Arkib: January 2010
Kenapa kita ucapkan
selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan
Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?
Jawapan
Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada
Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma
adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok
kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).
Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau
apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu
alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke
atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta
macam-macam ancaman lain.
Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita
berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.
1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana
menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda
maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding
Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda
bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat
yang lebih terpuji.
2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar
berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman
yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat
(memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT);
wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta
ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(al-Ahzab: 56)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke
atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta
kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun
di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding
dengan Nabi-nabi yang lian.
Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat
ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi
yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan
kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis
diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang
bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan
selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus
mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada
yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu
kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah
selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah
memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan
anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau
anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam
sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia.
Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui.
(riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).
3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di
atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi
selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.
3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda
telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.
4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi
mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga
memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.
5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah
menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak
lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.
[Baca]
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
TAHNIAH kepada pasukan Unit Pengurusan Prestasi
dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri yang bertungkus lumus
merangka dan menyiapkan buku Pelan Hala Tuju Program Transformasi
Kerajaan (PTK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, kelmarin.
Sekarang tiba masa menggerakkan pelan dan program yang dicatatkan
pada buku itu dilaksanakan. Rakyat ingin melihat hasil nyata dan bukan
sekadar laporan yang dicantikkan dengan grafik dan gambar.
Kalau dibaca betul-betul ada pesanan Perdana Menteri di dalam
Kata-kata Aluan buku tersebut.
Najib sendiri cukup sedar bahawa bukan mudah untuk mengubah budaya
kerja 'orang kerajaan.' Sebab program transformasi yang sedang
digerakkan oleh beliau akan melalui cara baru yang radikal.
Dalam melaksanakan usaha-usaha PTK ini, yang ditakuti seperti yang
dirasai oleh Perdana Menteri ialah halangan dan kekangan, termasuk
sasaran yang tidak dicapai, inisiatif-inisiatif yang mungkin tidak
mendatangkan hasil, penolakan segolongan masyarakat terhadap perubahan
dan cabaran-cabaran baru yang tidak dapat dijangkakan.
Saya yakin walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan,
kerajaan mampu mengatasinya dan akan mencapai matlamatnya. Tetapi ia
memerlukan sokongan serta kerjasama daripada rakyat, sektor awam, sektor
sosial dan semua segmen masyarakat.
Kita tidak mahu mendengar PTK dikatakan hanya slogan atau penjenamaan
pada program-program kerajaan yang terdahulu. Soal kelemahan,
kelembapan pada dasarnya melibatkan tahap pelaksanaan.
PTK tidak patut ada alasan jika prosesnya perlahan atau tidak
berkesan.
Pada saya, maju, mundur, pantas atau lembab PTK bergantung kepada
orang yang melaksanakannya. Sekarang sudah ada KPI dan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang perlu dipenuhi oleh pemimpin
kerajaan dan penjawat awam.
Apakah mereka prihatin kepada penilaian itu. Atau mereka buat-buat
tidak ambil peduli kerana setiap bulan gaji pasti sudah ada di dalam
bank.
Mungkin ada sebilangan penjawat awam yang membelakangkan soal
prestasi mereka. Mereka tak peduli, tetapi kesannya boleh memberi imej
buruk kepada kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka tidak
peduli kerajaan bertukar ganti atau tidak asalkan mereka menerima gaji
hingga bersara.
Mereka tahu bila parti memerintah bertukar, kedudukan sebagai
penjawat awam tidak terjejas. Sebab, sudah termaktub dalam perjanjian
'tanda tangan mati' itu, mereka adalah kakitangan awam yang tidak ada
kena-mengena dengan parti politik yang memerintah kerajaan.
Sebab itu saya menyokong kerajaan membuat pendekatan baru pada sistem
perkhidmatan awam.
Elok benar jika kerajaan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman
untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti
dan memupuk etika kerja lebih baik.
Hanya orang yang betul-betul mahu berbakti dan berkhidmat untuk
rakyat yang layak menerima gaji dan ganjaran. Golongan penumpang, harus
mengubah sikap.
Sekarang bukan zaman rakyat tidak dapat berbuat apa-apa dengan
kerenah dan sikap penjawat awam. Kerajaan sedar akan kuasa rakyat.
Jadi sudah tiba masanya menyedarkan penjawat awam bahawa mereka yang
benar-benar berkhidmat pada tahap tertinggi sahaja patut diberi ganjaran
dan bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.
Pada masa kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas yang
sepatutnya, hanya ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", tetapi
masih menerima gaji yang sama setiap bulan.
Dalam konteks PTK, kejayaan atau kegagalannya bergantung kepada
kerjasama para penjawat awam. Mereka menjadi satu pra-syarat untuk PTK
mencapai kejayaan. Ingat pada kata-kata Najib bahawa "Tiada apa pun akan
berjaya dalam kerajaan tanpa sokongan daripada perkhidmatan awam."
Sokongan penuh mereka dalam PTK ini dan dalam gagasan 1Malaysia,
Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan amat dituntut.
[Baca]
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
KELEMAHAN dan kekuatan umat Islam bergantung
kepada sikap dan mentaliti mereka dalam mengendalikan urusan kehidupan
mereka di dunia ini. Al-Quran dan hadis merupakan rujukan dan panduan
kepada umat Islam keseluruhannya.
Apabila umat Islam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dan
hadis, mereka akan menjadi satu umat yang kukuh dan berwibawa. Konteks
ajaran al-Quran dan hadis patut difahami dalam perspektif yang luas
merangkumi hal ehwal keduniaan dan akhirat.
Ulama-ulama Islam masa silam mengkaji dan memahami Quran dan hadis
secara mendalam. Oleh itu mereka mampu mengawal dan memelihara kesahihan
dan kebenaran Islam dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan
cabaran.
Cabaran terhadap akidah dan ajaran Islam yang dihadapi oleh umat
Islam adalah pelbagai. Bagi mengatasi masalah ini umat Islam perlu
mengkaji kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan masyarakat secara
rasional dan bijaksana.
Cabaran terhadap akidah Islam sering ditampilkan dalam bentuk
pemikiran dan kefahaman. Bagi mengatasi permasalahan ini perbahasan dan
penjelasan secara rasional dan intlektual adalah diperlukan.
Tindakan radikal dan kekerasan dalam menghadapi cabaran akidah adalah
tidak bersesuaian dengan nature atau ilmu pengetahuan. Tindakan
begini boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kewibawaan Islam.
Perbahasan dan perdebatan berkaitan dengan akidah atau doktrin
merupakan fenomena biasa bagi negara-negara maju dan sedang membangun.
Pengaliran pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ajaran agama, doktrin,
ideologi, teknologi dan lain-lain bukan sahaja boleh menjadikan sesebuah
negara itu maju dalam teknologi malah ia juga berkembang menjadi pusat
pengembangan ilmu pengetahuan dan doktrin.
Umat Islam perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang
mendalam dan pelbagai supaya setiap pengaliran doktrin dan ideologi
yang menular dapat diatasi secara rasional dan hikmah.
Khalifah al-Ma'mun amat berminat terhadap ilmu-ilmu yang menggunakan
akal atau logik termasuk falsafah Greek, Sanskrit dan Arab. Ketika
pemerintahan beliau pengaliran ilmu-ilmu falsafah daripada Greek dan Rom
serta doktrin pelbagai agama menggugat kedudukan akidah Islam berkaitan
dengan konsep Tauhid yang dianuti oleh umat Islam.
Ketika ini ulama-ulama Islam begitu tekun mempelajari ilmu-ilmu
falsafah, logik dan doktrin agama lain dengan tujuan untuk mempertahan
akidah Islam secara rasional dan logik.
Umat Islam dalam negara ini perlu menunjukkan minat yang mendalam
terhadap ilmu pengetahuan. Mempelajari ilmu pengetahuan dalam pelbagai
bidang boleh membentuk pemikiran dan jiwa yang mantap dan berhemah.
Kurang kepakaran dalam ilmu pengetahuan bukan sahaja boleh melemahkan
umat Islam dalam mempertahankan akidah dan ajaran Islam malah ia juga
boleh menyebabkan umat Islam kurang bijak dalam tindakan.
Ibu bapa dan umat Islam keseluruhannya perlu menanamkan semangat
membaca dan berminat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan sama ada
daripada orang Islam atau bukan Islam kerana Rasulullah SAW bersabda
dengan maksudnya, "Kalau kamu tidak memahami kejahilan maka kamu akan
terlibat dalam kejahilan".
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan
Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
[Baca]
Sultan Iskandar: Raja Yang Tegas, Adil Dan Mahukan Yang Terbaik
KUALA
LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Iskandar, yang mangkat
pada hari Jumaat pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas
tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan
negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.
Baginda
yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada
7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu
hari ini kerana gering.
Baginda meninggalkan Sultanah Johor,
Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota
Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah,
Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah,
Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah,
Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri
Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.
Semasa
pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat
negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap
segala naungannya.
Baginda bukan sahaja bijak dalam hal
keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain
seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan.
Baginda sering
bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat,
bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan
negeri Johor.
Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor
Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS)
pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan
dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua
hala antara Malaysia dan Singapura.
Dalam menjaga hubungan dua
hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin
Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari
Raya.
Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan
Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di
Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 merupakan putera sulung
kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim.
Menggemari
permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda merupakan
juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan
dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Baginda
merupakan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan
ditubuhkan oleh moyang baginda Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun
1885.
Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat
daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan
ketegasan baginda dalam soal disiplin.
Sultan Iskandar pernah
menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan
berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen
Gerak Khas.
Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa
mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran
jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama.
Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah-khutbah Jumaat di
masjid-masjid sekitar Johor.
Di arena sukan, baginda terkenal
sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar
seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang,
payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Baginda merupakan seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan
yang dikagumi.
Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering
menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana
baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa
hadapan.
Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar
Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi
aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada
semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil.
Hasrat
baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai
antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa.
Dan
sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus
menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang
melibatkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari
Keputeraan Sultan Iskandar.
Selain sukan menembak, baginda turut
memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali
mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit
Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu.
Titah
baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi
acara-acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat
memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.
Sultan
Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor
Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang
Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan
pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun
sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.
Setelah
menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada
1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan
Awam Negeri Johor sehingga 1959.
Sultan Iskandar dilantik Tengku
Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda,
Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.
Pada
Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda
dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan
beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.
Pada
10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Ismail
gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah
Johor moden pada 11 Mei 1981.
-- BERNAMA
[Baca]

Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat
JOHOR
BAHRU 23 Jan. - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh
Gadot menyifatkan Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang insan yang
cukup istimewa kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan atau Raja
di negara ini yang pernah menyampaikan khutbah di masjid-masjid.
''Semasa
sihat baginda akan mengutuskan untuk menunaikan sembahyang Jumaat di
masjid utama di daerah-daerah dan atas kesediaan, baginda menzahirkan
hasrat untuk menyampaikan khutbah di masjid terbabit.
''Ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat khasnya masyarakat Islam di negeri ini,'' katanya.
Beliau
yang pernah menjadi Timbalan Mufti dan Mufti Johor selama 10 tahun
berkata, itulah keunikan dan kelebihan yang ada pada baginda.
Nooh
berkata, pada dasarnya baginda seorang Sultan yang mengambil berat
tentang kebajikan rakyatnya terutamanya mengenai agama Islam.
Menurutnya,
semasa menjadi mufti beliau dikurniakan darjah kebesaran antaranya
Pingat Ibrahim Sultan (PIS), Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Setia
Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Lama Dalam Perkhidmatan (PLP).
''Sebagai
tanda kasih dan sayang saya terhadap baginda, malam tadi saya bersama
Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin serta beberapa imam
dan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak tidur hinggalah ke
saat pemakaman baginda.
''Kami bersama kerabat diraja Johor
hinggalah saat baginda menghembuskan nafas terakhir telah menguruskan
upacara pemakaman baginda dengan harapan berjalan lancar. Ini merupakan
sumbangan terakhir saya untuk Almarhum yang amat dikasihi,'' katanya.
Nooh
berkata, Istana Besar akan mengadakan bacaan tahlil selama tiga hari
berturut mulai malam ini, manakala masjid-masjid di daerah-daerah akan
mengadakan perkara sama untuk tempoh berkenaan.
''Sama-samalah
kita berdoa agar roh baginda ditempatkan bersama roh-roh orang yang
soleh dan mendapat keampunan, rahmat daripada Allah SWT," katanya.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm)
[Baca]

Monday, January 25, 2010
KDYMM TENGKU ISKANDAR DALAM KENANGAN
KDYMM SULTAN MAHMUD ISKANDAR IBNI ISMAIL AL-KHALIDI
SEBAGAI RAJA, SULTAN, KAWAN DAN MANUSIA BIASA
1. Saya turut menziarahi jenazah KDYMM Tengku Iskandar yang saya kenal sebagai ' a king, a sultan and a friend.'
2.
Sebagai seorang 'king' atau Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong
dari 26 April, 1984 ke 25 April, 1989 saya, selaku Pengerusi
Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai kesempatan menghadap
KDYMM Tuanku untuk melaporkan atau meminta nasihat mengenai sesuatu
acara sambutan. Persiapan untuk sambutan bermula lebih kurang 5 bulan
sebelum 31hb Ogos setiap tahun.
3. Sayalah orang yang paling
merasa gerun apabila KDYMM Tuanku ditabal menjadi Yang Di Pertuan Agung
ke 8, kerana saya adalah yang paling kuat berkempen di waktu krisis
perlembagaan berlaku.
4. Oleh kerana imej KDYMM Tuanku agak
menakutkan maka apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir memberitahu
saya Yang Di Pertuan Agung menitahkan saya menghadap maka saya telah
melambat-lambatkan temujanji kerana membuat persiapan fizikal untuk
menghadapi kemarahan KDYMM Tuanku.
PERASAAN TAKUT BERUBAH MENJADI HORMAT
5.
Bila saya berdepan dengannya sebagai Raja, KDYMM Tuanku, dengan kedua
tangannya di belakang, telah berjalan ke kiri dan ke kanan di depan
saya, yang sedang berdiri tegak, dan secara mengejut bertanya ' engkau
kata aku gila ya? ' Saya menjawab ' Ku Tuanku.' KDYMM bertanya lagi
'kenapa engkau kata aku gila?' Saya menjawab 'kerana kita sedang
berlawan Tuanku, patik dalam pasukan UMNO pimpinan Dr. Mahathir dan
Tuanku di pihak raja-raja Melayu. Itu pasukan yang sedang bertentangan
Tuanku. Patik mohon ampun jika itu melukakan hati Tuanku.' Tuanku
berdehem dan berdiri terdiam.
6. KDYMM Tuanku telah
mengulangi soalan yang sama tiga kali dan saya juga menjawab dengan
jawapan yang sama sebanyak tiga kali juga. Akhirnya KDYMM Tuanku telah
mendekati saya dan memegang bahu saya sambil berkata, 'kalau engkau
bekerja di Istana Johor aku lantik engkau jadi panglima. You are a good
team player. Awak sokong ketua awak' Pada ketika itulah saya terkejut
dan perasaan takut saya berubah menjadi hormat KDYMM Tuanku.
PERSIAPAN MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN
7.
Pada satu peritiwa yang lain saya telah menghadap KDYMM Tuanku dengan
satu soalan yang agak 'embarassing'. Lantaran mengidap penyakit ghout
saya melihat KDYMM Tuanku, secara berterusan dan tanpa henti, meminum
kopi o ais dari sebuah gelas yang besar; dan saya perhatikan juga
bagaimana beliau sering menghentikan perbincangan dan meninggalkan
majlis kerana terlalu banyak meminum kopi o. Maka Jawatankuasa Sambutan
Hari Kebangsaan terpaksa memutuskan samada KDYMM Tuanku dapat bertahan
dan tidak minum dan meninggalkan majlis sepanjang hampir 3 jam acara
sambutan diadakan.
8. Bila saya menghadap dan bertanya kepada
KDYMM Tuanku mengenai ' Tuanku's pattern of discharging excess water,
as a result of overdrinking coffee 'o'' KDYMM Tuanku menyergah 'You are
interfering with my private life.' Memerhatikan KDYMM Tuanku agak
berang, saya bernasib baik kerana, KDYMM Tuanku Sultanah Zanariah, yang
ada bersama, telah mencelah 'Dato' Sanusi must have a reason for
asking.' KDYMM Tuanku tersenyum dan bertanya 'Kenapa awak nak tahu?'
RAJA YANG BERTIMBANG RASA
9.
Saya menjelaskan bahawa di dalam perarakan Hari Kebangsaan ada banyak
pasukan berpakaian seragam. Pasukan ini akan melintasi pentas di Raja
dan akan mengangkat tabik hormat. Jika KDYMM Tuanku tidak membalas
tabik maka pasukan berpakaian seragam ini akan 'mark-time' dan berkawad
di tempat sampailah tabik mereka dibalas. Apabila jawatankuasa
mengetahui jangka masa yang diperlukan untuk Yang Di Pertuan Agung
berangkat meninggalkan Pentas Di Raja maka, untuk jangka masa itu,
dapatlah jawatankuasa mengaturkan 'brass-band' dari sekolah-sekolah
untuk lintas di depan pentas dan bukan pasukan berpakaian seragam yang
memerlukan tabik balas SPB Yang Di Pertuan Agong. Dengan cara itu
bolehlah perarakan berjalan tanpa halangan. Mendengar penjelasan ini
DYMM Tuanku tersenyum sambil berkata 'Setiap 30 minit'.
10.
Itulah sebabnya pada tahun pertama KDYMM Tuanku menjadi SPB YDP Agung
Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan
'brass-band' antara sekolah untuk mengisi masa sekitar 10 minit antara
jarak 30 minit, sepanjang masa perarakan yang lebih dua jam itu.
11.
Pada 31 Ogos 31 Ogos, 1984 seluruh Jawatankuasa Sambutan telah terkejut
apabila SPB YDP Agong tidak tinggalkan pentas walau sekali pun kerana,
mengikut KDYMM Tuanku Sultanah 'Tuanku tidak mahu menyusahkan rakyat
............ dia puasa semalaman dan tidak minum kopi o ais.' Saya
kemudian diberitahu bahawa pegawai yang ditugaskan untuk memberitahu
kepada saya mengenai tidak perlunya masa untuk SPB YDP Agong
meninggalkan majlis telah tidak disampaikan kepada saya. Yang penting
ialah kejadian ini menunjukkan betapa bertimbang-rasanya KDYMM Tuanku
untuk tidak menyusahkan rakyat.
RAJA SEBAGAI MANUSIA BIASA
12.
Satu kejadian lagi yang mengejutkan seluruh negara, termasuk yang
melihat acara sambutan melalui TV, ialah apabila SPB YDP Agong, sebagai
manusia biasa, telah terlupa dirinya sebagai raja, daan telah turun
dari pentas, kerana keghairannya dan seronoknya melihat perbarisan
motorsikal, di dalam perarakan, dan terus menahan sebuah motosikal
untuk ditunggangnya buat seketika semasa perarakan sedang berjalan.
MEMPERTAHANKAN ADAT DAN ADAB
13.
Sebagai seorang Raja yang sangat mementingkan adat istiadat Melayu
KDYMM Tuanku tersangat prihatin terhadap adat dan adab. KDYMM Tuanku
tidak pedulikan samada seseorang itu seorang pakar undang-undang, walau
di peringkat antarabangsa sekalipun, jika beliau tidak pedulikan adat
dan adab dan tidak sopan dalam hubungan dengannya sebagai Raja.
Pendirian inilah yang telah menyebabkan peritiwa pemecatan hakim yang
pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Malah dengan peristiwa ini
juga menjadi nyata bahawa KDYMM Tuanku mempunyai ingatan yang sungguh
lama ke atas sesuatu peristiwa yang berlaku padanya
14. Bila
saya tanya KDYMM Tuanku atas sebabnya beliau mahu menjadi Agung
sedangkan Sultan Johor sebelumnya telah mengelak dari menerima jawatan
ini apabila sampai gilirannya. KDYMM Tuanku telah memberitahu dengan
satu ayat yang saya masih teragak-agak maksudnya sampai ke hari ini
iatu 'jika aku boleh tunggu bertahun-tahun untuk dapat jawatan kenapa
orang lain tak boleh tunggu?' Kerana kemangkatannya maka saya tidak
mempunyai kesempatan untuk bertanya.
TEGAS BERTINDAK KE ATAS SESIAPA YANG AMBIL KESEMPATAN ATAS KEBAIKANNYA
15.
Sebagai manusia biasa KDYMM Tuanku mempunyai kegemaran yang tidak
diketahui ramai. Salah satu darinya ialah kegemarannya kepada sate yang
mentah. Saya sering dipanggil ke Istana Johor di Kuala Lumpur hingga
larut malam semata-mata kerana saya menjadi Menteri Pembangunan Negara
dan Luar Bandar yang bertanggung-jawab membesarkan sistem francais
SATE' RIA di bawah MARA. Selalulah saya membekalkan sate dari SATE' RIA
dengan menalipon Pengerusi MARA Holdings Sdn. Bhd. Encik Wan Hanafi Wan
Daud untuk memastikan pembekalan ada walau pukul 12 malam sekalipun.
SATE' RIA tidak pernah gagal menyampaikan tempahan. Pada satu hari,
kira-kira pukul 1 pagi saya mendapat telefon menyatakan KDYMM Tuanku
inginkan sate tetapi sate dari SATE' RIA sudah kehabisan. Saya pun
terus ke Hotel Holiday Inn untuk mendapatkan bekalan. Malangnya sate
itu telah menggangu kehazaman YDP Agong dan kira-kira pukul 5 pagi saya
mendapat telefon langsung dari KDYMM Tuanku menyatakan sate' itu bukan
sate' dari SATE' RIA. Saya pohon maaf dan menyatakan ianya dari sebuah
hotel kerana sate' dari SATE' RIA sudah kehabisan. KDYMM Tuanku dengan
suara menyindir menjawab 'Thank you for being honest. I can understand.'
16.
Setelah mengenal KDYMM Tuanku begitu lama saya telah ambil kesempatan
untuk bertanya mengenai beberapa kejadian yang membuat namanya
disebut-sebut oleh orang-ramai dengan cara yang tidak menyedapkan
pendengaran. KDYMM Tuanku menjawab 'aku baik dengan semua orang, tapi
jangan pula ambil kesempatan bila akau baik. Contohnya, Dato' baik
dengan saya maka semua keluarga saya juga baik dengan Dato' tetapi
janganlah ambil kesempatan atas kebaikan aku itu. Jangan ganggu
keluarga aku.' Bila saya bertanya lagi KDYMM Tuanku menjawab 'I have no
need to explain to the press, they should know me. Aku tahu bila orang
tak suka kat kita buat apa pun, beri penjelasan apa pun, orang tetap
tak suka ....' Sebagai seorang yang berperanan dalam politik saya tahu
dan faham maksud KDYMM Tuanku. Saya berjanji akan menulis mengenai
fakta ini dan inilah saya tulis dalam blog ini.
PENGALAMAN DI PANDU OLEH KDYMM TUANKU
17.
Saya adalah salah seorang yang berpeluang bersama KDYMM Tuanku sebagai
penumpang dalam kereta yang di pandunya. Dalam satu lawatan saya ke
Istana Johor saya telah dibawa keliling kawasan istana melihat
muziumnya dan taman binatang. Di waktu melintasi jalan saya lihat KDYMM
Tuanku mempunyai 'sense of humour' yang membahayakan. Bila sampai di
lampu trafik KDYMM Tuanku telah berhenti bila lampu membolehkan
berjalan, sebaik sahaja lampu merah KDYMM Tuanku pun tekan minyak dan
kereta meloncor kedepan menyebabkan pemandu kereta lain bising menekan
hon kerana tidak tahu 'yang bergurau itu ialah Sultan mereka.'
18.
Waktu sampai di kebun binatang KDYMM Tuanku telah tunjuk kepada saya
beberapa ekor buaya miliknya yang sedang ketiduran. KDYMM Tuanku
bertanya kepada saya 'Datuk Menteri Pertanian ... apa sebab buaya tu
letih dan terus tidur saja.' Saya menjawab 'tak cukup makan Tuanku.'
'Apa makanan buaya yang Tok Menteri tahu.' 'Bangkai ayam tuanku ... .
yang paling murah.'' Awak tak tahu ... buaya ini teringin nak makan
daging Menteri yang banyak cakap ....' sambil paling tersenyum kepada
saya.
GEMAR LAGU KERONCONG
19. Dalam perjalanan
seterusnya, sambil memandu dengan penuh yakin, KDYMM Tuanku pun
menyanyi sebuah lagu keroncong yang tidak begitu jelas senikatanya
kepada saya. Saya komen 'Tuanku suka keroncong.' 'Favourite aku Julie
Sudiro dan Yusni Hamid ...... macam mana suara aku?' Saya menjawab
'lebih baik Tuanku terus jadi Sultan sahaja dan jangan buat kerja
lain.' 'Jadi tak sedaplah suara aku.' ' I did not say that Tuanku.'
'Aku pun tahu ...... aku suka kau jujur dan ikhlas ..... jangan macam
Mat Bulat ... dia kata aku boleh jadi recording artis ... dia nak ampu
aku....' Tidak hairanlah bila saya nampak Julie Sudiro terduduk letih
di atas lantai di belakang barisan tempat duduk keluarga di Raja dalam
dewan bersemayam di hari pengkebumian.
20. Peristiwa terakhir
yang tinggal dalam kenangan ialah di waktu saya, isteri, Dato' Syed
Hussein Al Habshee dan isterinya menjadi tetamu KDYMM Tuanku Sultan dan
Tuanku Sultanah dalam majlis santapan tengah hari di Istana Johor. Kami
yang hadir merasa agak gerun kerana di atas meja makan, di dalam cermin
kaca, ada anak-anak buaya kecil yang masih hidup. Tetapi, kerana
sedapnya hidangan dan isi cerita-cerita yang dikisahkan oleh KDYMM
Tuanku kami pun terlupa kepada buaya di depan. Ini adalah pertemuan
terakhir saya dengan KDYMM Tuanku.
21. KDYMM Tuanku Sultan
Iskandar adalah seorang raja, sultan, kawan dan manusia ( a King, a
Sultan, a friend and an ordinary human being ) yang akan kekal dalam
kenangan manis saya dan isteri untuk selama-lamanya. Lebih-lebih lagi
kerana kemangkatan KDYMM Tuanku kebetulan jatuh pada hari ulang tahun
ke 38 resepsi perkahwinan saya di Panti Perwira Angkatan Laut, Djalan
Prapatan No. 38, Djakarta pada 22 Januari, 1972. Semoga Allah s.w.t.
menempatkan KDYMM Tuanku di samping hamba-bambaNYA yang terpilih.
Posted by Sanusi Junid at 12:18 AM
Labels: SEJARAH
(sumber;http://sanusijunid.blogspot.com/2010/01/kdymm-tengku-iskandar-dalam-kenangan.html#more)
[Baca]
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan MOHD. RAFIE AZIMI
pengarang@utusan.com.my

|
|
Najib Tun Razak mendengar
soalan yang dikemukakan oleh Ahmad A.Talib dalam program Soal Jawab di
Seri Pentas TV3, malam tadi. – BERNAMA
|
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Perdana Menteri mengakui hasrat negara untuk
mencapai taraf negara maju akan terbantut dan boleh dipintas oleh
negara jiran lain jika semua pihak tidak bersungguh-sungguh untuk
menjayakannya.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, senario dunia hari ini berbeza
berbanding semasa Wawasan 2020 dilancarkan dahulu dengan pertumbuhan
ekonomi dunia pada masa itu amat memberangsangkan.
Bagaimanapun menurut beliau, situasi dunia sudah jauh berubah dengan
pelbagai krisis ekonomi yang langsung tidak terduga seperti krisis Asia
1997 dan global pada tahun lalu yang menyebabkan kadar pertumbuhan
majoriti negara menjunam dan menguncup dengan ketara.
“Keadaan itu menyebabkan semua negara terpaksa menunggu beberapa
tahun untuk kembali pulih semula sekali gus agak ketinggalan daripada
sasaran asal bagi mencapai taraf negara maju.
“Persaingan kini juga amat mencabar, jika dulu China berkiblat
sepenuhnya pada dasar komunisme, India dan Vietnam juga tidak
mengamalkan dasar terbukanya, tetapi kini semua negara tersebut telah
berubah ke arah lebih baik secara drastik.
“Malaysia kini berada di tengah lautan perubahan yang begitu hebat,
kalau kita tidak bersungguh-sungguh, negara boleh dipintas,” katanya
dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung di TV3 di sini
malam ini.
Program itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A.Talib.
Sehubungan itu, tambah Perdana Menteri, untuk memastikan negara
tidak ketinggalan, pelbagai program transformasi akan dilakukan
kerajaan secara konsisten dari semasa ke semasa.
“Terdapat empat perkara penting yang menjadi agenda negara pada masa
ini iaitu penekanan terhadap falsafah pentadbiran negara, konsep
1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, metodologi atau
pelaksanaan 1Malaysia ialah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama
Nasional (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama (KPI).
“Selepas NKRA dan KPI ialah pengenalan dasar model ekonomi baru yang
kini dalam proses penggubalan, sebelum diikuti nanti oleh pelancaran
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),” katanya.
Pada wawancara itu juga, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai
matlamat utama pelaksanaan program transformasi kerajaan melalui Bidang
Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama (KPI)
ialah hasil terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.
Kata beliau, untuk tahun ini kerajaan menekankan kepada soal
kepantasan dan ketepatan dalam membuat keputusan tanpa mengorbankan
kualiti perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada rakyat, selaras
dengan dasar Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
“Kualiti inilah yang akan dijadikan kayu ukur pencapaian kerajaan
kerana rakyat memang berhak untuk mendapat perkhidmatan terbaik.
“Saya yakin matlamat ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai
sekiranya kita tidak cabar diri untuk melakukan yang terbaik. Dalam
perkara ini kita perlu letakkan kualiti perkhidmatan kerajaan setaraf
dengan negara maju dan terbaik, saya mahu terbaik di kalangan terbaik
bukannya terbaik dikalangan yang terendah,” tegasnya.
Tambah Najib, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga turut
digalakkan untuk membantu kerajaan mencapai NKRA dengan melibatkan diri
dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pada masa ini, katanya, terdapat banyak GLC yang melibatkan diri
dalam CSR seperti pelaksanaan program latihan kepada graduan menganggur
dan membaik pulih rumah penduduk kampung miskin.
Ketika ditanya mengenai kesediaan pegawai dan kakitangan kerajaan
menjayakan dasar kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada
rakyat, Najib berkata, beliau yakin mereka mampu melakukan yang terbaik
sekiranya diberi peluang dan motivasi yang secukupnya.
“Saya telah saksikan sendiri komitmen luar biasa pegawai kerajaan
semasa sesi percambahan idea makmal NKRA sehingga sesi itu berlarutan
kepada awal pagi, saya juga kagum dengan peningkatan kualiti
perkhidmatan dalam pengeluaran pasport antarabangsa daripada seminggu
sebelum ini kepada hanya satu jam sahaja, dulu kita tidak terfikir pun.
“Klinik 1Malaysia juga saya kemukakan perkara ini semasa Bajet 2010
Oktober tahun lalu dan kini Alhamdulillah sebanyak 44 buah klinik telah
beroperasi, maknanya kita boleh melakukannya jika ada fokus dan
motivasi, jika beri rangsangan yang sepatutnya tiada sebab mereka tidak
boleh tunjukkan pencapaian luar biasa,” katanya.
[Baca]
LONDON 12 Jan. - Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan
di kalangan guru-guru.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua
dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah
menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.
Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan
kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya
Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran
dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.
"Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan
melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada
lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan
jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.
"Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet
sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid
mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum
Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen
Elizabeth II di sini hari ini.
Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai
pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai
pembelajaran dalam bidang ICT.
Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.
Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan
kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman
mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.
Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan
Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan
awam dalam membentuk perkongsian pintar.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru
berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang
membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.
"Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.
"Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan
di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang
boleh menggantikan guru," jelasnya.
Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,
Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada
komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di
sekolah.
Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan
sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan
memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.
"Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran
mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi
keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih
baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan," katanya. - utusan
[Baca]
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
AL-MARAGHI berkata: Pembicaraan sebelumnya berkisar mengenai galakan
agar berjihad dengan cara mengorbankan jiwa pada jalan Allah SWT serta
menerangkan keistimewaan yang akan diterima oleh para mujahid, iaitu
kedudukan yang mulia di sisi Tuhan mereka di dalam syurga yang penuh
kenikmatan.
Iktibar dan fiqh ayat ke-180:
l Mujahid berkata: Maksud ayat ini ialah, orang-orang
yang bakhil itu akan dipaksa memikul jenis harta yang dibakhilkannya
pada hari kiamat sebagai balasan mereka sehingga tidak berdaya
memikulnya.
* Al-Maraghi berkata: Ayat ini bersifat umum kerana ia mengandungi
dorongan supaya melakukan pengorbanan harta tanpa batasan jumlah dan
waktu yang tertentu.
* Hamka berkata: Ayat ini peringatan keras kepada si bakhil, supaya mengubah cara mereka berfikir.
Allah telah memberinya kurnia, tetapi setelah kurnia itu diterimanya
dibolotnya untuk diri sendiri. Dia enggan memberikan sekadarnya untuk
orang lain.
* Al-Sonhaji berkata: Allah menurunkan ayat ini supaya seseorang itu
suka berjihad dengan mengorbankan hartanya, yang mana rasa sayang
terhadap harta itu hampir sama dengan rasa sayang kepada nyawa mereka
sendiri.
Lalu diterangkan di sini ancaman-ancaman Allah kepada orang yang lokek atau bakhil terhadap hartanya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-181:
l Al-Qurtubi berkata: Allah menyebut kehinaan dan kehodohan ucapan kufur lebih-lebih lagi golongan Yahudi.
* Al-Maraghi berkata: Allah SWT akan menyeksa mereka dengan seksaan
yang tidak dapat diragukan lagi sebagai balasan di atas perbuatan
tersebut.
Ini kerana dalam proses mencatat dosa dan memelihara catatannya
bererti memberikan hukuman (seksa) kepadanya. Pengertian seperti ini
berlaku secara umum dari aspek penggunaan bahasa.
* Hamka berkata: kalau misalnya ditanyakan orang kepada mereka: Apa
alasanmu berkata demikian? Tentu mereka menjawab: al-Quran sendiri
mengatakan! Maka mengancamlah Allah: akan kami tuliskan yang mereka
katakan itu. Sebab kata yang demikian adalah sangat jahat kerana
menyalah ertikan maksud Allah.
* Al-Sonhaji berkata: Allah telah mengancam iaitu akan menuliskan
kata-kata mereka sebagai pendusta dalam 'buku amalan' mereka yang bakal
mereka pertanggungjawab di akhirat kelak.
Dan pembunuhan mereka yang tidak berhak terhadap para Nabi yakni
peristiwa kekejaman yang dilakukan oleh mereka pada zaman dahulu akan
dicatat di dalam buku amalan mereka dan disebabkan mereka reda dan
bersetuju dengan kekejaman yang mereka lakukan tersebut.
Iktibar dan fiqh ayat ke-182:
l Ibn Kathir berkata: Apa yang dikatakan kepada mereka itu merupakan teguran, celaan, penghinaan dan ejekan.
* Al-Maraghi berkata: Seksaan yang diberikan kepada mereka kerana
perbuatannya sendiri. Allah SWT itu bersifat adil dalam menjatuhkan
hukuman dan dalam tindakan-Nya, tidak bersifat derhaka dan tidak pernah
berlaku zalim.
Oleh yang demikian, orang yang tidak berhak dihukum, tidak dikenakan
hukuman. Orang yang berdosa pula akan dipisahkan dengan orang yang
bertakwa.
* Hamka berkata: Jika kamu disuruh merasakan betapa pedihnya seksa
pembakaran, terbakar semangat kamu ketika hidup, terbakar di akhirat
sesudah mati, janganlah itu kamu sesalkan kepada Allah.
Sebab hukum Allah adalah hukuman yang adil, orang yang tidak bersalah tidaklah akan dianiaya.
* Al-Sonhaji berkata: Adanya seksa kerana adanya amal yang jahat. Ini semata-mata menunjukkan keadilan Allah SWT jua.
Bukanlah bermakna Allah itu zalim, dan menganiaya. Orang yang tidak
bersalah tidak boleh dihukum, yang durjana tidak akan diperlakukan
seperti orang yang bertakwa dan yang kufur tidak akan dilayan seperti
orang yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat ke-183:
l Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman dalam
mendustakan mereka yang menganggap bahawa Allah SWT telah mengambil
janji dari mereka dalam kitab-kitab mereka, untuk tidak beriman kepada
seorang Rasul pun. Sehingga terjadi mukjizat iaitu jika ada orang dari
umatnya yang bersedekah, lalu sedekahnya itu diterima, maka akan turun
api dari langit yang menghanguskan sedekah tersebut.
* Ibn Jarir al-Tabari berkata: Apabila salah seorang di antara
mereka mengeluarkan sesuatu sedekah, sekiranya sedekah itu diterima
Tuhan, nescaya turunlah api dari langit memakan apa yang telah
disedekahkannya.
* Ibn Jarir meriwayatkan salah seorang daripada kalangan mereka yang
dahulunya sering bersedekah, tetapi apabila sedekah itu diterima, maka
turunlah api dari langit kepadanya, kemudian memakan barang yang
disedekahkan itu.
* Mufassir al-Kalby berkata: Beberapa yahudi datang menemui
Rasulullah SAW. Mereka itu ialah Ka'ab bin al-Asyaraf dan yang lainnya
mereka berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Engkau mengakui dirimu menjadi
rasul dan membawa kitab. Sedangkan di dalam kitab Taurat ada menyebut,
bahawa kami tidak boleh terus beriman kepada seseorang yang mengakui
sebagai nabi, sebelum dia datang kepada kami dengan suatu korban yang
kemudiannya dimakan api.
Iktibar dan fiqh ayat ke-184:
l Al-Qurtubi berkata: Kitab-kitab yang dipanggil sebagai
Zubur atau Zabur sebenarnya bermaksud dengan kitab. Antara maksudnya
juga satu tegahan dan ancaman.
* Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberi hiburan kepada Rasulullah SAW
dan menerangkan bahawa pada setiap zaman, tabiat manusia adalah sama
sahaja.
Ada yang mahu menerima kebenaran dan mahu menyambutnya dengan dada
yang lapang, hati yang tenang dan ada pula yang menunjukkan sikap
melawan kebenaran, memusuhi pembawanya dan menganggap bodoh orang yang
mahu menerima kebenaran.
* Hamka berkata: ini adalah kata tasliyah, pujuk penawar hati Nabi SAW daripada Allah.
Segala tentangan, sanggahan atau meminta mukjizat api putih menelan
korban, atau meminta dihidupkan kembali korban bakaran Bani Israel
iaitu korban dibakar bukan dibahagi dagingnya, atau hal-hal yang mereka
kemukakan, sudah terang kerana kufur saja.
* Al-Sonhaji berkata: Ayat ini adalah hiburan dari Allah kepada
nabi-Nya kerana di dalamnya diterangkan tabiat dan pekerti manusia
sepanjang zaman.
Di antara mereka itu ada yang mahu menerima perkara yang hak dan
benar seperti yang dibawakan oleh para rasul tersebut. Diterima dengan
dada terbuka dan berlapang dada. Dan ada pula di antara mereka yang
membangkang dan menentang kebenaran itu serta menghalang orang yang
memperjuangkannya.
Ayat-ayat dibincangkan di atas jelas menunjukkan perlunya kita
menjadi hamba Allah dan tidak terpesong sebagaimana golongan Yahudi
yang sanggup membunuh para nabi mereka di samping mendustakan rasul dan
nabi.
[Baca]
NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum binti Uqbah bin Abi Muith
al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang musuh Islam yang
kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan srikandi
yang memberi sumbangan kepada Islam.
Ummu Kulsum mempunyai saudara tiri yang bernama Usman bin Affan.
Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak enam orang iaitu al-Walid,
Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.
Ummu Kulsum seorang wanita yang berani, cekal dan tabah. Hal ini
terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh orang kafir Quraisy. Mereka
menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah ke Madinah.
Semasa di Mekah, orang kafir Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan
wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan yang diterima oleh Ummu Kulsum
tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke Madinah. Pada suatu
hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin berhijrah ke
Madinah sendirian.
"Saya rasa dengan cara ini mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Ummu Kulsum mendapat idea, lalu dia pun pergi ke luar rumahnya
menjuju ke kampung yang terletak di padang pasir. Perkampungan itu agak
terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya yang tinggal di
kampung itu.
"Sudah agak lama awak tidak datang ke sini," kata saudaranya.
"Saya sibuk di rumah. Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.
Mereka berbual panjang. Kemudian Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di sini?"
Saudaranya pun menjawab, "Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini
lebih lama pun tidak mengapa. Kita ini bersaudara. Elok kita jalinkan
tali silaturrahim. Banyak pahala dan berkatnya."
"Terima kasih. Saya bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga
hari lagi. Kemudian saya perlu pulang ke rumah semula," jelas Ummu
Kulsum.
"Baiklah," jawab saudaranya.
Ummu Kulsum bermalam di rumah saudaranya. Dia berharap rancangannya
berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai masanya, Ummu Kulsum pulang
semula ke rumahnya. Saudaranya juga tidak menghalangnya pulang ke
rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap seperti
hendak ke rumah saudaranya lagi.
"Saya harap rancangan saya untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Semasa dia bersiap untuk ke luar rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak lagikah?"
Sebelum ini keluarga Ummu kulsum sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil itu.
"Saya perlu bawa sedikit bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.
"Ambil makanan ini," kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.
"Berhati-hati semasa dalam perjalanan ke sana," pesan keluarganya.
Ummu Kulsum terlepas daripada ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.
Kemudian datang seorang lelaki bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"
"Ini bukan urusan awak. Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.
Lelaki itu dengan beraninya berkata, "Awak tidak perlu takut dengan
saya. Saya berasal dari Khazaah. Sekiranya awak tidak keberatan, saya
sedia membantu awak."
"Lega rasanya bila dapat tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Khazaah adalah satu wilayah pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu
telah terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi
Muhammad.
"Saya adalah wanita Quraisy. Saya ingin berjumpa dengan Nabi
Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya tidak tahu jalan hendak ke
sana," jelas Ummu Kulsum.
Lantas lelaki itu berkata, "Saya tahu selok-belok jalan ke kota
Madinah. Jika awak tidak keberatan saya boleh teman awak ke sana."
"Baik, saya setuju," jawab Ummu Kulsum.
Tanpa berlengah masa, lelaki itu pergi mengambil seekor unta. Unta
itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk dinaiki. Mereka meneruskan
perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.
"Seronoknya saya. Dapat juga saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.
"Terima kasih kerana sudi membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.
"Sama-sama. Semoga awak berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.
Akhirnya Ummu Kulsum berjaya berjumpa dengan Nabi Muhammad.
[Baca]
PADA ada suatu hari, Rasulullah dan para pengikutnya telah
bermusafir untuk menghadapi Perang Tabuk. Sebelum meneruskan
perjalanan, mereka singgah di suatu tempat untuk beristirehat.
Sambil beristirehat, para sahabat berjalan-jalan menuju ke satu
longgokan batu-batan. Batu-batan itu adalah kesan peninggalan kaum
Tsamud pada zaman Nabi Saleh.
Ketika melalui kawasan tersebut, mereka menjumpai beberapa buah
perigi. Perigi-perigi itu pernah digunakan oleh kaum Tsamud sebagai
sumber minuman dan ternakan mereka.
Lalu para sahabat mengambil air dari perigi itu untuk menghilangkan
dahaga. Mereka juga menggunakan air tersebut untuk mengadun roti.
Apabila Rasulullah mengetahui tentang perkara tersebut, baginda
melarang mereka menggunakan air itu. Baginda juga menyuruh para sahabat
supaya membuang adunan roti itu untuk dijadikan makanan unta.
Kemudian Rasulullah mengajak pengikutnya berpindah ke perigi yang
pernah digunakan oleh unta Nabi Saleh. Walau bagaimanapun, baginda
melarang mereka memasuki wilayah kaum Tsamud yang telah diazab oleh
Allah suatu ketika dahulu.
Baginda bersabda, "Aku khuatir kalau kamu akan ditimpa azab seperti
yang pernah menimpa kaum Tsamud. Oleh itu janganlah kamu masuk ke
wilayah mereka".
Baginda juga bersabda, "Jangan kamu menjejakkan kaki ke tempat
orang-orang yang pernah diseksa, kecuali kamu menangis. Sekiranya kamu
tidak boleh menangis, jangan sekali-kali kamu menjejakkan kaki ke sana
jika tidak ingin ditimpa bencana seperti yang mereka alami".
Lalu baginda menyeru pengikut-pengikutnya supaya mengerjakan solat berjemaah.
"Kami berasa takjub dengan mereka, wahai Rasulullah," kata salah seorang sahabat apabila mereka melihat kawasan tersebut.
Lalu Rasulullah pun berkata, "Kamu mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih mengagumkan daripada itu?
Perkara itu ialah apabila salah seorang daripada kamu menyampaikan
berita kepada kamu tentang peristiwa yang terjadi sebelum dan selepas
kamu. Oleh itu, luruskan dirimu dan rapatkan barisanmu nescaya kamu
tidak akan diazab walau sedikitpun kelak".
Pengikut-pengikut Rasulullah akur dengan arahan baginda dan mereka mengerjakan solat berjemaah bersama baginda.
Ada sesetengah riwayat menerangkan ketika Rasulullah melintasi
kawasan tersebut, baginda menundukkan kepala dan mempercepatkan
langkahnya. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang bencana.
[Baca]
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KALIMAH Allah bukanlah kalimah yang menjadi satu sebutan atau seruan
mahupun satu panggilan bagi tuhan semata-mata. Ini kerana kita mesti
sepakat bersetuju ia merupakan nama yang melambangkan akidah (iman
kepercayaan) atau agama bagi orang yang menggunakannya.
Lantas apa layaknya kalimah itu menjadi satu bahan kontroversi
sedangkan yang jelas jika mahukan Allah itu sebagai panggilan kepada
tuhan yang disembah, maka jawabnya Islam, titik! Tidak perlu ada dakwa
dakwi lagi terhadap itu.
Namun setiap yang berlaku, agenda 'perkongsian' nama Allah kebelakangan ini pasti ada hikmah yang tersendiri.
Ini kerana setiap kali apa juga mengenai Islam menjadi polemik
kepada pelbagai pihak menyebabkan ramai yang ingin mengenali agama itu
secara lebih dekat.
Akhirnya apabila mereka mendapati agama itu begitu rasional dan
penuh dengan kebenaran yang tidak sekadar bersandarkan fakta-fakta dari
hujah dan penyelidikan manusia tetapi sumber-sumber wahyu yang sangat
sahih, iaitu al-Quran itu sendiri maka ramailah yang terbuka untuk
menjadikan Islam itu sebagai agama untuk dianuti.
Sekalipun mereka yang sudah cukup alim dalam agama asal
masing-masing, sama ada Nasrani, Yahudi, Buddha dan sebagainya sejak
dahulu sehingga sekarang, akhirnya ramai yang tunduk kepada kebenaran
Islam.
Sebagaimana yang terjadi pada Reverend David Benjamin Keldani yang
lahir tahun 1867 di Urmia, Parsi (Barat Laut Iran). Setelah memeluk
Islam, namanya ditukar kepada Abdul Ahad Dawud.
Beliau ialah mantan pendita (paderi) Roman Khatolik dan pernah
menjadi tenaga pengajar paderi-paderi utama (Arbischop) Misi Canterbury
untuk Kristian Syria (Nestorian) di Urmia.
Sebelum menemui cahaya Islam dan memeluk agama itu secara rasmi pada
tahun 1903 pada usia 37 tahun, Keldani begitu membuktikan pencapaian
yang tinggi sebagai paderi.
Pada tahun 1892 beliau satu-satunya paderi yang mampu menulis
rangkaian makalah agama di The Tablet iaitu mengenai Pentateuch yang
sahih.
Pentateuch adalah nama bagi lima buku (kitab) Pertama dalam
Perjanjian Lama, iaitu Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan dan
Ulangan.
Lalu beliau menikmati pelbagai anugerah, menjadi duta dan wakil
gereja serta sentiasa dijadikan rujukan utama dan menulis pelbagai
risalah, makalah termasuk di akhbar seperti The Levant Herald dan
majalah berkala dalam bahasa Syria, Qala-la-Syara (Suara Kebenaran).
Sehinggalah beliau menyampaikan khutbah terakhirnya di Katedral Khorovabad St. George pada tahun 1900.
Ini kerana hakikat yang tidak boleh dinafikan, terlalu banyak
keistimewaan Keldani terhadap perkembangan dan ajaran agama Kristian
sepanjang bergelar paderi.
Pengetahuan dan kepakaran yang beliau miliki dalam mempertahankan ajaran-ajaran Kristian begitu disegani lawan dan kawan.
Namun ada kalanya meninggalkan rasa tidak senang hati kepada
pihak-pihak tertentu. Ini apabila Keldani akhirnya dapat mencium banyak
kepincangan dan penyelewengan ajaran-ajaran Kristian yang dilakukan
oleh pihak gereja itu sendiri.
Beliau mula dihurung dengan pelbagai pertanyaan dan pertanyaan besar
yang kian berkecamuk dalam benak pendeta ini semakin ke kemuncaknya
apabila beliau tidak dapat menahan persoalan: "Apakah agama Kristian,
dengan banyak sekali bentuk dan warnanya dan dengan naskhah-naskhah
sucinya yang tidak autentik, palsu dan menyimpang, adalah agama Tuhan
yang sejati?"
Ini menyebabkan selama sebulan beliau menghabiskan dengan melakukan
sembahyang, meditasi, membaca berulang-ulang naskhah suci dan teks-teks
aslinya.
Maka krisis dalaman beliau itu berakhir dengan surat pengunduran
secara rasmi dikirimkan kepada Uskup Agung Urmia bagi melepaskan fungsi
beliau sebagai paderi.
Pada tahun 1903 ketika mengunjungi Istanbul, Turki yang
memberikannya peluang bertemu dan serius berbicara dengan seorang ulama
Islam yang bernama Jamaluddin Effendi dan beberapa ulama yang lain,
secara rasminya bekas paderi ini akhirnya memeluk Islam.
Menurut Abdul Ahad, perpindahan beliau kepada Islam tidak lain kerana hidayah Allah.
"Tanpa bimbingan-Nya, semua pengetahuan, penelitian untuk menemui
kebenaran ini mungkin hanya akan membawa kepada kesesatan sahaja."
katanya.
Begitu juga beliau juga mengakui keesaan mutlak tuhan, maka Nabi
Muhammad SAW pun menjadi pola dan contoh sikap dan perilakunya dalam
hidup.
"Tindakan saya memeluk Islam ini sama sekali bukan bertujuan atau
mempunyai niat menyakiti sahabat-sahabat kalangan beragama Kristian.
"Ini kerana saya turut mengasihi Jesus (Nabi Isa), Moses (Musa) dan
Abraham (Ibrahim) sebagaimana saya mengasihi Nabi Muhammad dan kesemua
nabi yang dilantik oleh Allah," katanya.
Menurutnya, selagi umat Kristian tidak dapat mengakui keesaan Allah,
Allah yang satu atau menafikan tuhan itu satu, malah sebenarnya dua dan
tiga (Anak Tuhan dan Ruhul Kudus) maka selagi itulah penyatuan ummah
antara Kristian dan Islam tidak akan berlaku sampai bila-bila.
Kata beliau, jika ke-Esaan Allah dapat diterima dalam hakikat yang
sebenar dan diiktiraf maka segala perbezaan antara dua kepercayaan ini
dapat ditemui jalan penyelesaiannya.
"Ini kerana, kita hanya akan membuang masa andai hendak menentukan
atas nama Allah, tuhan siapa yang benar, milik Islam atau Kristian?
"Ini kerana jika mereka mengetahui melalui Scriptures dari Original
Hebrew, mereka dengan jelas mendapati bahawa Allah di sini adalah yang
sama, iaitu bahasa Semitik purba iaitu nama Tuhan Yang Maha Agung yang
menyampaikan wahyu dan bercakap kepada Nabi Adam dan nabi-nabi yang
lain juga.
"Ini bermakna kita menyembah tuhan yang sama, tetapi Allah hanya
satu-satunya yang keberadaannya tunggal untuk disembah. Maha
Mengetahui, Maha Berkuasa yang kekuasaannya meliputi segala penjuru
alam. Allah adalah Maha Pencipta, Pengatur Alam dan Pemerintah seluruh
alam semesta," jelasnya.
Inilah kata Abdul Ahad yang dilakukan selama 17 abad lamanya bagi pihak Gereja Kristian untuk menubuhkan cawangan The Trinitarian (Tritunggal), memerah segala pemikiran dan tenaga bagi mendefinisikan pati dan tubuh 'tuhan'.
"Tetapi apa yang mereka dapat?," soal beliau.
"Saya hanya ingin mengingatkan kepada umat Kristian tiada maknanya
mengakui bahawa Allah itu sebagai tuhan walaupun mereka mendakwa
mempercayai sepenuhnya keesaan tuhan.
"Tetapi dalam masa yang sama mempunyai kepercayaan terhadap tiga
tuhan. Mereka sebenarnya masih tidak mempunyai kepercayaan yang
benar-benar suci terhadap Allah," katanya.
Jelas Abdul Ahad, Allah tetap tuhan yang satu, Nabi Isa hanyalah
nabi suruhan Allah dan pihak ketiga merupakan salah satu dari roh suci
yang melaksanakan perintah dan suruhan dari Allah.
(Dalam satu dialog lain bersama paderi Kristian, Abdul Ahad
menyifatkan Ruhul Kudus sebagai atribut yang suci tetapi tidak pernah
sebagai seorang peribadi yang suci)
Mungkin anda perlu mendapatkan karya Abdul Ahad yang paling popular, yang diterbitkan pada tahun 1928; Menguak Misteri Muhammad (Muhammad in the Bible) bagi mendapatkan lebih banyak pengetahuan dari bekas paderi ini.
Mungkin penghijrahan seperti inilah. ada pihak tidak mahu lagi disifatkan mereka sebagai memeluk Islam (convert).
Mereka bukannya memeluk agama yang baru, mereka mahu dikenali sebagai revert (kembali) iaitu kembali kepada ajaran yang benar.
Mereka yang dahulunya Kristian dan kini menerima Islam kerana
kepatuhan kepada ajaran nabi Isa a.s itu apabila di dalam kitab Injil
itu sendiri disebutkan mengenali kehadiran Ahmad atau Muhammad (nabi)
yang meneruskan ajaran dari tuhan yang sama, iaitu Allah!
[Baca]
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States)
ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun,
harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara
agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak
ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah
bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan
rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah
yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan
lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan
mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan
hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai
keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat
terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan,
juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan
kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu
adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam.
Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian
hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran
tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas
dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya
cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan
demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan
kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusek atau diganggu.
Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika
ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat
Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam
konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam
terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala
hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain.
Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat
Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.
Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah
nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai
nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.
Allah bukan nama am yang siapa
sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan
definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya
kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi
hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius.
Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah
Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan
tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan
Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa
kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan
pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.
Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di
kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab
jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks
faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah
kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya,
lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati
surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.
Sikap berkeras mahu menggunakan juga
kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar
umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya?
Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah,
para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan
leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah
telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu
ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif.
Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini.
Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran
agama Islam.
Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:
What Catholics appear to be seeking
here is an extension to that form of racism that whatever non Malays
and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated
in the name of a half written constitution. Whilst at the same time
arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy
do as wrong and racist.
Catholics must learn to reciprocate in
kind to a people in whose country they have been treated with much
reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although
fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic
(and other religious causes and purposes) without the let or hindrance
of religious intolerance like that imposed on them by the Thais,
Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.
Much
of the reason we are able to debate such issues and to read and write
about it today it is often argued is the result of a good Catholic
education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity
in allowing the propagation of the faith, its schools and other
institutions to thrive and its tolerance of their values.
It is
a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an
insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless
policy of provocation.
In a demonstration of its faith in its
own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church
ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised
by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be
allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a
thorn in the side of its Malay majority hosts.
The church may do
so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell
act of goodness and respect it would build a bridge of understanding
likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the
blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the
colonials and the undermining of the cultural and religious
sensitivities and heritage of Malaysia’s majority
(http://takemon.wordpress.com/about/).
Isu ini seharusnya diselesaikan secepat
dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin
panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang
jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda
terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai
strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan
banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat
syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan
memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar
mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah
erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan
yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi
isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal
kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat
pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S.
Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang
dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke
dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat
Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan
Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.
Catatan tersebut seharusnya sudah
menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam
konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian.
Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang
menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang
berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak
semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat
secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak
memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.
[Baca]