia mempunyai hamam.” Bagi menggalakkan orang ramai berkunjung, bayaran masuk ke hamam dipastikan tidak membebankan, dengan itu setiap orang tidak kira kedudukan dapat menikmatinya. Seorang khalifah yang diceritakan kisahnya dalam Hikayat Seribu Satu Malam berkata: “Beta serahkan kepada pengunjung tempat mandian untuk membayar mengikut kemampuannya.” Bagi memastikan kejujuran pemilik dan kakitangan hamam, kadangkala mereka dikecualikan membayar cukai, sebagai satu keistimewaan.

Tarikan

Sepanjang sejarah kaum Muslimin, hamam adalah antara tempat-tempat yang dibuka pada setiap orang dari awal pagi hingga ke lewat malam atau lebih lewat lagi. Antara tarikan yang disediakan oleh hamam ialah khidmat penggunting rambut. Dia akan mencukur muka pelanggan, menggunting rambut, mengurut dan membersihkan badan mereka. Oleh kerana tukang gunting sentiasa berdekatan dengan pelanggan, dia tidak dibenarkan memakan bawang putih atau sebarang makanan yang menyebabkan nafas berbau. Salah satu tugas tukang gunting ialah menyental tapak kaki pengunjung hamam bagi menghapuskan kematu. Adalah dipercayai bahawa kaki yang bebas kematu bukan sahaja tidak berbau busuk tetapi juga mengawal sakit kepala. Juga dipercayai bahawa apabila seseorang itu berdiri sesudah mandi, keletihan dan unsur-unsur yang tidak dikehendaki akan mengalir turun dari tubuhnya dan keluar melalui kaki. Tukang-

tukang gunting, yang selalunya menjadi orang pertama mendapat berita dan cerita daripada para pengembara, menjadi tumpuan orang bagi mendapatkan perkhabaran dan bisik-bisik.

Hamam juga merupakan pusat kecantikan pada zaman itu. Di situ ditawarkan rawatan muka, rambut dan badan menggunakan tumbuh-tumbuhan dan minyak. Dengan itu ia merupakan tempat di mana jiwa dan raga direhatkan dan disegarkan. Sarung tangan kasar yang diperbuat dari kapas, sutera dan bulu kambing digunakan untuk menggosok tubuh yang berpeluh, melicinkan kulit, dan mengeluarkan bahan-bahan kotor dari tubuh menggunakan sabun. Hidangan istimewa juga disediakan di mana makanan yang terbaik dihidangkan.

Memakan buah, meminum jus dan air galian adalah tradisi hamam. Terdapat juga pesta-pesta yang disertai penyanyi dan para penari wanita yang menari mengikut rentak muzik. Tradisi ini diamalkan di hamam sebagai satu unsur kehidupan masyarakat. Hamam juga menjadi bahan untuk wayang, lagu, novel, dan kata-kata bistari di sebahagian dunia Islam. Apabila seorang wanita jelita menarik perhatian orang ramai akan berkata, “semoga Tuhan melindungi kita dari mata durjana”. Di kebanyakan jajahan takluk kerajaan Uthmaniyyah seperti Anatolia, Balkan, Asia Tengah dan Iran, sampai sekarang masih wujud kepercayaan bahawa manik-manik istimewa berwarna biru dan putih dapat menjauhkan mata durjana, atau menghalang sumpahan jahat. Manik-manik ini biasanya dibuat dengan tangan menggunakan kaca yang ditiup.

Terdapat peralatan berbeza untuk kegunaan lelaki dan wanita, semua itu dijaga dengan amat teliti, membayangkan kekayaan tradisi hamam. Mangkuk istimewa yang digunakan di hamam direka bentuk dengan saiz yang pelbagai untuk lelaki dan wanita. Mangkuk-mangkuk ini yang digunakan untuk menuang air dari besen marmar biasanya diperbuat dari tembaga, perak atau suasa, dan dihiasi dengan ukiran yang halus dan indah.

Tradisi hamam sememangnya telah menjadi sebahagian cara hidup masyarakat bandar, hinggakan golongan kaya pun, yang biasanya memiliki hamam persendirian, turut mengunjungi hamam awam. Orang ramai berkunjung ke hamam bagi menayangkan kebersihan mereka kepada orang lain. Walaupun hamam biasanya dibina di bawah naungan masjid atau kerajaan tertentu, terdapat juga hamam yang dibina oleh orang-orang kaya. Membina hamam dianggap pekerjaan yang disukai Allah dan juga masyarakat; natijahnya, golongan kaya cenderung menurut nasihat Yusuf Abdul Hadi, seorang penulis awal bangsa Arab, yang berkata: “Sesiapa yang melakukan dosa patut membina hamam (sebagai penebusnya)".

Hamam diwujudkan untuk kegunaan setiap lapisan masyarakat. Hari-hari tertentu dikhaskan untuk kaum wanita sahaja, yang biasanya mengadakan keraian-keraian di situ menurut adat resam mereka. Sebagai contoh, “upacara mandi pengantin” diadakan sehari sebelum persandingan; “upacara mandi genap 40 hari” diadakan apabila seorang bayi berusia 40 hari; “upacara mandi waris” diadakan 20 hari selepas kematian kaum keluarga; “upacara mandi nazar” diadakan untuk seseorang yang hajatnya ditunaikan; “upacara mandi alu-aluan” diadakan apabila seseorang ingin memperkenalkan tetamunya kepada kaum keluarganya; dan “upacara mandi perayaan” diadakan sehari sebelum hari-hari perayaan keagamaan.

Kadangkala pemilik hamam mendermakan hasil kutipannya kepada sekolah, masjid ataupun untuk pembinaan hamam yang lain. Apabila sebuah hamam baru dibuka, perisytiharan akan dibuat dan untuk tiga hari pertama tiada bayaran dikenakan.

Ketertiban dan kebersihan amat penting kepada hamam, justeru amalan-amalan tertentu yang dikuatkuasakan dengan undang-undang telah diwujudkan. Pejabat Muhtasib, yang merupakan ketua polis, peronda pasar, dan pemantau akhlak masyarakat sepanjang sejarah kaum Muslimin, turut memiliki kuasa ke atas soal-soal ketertiban dan kebersihan hamam, di samping memantau tingkahlaku pengunjung dan pekerjanya. Muhtasib ditugaskan memastikan sentiasa dibersihkan. Ini bererti permukaan batunya hendaklah disental bagi membuang kotoran dan kesan-kesan sabun yang licin. Muhtasib juga memeriksa kualiti air yang digunakan.

Selain membersihkan hamam, penjaga hamam akan membakar kemenyan dua kali sehari bagi menyucikan udara. Dengan demikian hamam itu akan bersedia sepenuhnya untuk menerima pelanggan sebelum sembahyang subuh.

Di hamam, tukang-tukang urut akan melumurkan tangan mereka dengan kulit limau bagi mengeraskannya di samping membangkitkan bau wangi. Para petugas akan memastikan kekacang tidak dimakan di hamam, pesakit kusta tidak dibenarkan masuk dan sesiapa yang mendedahkan kemaluannya dihalau keluar. Pengalaman di hamam bukan sahaja menyeronokkan, bahkan ramai yang percaya bahawa ia mendatangkan nasib yang baik. Pepatah lama mengatakan: “Sesiapa yang mengunjungi hamam 40 kali Rabu berturut-turut akan berjaya dalam sebarang usaha.”

Gelap

Bagi membangkitkan suasana ketakwaan semasa mandi di hamam, sesetengah orang mencadangkan para pengguna hamam membayangkan api neraka semasa mandi. Dilingkungi kegelapan dan diselimuti kepanasan, mandi di hamam adalah dikatakan bayangan neraka, dan tidak seharusnya sentiasa dibayangkan sebagai nikmat syurgawi.

Bagi menggambarkan perlagaan syurga-

neraka di hamam, dinukilkan di sini suatu kisah dari Hikayat Seribu Satu Malam. Pada malam ke-132, suatu perbualan berlangsung antara menteri, pembantu hamam dan dua anaknya.

Kata menteri kepada pembantu: “Sesungguhnya tempat mandian ini adalah syurga dunia.” “Semoga Allah mengurniakan tuan syurga itu, juga kesihatan kepada anak-anak tuan dan memelihara mereka dari pandangan durjana! Ingatkah tuan apa yang pernah dikata orang dalam memuji tempat mandian?”, jawab si pembantu. Pada masa ini anak pertama si pembantu berkata, “saya akan bacakan pada tuan dua rangkap kata”, seterusnya membaca rangkap-rangkap berikut: “Kehidupan di mandian adalah kenikmatan hidup seorang manusia, malangnya masa terlalu suntuk untuk berada di sana. Ia syurga yang menyukarkan untuk didiami; neraka yang riang dengan kedatangan air pasang.” Apabila anak kedua si pembantu mendengar apa yang dibaca itu dia berkata “Aku juga ingat dua rangkap yang memuji tempat mandian,” dan terus membaca, “sebuah rumah di mana bunga-bungaan dari batu granit tumbuh, kelihatan paling sempurna apabila hangat dengan cinta yang hidup. Kamu sangka ia neraka, akan tetapi hakikatnya di sini ia adalah syurga; dan sesetengah benda seperti mentari dan bulan kelihatan di dalamnya.”


[Baca]

Politik dan demokrasi ala Amerika Syarikat

“Hai, kawan, apa yang kau cari bawah lampu tu?”
“Cari anak kunci saya?”
“Di mana kau hilang kunci tu?”
“Di seberang jalan sana?”
“Habis, kenapa tak cari di seberang sana tu?”
“Kerana lampu di sini lebih terang.”

Demikian cerita lucu Amerika Syarikat (AS) dari sebuah buku yang mengaitkannya dengan pelbagai tindak-tanduk politik negara itu ketika ini. Lalu dijelaskan: ‘‘Tokoh-tokoh dan aktivis-aktivis politik selalu saja mencari di tempat-tempat yang salah untuk menyelesaikan pelbagai masalah politik yang rumit. Mereka tidak mengatasi isu-isu yang sukar secara praktikal dan logik. Sebaliknya mereka mencari penyelesaian mudah di tempat-tempat mereka mencari penyelesaian, tetapi bukanlah di situ penyelesaiannya.’’

Tanpa memastikan setiap masalah yang dihadapi oleh masyarakat, aktivis-aktivis politik mengambil tindakan yang tidak jelas nilainya demi memperlihatkan ketangkasan mereka kepada para pengundi. Kadang-kala sesuatu masalah yang dihadapi aktivis-aktivis politik tidak begitu jelas dan sering diperbesarkan. Akibatnya tindakan yang diambil tidakpun menyelesaikan hal. AS dewasa ini sering bertindak balas kepada pelbagai krisis dan tragedi,”.

Berupa jawapan kepada persoalan yang berbangkit itu ialah kenyataan Condoleezza Rice, Setiausaha Amerika dalam jurnal Foreign Affairs isu Julai-Ogos 2008, bertajuk The New American Realism apabila beliau menegaskan: “Asas kekuatan Amerika tetap teguh kerana puncanya ialah masyarakat Amerika yang dinamis, bertenaga dan cekal.” Kenyataannya itu tentunya mendapat perhatian negara-negara lain dan bukan oleh para diplomat sahaja.

Menurutnya, dasar Amerika untuk mengembangkan sistem demokrasi mestilah diutamakan, lalu menambah: “Cacatnya demokrasi menyebabkan sesetengah pihak tertanya-tanya apakah negara-negara yang lemah lebih baik saja menegakkan pemerintahan kapitalis yang otokratik. Beberapa negara berjaya dengan modal tersebut dan penarikannya begitu berkesan manakala sistem demokrasi terlalu lambat memenuhi tuntutan kehidupan lebih baik.”

Rice kemudian bertanya dan menjawab: “Apakah pada waktu jangka panjang kerajaan seumpama itu boleh menghormati kepandaian warga mereka saja, bukan hak-hak asasi mereka? Pada hemat saya, tidak boleh.”

Demokrasi

Beliau mengaku bahawa perkembangan sistem demokrasi memang serba kemungkinan “tetapi tidak boleh dipercepat atau mudah dilaksana.” Juga diakui bahawa demokrasi tidak boleh wujud secara paksa “terutama oleh kuasa asing.” Seperti berlaku di Iraq? Kita bertanya.

Di samping itu disebut olehnya bahawa usaha memupuk sistem demokrasi dan melawan keganasan kadang kala menimbulkan penilaian yang sukar “kerana kita kini memerlukan rakan-rakan yang cekap di Timur Tengah untuk menghapuskan pihak pengganas. Negara-negara itu bukan demokratik dan oleh itu kita mesti mengimbangi sasaran jangka pendek dan jangka panjang. Kita tidak boleh menafikan bantuan keselamatan kepada negara-negara tidak demokratik untuk memerangi keganasan atau mempertahan diri sendiri.”

Rice menyentuh kerjasama yang telah dijalin di antara AS dan Pakistan semasa kepimpinan Presiden Pervez Musharraf. Menurutnya setelah pemerintahan darurat diisytiharkan di Pakistan, AS mendesak Musharraf supaya mengadakan pilihan raya yang bebas. Beliau menambah: Walaupun pihak pengganas cuba menggagalkan pemulihan demokrasi dan ramai orang tidak berdosa mati dibunuh, termasuk bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, namun rakyat Pakistan tetap tegas menolak golongan-golongan pelampau agama ketika mengundi.”

Hal ini telah beberapa kali dinyatakan bersabit pilihan raya demi pilihan raya yang diadakan di Pakistan sejak kelahirannya, iaitu parti-parti agama tiap kali tewas.

Beralih kepada pilihan raya di Tebing Barat Palestin, Rice menyebut mengenai pilihan raya di bandar Qalqilya yang dimenangi oleh Hamas pada tahun 2004. Rakyat Palestin yang kemudian bosan dengan Hamas tidak memilihnya dalam pilihan raya berikutnya.

Mengenai Iraq pula, Rice menegaskan: “Amerika tidak menggulingkan Saddam Hussein untuk mewujudkan demokrasi di Timur Tengah. Dalam pada itu beliau mengaku bahawa usaha Amerika di Iraq “begitu rumit sekali. Iraq telah berpecah dan masyarakatnya juga berpecah semasa pemerintahan Saddam. Kami kemudian melakukan beberapa kekhilafan. Itu tidak dinafikan.”

Rice membela sistem di negaranya sendiri. “Amerika masih mempunyai kebolehan istimewa menyerapkan warga negara daripada apa juga bangsa, agama dan budaya.”

Beliau menambah: “Kami hidup pada masa depan, bukan pada zaman lampau. Kami tidak berlengah-lengah dengan sejarah kami sendiri. Ini menyebabkan kami melakukan kekhilafan pada masa lalu dan tentunya kami mengulanginya pada masa akan datang.” Amerika kini menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-232.

Pertanyaan: Apakah di Amerika saja sesetengah aktivis politik mencari kunci di bawah lampu yang terang, bukan di tempat ia hilang di seberang jalan?

Dalam pada itu wajar dicatat ialah peranan Amerika melahirkan negara Bosnia setelah diserang oleh pihak Serb dan begitu juga negara Kosovo pada awal tahun ini. Sebab itulah warga Albania yang Islam terus memihak kepada Amerika.

Catatan kaki: Rangkaian televisyen CNN pada minggu lalu menyiarkan gambar beribu-ribu orang Islam Bosnia sembahyang memperingati pembunuhan 8,000 orang Islam di Srebenica oleh askar Serb pada bulan Julai 1995. Menurut laporan terbaru itu dari jumlah besar yang menjadi korban hanya 308 dikenali dan disembahyangkan.


[Baca]

Kesan minda gajah sarkas




Orang Melayu dalam perniagaan sering dianggap mempunyai sikap ingin cepat untung, mudah putus asa dan mahu segala-galanya dibantu untuk berjaya. Sikap seumpama itu jika dibiarkan berterusan, ia akhirnya akan menyebabkan orang Melayu tidak akan ke mana. Sebaliknya mereka akan terus ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Namun begitu dalam mengejar kejayaan, orang Melayu tidak harus melupakan lunas-lunas Islam. Mereka harus melaksanakan perniagaan demi mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Justeru dalam usaha menyedarkan orang Melayu berhubung perkara ini, Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp) yang juga Naib Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mewujudkan gagasan yang dipanggil Jihad ekonomi.

Malah, Muhammad Ali juga mahu orang Melayu menghapuskan minda gajah sarkas yang dianggap beliau hanya merosakkan golongan itu untuk mencapai kejayaan.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, AMRAN AHMAD dan AZMAN IBRAHIM, beliau yang telah berjaya meletakkan nama JCorp di persada antarabangsa mengulas mengenai kesan minda gajah sarkas ini kepada ekonomi orang Melayu dan kenapa mereka perlu melepaskan diri daripada pemikiran seumpama itu jika mahu berjaya.

MINGGUAN: Apakah sebenarnya yang cuba ditonjolkan melalui jihad ekonomi dan bagaimana konsep itu boleh membantu peniaga-peniaga Islam untuk maju?

MUHAMMAD ALI: Apabila kita sebut tentang jihad ekonomi atau perniagaan, ia adalah konsep sama yang turut diperjuangkan oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem). Kita di Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) menerima konsep jihad ekonomi sebagai asas perjuangan, malah menjadikannya sebagai penyata misi dewan.

Mungkin istilah jihad itu boleh menyumbang sedikit kontroversi terutama apabila ada orang Islam sendiri yang bimbang dan takut, istilah tersebut akan mengundang tuduhan negatif oleh orang bukan Islam. Ia disebabkan jihad sering kali dikaitkan dengan keganasan. Namun begitu sebenarnya kita tidak perlu ragu dan bimbang kerana jihad bukan bermakna keganasan seperti yang didakwa.

Terdapat 40 ayat dalam kitab suci al-Quran yang menyentuh tentang jihad dan peperangan dan 20 ayat daripada semua ayat itu membawa jihad yang dipanggil dalam surah Al-Furqaan iaitu Jihad dan Kabilah. Maknanya, jihad yang lebih besar dan utama ialah menentang hawa nafsu dan keperluan mengatasi tuntutan nafsu yang merosakkan kita.

Bagaimana jihad ekonomi boleh membantu orang Islam dalam aspek perniagaan?

MUHAMMAD ALI: Dunia perniagaan menyajikan keadaan dan ruang yang mencabar nafsu manusia, terutama umat Islam kerana membabitkan aktiviti penjanaan harta kekayaan dan peluang untuk orang mengambil jalan ringkas sehingga menghalalkan segala cara, menipu, merosakkan alam sekitar dan menjual binatang yang dilarang untuk mengaut untung.

Di sinilah wujudnya peranan para peniaga Islam kerana kita memang mahukan kekayaan setelah ketinggalan sekian lama, tetapi kaedah dan cara yang digunakan dalam mengendalikan perniagaan itu yang berbeza. Apa yang dibimbangkan ia menjurus kepada cara merosakkan diri, keluarga dan alam sekitar jika tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

Oleh itu kita kena cari jalan dan kaedah menjalankan perniagaan yang serasi dengan ajaran Islam kerana walaupun bisnes bermatlamatkan keuntungan, menjana kekayaan dan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi kita perlu cuba menghindarkan diri daripada sifat tamak-haloba, rakus dan elemen individualistik sehingga merosakkan akhlak dan peribadi usahawan.

Kita perlu seimbang dan cuba mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berakhlak dalam dunia perniagaan dan korporat walaupun belajar mengenai corak pengurusan Jepun, Singapura, China dan barat yang tidak mengenal soal halal haram, syurga neraka dan tidak mempercayai kewujudan tuhan.

Jadi, adakah usahawan Islam turut terikut-ikut budaya ini?

MUHAMMAD ALI: Mungkin kadang-kadang kita boleh terlupa, alpa dan terikut-ikut dengan budaya rasuah, berkaraoke, minum arak seperti yang diamalkan oleh peniaga bangsa lain.

Sebenarnya, ajaran Islam memberi kelebihan dalam dunia perniagaan. Jika kita kaji konsep brek kenderaan, kita akan mendapati ia ada dua fungsi iaitu memberhentikan kenderaan dan satu lagi yang sering kita abaikan iaitu dengan adanya brek itu, kita berani untuk memecut laju. Cuba bayangkan kalau kereta kita tiada brek, tentunya kita tidak berani untuk memandu laju.

Oleh itu, hukum syarak juga diibaratkan sebagai brek yang membolehkan peniaga Islam untuk berkembang maju, namun ada had yang perlu dipatuhi agar tidak berlakunya kecelakaan atau kemalangan.

Kaedah ini telah membuktikan kejayaan kerana banyak syarikat tempatan antaranya Petronas, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kumpulan JCorp yang telah menerapkan konsep jihad ekonomi dalam berniaga.

Sejauh mana penerapan konsep jihad ekonomi di kalangan usahawan Melayu akan berjaya?

MUHAMMAD ALI: Selalunya, faktor utama yang menjadi punca kegagalan usahawan Melayu ialah sikap kurang yakin dengan diri sendiri yang diburukkan lagi dengan konflik fahaman songsang yang disebarkan oleh ulama-ulama yang tidak faham soal perniagaan.

Ulama-ulama ini mengatakan peniaga hanya mahu mengejar soal kebendaan dunia dan ini menyebabkan ramai usahawan Melayu yang teragak-

agak dalam menjalankan perniagaan dan akhirnya mereka mengundurkan diri.

Kita mesti ketepikan konflik dengan menjalankan perniagaan yang serasi dengan jiwa dan nilai hidup dengan selalu bersolat, berpuasa dan berzakat agar tidak wujud keraguan dalam diri.

Ini penting kerana jihad perniagaan bermakna berniaga bukan untuk kepentingan diri atau peribadi, pengorbanan untuk agama, bangsa dan negara, tidak melanggar hukum syarak atau undang-undang dan mencapai keuntungan.

Konsep jihad ini sebenarnya sangat kuat, ia mampu menyedarkan usahawan mengenai kepentingan berniaga untuk kemajuan agama, bangsa dan negara. Apabila sedar perkara ini, usahawan akan lebih bersemangat untuk menebus maruah dan berjuang habis-habisan bagi mencapai kejayaan dan bersyukur.

Apabila kita berjihad, orang luar juga mudah memberi sokongan kerana memahami usaha itu bukan untuk kepentingan peribadi dan oleh kerana itu, JCorp tidak melakukan penswastaan atau belian kuasa pengurusan (MBO) kerana lebih cenderung kepada pengurusan cara wakaf yang menyerahkan hak milik kepada Allah Taala dan manfaatnya dinikmati bersama.

Mengenai Islamofobia atau ketakutan terhadap aktiviti umat Islam, apakah perkara ini wujud dalam senario semasa dan menyekat perniagaan?

MUHAMMAD ALI: Dari pengalaman dan pengamatan saya, perkara seperti itu tidak berlaku dan kita harus ingat bahawa matlamat akhir perniagaan ialah jualan kepada pengguna dan pembeli.

Sebenarnya, golongan pengguna dan pembeli ini tidak mengambil kisah mengenai hal-hal berkaitan agama kerana kesemua mereka ada persamaan iaitu tidak mahu ditipu dan suka peniaga yang amanah.

Dalam sesetengah perkara, Islamofobia mungkin menjadi halangan tetapi bagi saya, apa yang lebih penting ialah reputasi perniagaan tidak tercalar dan jenama terus menyinar.

Kebanyakan orang barat tidak faham mengenai jihad kerana jihad dalam bahasa Inggeris ialah holy war atau peperangan suci. Mereka tidak tahu bahawa Islam secara jelas menyebut tiada peperangan yang suci, Islam adalah agama keamanan dan jihad itu hanya boleh dilakukan jika ada bukti orang teraniaya, tertindas dan ia tidak boleh dibuat sesuka hati, dan ada batas-batas seperti tidak membunuh wanita yang lemah serta anak-anak kecil.

George Bush guna istilah crusade apabila berlaku tragedi 11 September dan merosakkan fahaman orang barat mengenai Islam. Crusade tidak sama dengan jihad, tetapi dalam agama Kristian, Pope atau Paus mempunyai kuasa untuk memberi keampunan kepada orang yang pergi perang.

Bagaimana cara untuk menerapkan nilai jihad ini dalam warga korporat Islam?

MUHAMMAD ALI: Cara terbaik ialah dengan menunjukkan teladan menerusi bukti kejayaan usahawan yang mengamalkan konsep jihad perniagaan. Pertama, mereka mesti menjalankan perniagaan yang menguntungkan dan disusuli dengan corak pemikiran yang betul.

Kita harus ingat bahawa orang Melayu berada dalam kedudukan minoriti dalam dunia perniagaan pada masa ini walaupun bangsa itu menguasai lebih 60 peratus daripada populasi negara, jadi, kita kena berusaha memajukan diri.

Dua bulan lepas, Tan Sri ada menyebut tentang gajah sarkas di kalangan orang Melayu

MUHAMMAD ALI: Saya membawa contoh gajah dalam perumpamaan tersebut kerana kita semua tahu gajah adalah binatang yang hebat dari segi kekuatan dan saiz badannya.

Namun, sesuatu yang agak pelik kerana gajah sarkas yang diikat dengan rantai kecil tidak mahu merentap rantai itu untuk lari dan bebas seperti binatang lain.

Saya percaya ia berlaku kerana ketika ditangkap mula-mula dahulu, kaki gajah diikat dengan rantai besar dan cuba direntap berkali-kali, gajah tetap gagal melarikan diri dan akhirnya ia berputus asa.

Apabila putus asa dan kemudiannya diberikan makanan dan minuman secukupnya, gajah berkenaan mudah berasa selesa dan tidak lagi ingin bebas.

Bagaimana keadaan ini boleh dikaitkan dengan orang Melayu?

MUHAMMAD ALI: Sama juga, jika kita diberikan tongkat yang banyak, kita juga akan mudah berasa selesa walaupun terus dijajah.

Orang putih dahulu menjajah kita dengan mereka menjadi pegawai dan orang Melayu dilabelkan sebagai kakitangan. Kini, walaupun kita telah merdeka untuk tempoh 50 tahun dan dapat memerintah negara dengan bebas, rakyat kita masih dipanggil kakitangan.

Apabila bergelar kakitangan, bagaimana negara mahu bergerak sebagai ekonomi berteraskan pengetahuan kerana rakyat bekerja menggunakan kaki dan tangan sahaja tanpa berfikir.

Sebenarnya, kita sendiri yang tidak mengubah keadaan itu dan terus membawa minda gajah sarkas menuju masa depan. Kita tidak menilai semula keadaan ini dan ini mungkin apa yang berlaku hari ini.

Hari ini, wujud cubaan membawa masuk tulisan Mandarin, kita dahulu berkompromi soal ini dengan sanggup mengenepikan tulisan jawi sebagai tolak-

ansur dengan tulisan Cina dan India yang menerima tulisan rumi tetapi hari ini mereka mahukan semula tulisan itu.

Mungkinkah perkara ini berlaku kerana cengkaman politik orang Melayu yang semakin lemah?

MUHAMMAD ALI: Berbalik kepada cerita gajah sarkas tadi. Kita selesa dan menjadi lemah sehingga tidak sedar berkenaan kuasa yang kita miliki sebenarnya. Dalam perniagaan, jika kita pandai mengurus, pegangan saham sebanyak 30 peratus sahaja sudah cukup untuk membolehkan seseorang itu menguasai keputusan.

Bagaimanapun, orang Melayu terutama generasi muda hari ini tidak boleh dipaksa untuk berniaga secara serta-merta. Ini berbahaya kerana statistik global menunjukkan peluang untuk gagal sangat tinggi di kalangan mereka yang cuba berniaga pertama kali dan saya khuatir golongan ini terus berputus asa. Setelah gagal pada kali pertama, mereka turut hilang sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu bapa yang selama ini mewarisi pekerjaan warisan sejak turun-temurun.

Perjuangan ini adalah untuk jangka masa panjang dan cara terbaik ialah bekerja dahulu bagi mereka yang sudah mempunyai pekerjaan tetap demi mencari pengalaman dan membina jaringan sebelum mula berniaga.

Namun ada juga orang Melayu yang mendapat projek atau kontrak segera?

MUHAMMAD ALI: Itu yang saya khuatir dengan golongan yang mendapat peluang perniagaan terhidang depan mata, memperoleh secara mudah hingga menyebabkan mereka tidak mahu berfikir, hilang semangat juang dan tidak mampu untuk berdikari.

Bagi saya, kerajaan harus meneruskan DEB tetapi menggariskan sempadan dan had, tegas dalam pelaksanaan dan tidak memberi banyak tongkat selain memastikan hanya yang layak mendapat peluang perniagaan.Begitu juga halnya dalam pemberian biasiswa, bantuan kepada yang layak sahaja.

Apa pandangan Tan Sri mengenai usaha-usaha menghapuskan DEB?

MUHAMMAD ALI: Pemahaman mengenai DEB boleh dianggap berbeza-beza antara satu dengan yang lain. Salah satu cabang dalam dasar itu ialah mana-mana syarikat yang ditubuhkan mesti menyerahkan 30 peratus pegangan saham kepada orang Melayu.

Apabila ia menjadi dasar, ini bagi saya satu kesilapan kerana tiada sesiapa boleh memaksa untuk menyerahkan hak. Sama juga dengan andaian banyak pihak di kalangan bukan bumiputera yang mengaitkan campur tangan kerajaan dalam pelaksanaan dalam dasar itu, justeru, apabila berbicara mengenai DEB, semua pihak kena faham segala aspek atau sampai bila-bilapun masalah tidak selesai.

Kita kena selalu berpegang pada prinsip keadilan yang diterima pakai oleh semua kaum dan memberi definisi kepada keadilan agar semua pihak mendapat bantuan sewajarnya.

 

Apa pesanan dan harapan Tan Sri kepada orang Melayu agar memahami kuasa ekonomi juga penting selain kuasa politik ?

MUHAMMAD ALI: Orang Melayu harus menyedari keperluan untuk berdikari dan jika ada keperluan untuk menentang arus dari segi menolak tongkat kerajaan jika mengetahui ia mampu membawa kemudaratan, maka kita perlu berani untuk menolaknya.

Kita lihat sahaja cara orang Cina berniaga. Apabila tidak menerima tongkat dan berdikari dalam berniaga, mereka ternyata mempunyai semangat juang yang tinggi dan berwibawa sehingga mampu bertahan dan kembali berkembang selepas melepasi krisis ekonomi.

Orang Melayu diingatkan jangan jadi seperti cerita itik yang terbang mencari kepanasan ketika musim salji, mereka singgah di satu kawasan dan dijamu dengan makanan sehingga tidak lagi mahu terbang. Mereka menjadi selesa dan apabila orang tidak lagi memberi makanan, mereka panik, tidak tahu berusaha dan akhirnya mati kelaparan.


[Baca]