Arkib: August 2008
Dr Ismail: Sumpah Saiful penuhi syarat
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim hari ini berkata bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran tidak wajar disamakan dengan sumpah orang Kristian.Katanya, yang penting, apabila seseorang itu melafazkan sumpah mengikut cara Islam, ia adalah dilakukan atas akidah dan perbuatan memegang al-Quran atau sebaliknya, bukan menyentuh soal akidah.
Oleh
yang demikian, Dr Ismail dipetik oleh Bernama sebagai berkata, sumpah
yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto), bekas pembantu
khas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memenuhi syarat
sumpah mengikut Islam antara seorang hamba Allah dengan penciptanya."Sumpah adalah antara dia dengan Allah, kalau dia melakukan dengan ikhlas, orang lain tidak harus mempertikaikannya," kata beliau ketika dihubungi bagi mengulas polemik ulama mengenai sumpah Mohd Saiful yang mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar.
Dr Ismail berkata Mohd Saiful sudah memenuhi syarat sumpah apabila melafazkan sumpahnya dengan menyebut "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" dan tidak timbul sama sekali sama ada sah atau tidak sah.
Katanya, sama ada Mohd Saiful memegang al-Quran atau tidak bukan soal pokok dan tidak harus dipertikaikan.
"Jika kita makan menggunakan sudu dan garpu seperti orang Kristian, tidak pula menjadikan kita Kristian. Ia bergantung kepada niat kita," tambahnya.
Proses undang-undang
Katanya, Malaysia masih mengamalkan undang-undang sivil dan kes liwat membabitkan Mohd Saiful dan Anwar tetap berjalan mengikut proses undang-undang itu.
Dr Ismail berkata adalah perkara biasa ulama-ulama berbeza pendapat.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahankan pendiriannya bahawa sumpah mubahalah tidak semestinya dilakukan di mahkamah sebaliknya boleh dilakukan di luar mahkamah.
Katanya, kepelbagaian pandangan ulama berkaitan sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful menyebabkan orang ramai keliru, lantas ada orang menyelewengkan isu itu.
Mufti itu berkata banyak pihak yang memberi pandangan mengenai perkara itu dan pandangan yang dikeluarkan tentulah berbeza-beza.
Ada yang berpendapat bahawa sumpah perlu dilakukan di Mahkamah Syariah dan memerlukan kehadiran empat saksi.
Kes liwat membabitkan Anwar menjadi isu hangat di Permatang Pauh dan pihak tertentu menyebarkan risalah mengandungi pandangan ulama-ulama mengenai tindakan Mohd Saiful melafazkan sumpah mubahalah.
Hukum qazaf
Risalah terbabit turut memuatkan pandangan Presiden Universiti Cordoba Prof Dr Taha Al Jabir Al-Alwani yang menyokong kes itu dirujuk mengikut hukum qazaf.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Mohamad Radzi Othman berkata tidak harus timbul pertikaian tentang sama ada sumpah mubahalah dilakukan di dalam masjid atau di luar.
"Mubahalah bermaksud niat untuk membenarkan ucapan dan alam kes (Mohd) Saiful, dia mendakwa diliwat dan oleh demikian dia bermubahalah sebagai cara membenarkan ungkapannya dan dia mahu orang menerima ungkapan itu," katanya.
"Dalam Islam ia boleh dilakukan di mana-mana, tidak disyaratkan tempatnya di masjid tetapi jika dibuat dalam masjid pun perbuatan itu tidak salah," katanya.
Tentang Mohd Saiful memegang al-Quran semasa bersumpah, Prof Mohamad Radzi berkata ia tidak salah kerana tindakan sedemikian bukan satu syarat untuk bermubahalah.
"(Mohd) Saiful memegangnya mungkin dalam keadaan terdesak dan untuk mendapat kekuatan untuk melakukan mubahalah itu. Ia tidak salah dan tidak harus dipertikaikan. Dia hendak supaya orang terima apa yang dia sumpahkan, itu sahaja," katanya.
Mengenai pandangan kes liwat harus diadili mengikut hukum zina, Prof Mohamad Radzi berkata bagi tuduhan zina, apabila seseorang menuduh orang lain melakukan zina, pembuktian memerlukan empat saksi sebab kes itu berat.
Ulama tak sependapat
"Tetapi kes liwat ini, ulama-ulama tidak sependapat sama ada ia boleh disamakan seperti zina atau tidak. Ada yang kata kes liwat tidak sama seperti zina, maka syarat meletakkan empat saksi itu tidak perlu," katanya.
Beliau berkata dalam hal kes liwat sudah menjadi macam kes biasa yang hanya perlu dua orang saksi dan tuduhannya juga tidak sama seperti zina di mana jika tuduhan itu tidak boleh dibuktikan, tertuduh tidak boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu bagi zina, hukumannya ialah 80 kali sebatan rotan.
Menyentuh pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din bahawa kes liwat Mohd Saiful merupakan kes li'an, beliau berkata hukum li'an hanya terpakai bagi kes suami isteri dan dalam kes liwat Mohd Saiful, ia tidak terpakai sama sekali.
Beliau menyarankan supaya ulama tampil memberi penjelasan pada orang ramai mengenai hukum-hukum ini.
"Saya lihat ramai yang keliru dengan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh orang yang dianggap mahir dan mengetahui tentang agama. Saya harap mereka menjelaskan sejauh mana yang boleh dan jangan pula menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya.
[Baca]
Berusaha menuju kesempurnaan
SEMPURNA bermaksud cukup, lengkap, tiada cacat celanya. Kesempurnaan juga bererti efektif dan efisien dalam melaksanakan tugas. Efektif bermaksud berhasil mencapai matlamat yang ditujui manakala efisien pula bermaksud menggunakan sebaik-baiknya tempoh masa yang ada dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
Konsep itqan dalam Islam juga merujuk kepada maksud sempurna atau konsep profesionalisme. Namun perkataan itqan itu mempunyai konotasi yang lebih luas dan holistik kerana ia bertaut kepada aspek ketauhidan kepada Allah SWT.
Dalam kupasan minggu ini perkataan sempurna digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca, tetapi pada dasarnya, ia merujuk kepada konsep itqan yang dimaksudkan.
Bagi seseorang insan itu, kesempurnaan dalam menuju matlamat insan diciptakan ialah apabila ia berusaha untuk memenuhi segenap aspek kehidupannya di dunia ini sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata, sebagaimana maksud ayat 56 surah Az-Zaariyat.
Kesempurnaan dalam bidang profesional
Faktor kesempurnaan semakin signifikan apabila dikaitkan dengan bidang profesional seperti kedoktoran dan kejuruteraan. Profesion sebagai doktor atau jurutera umpamanya, memerlukan kejituan serta ketelitian yang tinggi dalam tugasan mereka kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Doktor yang merawat pesakit perlu berusaha memastikan kesempurnaan terhadap rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit perlu teliti, preskripsi ubat perlu sesuai, serta rekod perubatan perlu objektif demi memastikan kualiti kesihatan pesakit semakin meningkat selepas rawatan (dengan izin Allah).
Andai doktor cuai, penyakit bakal melarat, penyakit lain pula menghambat, dan kemudiannya pesakit semakin tenat. Emosi pesakit dan keluarga pula semakin meruntun. Kredibiliti doktor juga bakal dipersoal, malah mungkin dipertanggungjawabkan atas ketidaksempurnaan tugas yang dilaksanakan.
Jurutera yang merencana pembinaan bangunan atau lebuh raya perlu berusaha memastikan kesempurnaan dalam pembinaan yang dirancangkan.
Bahan yang digunakan perlu berkualiti, reka bentuk yang dirancang perlu selamat serta mempunyai ketahanan untuk menanggung beban berat manusia dan kenderaan yang menggunakannya.
Andai jurutera cuai, bangunan mungkin retak lantas mengundang bahaya buat penghuni serta sekitarnya. Ditakuti bahawa bangunan mungkin tumbang atau runtuh secara tiba-tiba lalu mengakibatkan ramai terkorban serta kehilangan harta benda.
Di kala itu sang jurutera dipertanggungjawabkan, punca kejadian dicari dan hukuman bakal menanti andai didapati bersalah. Sudah tentu kita tidak mahu tragedi tumbangnya kondominium Highland Towers 15 tahun lepas berulang lagi.
Kesempurnaan dalam pelajaran
Bagi remaja yang masih menempuhi pelajaran, sifat kesempurnaan itu akan membantu ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kesempurnaan dalam pelajaran perlu bermula sejak awal tahun persekolahan atau semester dan bukannya hanya apabila tempoh peperiksaan semakin menghampiri.
Dari segi tugasan, implementasi sempurna terhadap pelajaran bermaksud tugasan dilaksanakan dengan betul dan lengkap pada waktunya. Tugasan juga mungkin dilaksanakan atas inisiatif sendiri atau perbincangan bersama rakan tetapi bukannya dengan meniru secara bulat-bulat daripada mana-mana rujukan sekalipun.
Kesempurnaan juga merangkumi inisiatif sendiri dalam melakukan latih tubi serta pembacaan yang intensif terhadap bahan berkaitan peperiksaan. Justeru, bersifat proaktif dengan kaedah belajar sendiri merupakan langkah utama dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.
Di samping itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum yang tidak menjejaskan pelajaran serta halaqah juga menjurus ke arah kesempurnaan dalam pembentukan watak seseorang pelajar itu.
Kesempurnaan yang berimbang
Kesempurnaan bukan sahaja berkaitan perkara yang dihuraikan di atas tetapi juga meliputi segenap aspek dalam kehidupan insan. Kesempurnaan dalam sesuatu aspek sahaja tetapi mengabaikan aspek lain tidak dapat menghasilkan kecemerlangan yang holistik bagi seseorang insan itu serta insan lain di dalam lingkungan pengaruhnya.
Bagi mereka yang berkerjaya dan berkeluarga misalannya, kesempurnaan dalam kerjaya melalui dedikasi masa dan tenaga bakal membuahkan hasil dalam bentuk kenaikan pangkat, pendapatan yang lebih tinggi atau sebagainya.
Namun jika tuntutan berkerjaya mengatasi tanggungjawab sebagai seorang Muslim contohnya solat ditinggalkan kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerja, adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam aspek pembangunan diri sebagai seorang Muslim?
Dan jika kesibukan terhadap kerjaya menyebabkan kurangnya masa untuk bersama keluarga dan mendidik mereka, anak-anak bakal membesar dan 'terdidik' dengan acuan di kaca televisyen, permainan video, internet dan rakan sebaya dalam usaha mereka memenuhi kesunyian akibat kurangnya tumpuan ibu bapa.
Tetapi apabila anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial maka adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam pembinaan keluarga yang bahagia dan mithali? Adakah kesempurnaan dalam kerjaya mampu menebus kepincangan keluarga sendiri? Sudah tentu jawapannya tidak.
Justeru usaha menuju kesempurnaan berkaitan sesuatu aspek itu perlu berimbang dengan keperluan mencapai kesempurnaan dalam aspek lain agar kita berhasil menuju kesempurnaan dalam kualiti kehidupan secara keseluruhannya.
Berusaha menuju kesempurnaan
Dalam usaha kita menuju kesempurnaan, kita seharusnya memahami hakikat bahawa sifat kesempurnaan yang hakiki itu hanya menjadi milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin dengan izin Allah dalam mencapai sesuatu.
Hasil reka cipta dan kerja tangan manusia tidak akan dapat menandingi sebarang elemen alam ciptaan Allah. Sebagai contoh, robot yang menyerupai manusia atau humanoid versi terkini dikatakan mampu untuk berjalan serta berlari.
Secara umumnya kemampuan fizikalnya untuk berlari hampir menyamai keupayaan manusia untuk berlari. Tetapi jika ada bahagian robot yang rosak, robot tidak mampu memperbaiki diri sendiri, walhal sistem tubuh manusia mampu menjana penyembuhan sendiri terhadap luka yang dihadapi.
Manusia diberikan keupayaan berfikir yang ada keterbatasannya serta memerlukan pedoman wahyu Ilahi untuk memandu kehidupan di dunia ini. Pemahaman terhadap hakikat ini seharusnya mewujudkan rasa ketundukan dan kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Manusia itu sendiri bersifat lalai maka akan sahaja melakukan kesilapan. Namun sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya lagi. Namun kita dituntut untuk berusaha untuk menghampiri serta menuju kesempurnaan kerana ia akan membawa kebaikan secara keseluruhannya.
[Baca]
Permatang Pauh, Islam makin jauh
SEORANG wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: "Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?" Saya tidak pasti apa tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik. Saya kira, tujuannya mungkin untuk tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: "undi anda adalah rahsia". Jika beliau tidak lupa, sebelum pilihan raya umum lalu, saya memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan parti. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian. Saya memberitahu wartawan berkenaan, dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan sebegitu rupa, sehingga masyarakat sukar menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain. Lebih malang, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antara mereka.
Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Katanya, kebebasan bersuara dan berbicara. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama. Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberi pendapat berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian. Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di Internet dan SMS seakan-akan tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang memfitnah orang lain di sebalik maya Internet dan SMS. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Akhirat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan memfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka. Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberi pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita. Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai-bagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik, dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).
Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya. Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).
Ganjaran pahala
Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: "jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak". Katanya: "ada ustaz bersama saya". Kata saya: "Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak. Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah".
Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa jujur, siapa yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi SAW: "Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa. Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan "oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah". Lalu orang menyatakan kepadanya: "alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia" padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah pelbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai-bagai negara di planet bumi ini, pada hal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.
Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan, sebelum ini pernah ada orang politik secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Dulu ada orang yang membeli undi dalam parti dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara korup di akhirat, di mana hanya orang bawah disoal dan yang atas dilepaskan. Barangkali dia fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai. Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsir dengan pelbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat baik disangka buruk, apatah lagi jika memang niat buruk. Banyak pihak mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan dapat diubah. Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan berburuk sangka tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah.
Masa depan umat Islam bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga 'kerusi' di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi reda Allah, tetapi kehendak politik kepartian. Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa membantah walaupun sekian lama dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen tetapi haram riba, tidak jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.
Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: "Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan". (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam). Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara? Seperti orang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya. Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik bagi umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredaan Allah SWT. Undi ada nilai dosa dan pahala.
Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihan raya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah SAW buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah.
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
[Baca]
Kementerian Pelajaran tubuh tiga bahagian baru
PUTRAJAYA 1 Ogos - Kementerian Pelajaran menubuhkan tiga bahagian baru bagi memperkasakan sistem pendidikan negara di bawah penstrukturan semula kementerian itu yang bermula sejak Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tiga bahagian baru tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Bahagian Psikologi dan Kaunseling dan Unit Pengurusan Sumber Manusia.
''Di samping itu, sektor pendidikan juga dibahagikan kepada tiga teras utama iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Profesionalisme.
''Menerusi penstrukturan semula itu, sebanyak 17 jawatan guru dan pegawai telah dinaikkan gred," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2007 dan Perhimpunan Bulan Ogos di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Seramai 354 pegawai dan guru menerima APC 2007.
Kali terakhir proses penstrukturan semula kementerian dilakukan pada 1995.
Hishammuddin memberitahu, bagi memastikan sistem penyampaian pendidikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan, pemantapan organisasi turut dilaksanakan di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD).
''Keputusan kerajaan untuk meluluskan penubuhan lapan PPD baru telah mewujudkan 92 jawatan baru dan daripada jumlah tersebut, 52 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).
''Selain itu, 20 jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Model A yang melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur, telah dinaikkan gred," katanya.
[Baca]
Wallahi, Wabillahi, Watallahi
BARANGKALI hanya Anwar Ibrahim yang mengerti apabila beliau menyumpah seorang pemimpin pemuda seteru politiknya tempoh hari. Pemimpin muda itu hanya berniat meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu bersumpah tidak melakukan liwat seperti mana diharapkan oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
''Ini yang suruh saya bersumpah sangat ini, saya nak bagi tau, suruh dia perelokkan dulu baca al-Fatihah, dia sendiri baca tak betul, nak dok suruh orang sumpah," kata Anwar pada satu ceramah di Kubang Semang.
Mengapa payah sangat Anwar untuk bersumpah yang sekali gus nanti akan membersihkan namanya, setidak-tidaknya sebelum ke mahkamah pada 10 September ini?
Seperti mana yang dimusykilkan oleh satu keluarga di Guar Perahu, Penanti di Seberang Perai yang keraguan mereka pernah dipaparkan oleh penulis dalam ruangan ini kenapa sukar sangat bagi Anwar melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Demikianlah juga dengan reaksi-reaksi pemimpin pembangkang itu apabila menyentuh topik tersebut dalam ceramah beliau.
l Sumpahlah sampai 50 kali pun saya tidak peduli.
l Dok heboh pasal sumpah. Cabar saya nak sumpah itu sumpah ini. Nak sumpah apa? Saya sudah kata pada mereka, saya boleh bersumpah dengan bimbingan para ulama. Tapi rakan-rakan nasihatkan supaya saya tidak berbuat demikian. Ulama dari luar negara hantar surat berjela-jela menasihatkan saya, 'Anwar, jangan sesekali lakukannya (bersumpah), jangan persendakan agama.'
l Saya bimbang sumpah saya itu akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.
Tiga alasan mengelak dari bersumpah itu diungkapkan Anwar masing-masing di Guar Perahu, Yayasan Aman dan Kubang Semang. Namun bagi masyarakat terutama umat Islam di Permatang Pauh, rata-rata sehingga kini masih keliru dengan alasan-alasan tadi. Mereka telah menyaksikan bagaimana pengakuan dari hati yang tawaduk daripada Mohd. Saiful pada hari Jumaat, waktu Asar 15 Ogos lalu.
"A'uzubillahi minas syaitanirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.
"Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah SWT dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah SWT sehingga ke kiamat. Wallahualam."
Bagi umat Islam, sumpah bukan permainan hidup. Bukan boleh dibuat main, terutama sumpah laknat. Azabnya jika berbohong akan dilaknat sehingga hari pengadilan-Nya.
Pada Jumaat, penghulu kepada segala hari itu, umat Islam negara ini melihat bagaimana Azlan, berada bersebelahan anaknya melihat sayu sumpah yang dilafazkan.
''Takkan seorang bapa sanggup bersubahat dengan anaknya," kata seorang penduduk Permatang Ara ketika penulis singgah di satu gerai makan di situ.
Di Seberang Jaya berdekatan sebuah pasar semalam, para penyokong PKR sibuk mengedarkan poster calon mereka dan sekeping risalah yang memuatkan kenyataan 10 tokoh menolak sumpah yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful. Namun, tiada satupun individu itu mengutarakan apakah kaedah bersumpah yang mengikut syariat Islam sebenar yang diingini mereka. Bapa Mohd. Saiful sebelum ini meminta mereka yang bijaksana memberi panduan kepada anaknya mengenai lafaz sumpah yang menepati ciri Islam. Namun sehingga hari ini, tiada satu pihak pun dari pembangkang tampil bertemu dengan keluarga itu untuk membimbingnya melakukan kaedah bersumpah yang betul. Sebaliknya lafaz sumpah itu diperleceh di kala insan kecil itu mengharapkan pembelaan sebelum ke mahkamah.
''Sumpah tersebut ada pemberatnya atau taghliz alyamin kerana ia dibuat pada waktu Asar di hari Jumaat di sebelah mimbar masjid dengan nama Allah yang merupakan pemberatnya," kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.
Demikian juga dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa untuk melakukan mubahalah dalam Islam cukup dengan hanya melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi.
Sumpah yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful adalah untuk mengurangkan beban yang dihadapinya. Ia urusan antaranya dengan Allah. Sudah tentu dia pasrah dengan azabnya jika berbohong
Renungkanlah.
[Baca]
Didik masyarakat fahami mubahalah
Apakah nasihat ustaz terhadap umat Islam yang mungkin keliru berikutan peristiwa sumpah yang berlaku minggu lepas?
DR. MOHD. RADZI: Saya rasa dalam kes semacam ini, ia boleh diselesaikan dengan cara berbincang antara kedua-dua belah pihak. Secara langsung atau tidak langsung supaya dapat dibendung lebih awal dan tidak mengaibkan mana-mana pihak. Ini yang paling baik dan paling cepat dalam menyelesaikan masalah itu. Ataupun dengan cara melantik wakil daripada kedua-dua pihak andai kata tidak boleh bersemuka kerana perbalahan itu telah membawa kemarahan dan perasaan tidak terkawal. Mereka boleh melantik pihak ketiga untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.
Jika tidak, ia boleh dirujuk kepada mahkamah khususnya Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes-kes yang boleh diselesaikan di mahkamah mengikut budi bicara dan kebijaksanaan hakim.
Mubahalah hanya merupakan cara terakhir. Barangkali ia dibuat apabila sudah tidak ada pilihan lain. Umumnya kita umat Islam dikehendaki sentiasa dalam keadaan berpadu tenaga, bersatu padu dan tidak membiarkan perbalahan kecil membawa kepada perpecahan umat. Jadi dalam kes-kes yang berlaku, cubalah selesaikan dan bendung sedaya yang boleh. Tambahan pula dalam kes-kes peribadi dan sulit.
Apatah lagi kita hidup dalam negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa. Dalam dunia moden ini, melalui Internet, semua perkara dalam tempoh masa singkat boleh tersebar ke seluruh dunia. Jadi kes semacam ini elok dibendung lebih awal.
Adakah ustaz fikir apa yang berlaku itu telah memalukan umat Islam?
DR. MOHD. RADZI: Saya rasa sedikit sebanyak ia menjejaskan maruah kita umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Umat Islam secara keseluruhannya berasa tersentuh hati dengan kes seperti ini. Sebab seolah-olah kita menjadikan media massa sebagai hakim, sebagai mahkamah. Atas kesilapan yang kecil terus diperbesar-besarkan khususnya melalui media elektronik sehingga dunia tahu.
Padahal kes seperti ini elok disalurkan melalui saluran yang sedia ada seperti mahkamah. Mahkamah merupakan institusi yang diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah umat manakala para hakim pula akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan.
Ketika ini mubahalah tidak termasuk dalam undang-undang syariah di Malaysia. Adakah kerajaan patut menjadikan mubahalah sebahagian daripada perundangan syariah kita?
DR. MOHD. RADZI: Saya rasa elok kita dari semasa ke semasa membuat semakan terhadap keperluan perundangan yang sedia ada berdasarkan kes-kes yang berlaku. Di mana terdapat keperluan mengemaskinikan atau ditokok tambah bahkan diperbaiki atau diubah suai gaya bahasa dan ayat yang lebih mantap dan jelas.
Respons masyarakat Malaysia mengenai muhabalah menunjukkan mereka berpecah kepada beberapa kumpulan. Apakah nasihat ustaz kepada masyarakat Islam.
DR. MOHD. RADZI: Secara umumnya banyak orang Islam terkejut bila penyelesaian secara mubahalah disebut oleh Mufti Perlis. Tetapi mereka yang berpengetahuan tentang hukum-hakam syarak sepatutnya tidak terkejut. Memang dalam pengajian syariah, perkara ini ada dan dinyatakan secara jelas oleh al-Quran melalui Ayat 61 Surah al-Imran.
Kita mengetahui tentang lafaz sumpah laknat yang dibuat di masjid baru-baru ini. Adakah ia tidak boleh dilakukan di masjid?
DR. MOHD. RADZI: Cara lafaz mubahalah itu betul. Tempat bermubahalah tidak dihadkan kepada tempat tertentu. Tidak semestinya masjid. Cuma bersumpah pegang al-Quran tidak diperlukan.
Saya fikir, kita semua tahu al-Quran ialah kitab suci. Apabila seseorang terdesak untuk mendapat kekuatan, dia akan bersandar pada apa saja. Masjid ialah tempat ibadah. Orang yang terdesak untuk menegaskan apa yang dikatakannya benar akan pilih apa yang ada di depannya untuk membolehkan percakapannya diterima.
Mengenai sumpah, kita kena bersumpah dengan nama Tuhan sahaja. Dalam amalan sumpah ini ada unsur mengagungkan Tuhan. Jadi kita hanya boleh bersumpah kepada Allah. Untuk menyelesaikan masalah, manusia berada dalam keadaan lemah disebabkan dakwaannya terhadap sesuatu tidak diendahkan, dalam keadaan seperti itulah manusia akan bersandar kepada Tuhan untuk dapatkan kekuatan.
Perbuatan mereka yang bersumpah selain nama Tuhan membawa kepada syirik iaitu menyekutukan Allah.
Isu mubahalah menggambarkan umat Islam berpecah belah. Apa pandangan ustaz?
DR. MOHD. RADZI: Sumpah laknat ini perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang manakala tanggapan yang diberi pula datang dalam pelbagai bentuk. Saya khuatir perkara ini boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan kekecohan kepada umat Islam. Penyelesaian secara mubahalah sesuatu yang jarang berlaku. Ia satu sejarah pada umat Islam di Malaysia.
Kesan mubahalah ini kepada umat Islam?
DR. MOHD. RADZI: Saya fikir, kita boleh melihatnya dari pelbagai aspek. Pertama, dari segi kebaikannya, umat Islam menjadi lebih berminat untuk mengetahui mengenai mubahalah. Bukan setakat ingin mengetahui tetapi ingin menghayatinya dalam kehidupan dan ingin melihat sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan cara mubahalah yang betul. Kedua, keburukannya pula, sebahagian umat Islam tidak tahu langsung apa yang dimaksudkan dengan mubahalah.
Mereka juga tidak tahu tentang perkara ini dan membuat tafsiran sendiri yang mengelirukan. Memandangkan mubahalah sudah berlaku, orang yang berpengetahuan kena tampil ke hadapan mendidik masyarakat supaya mereka tidak berpecah belah dan dapat pengetahuan mengenainya dengan lebih jelas.
Apakah nasihat ustaz kepada umat Islam di Malaysia sekarang?
DR. MOHD. RADZI: Dalam menyelesaikan perkara seumpama ini, ia tidak perlulah sampai ke mahkamah. Kita selesaikanlah dengan cara baik. Apabila kita bergaduh, kita boleh berdamai. Berdamai ini banyak kebaikannya. Tapi memandangkan kes ini telah sampai ke mahkamah, jadi kita rujuk kepada mahkamah supaya dapat penyelesaian yang muktamad.
Sekarang kita perlu berusaha mencari jalan bagaimana memulihkan maruah Islam yang mungkin terjejas ekoran peristiwa-peristiwa ini. Untuk masa akan datang, kita kena perbaiki kelemahan. Kita kena belajar dan mengambil pengajaran atas apa yang telah terjadi.
[Baca]
Akibat tak sahut sumpah
![]() |
|
PROF. MADYA DR. MOHD. RADZI OTHMAN, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam (USM).
|
PERISTIWA mubahalah atau sumpah laknat yang berlaku baru-baru ini adalah sesuatu yang baru kepada umat Islam di Malaysia. Menurut tokoh agama, Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman, beliau tidak pernah mendengar sumpah laknat dilakukan di negara ini.
Dalam temu bual dengan wartawan ZULKEFLI HAMZAH, AZMAN ANUAR dan ROKIAH ABDULLAH di pejabatnya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang Jumaat lalu, Dr. Mohd. Radzi menghuraikan secara terperinci mengenai mubahalah.
Pensyarah Jabatan Pengajian Islam itu telah 23 tahun berkhidmat di USM selepas memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran dari Universiti Madinah, Arab Saudi. Beliau merupakan pakar bidang hadis, dakwah dan usuluddin.
Berusia 57 tahun, Dr. Mohd. Radzi pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang selama 11 tahun. Sejak 23 tahun lalu, beliau ialah ahli Majlis Fatwa Perlis selain menjadi penasihat syariah Bank Rakyat.
Beliau juga menulis buku dalam bahasa Arab mengenai sejarah sahabat Nabi dan gerakan pembaharuan dalam Islam.
Dalam temu bual selama lebih satu jam itu, Dr. Mohd. Radzi menyifatkan sumpah laknat sebagai perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang penganut Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang.
Katanya: “Tanggapan yang diberi pula datang dalam pelbagai bentuk. Saya khuatir perkara ini boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan kekecohan kepada umat Islam. Penyelesaian secara mubahalah sesuatu yang jarang berlaku. Ia satu sejarah pada umat Islam di Malaysia.”
MINGGUAN: Apakah kedudukan sumpah dalam Islam dan adakah sumpah pernah menjadi isu besar dalam sejarah Islam?
DR. MOHD. RADZI: Mengikut sejarah Islam, sumpah secara umumnya adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada dalam mahkamah kalau kes dibawa ke mahkamah atau jika diminta bersumpah ataupun dibuat di luar mahkamah sesama orang Islam. Sumpah dibuat bertujuan mendapat kepastian yang lebih tinggi tentang kebenaran sesuatu dakwaan. Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh memintanya bersumpah. Jika orang tidak meminta kita bersumpah sekali pun, jika kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh bersumpah. Ini sumpahan biasa.
Sumpahan adalah sesuatu yang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan, menguatkan dan menyokong kenyataan-kenyataan kita supaya kebenaran dapat diterima oleh pihak kedua
Sumpah ini ada kategori tertentu atau hanya bagi menentukan kebenaran kes-kes jenayah?
DR. MOHD. RADZI: Tidak hanya dalam kes jenayah, dalam isu pertikaian harta benda pun boleh bersumpah. Sumpah juga boleh dibuat untuk menentukan kebenaran kes-kes peribadi.
Bagaimanakah cara bersumpah yang sah dan betul?
DR. MOHD RADZI: Bersumpah dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.
Sumpah laknat yang berlaku baru-baru ini, apakah kedududkannya dalam Islam?
DR. MOHD. RADZI: Sumpah yang semacam itu dikenali sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah. Sumpah laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang berlaku.
Sumpah laknat disebut dalam al-Quran?
DR. MOHD. RADZI: Dalam Surah al-Imran Ayat 61 Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan ) kamu, maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan- perempuan kamu, dan diri kami serta diri kami, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.
Latar belakang turunnya ayat itu ialah ada satu kabilah Nasara, Bani Najran, di selatan Semenanjung Tanah Arab bertemu Nabi Muhammad. Mereka ingin mendapatkan perlindungan keselamatan daripada negara Islam melalui Nabi Muhammad. Nabi Muhammad meminta mereka membayar jizyah. Dalam pertemuan itu, mereka enggan membayar jizyah sebaliknya mereka mencabar untuk bermubahalah.
Tetapi akhirnya mubahalah tidak berlaku kerana kabilah Nasara bersetuju membayar jizyah tanpa melakukan sumpah mubahalah. Orang Nasara itu takut melakukan mubahalah kerana merasakan Nabi Muhammad berada di pihak yang betul manakala mereka tidak betul. Hasilnya mereka terpaksa menanggung akibat buruk. Akibat itu bukan sahaja menimpa mereka tetapi turut dilaknat sehingga ke anak cucu. Justeru, kabilah Nasara membuat keputusan untuk menerima sahaja permintaan Nabi.
Akibat buruk dalam sumpah mubahalah, adakah ia memang janji Tuhan atau hanya sumpah manusia?
DR. MOHD. RADZI: Ia memang janji Tuhan. Melalui Ayat 61 Surah al-Imran itu juga pada perenggan yang terakhir, dinyatakan “kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.”
Apabila kita bermubahalah, Allah akan memberi balasan buruk kepada mereka yang berdusta. Apabila kedua-dua belah pihak bermubahalah, mesti ada salah satunya benar dan salah satunya tidak benar. Melalui ayat itu, Allah menjanjikan balasan buruk kepada pihak yang tidak benar.
Balasan buruk yang Tuhan janjikan itu, adakah kita boleh melihatnya?
DR. MOHD. RADZI: Daripada kes-kes sumpah yang berlaku, ulama-ulama hadis ada merakamkan beberapa kes. Kata Ibn Hajjar, akibatnya tidak melebihi tempoh satu tahun. Tidak melebihi tempoh dua bulan pun ada. Namun di kalangan pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah dilafazkan hanya pada kes-kes yang serius dan pada kes-kes yang besar sahaja. Itu pun selepas dirujuk dengan pelbagai cara lain yang perlu diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan dua pihak tadi. Jika ia masih tidak selesai, akhirnya barulah dirujuk kepada cara mubahalah.
Dalam sejarah Syiah, pengikut Syiah banyak merujuk kepada cara mubahalah. Mereka memang lebih suka cara mubahalah.
Bolehkah diberikan contoh-contoh mubahalah yang dilakukan oleh orang Syiah?
DR. MOHD. RADZI: Berdasarkan satu catatan dalam laman web Syiah, terdapat beberapa kes mubahalah yang berlaku pada zaman Jaafar al-Sadiq. Orang Syiah bermubahalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu. Ketika itu mereka melakukan mubahalah dengan meletakkan jari-jari kedua belah tangan secara berselang seli antara satu sama lain dan kemudian berkata, “Ya Allah, andai kata si polan ini engkar kebenaran dan menerima kebatilan, maka kenakanlah dia dengan balasan daripada langit atau azab daripada engkau, ya Allah, dan melaknatnya sebanyak 70 kali.”
Mubahalah itu dilakukan pada waktu subuh iaitu ketika antara naik fajar hingga naik matahari. Orang Syiah memang biasa dan kerap bermubahalah. Cuma bagi kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah jarang-jarang berlaku. Apabila wujud kes-kes pertelingkahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara lain, baru mubahalah digunakan. Sumpah itu jarang digunakan kerana ia mengakibatkan perkara buruk yang boleh menimpa pihak-pihak yang berkenaan.
Adakah pernah berlaku kes mubahalah dalam sejarah masyarakat Islam di Malaysia?
DR. MOHD. RADZI: Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak pernah dengar ia berlaku di Malaysia.
Sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan pada 15 Ogos lalu, apakah balasan-balasan yang boleh berlaku?
DR. MOHD. RADZI: Hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain. Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat. Mubahalah tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan? Dalam mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat para mukminin. Maknanya sumpah itu meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.
Manusia dinaungi rahmat Tuhan dan Tuhan memberikan rahmat kepada sesiapa yang dikehendakinya, tidak kira Islam dan bukan Islam. Dalam sumpah laknat, rahmat itu akan dijauhi daripada orang yang berdusta.
Adakah sumpah mubahalah ini sama dengan hukum li‘an yang dinyatakan dalam Ayat 6-10 Surah An Nur?
DR. MOHD. RADZI: Li‘an hanya boleh berlaku di antara suami isteri sahaja iaitu seseorang suami yang bersumpah untuk tidak mendekati isterinya dalam tempoh tertentu manakala mubahalah pula memang ada unsur sumpahan dan ia boleh berlaku di kalangan suami isteri atau sesiapa sahaja.
Apakah cara bermubahalah yang paling tepat?
DR. MOHD. RADZI: Mubahalah tidak tertakluk kepada banyak syarat kerana dalam nas-nas syarak tidak dinyatakan dengan jelas syarat-syarat yang diperlukan. Cuma mubahalah ini boleh dilakukan ekoran daripada perbalahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara biasa melalui perbincangan dan persefahaman. Caranya boleh berlaku di mahkamah di depan hakim jika kes dibawa ke mahkamah. Ia juga boleh dilakukan di luar mahkamah bahkan di mana-mana sahaja. Pada zaman Abdullah Ibn Abbas Al-Auzar dan Syuraih Al-Qa‘di, mubahalah pernah berlaku di dalam masjid dan di luar masjid selepas kesepakatan kedua-dua pihak untuk sama-sama merujuk kepada pendekatan mubahalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.
Apakah syarat-syarat khusus mubahalah?
DR. MOHD. RADZI: Apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk bermubahalah maka pihak yang berkenaan perlu bersumpah dengan lafaz Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi dan kemudian terus menyebut masalah yang dimaksudkan dan pada akhirnya dengan menyatakan laknat Allah kepada mereka yang berdusta atau laknat Allah terhadap dia yang bersumpah andai kata dia berdusta.
Adakah ada syarat-syarat tertentu yang lain?
DR. MOHD. RADZI: Tidak ada syarat tertentu, tapi ketika Nabi Muhammad mahu bermubahalah dengan kabilah Nasara, Bani Najran, baginda membawa anaknya, Siti Khadijah, menantunya Saidina Ali serta cucunya Hasan dan Husin sebagai saksi.
Bagaimanapun, kes pada zaman Rasulullah itu tidak berakhir dengan mubahalah. Ketika mubahalah, kedua-dua pihak boleh hadir secara bersama ataupun satu pihak sahaja manakala pihak yang lagi satu yang melakukan mubahalah secara berasingan juga dianggap mubahalah.
Dalam sesuatu isu yang dipertikaikan, kalau satu pihak sahaja bersumpah laknat manakala pihak yang dituduh tidak mahu bersumpah, apakah kedudukan mubahalah itu?
DR. MOHD. RADZI: Dalam kes sebegitu di mana ada pihak yang engkar iaitu tidak mahu bersumpah, kebenaran memihak kepada pihak yang bersumpah.
Kalau kedua-dua yang menuduh dan dituduh bersumpah laknat, apa pula kedudukannya?
DR. MOHD. RADZI: Dalam kes sumpah laknat, kita akan dapat lihat petanda-petanda awal yang boleh membawa kepada kebatilan. Sumber-sumber agama tidak menyebut secara jelas tentang petanda-petanda yang berkenaan kerana perkara seumpama itu jarang berlaku di kalangan kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan ia tidak diperbesar-besarkan. Bagaimanapun, ulama-ulama Syiah mencatatkan bahawa tidak lama selepas mubahalah berlaku kejadian seperti orang yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergamam, terjatuh dan bermacam-macam lagi. Sejauh mana kebenarannya tidak pula diketahui.
Apa yang penting ialah pihak berkenaan telah bersumpah dan yang kedua pula menyahut cabaran itu dengan bersumpah, jadi kita tengoklah di antara kedua belah pihak itu apa yang akan berlaku. Ulama Ibn Hajar Al Salam as Qualani pernah berkata, pada pengetahuannya, akibat sumpah akan dapat dilihat tidak lebih daripada satu tahun.
Bagaimana pula jika kes yang dipertikaikan itu dibawa ke mahkamah?
DR. MOHD. RADZI: Bagi kes yang dibawa ke mahkamah, mubahalah boleh berlaku di mahkamah andai kata pihak mahkamah merasakan pihak yang terbabit perlu bermuhabalah. Tujuan mubahalah adalah untuk mencari kebenaran. Antara dua pihak yang terlibat, walau apa pun yang diperkatakan, mereka sudah tentu lebih mengetahui perkara sebenar daripada mana-mana pihak yang lain. Kekeliruan mungkin berlaku apabila salah seorang enggan bercakap benar, menyebabkan pihak yang merasakan dia berada di pihak yang benar inginkan pembelaan. Maka mubahalah menjadi jalan penyelesaian yang terbaik.
Adakah mubahalah adalah sebahagian daripada hukum Islam?
DR. MOHD. RADZI: Mubahalah adalah sebahagian daripada hukum hakam Islam untuk menyelesaikan masalah yang berlaku bukan sahaja untuk Islam sesama Islam tetapi juga antara orang Islam dan pihak bukan Islam. Ia boleh dibuat dalam mahkamah dan boleh juga di luar mahkamah bergantung kepada persetujuan antara kedua belah.
Dalam mubahalah yang baru berlaku, timbul isu mubahalah telah dieksploitasi oleh pihak lain?
DR. MOHD. RADZI: Isu dieksplotasi, itu perkara lain. Yang penting, mubahalah adalah untuk menyelesaikan masalah.
Dalam satu kes mubahalah pada 15 Ogos lalu, timbul persoalan kononnya cara orang yang bersumpah laknat memegang al-Quran macam perbuatan orang Kristian. Apakah haram memegang al-Quran ketika bersumpah?
DR. MOHD. RADZI: Memang dalam kes mubahalah atau sumpah biasa tidak diperlukan memegang al-Quran atau junjung al-Quran ketika bersumpah atau bermubahalah. Akan tetapi jika ada yang berbuat demikian tak adalah boleh disamakan dengan amalan orang Kristian.Bersumpah atau bermuhabalah mengikut hukum syarak, seseorang yang bersumpah hanya bersumpah dengan nama Allah tidak boleh selain daripada Allah. Begitu juga mubahalah, hanya bersumpah dengan nama Allah dan juga melaknat pihak yang berdusta.
Apakah cara sumpah laknat yang betul?
DR. MOHD. RADZI: Cukup dengan hanya lafaz sumpah Waallahi, Wabillahi dan Watallahi dan ditambah pengakuan ‘Aku melakukan perbuatan atau aku tidak melakukan perbuatan yang dituduh itu’. Itu sudah cukup.
Dalam kes mubahalah, seseorang kena tambah ungkapan laknat Allah terhadap orang yang berdusta termasuk dirinya yang bersumpah andai kata dia berdusta.
[Baca]
Mufti: Tidak bercanggah
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempertahankan sumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu sebagai harus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, hukum harus dan tidak bercanggah mengenai tindakan Mohd. Saiful itu boleh dilihat melalui pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya, Hasyiah l’anah al-Talibin.
Katanya, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau ‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan kedua, di luar perbicaraan.
“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri.
“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu ‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’.
“Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk menguatkan percakapan atau kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Wan Zahidi, melalui penjelasan itu, sumpah Mohd. Saiful adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan atau alyamin qhairul qadhaiyah.
“Dan ia juga bukan sumpah mubahalah seperti yang terdapat dalam ayat 61 surah Al-Imran kerana mubahalah memerlukan persetujuan pihak kedua,” katanya.
Beliau selanjutnya memberikan contoh bagaimana upacara mubahalah antara Rasulullah SAW dengan rombongan Nasrani dari Najran tidak berlaku kerana mereka enggan melakukannya dan meminta pilihan lain.
Kata beliau, dalam kitab yang sama menjelaskan mengenai pemberatan sumpah atau taghliz al-yamin yang boleh dilakukan dari segi tempat atau masa.
Hukum
Katanya, kitab itu menyatakan sumpah dapat diperkuat atau diberatkan jika dilakukan selepas sembahyang asar hari Jumaat, dalam masjid di sisi mimbar, meriba mushaf (al-Quran) dan meletak tangan di atasnya atau dibacakan kepadanya ayat 77 daripada surah al-Imran.
Mengenai hukum meletak tangan atas mushaf, Wan Zahidi turut memberikan beberapa contoh fatwa tambahan selain daripada kandungan dalam kitab Hasyiah l’anah al-Talibin.
Katanya, Mufti Mesir, Al-Sheikh Hasanin Muhammad Makhluf (1945-1950) dalam kitabnya, Fatwa Syariyyah ketika menjawab soalan mengenai hukum bersumpah dengan mushaf memetik pendapat Al-Imam Al-Aini iaitu:
“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata; Demi Quran ini - maka ia adalah sumpah yang sah mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Hambali.’’
Tambah beliau, Shaikh Muhammad Abu Zuhra dalam bukunya Fatawa al-Sheikh Muhammad Abu Zuhra dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan atas mushaf menyatakan;
“Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.”
Justeru kata beliau, huraian yang diberikan dapat memperlihatkan dengan jelas bahawa sumpah yang dibuat Mohd. Saiful adalah menepati ajaran Islam dan tidak meniru Kristian.
Tambahnya, persamaan zahir terhadap apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful tidak boleh dijadikan asas untuk menyamakan tindakan beliau itu sebagai meniru cara agama Kristian.
“Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah ‘amin’ ketika melakukan upacara doa di gereja, namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian dengan menyebut kalimah ‘amin’ dalam sembahyang dan ketika berdoa,” katanya.
Menurut Wan Zahidi, penjelasan daripada pihaknya adalah perlu memandangkan wujud percanggahan pandangan pelbagai pihak berhubung tindakan Mohd. Saiful itu.
[Baca]
